Rakan SIMAAS anda!

PETIKAN HADIS

Posting Terbaru!

Posting Terbaru!

Tuesday, November 26, 2019

Misteri Helicopter Hilang di Bario..






MISTERI KEHILANGAN HELIKOPTER DI BARIO PADA TAHUN  2004.

Peristiwa kehilangan sebuah helikopter di Bario, Sarawak pada Julai tahun ini tiba-tiba menjadi satu misteri yang menggemparkan banyak pihak. Setelah hampir 20 hari pencarian dilakukan oleh hampir 2000 tenaga manusia dan alat teknologi tercanggih, akhirnya helicopter itu ditemui juga dengan bantuan orang-orang yang dekat dengan Allah, yang berusaha takut dan cinta Allah dengan sebenar-benarnya. Parlimen Malaysia sudah hampir mahu memberhentikan operasi pencarian, sejurus sebelum helikopter itu ditemui.
Kaedah bomoh biasa juga gagal dalam menghadapi kes ini. Berbagai jenis bomoh dari berbagai agama mencuba berbagai alatan perbomohan bersama jampi serapahnya tetapi sia-sia. Apa sebenarnya berlaku?

– Helikopter Bell 206 Long Ranger kepunyaan Hornbill Skyways membawa seorang Menteri Sarawak, Dr Judson Sakai Tagai, bersama-sama lima orang yang lain dan dikemudi oleh juruterbang Kapten Shamsudin Hashim, yang satu-satunya Muslim, bertolak pada tanggal 12 Julai 2004, Selasa 12.15pm.Perjalanan melintasi Bario bertujuan meninjau lokasi sesuai untuk pembinaan projek empangan hidro-elektrik baru di Sarawak.

-Baru 3 minit berleps, helikopter itu terputus hubungan dengan menara kawalan dan terus hilang. Perjalanan sepatutnya mengambil 20 minit ke destinasinya iaitu Ba’kelalan.

-Yang menjadi pertanyaan, mengapa helikopter tidak sempat menghubungi menara kawalan atas kerosakannya padahal baru sahaja berlepas 3 minit.

– Isyarat kawalan automatikjuga tidak berfungsi menunjukkan lokasi terhempasnya.

Operasi mencari dimulakan seawal 2 petang. Persekitaran di mana logiknya helikopter itu jatuh dan sekitarnya sudah digelidah 25 pesawat dan 2000 orang pencari terdiri dari PDRM, TUDM, RAMD, TNI-AD, dan bermacam-macam lagi pasukan, termasuk penduduk kawasan sekitar di situ termasuk penduduk negara jiran Indonesia.

– Termasuk sebuah helikopter dari Australia yang lengkap dengan sistem pengesan haba infra-red yang mampu mengesan perubahan suhu, merakam gerakan visual dan mengesan kewujudan jarak di dalam hutan, misi dibantu 2 pakar warga OZ.

– Helikopter de Orient dari USA yang mampu mengesan sehingga syiling sebesar 10 sen tidak mampu mengesan helikopter itu, tetapi satu jentolak/jentera pengangkut balak yang buruk dan berkarat dapat dikesannya

– Pakar teknologi satelit dan pemetaan berbangsa Afrika dari badan Perhutanan Serawak

– Pesawat bantuan juga datang dari Singapura, Brunei dan Korea Selatan

– Maklumat sebenar tentang apa yang terjadi kepada heli itu telahpun didapati oleh penaung Skylab [ Ustaz Ashaari Muhammad ]seelok sahaja helikopter itu hilang secara alam kerohaniannya* Skylab adalah satu persatuan gabungan doktor-doktor kerohanian dan doktor-doktor fizikal termasuk doktor specialist dari bidang medical dan dentisry yang bekerja dengan kerajaan, universiti, tentera dan private practise*

– Setelah hari kelapan barulah Skylab campurtangan dalam kes ini kerana pada peringkat awalnya pihak kerajaan menolak pertolongan penaung Skylab dan anak buahnya.

– Pihak kerajaan terbahagi dua dalam menerima kehadiran Skylab, tetapi pihak Ketua Menteri Sarawak menerima permohonan Skylab untuk membantu apabila Ketua Menteri mendapat maklumat dari bomoh bahawa heli itu hilang kerana ditutup oleh jin dengan berlapis-lapis tutupan yang sangat tebal. Dan mereka berkata hanya orang yang bersembahyang sahaja yang mampu membuka tutupan itu.

Sebelum dua orang doktor kerohanian Skylab menyertai operasi, mereka bermesyuarat bersama-sama anggota Skylab lain dengan guru mereka Ustaz Ashaari di Labuan. Seperti yang diduga mereka dapat melihat dengan jelas seorang wakil jin yang menyerupai manusia bernama Al dihantar oleh pembesar jin bernama Zar. Tujuh pengiring Al menunggu di luar dan tidak masuk ke bilik mesyuarat.Tidak semua member Skylabmampu melihatnya, mereka ini hanya merasa kehadiran makhluk Allah ini dengan hati.

