Rakan SIMAAS anda!

PETIKAN HADIS

Posting Terbaru!

Posting Terbaru!

Monday, October 28, 2019

TUANKU, SYED, WAN, SHARIFAH..


SEKILAS SEJARAH MASUKNYA SEBAHAGIAN ALAWIYYIN DI TANAH MELAYU DAN KEPULAUAN BORNEO (Siri Akhir)

MASYARAKAT ARAB HADRAMI DI SARAWAK: TINJAUAN TERHADAP SEJARAH PERTAPAKAN AWAL

Wan Ariffin bin Wan Yon (Universiti Teknologi Mara Sarawak, Malaysia)
Wan Abdul Rahim bin Wan Ahmad (Universiti Teknologi Mara Sarawak, Malaysia)
Syed Mohd Rusydi bin Wan Yusup (ANSAB SARAWAK, Malaysia)

KATA KUNCI: Arab Hadrami, Sarawak, Pertapakan, Tuanku, Wan.

Abstrak. Pertapakan masyarakat Arab Hadrami yang bergelar Sayyid, dikenali dengan prediket Tuanku dan Wan di Sarawak telah bemula semenjak zaman Kesultanan Brunei Darussalam. Mereka dipercayai berasal dari Hadramaut, Yaman Selatan. Pertapakan masyarakat ini telah memberi kesan yang mendalam dalam aspek perkembangan sosial terutama dalam pengembangan dan pengukuhan agama Islam. Selain menjadi ketua agama di kalangan masyarakat Islam, mereka juga mengasas penempatan masyarakat Arab Hadrami di Sarawak. Kepimpinan mereka diakui sehingga ke hari ini. Tinjauan ini adalah melalui kajian perpustakaan, temubual dan bukti-bukti sejarah seperti makam, naskah silsilah dan manuskrip lama tinggalan keluarga mereka.

PENGENALAN

Sejarah kedatangan dan pertapakan masyarakat Arab Hadrami ke Alam Melayu seringkali dikaitkan dengan aktiviti penyebaran dan pengukuhan agama Islam kalangan masyarakat tempatan. Walaupun pelbagai teori dan andaian telah dikemukakan oleh beberapa orang sarjana tentang kedatangan agama Islam ke Nusantara sama ada dari Tanah Arab, India, China, ia tidak mampu meminggir peranan yang dimainkan masyarakat Arab, Hadrami khususnya terutama dalam aktiviti pendakwahan. Apatah lagi jika membicarakan persoalan kedatangan awal agama Islam itu sendiri di seluruh pelusuk dunia Islam. Pelbagai faktor boleh dikaitkan dengan keaktifan dan peranan yang dimainkan oleh masyarakat Arab ini sehingga sanggup mengembara meninggalkan tanah air mereka untuk menyebarkan ajaran Islam. Demikian juga jika membicarakan tentang persoalan pendekatan dan wasilah yang digunakan.

Bagi negeri Sarawak (dahulunya adalah di bawah naungan Kerajaan Brunei Darussalam), peranan masyarakat Arab dalam aktiviti penyebaran dan pengukuhan agama Islam dalam kalangan masyarakat tempatan begitu jelas sekali. Kesultanan Brunei juga dikatakan telah mula menerima Islam apabila Rajanya Awang Alak Betatar telah memeluk Islam pada kurun ke 15 Masihi. Dipercayai usaha pengislaman tersebut dilakukan para mubaligh Arab. Kerajaan awal seperti Sarawak, Kalaka, Saribas, Melanau dan Samarahan-Sadong  merupakan kerajaan bebas yang ditadbir oleh para Syarif berketurunan Arab Hadrami yang berketurunan dari masyarakat Arab Hadramaut, Yaman Selatan bernasabkan kepada Rasulullah salla Allahu ‘alaihi wa sallam dari cucundanya Sayyidina Hussein bin Ali karamallahu wajhah yang beraqidah Ahlussunnah wal Jamaah, bermazhab Syafie dan tasawufnya Imam Al-Ghazali .

LATARBELAKANG DAN SEJARAH MASYARAKAT ARAB HADRAMI DI SARAWAK

Penduduk negeri Sarawak menggunakan gelaran Tuanku, Wan, Sharif dan Syarifah, juga akhir-akhir ini berpridiket Sayyid, sebahagian besarnya adalah berketurunan Sayyid atau Syarif (Sherif ) yang bernasabkan kepada keturunan Nabi Muhammad salla Allahu ‘alaihi wa sallam. Kebanyakan golongan Sayyid dan Syarif yang menetap di Sarawak pada penghujung 1700 dan awal 1800 Masihi adalah pemimpin masyarakat daerah bebas terutama daerah Skrang (Mukah) hingga Saribas sebelum kedatangan Rajah Putih Sarawak yang pertama, James Brooke pada tahun 1939. Antara gelaran keluarga mereka adalah al Banahsan, al Bin Yahya, al Aydrus, al Syagran as Seggaf, al Baraqbah, al Qadri dan al Aidid yang maklumatnya terdapat di Maktab Ad-Daimi Rabitah Alawiyyah . Kedatangan golongan awal para Sayyid dan Syarif ini boleh dibuktikan dengan terdapat makam lama, antaranya Makam Syarif Syukran atau Syarif Abu Bakar Sakran bin Masyhur al Banahsan yang lebih dikenal juga dengan nama ‘Syarif Skrang” di Kampung Skrang, Igan di bahagian Mukah. Makam ini diperkira berusia 200 tahun. Selain itu, makam Tuanku Datuk Sayyid Yassin bin Alwi al Aydrus yang berusia 137 tahun di Kampung Matang Kuching, makam Syarif Hassan bin Alwi, Syarif Muhsin bin Alwi dan Tuanku Bagus di Sebuyau, makam di Pulau Burong, Simunjan, Saribas, Syarif Ahmad bin Jaafar di Sungai Padeh-Layar, Tuanku Muhammad bin Alfaqih di Kampung Sejingkat, Kuching dan di pelbagai tempat lagi di seluruh Sarawak.

