Rakan SIMAAS anda!

PETIKAN HADIS

Posting Terbaru!

Posting Terbaru!

Monday, October 28, 2019

TUANKU, SYED, WAN, SHARIFAH..


SEKILAS SEJARAH MASUKNYA SEBAHAGIAN ALAWIYYIN DI TANAH MELAYU DAN KEPULAUAN BORNEO (Siri Akhir)

MASYARAKAT ARAB HADRAMI DI SARAWAK: TINJAUAN TERHADAP SEJARAH PERTAPAKAN AWAL

Wan Ariffin bin Wan Yon (Universiti Teknologi Mara Sarawak, Malaysia)
Wan Abdul Rahim bin Wan Ahmad (Universiti Teknologi Mara Sarawak, Malaysia)
Syed Mohd Rusydi bin Wan Yusup (ANSAB SARAWAK, Malaysia)

KATA KUNCI: Arab Hadrami, Sarawak, Pertapakan, Tuanku, Wan.

Abstrak. Pertapakan masyarakat Arab Hadrami yang bergelar Sayyid, dikenali dengan prediket Tuanku dan Wan di Sarawak telah bemula semenjak zaman Kesultanan Brunei Darussalam. Mereka dipercayai berasal dari Hadramaut, Yaman Selatan. Pertapakan masyarakat ini telah memberi kesan yang mendalam dalam aspek perkembangan sosial terutama dalam pengembangan dan pengukuhan agama Islam. Selain menjadi ketua agama di kalangan masyarakat Islam, mereka juga mengasas penempatan masyarakat Arab Hadrami di Sarawak. Kepimpinan mereka diakui sehingga ke hari ini. Tinjauan ini adalah melalui kajian perpustakaan, temubual dan bukti-bukti sejarah seperti makam, naskah silsilah dan manuskrip lama tinggalan keluarga mereka.

PENGENALAN

Sejarah kedatangan dan pertapakan masyarakat Arab Hadrami ke Alam Melayu seringkali dikaitkan dengan aktiviti penyebaran dan pengukuhan agama Islam kalangan masyarakat tempatan. Walaupun pelbagai teori dan andaian telah dikemukakan oleh beberapa orang sarjana tentang kedatangan agama Islam ke Nusantara sama ada dari Tanah Arab, India, China, ia tidak mampu meminggir peranan yang dimainkan masyarakat Arab, Hadrami khususnya terutama dalam aktiviti pendakwahan. Apatah lagi jika membicarakan persoalan kedatangan awal agama Islam itu sendiri di seluruh pelusuk dunia Islam. Pelbagai faktor boleh dikaitkan dengan keaktifan dan peranan yang dimainkan oleh masyarakat Arab ini sehingga sanggup mengembara meninggalkan tanah air mereka untuk menyebarkan ajaran Islam. Demikian juga jika membicarakan tentang persoalan pendekatan dan wasilah yang digunakan.

Bagi negeri Sarawak (dahulunya adalah di bawah naungan Kerajaan Brunei Darussalam), peranan masyarakat Arab dalam aktiviti penyebaran dan pengukuhan agama Islam dalam kalangan masyarakat tempatan begitu jelas sekali. Kesultanan Brunei juga dikatakan telah mula menerima Islam apabila Rajanya Awang Alak Betatar telah memeluk Islam pada kurun ke 15 Masihi. Dipercayai usaha pengislaman tersebut dilakukan para mubaligh Arab. Kerajaan awal seperti Sarawak, Kalaka, Saribas, Melanau dan Samarahan-Sadong  merupakan kerajaan bebas yang ditadbir oleh para Syarif berketurunan Arab Hadrami yang berketurunan dari masyarakat Arab Hadramaut, Yaman Selatan bernasabkan kepada Rasulullah salla Allahu ‘alaihi wa sallam dari cucundanya Sayyidina Hussein bin Ali karamallahu wajhah yang beraqidah Ahlussunnah wal Jamaah, bermazhab Syafie dan tasawufnya Imam Al-Ghazali .