Jin bernama Al yang mewakili pembesar Zar ini meminta manusia membayar segala kerosakan yang ditanggung oleh penduduk jin akibat pencerobohan helikopter itu ke daerah mereka, merosakkan rumah-rumah mereka, membunuh seramai 37 bangsa jin, lagipula tujuan asal manusia itu bertujuan meninjau kawasan pembuatan empangan hidro-elektrik baru yang akan memusnahkan bandar dan perkampungan jin di Bario. Syaratnya adalah menebus dosa manusia ini dengan mengeluarkan sedikit wang, lalu menyembelih seekor kambing dan dijamukan kepada para fakir miskin yang tinggal di rumah atas air di Labuan. Jikalau manusia sanggup melakukannya, barulah perundingan melepaskan barang tawanan dimulakan.

Makhluk jin yang marah itu yang saiznya boleh membesar sebesar gunung telah mencekup helikopter tersebut dan dibawa ke alam mereka, lalu menutupnya dari pandangan mata kasar manusia.

Lalu Skylab mengeluarkan RM 400.00 untuk mengadakan jamuan kepada jemaah masjid atas air di Labuan, sebelum menyertai pasukan operasi mencari.

1..Pada 23 Julai 2004 [Jumaat] selepas 11 hari helikopter hilang, Tabib Abdul Rahim Manaf dan Tabib Hassan Mohd Zain yang berupaya melihat makhluk jin dan bercakap-cakap dengan makhluk Allah ini, memulakan operasi pencarian yang pertama bersama-sama pilot Capt George (bangsa Iban) dan seorang jurubahasa bernama Afendi. Kawasan yang diilhamkan adalah Pa’Longan, satu kawasan yang tidak diminati kerana terkeluar dari laluan asal dan bearing heli tersebut. Kedua orang tabib itu dapat melihat adanya heli itu dengan jelas di sana – di alam ghaib, cuma di alam lahir lokasi sebenarnya tidak diketahui dan ianya tertutup dari pandangan manusia biasa.

2. Pada 24 Julai 2004 [Sabtu] jam 11.00 pagi, operasi kedua dimulakan. Pada 11.45 pagi mereka ternampak sebatang pokok yang putus ,tinggal kayu balaknya sahaja menegak , mungkin kesan helikopter jatuh. Semasa operasi ini, Tabib Hassan terus-menerus berhubung secara ghaib dengan Al siJin Islam. Masyarakat jin di situ mempunyai 3 raja adik beradik iaitu Kalamngan, Kalamung dan Kalapung. Hanya seorang raja yang boleh diajak berunding dengan baik, yang dua lagi susah diajak berunding. Seorang ini yang akhirnya memeluk Islam..hasil perhubungan dan perbincangannya dengan manusia ini. Perundingan dengan jin mengambil masa yang lama..bukankah dikatakan sebaik-baik jin itu sejahat-jahat manusia. Sepanjang operasi pertama itu, Tabib Hassan merayu ” Bukankah kami sudah sembelih kambing seperti yang disyaratkan, tolonglah beri petunjuk di mana helikopter itu boleh ditemui”

Jawab Jin ” Yalah..kami akan tunjukkan lah ni..!!” Selepas menentukan lokasi pokok patah itu dan diambil gambarnya, mereka balik untuk solat Zuhur.

3. Pada 24 Julai 2004 [Sabtu] petang, operasi ketiga – dengan panduan sistem GPS – Global Positioning System, mereka menuju ke kawasan pokok patah tadi. Aneh sekali, kerana kali ini dua batang pokok pula yang patah. Mengiringi heli mereka adalah dua lagi heli lain, tetapi penumpang heli utama melihat 2 lagi heli itu terlalu kecil, sebesar hujung pena. Seolah-olah mereka sedang berada jauh di alam lain iaitu alam jin. Sesudah itu mereka pulang kerana helikopter belum dibuka tutupnya oleh Jin.

Setelah petunjuk pertama ditemui, seorang ketua kaum Penan – kaum pribumi Sarawak- telah bergerak ikut darat dengan tujuan mencari heli, bila sampai ke kawasan itu dia telah mencantas dahan dan dihalakan ke udara, metode secara perbomohan untuk ditunjukkan hala sebenar bau mayat. Tiba-tiba ribut kuat memukulnya sehingga dia terhempas ke pokok dan patah gigi.Heli penyelamat terpaksa dipanggil untuk Menyelamatkannya.

Sebuah helikopter Nuri TUDM, telah menurunkan seorang tentera dengan tali pada pagi Ahad 25 Julai..Heli telah bergegar kuat dan tali itu berpusing-pusing sampai tentera itu terhempas ke pokok juga. Dia terpaksa naik semula sebelum sempat memijak tanah.
Sekembalinya dari operasi ketiga, Tabib Hassan mengucapkan terimakasih kepada Raja Jin 3 beradik diperantarai Al. Tabib Hassan berkata ” Tolonglah bukakan heli itu pula untuk kami dapat lihat” Jawab Al ” Yalah..kami akan bukalah!!” ..Inilah perangai jin, kerja sehari jadi 3 hari!

4. Pada 25 Julai 2004 [Ahad] pagi, di kawasan tersebut ada perkembangan terbaru, di antara dua pokok patah itu, terdapat seolah- olah satu ruang terjerumusnya helikopter. Tetapi helikopter masih tidak kelihatan. Tabib Hassan mengeluh..” Jin,jin mengapa lambat sangat nak buka ni?.”
Aneh pula, Afendi si jurubahasa kelihatan sangat terganggu perasaannya, berkeras mahu dihantar pulang ke kampungnya di Miri. Terpaksalah demi menjaga hatinya, mereka semua terus berlepas ke Miri, padahal sudah sangat hampirnya dengan penemuan heli itu. Operasi diteruskan juga oleh beberapa yang lain seperti yang diceritakan tadi, tetapi aneh habis semua terpelanting dikerjakan oleh jin-jin di situ.

