Rakan SIMAAS anda!

PETIKAN HADIS

Posting Terbaru!

Posting Terbaru!

Wednesday, August 15, 2018

9 perkara ayah tak beritahu!

9 PERKARA SEORANG AYAH TAK PERNAH BERITAHU KITA

Berikut adalah beberapa perkara yang tak pernah ayah beritahu kita, walaupun mereka dalam keadaan susah sekalipun.

1. AYAH TAK CUKUP DUIT

Setiap bulan, mereka akan memikirkan keperluan rumah, keperluan dapur, anak-anak, isteri, dan akhir sekali barulah keperluan mereka. Kita mungkin tak tahu, dalam poket ayah cuma ada RM10 sewaktu kita telefon minta wang semasa di universiti.

Bila awal bulan, memang seronok dapat gaji. Tapi bila ditolak-tolak kesemuanya, semua harapan untuk membeli apa saja kemahuan mereka terpaksa ditunda lagi. Hinggalah mereka melupakan terus hasrat tersebut sampai ke hari ini.

2. AYAH KECEWA BILA TAK DAPAT BELIKAN MAINAN YANG KITA MINTA

Ayah mahu gembirakan kita. Kalau boleh, satu kedai mainan mahu diberikan kepada kita. Tapi tentulah ada masanya dia perlu mendidik kita.

Ada masanya pula, kewangan tak mengizinkan. Ayah rasa bersalah sangat bila tak dapat bawa balik mainan yang diminta oleh kita adik-beradik. Kalau dapat duit lebih, benda itulah yang pertama sekali ayah nak beli. Bukan barang lain.

3. AYAH MAHU DEKAT DENGAN KITA

Ayah mungkin nampak kekok apabila berbual dengan kita. Tapi sebenarnya mereka mahu hadir dalam hati kita. Kalau boleh, mereka mahu menghentikan masa supaya mereka dapat sentiasa ada dengan anak-anak dan melihat semua seperti apa yang dilihat oleh mata ibu – langkah pertama kita, perkataan pertama kita, dan berkongsi detik gembira dengan kita.

4. AYAH DAH CUBA SEHABIS BAIK UNTUK KELUARGA

Kita mungkin tak perasan, ayah buat ‘overtime’ sebab mahu cukupkan belanja rumah atau beli barang yang kita asyik sebutkan. Walaupun mereka sibuk bekerja, percayalah dalam hati mereka kerja tersebut adalah diniatkan untuk mencukupkan keperluan keluarga, termasuklah kita.

Tapi sebagai manusia, ayah juga pernah tersalah langkah. Mungkin ia menyebabkan kita berdendam, terutamanya kalau ada janji mereka yang tidak ditepati. Entah kenapa, kita rasa ayah tak boleh buat silap. Sedangkan, mereka dah cuba sedaya-upaya, tapi segala ketentuan bukanlah di tangan mereka. Kalau kita sedih, apatah lagi mereka.

5. AYAH PENAT

Ayah penat. Kadang-kadang ayah sibuk ambil dan hantar anak ke sekolah sampai lupa makan tengahari. Ayah jamah saja apa yang sempat. Masalah ayah, kita tak jarang tanya. Sebab kalau tanya pun, mesti ayah kata tak ada. Lama-lama, kita pun lupa nak tanya lagi.

Bagaimana ayah dapat lakukan rutin ini setiap hari, itu rahsia dia. Dengan kudrat itulah ayah membesarkan kita hingga hari ini. Ya, hari ini. Walaupun kita dah kahwin dan berkeluarga, ayah masih tanya sama ada kita cukup makan pakai.

6. AYAH MAHU KITA JADI LEBIH BAIK BERBANDING DIRINYA

Bila dah dewasa dan bekerja, baru kita tahu tekanan itu datang dari mana. Tapi seingat kita, ayah selalu nampak tenang dan ayah tak pernah mengeluh. Ayah hebat.

Tapi, dia tak mahu kita jadi seperti mereka. Dia mahu kita jadi lebih baik berbanding dirinya.

7. AYAH MAHU KITA BOLEH HIDUP TANPANYA SUATU HARI NANTI

Apa yang ayah larang selama ini ada sebabnya yang tersendiri. Apa yang ayah suruh buat pun samalah juga. Pokok pangkalnya, dia mahu kita boleh berdikari. Mereka tahu kita perlu hidup tanpa mereka satu hari nanti.

Jadi, diharapkan ilmu dan didikan yang diberikan kepada kita dapat menjadikan kita berfikir. Mungkin kita tak faham pada waktu itu, tapi kita akan faham nanti. Apa yang kita nak kata, katalah. Ayah tak risau tanggapan kita walaupun ada masanya dia berkecil hati.

Sebenarnya, bukan dia tak peduli perasaan kita. Tapi ayah berpandangan jauh dan cuba menunaikan tanggungjawab mereka sebaik mungkin.

8. AYAH TAK MENYESAL KORBANKAN SEMUANYA UNTUK KITA

Apabila ayah semakin tua, ayah lega tengok anak-anak berjaya. Tapi sebenarnya, yang kurang menyerlah pun, ayah sayang juga. Tak ada lebih, tak ada kurang. Kita saja yang menuduh ayah yang bukan-bukan.