Menurut beberapa tulisan , para Sayyid atau Syarif yang disebut oleh sebahagian mereka sebagai ‘Pembesar Arab’ ini mendapat sokongan penuh kaum lain di Sarawak terutama di daerah Skrang, Saribas dan Batang Lupar. Namun demikian, setelah kedatangan James Brooke, beberapa peraturan baru telah digubal, di mana peraturan-peraturan ini secara tidak lansung menghakis kuasa pemerintahan para Sayyid dan Syarif ini. Atas dasar mempertahankan aqidah Islam, mengekalkan kuasa dan hak tradisional masyarakat asal negeri Sarawak, maka telah berlaku beberapa penentangan awal sekitar tahun 1845-1860 yang dikenali dengan nama ‘Pakatan Melayu’ atau ‘Episod Mukah’ yang diketuai oleh Syarif Syahab (Sadong) dan Syarif Mullah (Skrang).

Gerakan ini disusuli oleh Syarif Jaafar dan anaknya Syarif Ahmad (Lingga) dan pada tahun 1855-1860, kemudian penentangan nasionalis terkenal Syarif Masahor atau nama sebenarnya Sayyid Abu Bakar Masyhor bin Abu Bakar Sakran Al-Banahsan (Sarikei), Syarif Maulana (Kalaka), Syarif Abu Bakar dan anak-anaknya Syarif Long dan Syarif Amal (Saribas) serta beberapa lagi Sayyid atau Syarif yang termaktub di dalam sejarah. Kemarahan yang membuak pemerintah James Brooke terhadap masyarakat setempat yang diketuai Sayyid atau Syarif ini menyebabkan serangan habis-habisan dilakukan oleh Brooke dengan memohon bantuan dari England. Tidak sekadar itu, James Brooke memaksa kerajaan Brunei untuk menangkap Sayyid dan Syarif serta sekutunya . Selain dikenali dengan gelaran Syarif, mereka juga menggunakan gelaran ‘Tuanku’  (untuk lelaki dewasa dan lebih berusia), ‘Wan’  (diambil dari kebiasaan sebutan masyarakat Arab-Indonesia, untuk remaja dan kanak-kanak lelaki), serta ‘Syarifah’ (untuk perempuan) yang yang kekal panggilannya sehingga sekarang. Berdasarkan penulisan barat pula, gelar Sayyid ini telah bertukar kepada ‘Syed’ mengikut kesesuaian sebutan orang-orang barat selain gelaran ‘Pengiran Sherip’ (Thomas Stamford Raffles)’, ‘Habib’ (Snouck Hagronje), dan lain-lain lagi .

FAKTOR PENGHIJRAHAN KE SARAWAK

Berlaku perbezaan pendapat tentang masa yang tepat berlakunya penghijrahan masyarakat Arab Hadrami ke Sarawak. Sebahagian berpendapat ia sudah berlaku sekitar kurun ke 15 sewaktu Islamnya sultan Awang Alak Betatar. Pendapat lain mengatakan penghijrahan berlaku pada pertengahan kurun ke 17. Ini dibuktikan dengan wujudnya masyarakat Arab Hadrami yang dikenali dengan gelaran Syarif ketika itu sudah begitu ramai dan hampir keseluruhan negeri kerajaan bebas diketuai oleh mereka. Antaranya Syarif Syukran di Igan, Syarif Sahab di Sadong, Syarif Mullah di Skrang (Sri Aman), Syarif Jaafar di Lingga, Syarif Ahmad yang makamnya di Padeh-Layar (Betong), Syarif Abu Bakar di Talang-Talang (Lundu), Syarif Ahmad dan Syarif Long dari Siru ke Saribas, Syarif Maulana di Kalaka, Syarif bersaudara berasal dari kerajaan Ambawang di Kalimantan (Syarif Hassan di Sebuyau, Syarif Muhsin di Sibu, manakala Syarif Yassin di Matang, Kuching), Syarif Zainal Abidin di Pulau Burong, Sebuyau.

Faktor agama disifatkan sebagai faktor yang paling penting dalam memperkatakan sebab-sebab penghijrahan masyarakat Arab Hadrami di Sarawak. Walaupun terdapat faktor-faktor lain yang dikaitkan dengan penghijrahan tersebut, namun ia merupakan wasilah atau saluran untuk memenuhi faktor agama tersebut . Pengislaman yang pesat berlaku di Brunei menyebabkan Sarawak dianggap tanah yang subur untuk dakwah. Kebanyakan golongan Arab Hadrami yang berhijrah ke Sarawak bukanlah generasi pertama yang keluar lansung dari Tanah Arab atau Hadramaut di Yaman. Mereka merupakan golongan Arab Hadrami yang berpindah dari Terengganu di pantai timur Semenanjung Malaysia, Kalimantan Indonesia, Kepulauan Sulu di Filipina dan ada juga berasal dari Singapura. Sebagai contoh, Tuanku Syarif Abu Bakar Sakran atau Syarif Syukran yang makamnya di Igan, Mukah adalah dari Terengganu. Datuk beliau bernama Habib Hassan bin Muhammad al Banahsan telah berhijrah ke Terengganu dari Kota Tarim, Hadramaut .