Sampai sahaja di Miri, para tabib itu mendapat arahan dari ustaz Ashaari guru mereka, supaya bertukar orang, kerana pasukan yang ada tidak cukup ampuh. Afendi diganti dengan Ustaz Ahmad Zahari iaitu Pengarah Rufaqa’ Sarawak. Di sinilah percaturan Tuhan, di Bario perhubungan telefon memang terputus, balik ke Miri ada tujuan yang telah diatur oleh Tuhan. Pada mulanya Ustaz Ahmad Zahari tidak dibenarkan naik ke heli menolong usaha mencari oleh Tan Sri George Chan. Semasa sedang bermenung dan berselawat dan berzikir itu, dia dan Tabib Hassan melihat pihak tentera membawa 2 ekor anjing pengesan yang terlatih menaiki helikopter di pengkalan untuk menghidu mangsa di tempat pokok patah itu..
” Kami melihat 2 ekor anjing itu bila dibawa ke heli, mereka seperi sangat ketakutan dan berlari ke belakang. Setelah dikejar dan dipaksa naik juga hingga beberapa kali, tetap anjing-anjing itu memprotes. Sehingga akhirnya heli itu pergi tanpa anjing. Pada masa yang sama riuh-rendah kedengaran ayam berkokok seolah-olah melihat sesuatu”.

5. Pada 27 Julai 2004 [Selasa], Tabib Hassan, Ustaz Ahmad Zahari dan pilot Cpt Thomas..meredah lagi hutan meneruskan pencarian di lokasi. Ustaz Ahmad Zahari dengan penuh tawakkal kepada Allah, merenjis air bacaan doa Ustaz Ashaari ke atas bumi Bario. Diiringi doa anggota Skylab dan doa ahli Rufaqa’ Sarawak serta guru mereka, pada jam 5.00 petang heli itu dapat dilihat oleh Cpt thomas ditempatnya. Jin sudah membukanya..tetapi SEBENTAR sahaja, waktu itu sahaja. Semasa heli itu kelihatan hari sudah hampir malam, walaupun baru jam 5.00 petang di Bario, jadi apa sahaja usaha menghampiri heli terpaksa ditangguhkan keesokan harinya, lagipula cuaca yang sejuk, berangin serta keadaan tanah cerun menyukarkan penyediaan landing point dsb.

6. Pada 28 Julai 2004[Rabu], hujan turun renyai-renyai. Ramai manusia yang berbondong-bondong keluar ke tempat lokasi untuk mencari heli itu. Pada petangnya, dua orang polis udara AS Ehsan dan DSP Lukman terus mencari Tabib Hassan ” Tolong kami ustaz, saya seram ni..Gunung Murut sudah hilang!!”
Rupa-rupanya sepanjang hari mencari mereka tidak melihat heli itu, yang dijumpai satu pokok manggis besar di tempat terjerumusnya heli itu, buah2nya pula masak dan besar. Bila heli buat u-turn untuk mendekati pokok manggis itu, pokok manggis itu ghaib pula..bila mereka pandang ke arah Gunung Murut, gunung itu turut hilang..terus ASP Ehsan mengarah pilot memecut heli mencari si Tabib. Tabib memberitahu ASP Ehsan ” Nampaknya jin itu telah menutup heli itu semula! Kalau begitu marilah kita bersolat, baca Fatihah 4x,AyatQursi dan selawat pada RSAW.

Akhbar-akhbar tanggal 30 Julai 2004 Jumaat, melaporkan pada sepanjang malam itu [Rabu 28 Julai, malam Khamis] 2 komando diturunkan dan tidur bersama mayat, ada yang mengatakan pasukanBomba – pemadam kebakaran – yang menjumpai heli itu.Ada yang mengatakan ekor heli sahaja dijumpai padahal di lokasi ekor dan badan heli ada bersama-sama..Macam-macam khabar yang tidak sinonim disebarkan dengan apa yang sebenarnya terjadi.

Hakikatnya, sukar untuk menurunkan komando dalam cuaca yang gelap dan sejuk begitu, tanah di situ pula agak curam dan bercerun, tiada tanah rata, agak sukar membuat operasi menyelamat, apa lagi heli itu ghaib semula waktu itu!! Padahal, sepanjang malam itu ASP Ehsan tekun berdoa bersama tabib-tabib semalaman agar dimudahkan segala usaha.

7. Pada 29 Julai 2004 Khamis, ASP Ehsan dan orang-orangnya lah yang berjaya menemui heli malang itu dan mengangkat tujuh mayat yang berada di situ ( tiada komando yang bermalam bersama mayat sebelum itu seperti yang dilaporkan akhbar-akhbar utama di Semenanjung ) Operasi itu dilakukan waktu siang terang -benderang. Landing point helikopter dibuat agak jauh dari tempat heli malang ditemui kerana tanahnya yang curam. Seorang anak buah ASP Ehsan, anggota penyelamat,membaca kata -kata ini di dinding helikopter yang ditemui ” Mengapa lambat selamatkan kami?”.. Bayangkan cuaca di Bario itu mencecah 10 darjah Celcius, tanpa bekal sedikitpun makanan, jatuh di kawasan hutan yang sangat tebal dan bercuram. Heli itu langsung tidak terbakar, hanya ekornya yang patah. Jika terhempas di gunung dalam keadaan petrolnya penuh mesti ia terbakar.