LATARBELAKANG DAN SEJARAH MASYARAKAT ARAB HADRAMI DI SARAWAK

Penduduk negeri Sarawak menggunakan gelaran Tuanku, Wan, Sharif dan Syarifah, juga akhir-akhir ini berpridiket Sayyid, sebahagian besarnya adalah berketurunan Sayyid atau Syarif (Sherif ) yang bernasabkan kepada keturunan Nabi Muhammad salla Allahu ‘alaihi wa sallam. Kebanyakan golongan Sayyid dan Syarif yang menetap di Sarawak pada penghujung 1700 dan awal 1800 Masihi adalah pemimpin masyarakat daerah bebas terutama daerah Skrang (Mukah) hingga Saribas sebelum kedatangan Rajah Putih Sarawak yang pertama, James Brooke pada tahun 1939. Antara gelaran keluarga mereka adalah al Banahsan, al Bin Yahya, al Aydrus, al Syagran as Seggaf, al Baraqbah, al Qadri dan al Aidid yang maklumatnya terdapat di Maktab Ad-Daimi Rabitah Alawiyyah . Kedatangan golongan awal para Sayyid dan Syarif ini boleh dibuktikan dengan terdapat makam lama, antaranya Makam Syarif Syukran atau Syarif Abu Bakar Sakran bin Masyhur al Banahsan yang lebih dikenal juga dengan nama ‘Syarif Skrang” di Kampung Skrang, Igan di bahagian Mukah. Makam ini diperkira berusia 200 tahun. Selain itu, makam Tuanku Datuk Sayyid Yassin bin Alwi al Aydrus yang berusia 137 tahun di Kampung Matang Kuching, makam Syarif Hassan bin Alwi, Syarif Muhsin bin Alwi dan Tuanku Bagus di Sebuyau, makam di Pulau Burong, Simunjan, Saribas, Syarif Ahmad bin Jaafar di Sungai Padeh-Layar, Tuanku Muhammad bin Alfaqih di Kampung Sejingkat, Kuching dan di pelbagai tempat lagi di seluruh Sarawak.

Menurut beberapa tulisan , para Sayyid atau Syarif yang disebut oleh sebahagian mereka sebagai ‘Pembesar Arab’ ini mendapat sokongan penuh kaum lain di Sarawak terutama di daerah Skrang, Saribas dan Batang Lupar. Namun demikian, setelah kedatangan James Brooke, beberapa peraturan baru telah digubal, di mana peraturan-peraturan ini secara tidak lansung menghakis kuasa pemerintahan para Sayyid dan Syarif ini. Atas dasar mempertahankan aqidah Islam, mengekalkan kuasa dan hak tradisional masyarakat asal negeri Sarawak, maka telah berlaku beberapa penentangan awal sekitar tahun 1845-1860 yang dikenali dengan nama ‘Pakatan Melayu’ atau ‘Episod Mukah’ yang diketuai oleh Syarif Syahab (Sadong) dan Syarif Mullah (Skrang).

Gerakan ini disusuli oleh Syarif Jaafar dan anaknya Syarif Ahmad (Lingga) dan pada tahun 1855-1860, kemudian penentangan nasionalis terkenal Syarif Masahor atau nama sebenarnya Sayyid Abu Bakar Masyhor bin Abu Bakar Sakran Al-Banahsan (Sarikei), Syarif Maulana (Kalaka), Syarif Abu Bakar dan anak-anaknya Syarif Long dan Syarif Amal (Saribas) serta beberapa lagi Sayyid atau Syarif yang termaktub di dalam sejarah. Kemarahan yang membuak pemerintah James Brooke terhadap masyarakat setempat yang diketuai Sayyid atau Syarif ini menyebabkan serangan habis-habisan dilakukan oleh Brooke dengan memohon bantuan dari England. Tidak sekadar itu, James Brooke memaksa kerajaan Brunei untuk menangkap Sayyid dan Syarif serta sekutunya . Selain dikenali dengan gelaran Syarif, mereka juga menggunakan gelaran ‘Tuanku’  (untuk lelaki dewasa dan lebih berusia), ‘Wan’  (diambil dari kebiasaan sebutan masyarakat Arab-Indonesia, untuk remaja dan kanak-kanak lelaki), serta ‘Syarifah’ (untuk perempuan) yang yang kekal panggilannya sehingga sekarang. Berdasarkan penulisan barat pula, gelar Sayyid ini telah bertukar kepada ‘Syed’ mengikut kesesuaian sebutan orang-orang barat selain gelaran ‘Pengiran Sherip’ (Thomas Stamford Raffles)’, ‘Habib’ (Snouck Hagronje), dan lain-lain lagi .