Tanggungjawab terhadap agama juga berkait rapat kerana gerakan Kristianisasi yang semakin menular di Sarawak sewaktu penjajahan Brooke. Rasa tanggungjawab dalam menjaga aqidah dan memperkukuhkan lagi ajaran Islam dalam kalangan masyarakat tempatan juga telah menggerakkan semangat untuk mempergiatkan lagi aktiviti pendakwahan. Apatah lagi kebanyakan masyarakat Islam pada ketika itu masih belum kukuh dari sudut ajaran agama kerana begitu luasnya tanah Sarawak yang dinaungi Brunei.

KAWASAN PERTAPAKAN MASYARAKAT ARAB HADRAMI DI SARAWAK

Pada peringkat permulaan, pertapakan masyarakat Arab Hadrami di Sarawak bersifat penempatan yang sementara. Setelah melalui proses sosial bersama dengan masyarakat tempatan, maka di peringkat kedua, masyarakat ini telah membuka kawasan-kawasan penempatan tetap yang diwarisi sehingga kini. Di peringkat awal, tokoh yang terlibat dalam proses pembukaan penempatan sementara ialah Tuanku Syarif Syukran atau Syarif Abu Bakar Sakran (Terengganu) bin Masyhor al-Banahsan di Igan, Mukah. Selain itu Tuanku Syarif Hassan bin Alwi (Sultan Ambawang, Kalimantan) al Aydrus di Sebuyau, Kota Samarahan, dan saudaranya Syarif Mukhsin bin Alwi Al-Aydrus di Sibu, Sarawak. Tuanku Zainal Abidin Al-Bin Yahya (Terengganu) di Pulau Burung Sebuyau. Tuanku Muhammad bin Alfaqih (Terengganu) al-Banahsan di Sejingkat, Kuching Sarawak. Mereka datang bersama keluarga masing-masing. Dalam peringkat kedua pula anak-anak keturunan tokoh-tokoh tadi telah memainkan peranan penting bagi mewujudkan penempatan tetap di kawasan sekitarnya.

Penempatan awal bagi keluarga Tuanku Syarif Syukran ialah di kawasan persisiran sungai Rejang, tepatnya di Igan, Mukah. Penempatan ini dibuka pada pertengahan atau penghujung kurun ke 17. Kawasan ini merupakan pertempatan kaum Melanau. Tuanku Syarif Syukran al Banahsan ini merupakan ayah kepada Syarif Masahor , nasionalis terkenal di Sarawak yang menentang penjajahan Brooke (1839) yang dibuang negeri ke Singapura dan Syarif Adurrahman Soleh yang lebih dikenali sebagai Tuanku Bagus yang menjadi Ahli Majlis (Council Member) di Sebuyau menggantikan Syarif Hassan bin Alwi al Aydrus. Antara keturunan beliau yang dikenali masyarakat adalah Tuanku Haji Fauzi bin Osman al Banahsan, Imam Masjid Negeri Sarawak (1968-1980) yang menetap di Kampung Lintang, Kuching. Tuanku Fauzi terkenal sebagai pentarbiah agama Islam yang bergiat mengajar agama di surau dan rumahnya sendiri dan beliau juga mengajar ke persisiran secara tetap untuk tujuan itu .

Tuanku Syarif Hassan, Syarif Muhsin dan Syarif Yassin bin Alwi al Aydrus adalah anak-anak kepada Sultan Syarif Alwi bin Sultan Idrus (Maula Kubu) bin Abdurrahman al Aydrus. Sultan Alwi merupakan sultan kerajaan Ambawang di Kalimantan dan tidak disenangi oleh Belanda. Kerana selalu mendapat ancaman dari Belanda di Kalimantan, Syarif Alwi memindahkan anak-anak beliau ke Sarawak untuk mendapat pelindungan Brooke, sehinggakan mereka diberi jawatan-jawatan penting. Antaranya sebagai Ahli Majlis (Council Members) di Sebuyau, Kota Samarahan, Bahagian Sibu dan Matang di Bahagian Kuching pada sekitar pertengahan 1800. Antara keturunan mereka yang terkenal adalah Tun Tuanku Haji Bujang (Abdullah) bin Tuanku Osman al Aydrus yang merupakan Yang Di-Pertua Negeri Sarawak ke-2 (1969-1977). Selain itu adalah ulama’ Tuanku Sayyid Manshor bin Abu Bakar al Aydrus, penulis kitab ‘Hidayah lil Walad al Walad’ . Kitab ini juga mendapat perhatian seorang pengkaji ulama nusantara, Allahyarham Haji Wan Mohamad Saghir Abdullah. Beliau menulis

"Disebut dalam buku Tokoh-Tokoh Agama di Brunei Darussalam: Pengenalan Ringkas bahawa Imam Haji Mokti Brunei selain mengajar dan berdakwah di Kampung Burung Pingai juga berdakwah di kampung-kampung pedalaman seperti Kampung Pudak, Pulau Berbunut dan Labu Estate di Daerah Temburong. Beliau juga mengajar dan berdakwah hingga ke Padas di Sabah.

Dalam buku yang sama juga disebutkan bahawa Imam Haji Mokti Brunei pernah merantau ke Marudi dan Baram di Sarawak dan Sambas, Kalimantan Barat. Apabila disebutkan Baram, saya teringat barangkali di sana pernah ada beberapa orang ulama kerana pada zaman yang sama dengan Imam Haji Mokti Brunei pernah ditulis sebuah kitab berjudul Hidayah li al-Walad. Pengarangnya bernama Saiyid Manshur bin Saiyid Abu Bakar al-Aidrus. Beliau menyebut bahawa kitab tersebut diselesaikan pada 15 Rabiulawal, hari Sabtu, 1343 H di negeri Baram.