Pintu heli terbuka lebar dan dua orang ditemui di luar helikopter, termasuk mayat Allayarham Kapten Shamsudin. Sementara mayat-mayat lain sukar dikenali akibat reput dan mengalami dekomposisi yang teruk, mayat Kapten Shamsudin mudah dikenali, walaupun reput, bau kapur barus cukup kuat pada mayat itu. Ada sejadah lapik solat yang tidak reput di sebelahnya, di keliling mayatnya sampah-sarap dan kayu- kayan disapu bersih.

Bila dirujuk pada Ustaz Ashaari dia menjawab ” Itulah petanda kehadiran jin-jin Islam” Kapten Haris menceritakan heli itu terletak elok, hanya ekor dan kipasnya yang patah, pokok-pokok disekitarnya pun masih dalam keadaan asal. Seolah-olah heli itu diletakkan di situ..dan jin-jin yang bekerja mencantas dua pokok secara berperingkat hingga tinggal batangnya sahaja untuk menggambarkan seolah-olah heli itu terhempas di situ.

Ahbar berbahasa Cina dan Inggeris – Miri Daily News di Sarawak menemubual mengambil gambar individu-individu yang menolong dalam operasi mencari heli hilang itu dan melaporkan kejadian yang sebenar.

Akhbar -akhbar di Indonesia hanya melaporkan heli itu ditemui dengan pertolongan bomoh/dukun/pawang. Tiada langsung berita mengenai Skylab pada akhbar utama di Semenanjung.

Sistem rohani dan ghaib itu jauh lebih hebat dari sistem akal. Alam ghaib memang wujud..Alam perwalian, alam Roh, cuma kita yang terlalu sekular ini sangat terpengaruh dengan fahaman Barat. Mana-mana yang berlainan sedikit dari logik mudah sahaja dituduh sesat, menyesatkan, bid’ah dsb – pendespatch e-mail]

Bila ditanya kepada Ustaz Ashaari oleh Skylab.. ” Apakah Ustaz didampingi jin?” Beliau menjawab ” Mendidik manusia cukup susah bahkan sering gagal, hebatnya saya kalau mampu menundukkan jin…Sejahat-jahat manusia itu sama dengan sebaik-baik Jin Islam.”
Dan akhirnya..salah seorang Raja jin yang masuk Islam itu adalah yang bernama Kalamung. Dia hatinya agak lunak dan mudah diajak berunding.
Namanya ditukar ke Abdul Jabir, nama yang dipilih dan diberi oleh manusia yang telah berhubung dengannya melalui alam yang tidak terjangkau akal. Mana mustahil, kaum Jin suatu hari nanti akan turut sama membantu manusia sebagai sebahagian tentera Allah..seperti yang banyak berlaku sebelum-sebelum ini…

Dipetik dari buku
Kuasa Tuhan Mencabar Kuasa Manusia Di Bario
SKYLAB September 2004
Ditulis bersama oleh: Haji Abd Rahim Manaf, Hassan Mohd Zain, Mejar Dr Yusof Abu Bakar, Dr Johari Alias, Dr Hanif Abd Rahman, Dr Abd. Rahim Tahir, Dr Azlina Jamaluddin, Mejar Dr Abd Hamid Sujak, Dr Rohaya Dato’ Muhamad.

Hasil,
Copy paste

Monday, October 28, 2019

TUANKU, SYED, WAN, SHARIFAH..


SEKILAS SEJARAH MASUKNYA SEBAHAGIAN ALAWIYYIN DI TANAH MELAYU DAN KEPULAUAN BORNEO (Siri Akhir)

MASYARAKAT ARAB HADRAMI DI SARAWAK: TINJAUAN TERHADAP SEJARAH PERTAPAKAN AWAL

Wan Ariffin bin Wan Yon (Universiti Teknologi Mara Sarawak, Malaysia)
Wan Abdul Rahim bin Wan Ahmad (Universiti Teknologi Mara Sarawak, Malaysia)
Syed Mohd Rusydi bin Wan Yusup (ANSAB SARAWAK, Malaysia)

KATA KUNCI: Arab Hadrami, Sarawak, Pertapakan, Tuanku, Wan.

Abstrak. Pertapakan masyarakat Arab Hadrami yang bergelar Sayyid, dikenali dengan prediket Tuanku dan Wan di Sarawak telah bemula semenjak zaman Kesultanan Brunei Darussalam. Mereka dipercayai berasal dari Hadramaut, Yaman Selatan. Pertapakan masyarakat ini telah memberi kesan yang mendalam dalam aspek perkembangan sosial terutama dalam pengembangan dan pengukuhan agama Islam. Selain menjadi ketua agama di kalangan masyarakat Islam, mereka juga mengasas penempatan masyarakat Arab Hadrami di Sarawak. Kepimpinan mereka diakui sehingga ke hari ini. Tinjauan ini adalah melalui kajian perpustakaan, temubual dan bukti-bukti sejarah seperti makam, naskah silsilah dan manuskrip lama tinggalan keluarga mereka.