FAKTOR PENGHIJRAHAN KE SARAWAK

Berlaku perbezaan pendapat tentang masa yang tepat berlakunya penghijrahan masyarakat Arab Hadrami ke Sarawak. Sebahagian berpendapat ia sudah berlaku sekitar kurun ke 15 sewaktu Islamnya sultan Awang Alak Betatar. Pendapat lain mengatakan penghijrahan berlaku pada pertengahan kurun ke 17. Ini dibuktikan dengan wujudnya masyarakat Arab Hadrami yang dikenali dengan gelaran Syarif ketika itu sudah begitu ramai dan hampir keseluruhan negeri kerajaan bebas diketuai oleh mereka. Antaranya Syarif Syukran di Igan, Syarif Sahab di Sadong, Syarif Mullah di Skrang (Sri Aman), Syarif Jaafar di Lingga, Syarif Ahmad yang makamnya di Padeh-Layar (Betong), Syarif Abu Bakar di Talang-Talang (Lundu), Syarif Ahmad dan Syarif Long dari Siru ke Saribas, Syarif Maulana di Kalaka, Syarif bersaudara berasal dari kerajaan Ambawang di Kalimantan (Syarif Hassan di Sebuyau, Syarif Muhsin di Sibu, manakala Syarif Yassin di Matang, Kuching), Syarif Zainal Abidin di Pulau Burong, Sebuyau.

Faktor agama disifatkan sebagai faktor yang paling penting dalam memperkatakan sebab-sebab penghijrahan masyarakat Arab Hadrami di Sarawak. Walaupun terdapat faktor-faktor lain yang dikaitkan dengan penghijrahan tersebut, namun ia merupakan wasilah atau saluran untuk memenuhi faktor agama tersebut . Pengislaman yang pesat berlaku di Brunei menyebabkan Sarawak dianggap tanah yang subur untuk dakwah. Kebanyakan golongan Arab Hadrami yang berhijrah ke Sarawak bukanlah generasi pertama yang keluar lansung dari Tanah Arab atau Hadramaut di Yaman. Mereka merupakan golongan Arab Hadrami yang berpindah dari Terengganu di pantai timur Semenanjung Malaysia, Kalimantan Indonesia, Kepulauan Sulu di Filipina dan ada juga berasal dari Singapura. Sebagai contoh, Tuanku Syarif Abu Bakar Sakran atau Syarif Syukran yang makamnya di Igan, Mukah adalah dari Terengganu. Datuk beliau bernama Habib Hassan bin Muhammad al Banahsan telah berhijrah ke Terengganu dari Kota Tarim, Hadramaut .

Tanggungjawab terhadap agama juga berkait rapat kerana gerakan Kristianisasi yang semakin menular di Sarawak sewaktu penjajahan Brooke. Rasa tanggungjawab dalam menjaga aqidah dan memperkukuhkan lagi ajaran Islam dalam kalangan masyarakat tempatan juga telah menggerakkan semangat untuk mempergiatkan lagi aktiviti pendakwahan. Apatah lagi kebanyakan masyarakat Islam pada ketika itu masih belum kukuh dari sudut ajaran agama kerana begitu luasnya tanah Sarawak yang dinaungi Brunei.

KAWASAN PERTAPAKAN MASYARAKAT ARAB HADRAMI DI SARAWAK

Pada peringkat permulaan, pertapakan masyarakat Arab Hadrami di Sarawak bersifat penempatan yang sementara. Setelah melalui proses sosial bersama dengan masyarakat tempatan, maka di peringkat kedua, masyarakat ini telah membuka kawasan-kawasan penempatan tetap yang diwarisi sehingga kini. Di peringkat awal, tokoh yang terlibat dalam proses pembukaan penempatan sementara ialah Tuanku Syarif Syukran atau Syarif Abu Bakar Sakran (Terengganu) bin Masyhor al-Banahsan di Igan, Mukah. Selain itu Tuanku Syarif Hassan bin Alwi (Sultan Ambawang, Kalimantan) al Aydrus di Sebuyau, Kota Samarahan, dan saudaranya Syarif Mukhsin bin Alwi Al-Aydrus di Sibu, Sarawak. Tuanku Zainal Abidin Al-Bin Yahya (Terengganu) di Pulau Burung Sebuyau. Tuanku Muhammad bin Alfaqih (Terengganu) al-Banahsan di Sejingkat, Kuching Sarawak. Mereka datang bersama keluarga masing-masing. Dalam peringkat kedua pula anak-anak keturunan tokoh-tokoh tadi telah memainkan peranan penting bagi mewujudkan penempatan tetap di kawasan sekitarnya.