Selain itu, Tuanku Annuar bin Hashim al Aydrus pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Fatwa Negeri Sarawak. Tuanku Osman bin Zin al Aydrus yang belajar di Mekah selama 7 tahun semasa Syeikh Osman Abdul Wahab menuntut dan mengajar di Tanah Suci  serta anak-anaknya, Tuanku Abdurrahman adalah Ahli Majlis Fatwa, pendakwah dan tokoh agama islam yang masyhur di Bahagian Miri, Sarawak, Tuanku Madhi pula adalah Ahli Majlis Islam Sarawak dan Tuanku Saadi al Aydrus adalah Imam Masjid Bahagian Kuching, Majistret Majlis Islam & Adat Istiadat Melayu dan Ahli Majlis Fatwa, adalah tokoh-tokoh dalam agama Islam di Sarawak. Mereka adalah keturunan lansung dari Syarif Muhsin bin Alwi al Aydrus dan sehingga kini anak-cucunya tinggal dan menetap di Sibu, Sarawak.

Tuanku Zainal Abidin al Bin Yahya yang datang dari Terengganu sekitar pertengahan tahun 1800 masuk ke Pulau Burong di Sebuyau, Kota Samarahan. Keturunan beliau sangat terkenal di Sebuyau antaranya Tuanku Cabik (Sayyid Ahmad) dan Tuanku Masam (Sayyid Hassan) al Bin Yahya yang makamnya di Sejingkat, Kuching. Selain itu ada juga keturunan beliau bernama Tuanku Jaafar yang lari ke Stoh di Lundu semasa perang Jepun. Keluarga ini telah tersebar begitu meluas di sekitar Sarawak. Diantara keturunan beliau yang dihormati oleh masyarakat adalah Yang Berhormat Dato’ Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar al Bin Yahya, Menteri Alam Sekitar dan Sumber Asli Malaysia sekarang.

PENUTUP

Apabila berlakunya penghijrahan masyarakat Arab Hadrami ke Nusantara, Sarawak juga tidak terkecuali menjadi destinasi penghijrahan mereka. Ini dibuktikan dengan wujudnya pertapakan awal di Igan, Sebuyau, Sibu dan Sejingkat yang akhirnya menjadi penempatan keluarga mereka sehingga kini. Kawasan yang disebut di atas merupakan beberapa contoh dari sekian banyak tempat yang menjadi destinasi penghijrahan mereka. Selain tokoh atau keluarga yang disebut di atas, ada lebih ramai lagi masyarakat Arab Hadrami antaranya keluarga al Baraqbah di Sri Aman dan Baram, keluarga al Aidid di Marudi, keluarga as Seggaf di Spaoh dan Matang, al Bin Yahya di Stoh dan Rambungan yang berhijrah dan tinggal bersama-sama dengan masyarakat tempatan. Tinjauan ringkas berkenaan Masyarakat Arab Hadrami di Sarawak ini diharap dapat membuka ruang kajian yang lebih mendalam dalam pelbagai aspek bagi menambah penulisan dan bahan rujukan berkenaan perkembangan Islam di Sarawak.

Rujukan

Buku

Abang Mohd. Atei Medaan. (2006). Datuk Haji Abdul Kadir Hassan, 40 Kemusykilan Agama Siri Ke Dua. Sarawak: Jabatan Agama Islam Sarawak.

Habib Abdurrahman bin Muhammad al Masyhur. (t.t). Kitab Syamsuz Dzahirah.

H. Abdul Malik Karim Amrullah HAMKA. (1974). Panji Masyarakat.

H.M.H Al Hamid Al Husaini. (1998). Keagungan Rasulullah SAW dan Keutamaan Ahlulbait. Bandung: Pustaka Hidayah.

Sabine Baring-Gould, C.A Bampfylde. (1909). A History Of Sarawak Under Its Two White Rajahs 1839-1908. London: Henry Sothen & Co

Sanib Said. (1991). Yang Dikehendaki: Biografi Yang Di-pertua Negri Sarawak Tun Ahmad Zaidi Adruce Mohd. Noor. Kuching: Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Sarawak

__________. (2012). Sejarah Awal Kepulauan Melayu: Lima Buah Negeri Warisan Sarawak Yang Hilang. Jurnal CREAM-Current Research in Malaysia, Vol.1, No.1

Sulaiman, Haji Mohd. Hasbie (1989). Perjuangan Anti-Cession Sarawak. Kuching: Persatuan Kebangsaaan Melayu Sarawak.
Thomas Stamford Raffles. (2010). History of Java. London: Cambridge University Press.
W. Ariffin Y. & S. Anom O. (2006). Islam dan Pengaruhnya di Brunei Darussalam. dalam Perkembangan Islam di Nusantara. Shah Alam: UPENA UiTM

Wan Mohamad Saghir Abdullah. (27 Februari 2006), Bicara Agama Utusan Malaysia.