PENGENALAN

Sejarah kedatangan dan pertapakan masyarakat Arab Hadrami ke Alam Melayu seringkali dikaitkan dengan aktiviti penyebaran dan pengukuhan agama Islam kalangan masyarakat tempatan. Walaupun pelbagai teori dan andaian telah dikemukakan oleh beberapa orang sarjana tentang kedatangan agama Islam ke Nusantara sama ada dari Tanah Arab, India, China, ia tidak mampu meminggir peranan yang dimainkan masyarakat Arab, Hadrami khususnya terutama dalam aktiviti pendakwahan. Apatah lagi jika membicarakan persoalan kedatangan awal agama Islam itu sendiri di seluruh pelusuk dunia Islam. Pelbagai faktor boleh dikaitkan dengan keaktifan dan peranan yang dimainkan oleh masyarakat Arab ini sehingga sanggup mengembara meninggalkan tanah air mereka untuk menyebarkan ajaran Islam. Demikian juga jika membicarakan tentang persoalan pendekatan dan wasilah yang digunakan.

Bagi negeri Sarawak (dahulunya adalah di bawah naungan Kerajaan Brunei Darussalam), peranan masyarakat Arab dalam aktiviti penyebaran dan pengukuhan agama Islam dalam kalangan masyarakat tempatan begitu jelas sekali. Kesultanan Brunei juga dikatakan telah mula menerima Islam apabila Rajanya Awang Alak Betatar telah memeluk Islam pada kurun ke 15 Masihi. Dipercayai usaha pengislaman tersebut dilakukan para mubaligh Arab. Kerajaan awal seperti Sarawak, Kalaka, Saribas, Melanau dan Samarahan-Sadong  merupakan kerajaan bebas yang ditadbir oleh para Syarif berketurunan Arab Hadrami yang berketurunan dari masyarakat Arab Hadramaut, Yaman Selatan bernasabkan kepada Rasulullah salla Allahu ‘alaihi wa sallam dari cucundanya Sayyidina Hussein bin Ali karamallahu wajhah yang beraqidah Ahlussunnah wal Jamaah, bermazhab Syafie dan tasawufnya Imam Al-Ghazali .

LATARBELAKANG DAN SEJARAH MASYARAKAT ARAB HADRAMI DI SARAWAK

Penduduk negeri Sarawak menggunakan gelaran Tuanku, Wan, Sharif dan Syarifah, juga akhir-akhir ini berpridiket Sayyid, sebahagian besarnya adalah berketurunan Sayyid atau Syarif (Sherif ) yang bernasabkan kepada keturunan Nabi Muhammad salla Allahu ‘alaihi wa sallam. Kebanyakan golongan Sayyid dan Syarif yang menetap di Sarawak pada penghujung 1700 dan awal 1800 Masihi adalah pemimpin masyarakat daerah bebas terutama daerah Skrang (Mukah) hingga Saribas sebelum kedatangan Rajah Putih Sarawak yang pertama, James Brooke pada tahun 1939. Antara gelaran keluarga mereka adalah al Banahsan, al Bin Yahya, al Aydrus, al Syagran as Seggaf, al Baraqbah, al Qadri dan al Aidid yang maklumatnya terdapat di Maktab Ad-Daimi Rabitah Alawiyyah . Kedatangan golongan awal para Sayyid dan Syarif ini boleh dibuktikan dengan terdapat makam lama, antaranya Makam Syarif Syukran atau Syarif Abu Bakar Sakran bin Masyhur al Banahsan yang lebih dikenal juga dengan nama ‘Syarif Skrang” di Kampung Skrang, Igan di bahagian Mukah. Makam ini diperkira berusia 200 tahun. Selain itu, makam Tuanku Datuk Sayyid Yassin bin Alwi al Aydrus yang berusia 137 tahun di Kampung Matang Kuching, makam Syarif Hassan bin Alwi, Syarif Muhsin bin Alwi dan Tuanku Bagus di Sebuyau, makam di Pulau Burong, Simunjan, Saribas, Syarif Ahmad bin Jaafar di Sungai Padeh-Layar, Tuanku Muhammad bin Alfaqih di Kampung Sejingkat, Kuching dan di pelbagai tempat lagi di seluruh Sarawak.

Menurut beberapa tulisan , para Sayyid atau Syarif yang disebut oleh sebahagian mereka sebagai ‘Pembesar Arab’ ini mendapat sokongan penuh kaum lain di Sarawak terutama di daerah Skrang, Saribas dan Batang Lupar. Namun demikian, setelah kedatangan James Brooke, beberapa peraturan baru telah digubal, di mana peraturan-peraturan ini secara tidak lansung menghakis kuasa pemerintahan para Sayyid dan Syarif ini. Atas dasar mempertahankan aqidah Islam, mengekalkan kuasa dan hak tradisional masyarakat asal negeri Sarawak, maka telah berlaku beberapa penentangan awal sekitar tahun 1845-1860 yang dikenali dengan nama ‘Pakatan Melayu’ atau ‘Episod Mukah’ yang diketuai oleh Syarif Syahab (Sadong) dan Syarif Mullah (Skrang).