Penempatan awal bagi keluarga Tuanku Syarif Syukran ialah di kawasan persisiran sungai Rejang, tepatnya di Igan, Mukah. Penempatan ini dibuka pada pertengahan atau penghujung kurun ke 17. Kawasan ini merupakan pertempatan kaum Melanau. Tuanku Syarif Syukran al Banahsan ini merupakan ayah kepada Syarif Masahor , nasionalis terkenal di Sarawak yang menentang penjajahan Brooke (1839) yang dibuang negeri ke Singapura dan Syarif Adurrahman Soleh yang lebih dikenali sebagai Tuanku Bagus yang menjadi Ahli Majlis (Council Member) di Sebuyau menggantikan Syarif Hassan bin Alwi al Aydrus. Antara keturunan beliau yang dikenali masyarakat adalah Tuanku Haji Fauzi bin Osman al Banahsan, Imam Masjid Negeri Sarawak (1968-1980) yang menetap di Kampung Lintang, Kuching. Tuanku Fauzi terkenal sebagai pentarbiah agama Islam yang bergiat mengajar agama di surau dan rumahnya sendiri dan beliau juga mengajar ke persisiran secara tetap untuk tujuan itu .

Tuanku Syarif Hassan, Syarif Muhsin dan Syarif Yassin bin Alwi al Aydrus adalah anak-anak kepada Sultan Syarif Alwi bin Sultan Idrus (Maula Kubu) bin Abdurrahman al Aydrus. Sultan Alwi merupakan sultan kerajaan Ambawang di Kalimantan dan tidak disenangi oleh Belanda. Kerana selalu mendapat ancaman dari Belanda di Kalimantan, Syarif Alwi memindahkan anak-anak beliau ke Sarawak untuk mendapat pelindungan Brooke, sehinggakan mereka diberi jawatan-jawatan penting. Antaranya sebagai Ahli Majlis (Council Members) di Sebuyau, Kota Samarahan, Bahagian Sibu dan Matang di Bahagian Kuching pada sekitar pertengahan 1800. Antara keturunan mereka yang terkenal adalah Tun Tuanku Haji Bujang (Abdullah) bin Tuanku Osman al Aydrus yang merupakan Yang Di-Pertua Negeri Sarawak ke-2 (1969-1977). Selain itu adalah ulama’ Tuanku Sayyid Manshor bin Abu Bakar al Aydrus, penulis kitab ‘Hidayah lil Walad al Walad’ . Kitab ini juga mendapat perhatian seorang pengkaji ulama nusantara, Allahyarham Haji Wan Mohamad Saghir Abdullah. Beliau menulis

"Disebut dalam buku Tokoh-Tokoh Agama di Brunei Darussalam: Pengenalan Ringkas bahawa Imam Haji Mokti Brunei selain mengajar dan berdakwah di Kampung Burung Pingai juga berdakwah di kampung-kampung pedalaman seperti Kampung Pudak, Pulau Berbunut dan Labu Estate di Daerah Temburong. Beliau juga mengajar dan berdakwah hingga ke Padas di Sabah.

Dalam buku yang sama juga disebutkan bahawa Imam Haji Mokti Brunei pernah merantau ke Marudi dan Baram di Sarawak dan Sambas, Kalimantan Barat. Apabila disebutkan Baram, saya teringat barangkali di sana pernah ada beberapa orang ulama kerana pada zaman yang sama dengan Imam Haji Mokti Brunei pernah ditulis sebuah kitab berjudul Hidayah li al-Walad. Pengarangnya bernama Saiyid Manshur bin Saiyid Abu Bakar al-Aidrus. Beliau menyebut bahawa kitab tersebut diselesaikan pada 15 Rabiulawal, hari Sabtu, 1343 H di negeri Baram.