Temubual

Allahyarham Wan Hamid bin Tuanku Alwi al Banahsan (2008)

Allahyarhamah Sharifah Jamilah binti Tuanku Haji Ramli al Banahsan (2008)

Sharifah Alawiyyah al Aydrus (2015)

Tuanku Zawawi bin Junaidi al Aydrus. (2014)

Ustaz Syed Mohd Fadhil Syed Omar al Aydrus (Persatuan Asyraaf Terengganu) (2009)

Wan Jamaludin bin Wan Elias (Pengerusi Persatuan Kebajikan Asyraaf  Sarawak) (2015)

YB Dato’ Sri Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar al Bin Yahya (2014)

(*Alhamdulillah, setelah lebih dari 1 tahun setengah, alfaqier akhirnya dapat menghabiskan penulisan siri-siri SEKILAS SEJARAH MASUKNYA SEBAHAGIAN ALAWIYYIN DI TANAH MELAYU DAN KEPULAUAN BORNEO. Untuk posting yang terakhir ini, al-faqier hanya berkongsi Kertas Kerja yang telah dibentangkan bersama al amm al Muhtaram, Ustaz Wan Ariffin bin Wan Yon Banahsan (UiTM), dan al akh Dr. Wan Abdul Rahim Wan Ahmad di Konferensi Islam Antarabangsa Borneo (KAIB) kali ke-VIII 2015, tanggal 2-3 September 2015, di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Negara Brunei Darussalam.

Sebarang kesilapan fakta dan sebagainya, mohon dikoreksi untuk manfaat bersama. Wallahua'lam)

Tuesday, September 11, 2018

Didik anak jadi hamba

*Didiklah Anak Sebagai ‘Hamba’ Dari Sekarang Supaya Kelak Tidak Menjadi ‘Tuan’*


Didik anak sebagai ‘hamba’. Tajuk memang nampak seperti tidak berperikemanusiaan, tapi itulah hakikat mendidik anak zaman sekarang.

Mungkin tak ramai setuju dengan kenyataan ini. Terutama ibu bapa yang melihat bahawa anak tersebut perlu dicurah kasih sayang bak menatang minyak yang penuh.

Pernah tak anda melihat senario di mana si ibu sibuk membuat kerja-kerja di rumah, seperti membasuh, mengemop lantai, memasak malah mengemas bilik si anak. Walhal, si ibu ada dua tiga orang anak dara yang duduk bersenang lenang di depan TV, atau mengadap smartphone atau berchating depan laptop?

Nah .. apabila disuruh untuk tolong …. terus merungut, tak reti, malas dan ada yang buat cincai-cincai sebab terpaksa. Lagi teruk, ada yang angkat kaki .. merajuk dan tarik muka .. hanya kerana meminta untuk tutup air jerangan di dapur. Uhh .. kepala digeleng sepuluh kali pun tak jadi apa… hurmmm..

Tak kurang juga anak lelaki, mana mahu nak buat kerja-kerja yang selalu dilakukan oleh perempuan? Hilanglah macho .. rasa macam kelakian kena sagat kat atas tar jalanraya .. erkk.

*Anak Jadi ‘Raja’ Sebagai Berleluasa*

Budaya anak menjadi raja semakin berleluasa sekarang. Sebab apa?. Sebab mereka tidak dididik menjadi ‘hamba’ sejak dari kecil. Ramai pasangan ibu bapa yang terlalu manjakan anak. Kehendak anak semua dituruti.

Mereka tidak diajar untuk mengerti kesusahan dan kepayahan ibu bapa mereka. Ya ibu bapa kaya berharta .. tapi nak sampai berjaya begitu .. bukan mudah. Ada anak-anak ni ambil tahu?

Bila ada beritahu .. jangan manjakan anak. Ini alasan mereka …

*“Kesian anak tu kecik lagi..”*

*“Tengok Timah tu, nak dera anak ke apa?”*

*“Ish, janganlah bagi budak tu buat, dah jadi macam orang gaji je..”*

Jika beginilah alasannya, bersiap sedialah untuk menjadi “hamba” kepada anak sampai ke tua?

Bukan itu sahaja…

*Ada anak yang dah kahwin beranak pinak pun masih menyusahkan mak pak. Benda ni berlaku, dan saya sendiri dah banyak kali lihat dengan mata kepala sendiri.*

*Betul. Ini terjadi dalam dunia masa kini .. baju laki bini anak beranak si emak yang basuh. Umur dah lebih 30 tahun kot …nak makan pun mak yang masak…*

Anak yang tidak dididik dengan kesusahan kerja sedari kecil, mereka akan kekok untuk melakukannya bila sudah jadi dewasa. Kalau buatpun, tak ikhlas dan hanya lakukan secara terpaksa. Mereka akan buat hanya bila disuruh.

Saya bukan mahu para ibu bapa untuk dera anak. Dalam Islam sendiri pun ada cara didik anak ini. Guna sahaja tip dan panduan yang telah Nabi Muhammad S.A.W sarankan.

Ibu bapa harus sedar, bermula dari anak berumur 2 tahun, mereka perlu dipupuk dan dididik supaya menjadi ‘hamba’. Arah mereka lakukan sesuatu, paksa mereka. Jangan terlalu lembut hati.

*Usah terlalu kasihankan anak*

*Jangan terlalu memanjakan anak*

*Ajar mereka erti susah payah sejak kecil*

*Ajar mereka tentang kerja rumah*

*Ajar mereka erti kehidupan*

*Pupuk kesedaran dalam diri mereka*

*Ajar anak perempuan kerja-kerja mengemas, memasak, mencuci rumah dan segala macam kerja rumah.*

*Didik anak perempuan mengenai kebersihan, terutama kebersihan diri.*

*Anak lelaki kena biasakan mereka untuk ringan tulang.*

*Ajar juga anak lelaki untuk membuat kerja-kerja seperti bertukang, betulkan paip air, siram pokok dan macam-macam lagi.*

Kalau boleh, ajar juga perkara yang anak perempuan buat seperti memasak. Tak ada salah, malah nanti akan jadi satu bonus sebagai seorang lelaki dewasa.

Anak kita, acuan kita. Ajari dan didik mereka dengan kasih sayang tapi perlu tegas dan pastikan mereka ikut arahan.