Gerakan ini disusuli oleh Syarif Jaafar dan anaknya Syarif Ahmad (Lingga) dan pada tahun 1855-1860, kemudian penentangan nasionalis terkenal Syarif Masahor atau nama sebenarnya Sayyid Abu Bakar Masyhor bin Abu Bakar Sakran Al-Banahsan (Sarikei), Syarif Maulana (Kalaka), Syarif Abu Bakar dan anak-anaknya Syarif Long dan Syarif Amal (Saribas) serta beberapa lagi Sayyid atau Syarif yang termaktub di dalam sejarah. Kemarahan yang membuak pemerintah James Brooke terhadap masyarakat setempat yang diketuai Sayyid atau Syarif ini menyebabkan serangan habis-habisan dilakukan oleh Brooke dengan memohon bantuan dari England. Tidak sekadar itu, James Brooke memaksa kerajaan Brunei untuk menangkap Sayyid dan Syarif serta sekutunya . Selain dikenali dengan gelaran Syarif, mereka juga menggunakan gelaran ‘Tuanku’  (untuk lelaki dewasa dan lebih berusia), ‘Wan’  (diambil dari kebiasaan sebutan masyarakat Arab-Indonesia, untuk remaja dan kanak-kanak lelaki), serta ‘Syarifah’ (untuk perempuan) yang yang kekal panggilannya sehingga sekarang. Berdasarkan penulisan barat pula, gelar Sayyid ini telah bertukar kepada ‘Syed’ mengikut kesesuaian sebutan orang-orang barat selain gelaran ‘Pengiran Sherip’ (Thomas Stamford Raffles)’, ‘Habib’ (Snouck Hagronje), dan lain-lain lagi .

FAKTOR PENGHIJRAHAN KE SARAWAK

Berlaku perbezaan pendapat tentang masa yang tepat berlakunya penghijrahan masyarakat Arab Hadrami ke Sarawak. Sebahagian berpendapat ia sudah berlaku sekitar kurun ke 15 sewaktu Islamnya sultan Awang Alak Betatar. Pendapat lain mengatakan penghijrahan berlaku pada pertengahan kurun ke 17. Ini dibuktikan dengan wujudnya masyarakat Arab Hadrami yang dikenali dengan gelaran Syarif ketika itu sudah begitu ramai dan hampir keseluruhan negeri kerajaan bebas diketuai oleh mereka. Antaranya Syarif Syukran di Igan, Syarif Sahab di Sadong, Syarif Mullah di Skrang (Sri Aman), Syarif Jaafar di Lingga, Syarif Ahmad yang makamnya di Padeh-Layar (Betong), Syarif Abu Bakar di Talang-Talang (Lundu), Syarif Ahmad dan Syarif Long dari Siru ke Saribas, Syarif Maulana di Kalaka, Syarif bersaudara berasal dari kerajaan Ambawang di Kalimantan (Syarif Hassan di Sebuyau, Syarif Muhsin di Sibu, manakala Syarif Yassin di Matang, Kuching), Syarif Zainal Abidin di Pulau Burong, Sebuyau.

Faktor agama disifatkan sebagai faktor yang paling penting dalam memperkatakan sebab-sebab penghijrahan masyarakat Arab Hadrami di Sarawak. Walaupun terdapat faktor-faktor lain yang dikaitkan dengan penghijrahan tersebut, namun ia merupakan wasilah atau saluran untuk memenuhi faktor agama tersebut . Pengislaman yang pesat berlaku di Brunei menyebabkan Sarawak dianggap tanah yang subur untuk dakwah. Kebanyakan golongan Arab Hadrami yang berhijrah ke Sarawak bukanlah generasi pertama yang keluar lansung dari Tanah Arab atau Hadramaut di Yaman. Mereka merupakan golongan Arab Hadrami yang berpindah dari Terengganu di pantai timur Semenanjung Malaysia, Kalimantan Indonesia, Kepulauan Sulu di Filipina dan ada juga berasal dari Singapura. Sebagai contoh, Tuanku Syarif Abu Bakar Sakran atau Syarif Syukran yang makamnya di Igan, Mukah adalah dari Terengganu. Datuk beliau bernama Habib Hassan bin Muhammad al Banahsan telah berhijrah ke Terengganu dari Kota Tarim, Hadramaut .

Tanggungjawab terhadap agama juga berkait rapat kerana gerakan Kristianisasi yang semakin menular di Sarawak sewaktu penjajahan Brooke. Rasa tanggungjawab dalam menjaga aqidah dan memperkukuhkan lagi ajaran Islam dalam kalangan masyarakat tempatan juga telah menggerakkan semangat untuk mempergiatkan lagi aktiviti pendakwahan. Apatah lagi kebanyakan masyarakat Islam pada ketika itu masih belum kukuh dari sudut ajaran agama kerana begitu luasnya tanah Sarawak yang dinaungi Brunei.

KAWASAN PERTAPAKAN MASYARAKAT ARAB HADRAMI DI SARAWAK

Pada peringkat permulaan, pertapakan masyarakat Arab Hadrami di Sarawak bersifat penempatan yang sementara. Setelah melalui proses sosial bersama dengan masyarakat tempatan, maka di peringkat kedua, masyarakat ini telah membuka kawasan-kawasan penempatan tetap yang diwarisi sehingga kini. Di peringkat awal, tokoh yang terlibat dalam proses pembukaan penempatan sementara ialah Tuanku Syarif Syukran atau Syarif Abu Bakar Sakran (Terengganu) bin Masyhor al-Banahsan di Igan, Mukah. Selain itu Tuanku Syarif Hassan bin Alwi (Sultan Ambawang, Kalimantan) al Aydrus di Sebuyau, Kota Samarahan, dan saudaranya Syarif Mukhsin bin Alwi Al-Aydrus di Sibu, Sarawak. Tuanku Zainal Abidin Al-Bin Yahya (Terengganu) di Pulau Burung Sebuyau. Tuanku Muhammad bin Alfaqih (Terengganu) al-Banahsan di Sejingkat, Kuching Sarawak. Mereka datang bersama keluarga masing-masing. Dalam peringkat kedua pula anak-anak keturunan tokoh-tokoh tadi telah memainkan peranan penting bagi mewujudkan penempatan tetap di kawasan sekitarnya.