Selain itu, Tuanku Annuar bin Hashim al Aydrus pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Fatwa Negeri Sarawak. Tuanku Osman bin Zin al Aydrus yang belajar di Mekah selama 7 tahun semasa Syeikh Osman Abdul Wahab menuntut dan mengajar di Tanah Suci  serta anak-anaknya, Tuanku Abdurrahman adalah Ahli Majlis Fatwa, pendakwah dan tokoh agama islam yang masyhur di Bahagian Miri, Sarawak, Tuanku Madhi pula adalah Ahli Majlis Islam Sarawak dan Tuanku Saadi al Aydrus adalah Imam Masjid Bahagian Kuching, Majistret Majlis Islam & Adat Istiadat Melayu dan Ahli Majlis Fatwa, adalah tokoh-tokoh dalam agama Islam di Sarawak. Mereka adalah keturunan lansung dari Syarif Muhsin bin Alwi al Aydrus dan sehingga kini anak-cucunya tinggal dan menetap di Sibu, Sarawak.

Tuanku Zainal Abidin al Bin Yahya yang datang dari Terengganu sekitar pertengahan tahun 1800 masuk ke Pulau Burong di Sebuyau, Kota Samarahan. Keturunan beliau sangat terkenal di Sebuyau antaranya Tuanku Cabik (Sayyid Ahmad) dan Tuanku Masam (Sayyid Hassan) al Bin Yahya yang makamnya di Sejingkat, Kuching. Selain itu ada juga keturunan beliau bernama Tuanku Jaafar yang lari ke Stoh di Lundu semasa perang Jepun. Keluarga ini telah tersebar begitu meluas di sekitar Sarawak. Diantara keturunan beliau yang dihormati oleh masyarakat adalah Yang Berhormat Dato’ Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar al Bin Yahya, Menteri Alam Sekitar dan Sumber Asli Malaysia sekarang.

PENUTUP

Apabila berlakunya penghijrahan masyarakat Arab Hadrami ke Nusantara, Sarawak juga tidak terkecuali menjadi destinasi penghijrahan mereka. Ini dibuktikan dengan wujudnya pertapakan awal di Igan, Sebuyau, Sibu dan Sejingkat yang akhirnya menjadi penempatan keluarga mereka sehingga kini. Kawasan yang disebut di atas merupakan beberapa contoh dari sekian banyak tempat yang menjadi destinasi penghijrahan mereka. Selain tokoh atau keluarga yang disebut di atas, ada lebih ramai lagi masyarakat Arab Hadrami antaranya keluarga al Baraqbah di Sri Aman dan Baram, keluarga al Aidid di Marudi, keluarga as Seggaf di Spaoh dan Matang, al Bin Yahya di Stoh dan Rambungan yang berhijrah dan tinggal bersama-sama dengan masyarakat tempatan. Tinjauan ringkas berkenaan Masyarakat Arab Hadrami di Sarawak ini diharap dapat membuka ruang kajian yang lebih mendalam dalam pelbagai aspek bagi menambah penulisan dan bahan rujukan berkenaan perkembangan Islam di Sarawak.

Rujukan

Buku

Abang Mohd. Atei Medaan. (2006). Datuk Haji Abdul Kadir Hassan, 40 Kemusykilan Agama Siri Ke Dua. Sarawak: Jabatan Agama Islam Sarawak.

Habib Abdurrahman bin Muhammad al Masyhur. (t.t). Kitab Syamsuz Dzahirah.

H. Abdul Malik Karim Amrullah HAMKA. (1974). Panji Masyarakat.

H.M.H Al Hamid Al Husaini. (1998). Keagungan Rasulullah SAW dan Keutamaan Ahlulbait. Bandung: Pustaka Hidayah.