*Biar dididik sebagai hamba, jangan bila dah besar jadi raja. Dan paling ditakuti, bertukar menjadi anak derhaka, yang dimurkai oleh Allah S.W.T*

https://kifarahmedia.com/didiklah-anak-sebagai-hamba-dari-sekarang-supaya-kelak-tidak-menjadi-tuan/

Anak dapat markah rendah?

APA TINDAKAN KITA BILA ANAK BAWA PULANG MARKAH RENDAH?

Pertama, bertenang. Jangan nak terus marah-marah. Jangan cepat bertukar menjadi singa ya!

Kedua, bantu dia. Marah tidak dapat menyelesaikan masalah. Ajak anak sama-sama belek soalan dan tengok soalan mana yang dia jawab salah.

Ketiga, kesan kecuaian mereka. Ajar dia teknik paling senang untuk curi markah.Macam banyak contoh yang saya share selalu kat Telegram saya.

Keempat, jangan terlalu mendesak. Jangan juga aim terlalu tinggi jika anak kita perlahan dan agak slow dalam pelajaran. Namun jangan biarkan juga. Bantu dia. Jangan push dia untuk faham soalan berat dan aras KBAT yang tinggi.

Budak ni, bila kena push benda susah bagi mereka, mereka akan cepat give up dan down. Lagi mereka benci mata pelajaran tersebut.

Maka, bantu saja mereka cara cari markah untuk soalan senang. Guide sikit-sikit pun sangat okey dah. Selalu ingatkan mereka jangan cuai dan semak kembali.

Aku tahu, ini semua tugas guru. Aku saja berkongsi cara dan tips guru ajar anak di sekolah untuk ibu bapa yang nak bantu anak di rumah. Jika ada bantuan di rumah, lagi cepat anak kita faham.

Jika tak nak bantu nak serah pada sekolah 100% pun tak apa juga. Aku tak paksa kalian ajar anak. Aku cuma ajak. :)

Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua.

Join channel Telegram saya t.me/MohdFadliSalleh untuk Tips Matematik dan Isu Pendidikan Semasa setiap hari.

Cara join.
1) Install Telegram kat Play Store.
2) Klik link t.me/MohdFadliSalleh
3) Klik join.

Settle.

* Penerangan ringkas juga aku tulis kat setiap gambar ya.

#MFS
- Sedikit tapi berkongsi itu berkat -

Jangan berkira nak bersedekah

Semalam pergi gerai. Nak beli karipap. Tanyalah makcik tu berapa satu? Dia cakap 50 sen sebiji. Saya cakaplah nak 4.

Masa nak bayar, kat tangan ada 5 ringgit. Ingat nak bagi semua. Tapi suara hati cakap “bagi 2 ringgit je. Orang meniaga ni banyak untung”. So tangan seluk poket ambik 2 ringgit bayar.

Balik rumah bukak plastik. Tengok ada 5 karipap. Allahhh.. rupanya dalam kita berkira dengan dia, dia tak berkira pun dengan kita. Hitamnya hati saya!

* * *

Harini nekad. Nak beli karipap makcik tu lagi dan nak bayar lebih.

Bila sampai kat gerai dia, saya cakap “makcik saya nak 6 biji karipap”. Dia ambik dan letak.

Bila nak bayar saya bagi dia 5 inggit dan dia nak bagi duit balik. Saya cakap takpe makcik. Hadiah. Dia cakap eh jangan macam tu ambiklah. Saya cakap takpe. Saya tetap tolak.

Masa dia pegang duit tu, bibir dia ketap-ketap. Dia ucap terima kasih dan saya pun ucap terima kasih. Saya tak boleh lama kat situ sebab saya nampak dia macam nak nangis.

Sampai kat rumah, saya bukak plastik dan saya kira. Ya, dia memang seorang yang pemurah. Dia bagi saya 7 sedangkan saya hanya minta 6. Allahhh.. 😭😭😭

* * *

Makcik ni mengajar saya sesuatu. Jika kita berkira dengan orang, bukan setakat orang je yang akan berkira dengan kita, tapi Allah pun akan berkira dengan kita.

Mudahkanlah urusanmu sesama makhluk, nescaya Tuhanmu akan memudahkan urusanmu denganNya

#Ingatlah...kalau ada duit lebih tu rajin2lah bersedekah kerana didalam rezeki kita terdapat juga rezeki orang lain...🌹🌹🌹

💐💐💐 Salam Maal Hijrah 💐💐💐

Doa, kata, ibu, perempuan..

_*Doa, kata, ibu, Perempuan*_

Saat Kecil
dia membuka pintu Syurga untuk ayahnya..

Saat dewasa
dia menyempurnakan agama untuk suaminya

Saat menjadi *_ibu,_*
Dia menjadi penggerak semua doa

oleh kerana itu
dia dimuliakan Allah dengan menempatkan syurga di telapak kakinya

ketika seorang *_perempuan_* sudah menjadi *_IBU,_*
maka *_ALLAH_* akan menganugerahkan kepadanya satu senjata yang sangat ampuh di muka bumi ..

_*"Tahukah anda apa itu?"*_

Itu adalah *_Lisannya..*_

*_Lisannya_* akan menjadi *_Berat timbangannya_*..

*_Lisannya_* akan menjadi *_pembuka pintu-pintu langit_*..

Ucapannya akan *_di ijabah.._*
*_doanya akan diangkat tanpa penghalang_*..

doa *_ibu_* akan mampu menjadi *_penghancur kesulitan bagi anak keturunannya_*..

Dan *_mengeluhnya_* seorang ibu akan menjadi *_pemberat langkah setiap anggota keluarganya,_* termasuk bagi *_suaminya_*..