Penempatan awal bagi keluarga Tuanku Syarif Syukran ialah di kawasan persisiran sungai Rejang, tepatnya di Igan, Mukah. Penempatan ini dibuka pada pertengahan atau penghujung kurun ke 17. Kawasan ini merupakan pertempatan kaum Melanau. Tuanku Syarif Syukran al Banahsan ini merupakan ayah kepada Syarif Masahor , nasionalis terkenal di Sarawak yang menentang penjajahan Brooke (1839) yang dibuang negeri ke Singapura dan Syarif Adurrahman Soleh yang lebih dikenali sebagai Tuanku Bagus yang menjadi Ahli Majlis (Council Member) di Sebuyau menggantikan Syarif Hassan bin Alwi al Aydrus. Antara keturunan beliau yang dikenali masyarakat adalah Tuanku Haji Fauzi bin Osman al Banahsan, Imam Masjid Negeri Sarawak (1968-1980) yang menetap di Kampung Lintang, Kuching. Tuanku Fauzi terkenal sebagai pentarbiah agama Islam yang bergiat mengajar agama di surau dan rumahnya sendiri dan beliau juga mengajar ke persisiran secara tetap untuk tujuan itu .

Tuanku Syarif Hassan, Syarif Muhsin dan Syarif Yassin bin Alwi al Aydrus adalah anak-anak kepada Sultan Syarif Alwi bin Sultan Idrus (Maula Kubu) bin Abdurrahman al Aydrus. Sultan Alwi merupakan sultan kerajaan Ambawang di Kalimantan dan tidak disenangi oleh Belanda. Kerana selalu mendapat ancaman dari Belanda di Kalimantan, Syarif Alwi memindahkan anak-anak beliau ke Sarawak untuk mendapat pelindungan Brooke, sehinggakan mereka diberi jawatan-jawatan penting. Antaranya sebagai Ahli Majlis (Council Members) di Sebuyau, Kota Samarahan, Bahagian Sibu dan Matang di Bahagian Kuching pada sekitar pertengahan 1800. Antara keturunan mereka yang terkenal adalah Tun Tuanku Haji Bujang (Abdullah) bin Tuanku Osman al Aydrus yang merupakan Yang Di-Pertua Negeri Sarawak ke-2 (1969-1977). Selain itu adalah ulama’ Tuanku Sayyid Manshor bin Abu Bakar al Aydrus, penulis kitab ‘Hidayah lil Walad al Walad’ . Kitab ini juga mendapat perhatian seorang pengkaji ulama nusantara, Allahyarham Haji Wan Mohamad Saghir Abdullah. Beliau menulis

"Disebut dalam buku Tokoh-Tokoh Agama di Brunei Darussalam: Pengenalan Ringkas bahawa Imam Haji Mokti Brunei selain mengajar dan berdakwah di Kampung Burung Pingai juga berdakwah di kampung-kampung pedalaman seperti Kampung Pudak, Pulau Berbunut dan Labu Estate di Daerah Temburong. Beliau juga mengajar dan berdakwah hingga ke Padas di Sabah.

Dalam buku yang sama juga disebutkan bahawa Imam Haji Mokti Brunei pernah merantau ke Marudi dan Baram di Sarawak dan Sambas, Kalimantan Barat. Apabila disebutkan Baram, saya teringat barangkali di sana pernah ada beberapa orang ulama kerana pada zaman yang sama dengan Imam Haji Mokti Brunei pernah ditulis sebuah kitab berjudul Hidayah li al-Walad. Pengarangnya bernama Saiyid Manshur bin Saiyid Abu Bakar al-Aidrus. Beliau menyebut bahawa kitab tersebut diselesaikan pada 15 Rabiulawal, hari Sabtu, 1343 H di negeri Baram.

Selain itu, Tuanku Annuar bin Hashim al Aydrus pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Fatwa Negeri Sarawak. Tuanku Osman bin Zin al Aydrus yang belajar di Mekah selama 7 tahun semasa Syeikh Osman Abdul Wahab menuntut dan mengajar di Tanah Suci  serta anak-anaknya, Tuanku Abdurrahman adalah Ahli Majlis Fatwa, pendakwah dan tokoh agama islam yang masyhur di Bahagian Miri, Sarawak, Tuanku Madhi pula adalah Ahli Majlis Islam Sarawak dan Tuanku Saadi al Aydrus adalah Imam Masjid Bahagian Kuching, Majistret Majlis Islam & Adat Istiadat Melayu dan Ahli Majlis Fatwa, adalah tokoh-tokoh dalam agama Islam di Sarawak. Mereka adalah keturunan lansung dari Syarif Muhsin bin Alwi al Aydrus dan sehingga kini anak-cucunya tinggal dan menetap di Sibu, Sarawak.