Apa pun, ayah tak jemu mendoakan kita setiap hari untuk menampung kekurangan mereka terhadap kita. Ayah tak pernah menyesal berkorban untuk kita walaupun ada masanya kita tidak menjadi seperti apa yang mereka harapkan.

9. AYAH SAYANGKAN KITA

Tiada kata yang dapat menerangkan bagaimana ayah menyayangi kita. Mereka tak pandai menyusun ayat, mereka tak pandai meyakinkan kita melalui kata-kata. Hanya Tuhan yang mampu menilai semua pengorbanan ayah terhadap kita.

ITULAH PENGORBANAN AYAH!

Kadang-kadang kita memang tak nampak semua perkara ini hinggalah kita dewasa.

Begitu banyak beban dan pengorbanan ayah tidak mungkin terucap dengan kata-kata kerana cintanya terhadap kita. Jadi, hargailah ayah kita walau apa pun sejarah kita dengan mereka. Ayah tidak pernah meminta masa yang lebih....tapi hanya sekelumit masa bersamanya dah cukup.

Ya Allah,
Berikan Syurga yang indah Buat Ayah.
Aamiin.

Mak di hospital!

Beberapa tahun lepas saya menurunkan Mak di depan hospital dan berjanji supaya Mak telefon bila dah semua urusan selesai, Mak menghadiri pemeriksaan biasa bulanan di Hospital, saya pulang ke rumah dan menunggu Mak telefon bila dah siap nanti.

Dalam perjalanan pulang ke rumah, saya tiba-tiba terkenang suatu ketika dulu ketika saya demam, Mak menggengam erat tangan saya berjalan dari rumah menunggu bas untuk ke hospital, sesekali saya di dukung kerana tak kuat berjalan, di atas bas saya baring di ribaan Mak sambil Mak mengusap kepala dan sesekali mengucup dahi saya, di hospital juga ketika menunggu rawatan saya sentiasa di dalam pelukan Mak, selesai rawatan, sekali lagi dalam perjalanan ke stesen bas saya didukung, sempat dibawa ke kedai dan Mak cakap 'adik nak beli apa apa ke' sampai di rumah saya dipujuk untuk makan ubat, dipujuk dan disuap makan kerana tak lalu makan akibat demam.

Habis saja kenangan itu berlalu difikiran saya segera terus berpatah balik ke hospital,' hujan lebat di dalam kereta' sampai di hospital terus saya mendapatkan Mak yang sedang termanggu keseorangan menunggu urusan rawatan, saya sembunyikan airmata saya yang ditahan supaya tidak mengalir di hadapan Mak, saya memegang tangan Mak membawa masuk bilik doktor, mendengar penjelasan doktor berkaitan tahap kesihatan Mak, mendengar nasihat doktor supaya memantau pemakanan Mak, saya memegang tangan Mak ke farmasi dan menunggu untuk mengambil ubat, selesai semuanya saya memegang tangan Mak menuju ke kereta, membuka pintu kereta untuk Mak dan saya tanya 'Mak ada nak beli apa apa ke',
YA ALLAH, ampunilah aku yang sedikit terlalai dari menyantuni pembuka pintu syurga untuk ku ini.

Saya sekarang di IJN Kuala Lumpur, menunggu untuk berjumpa doktor, rawatan susulan.
Saya menulis rasa hati ini bila melihat di sini ramai Mak Ayah yang keseorangan terkial-kial bertanya arah sambil menunjukkan kad mereka,
bayangkan disini ada blok A, blok B dan sangat luas, ada yang bertanya arah cafe untuk makan setelah semalaman berpuasa untuk mengambil darah, beratur ramai untuk mengambil dan membayar harga makanan dan sebagainya, saya juga melihat pasangan Mak Ayah lewat 70 an yang saling membantu berpimpin, berjalan perlahan mengatur langkah dan sesekali berhenti penat, mungkin mereka tidak mempunyai anak TETAPI sangat rugilah seandainya mereka mempunyai anak anak dan anak-anak mereka terlepas pandang ruang kasih sayang yang sepatutnya mereka penuhi ini.

Alhamdulillah, setakat ini saya gagah ke sana sini berjalan laju di hospital, namun seandainya saya berada ditahap Mak saya dan Mak Mak Ayah Ayah yang saya lihat di IJN ini, saya akan rasa selesa, bangga, terharu dan harapkan ada anak bersama saya sekurang kurangnya sebagai 'SEMANGAT'.

Anak anak sekelian, saya yakin apa yang saya rasa ini dirasai oleh Mak Ayah kita semua.
Hayati lah firman ALLAH ini untuk kebaikan bersama dunia dan akhirat-

وَقَضَى رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِنْدَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُلْ لَهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُلْ لَهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُلْ رَبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا .

Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah satu seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, 'Wahai Tuhanku, sayangilah keduanya sebagaimana mereka berdua telah menyayangi aku di waktu kecil'.
Al Isra' 23 & 24

Syed Mohamad Nazli Bin Syed Ahmad
Institut Jantung Negara IJN Kuala Lumpur
Related Posts with Thumbnails