Maka *_pantang_* bagi seorang ibu untuk *_mengeluh,_*
kerana keluhannya pun akan menjadi kenyataan,
*_sebagaimana harapan dan doanya_* pun akan menjadi kenyataan..

ucapan buruknya akan menjadi musibah bagi *_dirinya dan keluarganya_*

*_Lisan_* seorang ibu layaknya seperti *_Karomah para wali_*..

Maka berhati-hatilah
wahai para ibu
ketika anda menggunakan
*_senjata terampuh ini_*..

gunakan untuk bermunajat meminta kepada *_ALLAH_* agar suamimu dimudahkan dalam *_mencari nafkah_*..

Jangan mengeluhkan tentang dirinya.

Itu  akan *_semakin memberatkan dan menyukarkan kehidupan anakmu_*..

Gunakan untuk bermunajat meminta kemudahan dan *_Kesolehan  atas   anak-anakmu_*
jangan mengeluhkannya.

Kerana itu akan menjadi benar adanya..

*Subhanallah*
untuk para *IBU*

Wednesday, August 15, 2018

9 perkara ayah tak beritahu!

9 PERKARA SEORANG AYAH TAK PERNAH BERITAHU KITA

Berikut adalah beberapa perkara yang tak pernah ayah beritahu kita, walaupun mereka dalam keadaan susah sekalipun.

1. AYAH TAK CUKUP DUIT

Setiap bulan, mereka akan memikirkan keperluan rumah, keperluan dapur, anak-anak, isteri, dan akhir sekali barulah keperluan mereka. Kita mungkin tak tahu, dalam poket ayah cuma ada RM10 sewaktu kita telefon minta wang semasa di universiti.

Bila awal bulan, memang seronok dapat gaji. Tapi bila ditolak-tolak kesemuanya, semua harapan untuk membeli apa saja kemahuan mereka terpaksa ditunda lagi. Hinggalah mereka melupakan terus hasrat tersebut sampai ke hari ini.

2. AYAH KECEWA BILA TAK DAPAT BELIKAN MAINAN YANG KITA MINTA

Ayah mahu gembirakan kita. Kalau boleh, satu kedai mainan mahu diberikan kepada kita. Tapi tentulah ada masanya dia perlu mendidik kita.

Ada masanya pula, kewangan tak mengizinkan. Ayah rasa bersalah sangat bila tak dapat bawa balik mainan yang diminta oleh kita adik-beradik. Kalau dapat duit lebih, benda itulah yang pertama sekali ayah nak beli. Bukan barang lain.

3. AYAH MAHU DEKAT DENGAN KITA

Ayah mungkin nampak kekok apabila berbual dengan kita. Tapi sebenarnya mereka mahu hadir dalam hati kita. Kalau boleh, mereka mahu menghentikan masa supaya mereka dapat sentiasa ada dengan anak-anak dan melihat semua seperti apa yang dilihat oleh mata ibu – langkah pertama kita, perkataan pertama kita, dan berkongsi detik gembira dengan kita.

4. AYAH DAH CUBA SEHABIS BAIK UNTUK KELUARGA

Kita mungkin tak perasan, ayah buat ‘overtime’ sebab mahu cukupkan belanja rumah atau beli barang yang kita asyik sebutkan. Walaupun mereka sibuk bekerja, percayalah dalam hati mereka kerja tersebut adalah diniatkan untuk mencukupkan keperluan keluarga, termasuklah kita.

Tapi sebagai manusia, ayah juga pernah tersalah langkah. Mungkin ia menyebabkan kita berdendam, terutamanya kalau ada janji mereka yang tidak ditepati. Entah kenapa, kita rasa ayah tak boleh buat silap. Sedangkan, mereka dah cuba sedaya-upaya, tapi segala ketentuan bukanlah di tangan mereka. Kalau kita sedih, apatah lagi mereka.

5. AYAH PENAT

Ayah penat. Kadang-kadang ayah sibuk ambil dan hantar anak ke sekolah sampai lupa makan tengahari. Ayah jamah saja apa yang sempat. Masalah ayah, kita tak jarang tanya. Sebab kalau tanya pun, mesti ayah kata tak ada. Lama-lama, kita pun lupa nak tanya lagi.

Bagaimana ayah dapat lakukan rutin ini setiap hari, itu rahsia dia. Dengan kudrat itulah ayah membesarkan kita hingga hari ini. Ya, hari ini. Walaupun kita dah kahwin dan berkeluarga, ayah masih tanya sama ada kita cukup makan pakai.

6. AYAH MAHU KITA JADI LEBIH BAIK BERBANDING DIRINYA

Bila dah dewasa dan bekerja, baru kita tahu tekanan itu datang dari mana. Tapi seingat kita, ayah selalu nampak tenang dan ayah tak pernah mengeluh. Ayah hebat.

Tapi, dia tak mahu kita jadi seperti mereka. Dia mahu kita jadi lebih baik berbanding dirinya.

7. AYAH MAHU KITA BOLEH HIDUP TANPANYA SUATU HARI NANTI

Apa yang ayah larang selama ini ada sebabnya yang tersendiri. Apa yang ayah suruh buat pun samalah juga. Pokok pangkalnya, dia mahu kita boleh berdikari. Mereka tahu kita perlu hidup tanpa mereka satu hari nanti.

Jadi, diharapkan ilmu dan didikan yang diberikan kepada kita dapat menjadikan kita berfikir. Mungkin kita tak faham pada waktu itu, tapi kita akan faham nanti. Apa yang kita nak kata, katalah. Ayah tak risau tanggapan kita walaupun ada masanya dia berkecil hati.