Tuanku Zainal Abidin al Bin Yahya yang datang dari Terengganu sekitar pertengahan tahun 1800 masuk ke Pulau Burong di Sebuyau, Kota Samarahan. Keturunan beliau sangat terkenal di Sebuyau antaranya Tuanku Cabik (Sayyid Ahmad) dan Tuanku Masam (Sayyid Hassan) al Bin Yahya yang makamnya di Sejingkat, Kuching. Selain itu ada juga keturunan beliau bernama Tuanku Jaafar yang lari ke Stoh di Lundu semasa perang Jepun. Keluarga ini telah tersebar begitu meluas di sekitar Sarawak. Diantara keturunan beliau yang dihormati oleh masyarakat adalah Yang Berhormat Dato’ Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar al Bin Yahya, Menteri Alam Sekitar dan Sumber Asli Malaysia sekarang.

PENUTUP

Apabila berlakunya penghijrahan masyarakat Arab Hadrami ke Nusantara, Sarawak juga tidak terkecuali menjadi destinasi penghijrahan mereka. Ini dibuktikan dengan wujudnya pertapakan awal di Igan, Sebuyau, Sibu dan Sejingkat yang akhirnya menjadi penempatan keluarga mereka sehingga kini. Kawasan yang disebut di atas merupakan beberapa contoh dari sekian banyak tempat yang menjadi destinasi penghijrahan mereka. Selain tokoh atau keluarga yang disebut di atas, ada lebih ramai lagi masyarakat Arab Hadrami antaranya keluarga al Baraqbah di Sri Aman dan Baram, keluarga al Aidid di Marudi, keluarga as Seggaf di Spaoh dan Matang, al Bin Yahya di Stoh dan Rambungan yang berhijrah dan tinggal bersama-sama dengan masyarakat tempatan. Tinjauan ringkas berkenaan Masyarakat Arab Hadrami di Sarawak ini diharap dapat membuka ruang kajian yang lebih mendalam dalam pelbagai aspek bagi menambah penulisan dan bahan rujukan berkenaan perkembangan Islam di Sarawak.

Rujukan

Buku

Abang Mohd. Atei Medaan. (2006). Datuk Haji Abdul Kadir Hassan, 40 Kemusykilan Agama Siri Ke Dua. Sarawak: Jabatan Agama Islam Sarawak.

Habib Abdurrahman bin Muhammad al Masyhur. (t.t). Kitab Syamsuz Dzahirah.

H. Abdul Malik Karim Amrullah HAMKA. (1974). Panji Masyarakat.

H.M.H Al Hamid Al Husaini. (1998). Keagungan Rasulullah SAW dan Keutamaan Ahlulbait. Bandung: Pustaka Hidayah.

Sabine Baring-Gould, C.A Bampfylde. (1909). A History Of Sarawak Under Its Two White Rajahs 1839-1908. London: Henry Sothen & Co

Sanib Said. (1991). Yang Dikehendaki: Biografi Yang Di-pertua Negri Sarawak Tun Ahmad Zaidi Adruce Mohd. Noor. Kuching: Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Sarawak

__________. (2012). Sejarah Awal Kepulauan Melayu: Lima Buah Negeri Warisan Sarawak Yang Hilang. Jurnal CREAM-Current Research in Malaysia, Vol.1, No.1

Sulaiman, Haji Mohd. Hasbie (1989). Perjuangan Anti-Cession Sarawak. Kuching: Persatuan Kebangsaaan Melayu Sarawak.
Thomas Stamford Raffles. (2010). History of Java. London: Cambridge University Press.
W. Ariffin Y. & S. Anom O. (2006). Islam dan Pengaruhnya di Brunei Darussalam. dalam Perkembangan Islam di Nusantara. Shah Alam: UPENA UiTM

Wan Mohamad Saghir Abdullah. (27 Februari 2006), Bicara Agama Utusan Malaysia.

Temubual

Allahyarham Wan Hamid bin Tuanku Alwi al Banahsan (2008)

Allahyarhamah Sharifah Jamilah binti Tuanku Haji Ramli al Banahsan (2008)

Sharifah Alawiyyah al Aydrus (2015)

Tuanku Zawawi bin Junaidi al Aydrus. (2014)

Ustaz Syed Mohd Fadhil Syed Omar al Aydrus (Persatuan Asyraaf Terengganu) (2009)

Wan Jamaludin bin Wan Elias (Pengerusi Persatuan Kebajikan Asyraaf  Sarawak) (2015)

YB Dato’ Sri Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar al Bin Yahya (2014)

(*Alhamdulillah, setelah lebih dari 1 tahun setengah, alfaqier akhirnya dapat menghabiskan penulisan siri-siri SEKILAS SEJARAH MASUKNYA SEBAHAGIAN ALAWIYYIN DI TANAH MELAYU DAN KEPULAUAN BORNEO. Untuk posting yang terakhir ini, al-faqier hanya berkongsi Kertas Kerja yang telah dibentangkan bersama al amm al Muhtaram, Ustaz Wan Ariffin bin Wan Yon Banahsan (UiTM), dan al akh Dr. Wan Abdul Rahim Wan Ahmad di Konferensi Islam Antarabangsa Borneo (KAIB) kali ke-VIII 2015, tanggal 2-3 September 2015, di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Negara Brunei Darussalam.

Sebarang kesilapan fakta dan sebagainya, mohon dikoreksi untuk manfaat bersama. Wallahua'lam)
Related Posts with Thumbnails