Sabine Baring-Gould, C.A Bampfylde. (1909). A History Of Sarawak Under Its Two White Rajahs 1839-1908. London: Henry Sothen & Co

Sanib Said. (1991). Yang Dikehendaki: Biografi Yang Di-pertua Negri Sarawak Tun Ahmad Zaidi Adruce Mohd. Noor. Kuching: Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Sarawak

__________. (2012). Sejarah Awal Kepulauan Melayu: Lima Buah Negeri Warisan Sarawak Yang Hilang. Jurnal CREAM-Current Research in Malaysia, Vol.1, No.1

Sulaiman, Haji Mohd. Hasbie (1989). Perjuangan Anti-Cession Sarawak. Kuching: Persatuan Kebangsaaan Melayu Sarawak.
Thomas Stamford Raffles. (2010). History of Java. London: Cambridge University Press.
W. Ariffin Y. & S. Anom O. (2006). Islam dan Pengaruhnya di Brunei Darussalam. dalam Perkembangan Islam di Nusantara. Shah Alam: UPENA UiTM

Wan Mohamad Saghir Abdullah. (27 Februari 2006), Bicara Agama Utusan Malaysia.

Temubual

Allahyarham Wan Hamid bin Tuanku Alwi al Banahsan (2008)

Allahyarhamah Sharifah Jamilah binti Tuanku Haji Ramli al Banahsan (2008)

Sharifah Alawiyyah al Aydrus (2015)

Tuanku Zawawi bin Junaidi al Aydrus. (2014)

Ustaz Syed Mohd Fadhil Syed Omar al Aydrus (Persatuan Asyraaf Terengganu) (2009)

Wan Jamaludin bin Wan Elias (Pengerusi Persatuan Kebajikan Asyraaf  Sarawak) (2015)

YB Dato’ Sri Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar al Bin Yahya (2014)

(*Alhamdulillah, setelah lebih dari 1 tahun setengah, alfaqier akhirnya dapat menghabiskan penulisan siri-siri SEKILAS SEJARAH MASUKNYA SEBAHAGIAN ALAWIYYIN DI TANAH MELAYU DAN KEPULAUAN BORNEO. Untuk posting yang terakhir ini, al-faqier hanya berkongsi Kertas Kerja yang telah dibentangkan bersama al amm al Muhtaram, Ustaz Wan Ariffin bin Wan Yon Banahsan (UiTM), dan al akh Dr. Wan Abdul Rahim Wan Ahmad di Konferensi Islam Antarabangsa Borneo (KAIB) kali ke-VIII 2015, tanggal 2-3 September 2015, di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Negara Brunei Darussalam.

Sebarang kesilapan fakta dan sebagainya, mohon dikoreksi untuk manfaat bersama. Wallahua'lam)

2 comments:

pak sudaryono said...

anda punya masalah
Asmara/cinta
Uang gaib
Santet & pelet
Togel
Penglaris usaha
Saingan
Mandul & penyakit
Keuangan
KONSULTASI SEKARANG JUGA ��
�� Ustadz Abdul Nandar
��Whtasapp : 0853-3733-4757

Anonymous said...

Minta maaf. Kitak sepatutnya jumpa sendiri cucu TUANKU HASSAN di Sebuyau. Sh Andak dan Wan udin. 2 orang tuk penerus takhta Tuanku Hassan orang yang Asas tanah sebuyau. 2 orang tuk adalah turus dari ibni Almarhum Tuanku Hassan ibni Almarhum Tuanku Adat ibni Almarhum Tuanku Hassan Ibni Almarhum Tuanku Alwi.Jangan ktk main tulis jak tanpa bertanya cucu orang ngempun Tanah Tuanku Hassan yang telah digezet oleh kerajaan British yang sah hak milik Tuanku Hassan. SEBUYAU nama baru yang dibuat oleh kerajaan sarawak yang baru ditubuh brpa puluh tahun tuk ajak bagi menutup nama Tuanku Hassan.Kuasa Allah mun dh hak milik kaum kerabat tetap sik dapat ditutup.semua orang sampe cucit orang luar tauk sebuyau ya diasas Tuanku Hassan dan saudara serta pengikutnya waktu itu. Sampai ke Brunei pun tauk.Brunei mesti tauk sebab sidaknya yang merampas takhta Tuanku Hassan.1 pertanyaan dari saya sini tempat kubur Gabenor pertama yang di lantik oleh brooke. Hanya keluarga Tuanku Hassan jk yang tauk kubur ya dimana.

Related Posts with Thumbnails