Sebenarnya, bukan dia tak peduli perasaan kita. Tapi ayah berpandangan jauh dan cuba menunaikan tanggungjawab mereka sebaik mungkin.

8. AYAH TAK MENYESAL KORBANKAN SEMUANYA UNTUK KITA

Apabila ayah semakin tua, ayah lega tengok anak-anak berjaya. Tapi sebenarnya, yang kurang menyerlah pun, ayah sayang juga. Tak ada lebih, tak ada kurang. Kita saja yang menuduh ayah yang bukan-bukan.

Apa pun, ayah tak jemu mendoakan kita setiap hari untuk menampung kekurangan mereka terhadap kita. Ayah tak pernah menyesal berkorban untuk kita walaupun ada masanya kita tidak menjadi seperti apa yang mereka harapkan.

9. AYAH SAYANGKAN KITA

Tiada kata yang dapat menerangkan bagaimana ayah menyayangi kita. Mereka tak pandai menyusun ayat, mereka tak pandai meyakinkan kita melalui kata-kata. Hanya Tuhan yang mampu menilai semua pengorbanan ayah terhadap kita.

ITULAH PENGORBANAN AYAH!

Kadang-kadang kita memang tak nampak semua perkara ini hinggalah kita dewasa.

Begitu banyak beban dan pengorbanan ayah tidak mungkin terucap dengan kata-kata kerana cintanya terhadap kita. Jadi, hargailah ayah kita walau apa pun sejarah kita dengan mereka. Ayah tidak pernah meminta masa yang lebih....tapi hanya sekelumit masa bersamanya dah cukup.

Ya Allah,
Berikan Syurga yang indah Buat Ayah.
Aamiin.

Mak di hospital!

Beberapa tahun lepas saya menurunkan Mak di depan hospital dan berjanji supaya Mak telefon bila dah semua urusan selesai, Mak menghadiri pemeriksaan biasa bulanan di Hospital, saya pulang ke rumah dan menunggu Mak telefon bila dah siap nanti.

Dalam perjalanan pulang ke rumah, saya tiba-tiba terkenang suatu ketika dulu ketika saya demam, Mak menggengam erat tangan saya berjalan dari rumah menunggu bas untuk ke hospital, sesekali saya di dukung kerana tak kuat berjalan, di atas bas saya baring di ribaan Mak sambil Mak mengusap kepala dan sesekali mengucup dahi saya, di hospital juga ketika menunggu rawatan saya sentiasa di dalam pelukan Mak, selesai rawatan, sekali lagi dalam perjalanan ke stesen bas saya didukung, sempat dibawa ke kedai dan Mak cakap 'adik nak beli apa apa ke' sampai di rumah saya dipujuk untuk makan ubat, dipujuk dan disuap makan kerana tak lalu makan akibat demam.

Habis saja kenangan itu berlalu difikiran saya segera terus berpatah balik ke hospital,' hujan lebat di dalam kereta' sampai di hospital terus saya mendapatkan Mak yang sedang termanggu keseorangan menunggu urusan rawatan, saya sembunyikan airmata saya yang ditahan supaya tidak mengalir di hadapan Mak, saya memegang tangan Mak membawa masuk bilik doktor, mendengar penjelasan doktor berkaitan tahap kesihatan Mak, mendengar nasihat doktor supaya memantau pemakanan Mak, saya memegang tangan Mak ke farmasi dan menunggu untuk mengambil ubat, selesai semuanya saya memegang tangan Mak menuju ke kereta, membuka pintu kereta untuk Mak dan saya tanya 'Mak ada nak beli apa apa ke',
YA ALLAH, ampunilah aku yang sedikit terlalai dari menyantuni pembuka pintu syurga untuk ku ini.

Saya sekarang di IJN Kuala Lumpur, menunggu untuk berjumpa doktor, rawatan susulan.
Saya menulis rasa hati ini bila melihat di sini ramai Mak Ayah yang keseorangan terkial-kial bertanya arah sambil menunjukkan kad mereka,
bayangkan disini ada blok A, blok B dan sangat luas, ada yang bertanya arah cafe untuk makan setelah semalaman berpuasa untuk mengambil darah, beratur ramai untuk mengambil dan membayar harga makanan dan sebagainya, saya juga melihat pasangan Mak Ayah lewat 70 an yang saling membantu berpimpin, berjalan perlahan mengatur langkah dan sesekali berhenti penat, mungkin mereka tidak mempunyai anak TETAPI sangat rugilah seandainya mereka mempunyai anak anak dan anak-anak mereka terlepas pandang ruang kasih sayang yang sepatutnya mereka penuhi ini.

Alhamdulillah, setakat ini saya gagah ke sana sini berjalan laju di hospital, namun seandainya saya berada ditahap Mak saya dan Mak Mak Ayah Ayah yang saya lihat di IJN ini, saya akan rasa selesa, bangga, terharu dan harapkan ada anak bersama saya sekurang kurangnya sebagai 'SEMANGAT'.

Anak anak sekelian, saya yakin apa yang saya rasa ini dirasai oleh Mak Ayah kita semua.
Hayati lah firman ALLAH ini untuk kebaikan bersama dunia dan akhirat-

وَقَضَى رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِنْدَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُلْ لَهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُلْ لَهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُلْ رَبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا .

Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah satu seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, 'Wahai Tuhanku, sayangilah keduanya sebagaimana mereka berdua telah menyayangi aku di waktu kecil'.
Al Isra' 23 & 24

Syed Mohamad Nazli Bin Syed Ahmad
Institut Jantung Negara IJN Kuala Lumpur
Related Posts with Thumbnails