Rakan SIMAAS anda!

PETIKAN HADIS

Posting Terbaru!

Posting Terbaru!

Monday, July 29, 2013

Hikmah Perintah Cari Lailatul Qadr

DALAM artikel sebelum ini, telah dijelaskan beberapa pandangan ulama tentang malam-malam yang dihukum sebagai Lailatul Qadar. Berdasarkan kepada teori pendapat ulama, nampaknya tidak wujud kesepakatan tentang malam bilakah akan berlaku Lailatul Qadar.

Dalam hal ini, bagaimanakah sikap kita untuk mendapat rahmat dan anugerah Lailatul Qadar?
Kita boleh memahami kaedah mudah mendapat Lailatul Qadar dengan sedikit pemikiran logik. Contohnya seorang pelajar yang akan menghadapi peperiksaan pada akhir tahun. Dalam silibus pelajarannya, ada 30 bab yang perlu dibaca.

Namun pelajar ini dengan kepandaiannya hanya membaca 10 bab sahaja. Ini kerana 10 bab ini belum pernah keluar soalannya sejak beberapa tahun yang lalu. Adapun 20 bab lagi tidak dibacanya kerana ia yakin bab-bab tersebut tidak akan keluar dalam peperiksaan nanti.

Bayangkan seorang pelajar yang hanya membaca 10 bab sahaja daripada 30 bab. Bagaimanakah peluangnya untuk lulus dengan cemerlang. Adakah diyakini pelajar ini akan mendapat keputusan A? Agak mustahil untuk mendapat A kerana terlalu sedikit yang dibaca dan diulangkaji. Mungkin sekadar lulus cukup makan sahaja.

Berbeza dengan seorang lagi pelajar yang mengulangkaji 30 bab dengan baik. Semuanya dibaca dengan teliti tanpa tertinggal walaupun satu bab. Semuanya difahami dengan baik.

Bagaimana tanggapan kita terhadap pelajar ini? Adakah beliau akan lulus? Kita yakin beliau akan lulus. Bagaimana pula peluangnya untuk mendapat A dalam peperiksaan? Kita yakin bahawa pelajar sebegini mempunyai peluang yang cerah untuk mendapat A.

Konsep yang sama jika dapat kita aplikasi dalam mencari Lailatul Qadar. Ada 30 malam dalam bulan Ramadan. Namun kita hanya beribadat pada malam hari sekadar malam-malam tertentu.

Contohnya sekadar 10 malam sahaja dengan anggapan bahawa inilah malam al-Qadar. Mungkin kita memilih malam pertama, malam 10, 15, 17, 21, 23, 25, dan 29 Ramadan sahaja. Selebihnya kita abaikan kerana ia bukanlah malam al- Qadar. Adakah peluang kita cerah untuk mendapat anugerah Lailatul Qadar?

Sudah tentu agak tipis untuk mendapat Lailatul Qadar. Bagaimana pula jika kita beribadat setiap malam tanpa tertinggal walaupun satu malam.

Ibadat pada malam hari bulan Ramadan termasuk dalam saranan Nabi saw maksudnya: Sesiapa yang qiyam Ramadhan dengan penuh iman dan mengharap pahala maka diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu. (riwayat al-Bukhari).
Apakah maksud qiam Ramadan? Qiam Ramadan dapat difahami sebagai ibadat pada malam hari. Apa jua ibadat boleh dilakukan.

Solat tarawih adalah ibadat. Maka sesiapa yang bersolat tarawih, maka ia termasuk dalam golongan tersebut dalam hadis itu. Namun qiam Ramadan bukan sekadar terhenti atas solat tarawih sahaja, bahkan banyak lagi ibadat boleh dilakukan.

Antaranya membaca al-Quran, berzikir dalam pelbagai bentuk zikir yang ada seperti tahlil, tasbih, takbir, tahmid dan sebagainya. Tahlil adalah ungkapan La ilaha illa Allah manakala tasbih ialah ucapan Subhanallah. Takbir ialah ungkapan Allahu akbar dan tahmid ialah ucapan Alhamdulillah.

Walau bagaimanapun, Nabi SAW ada bersabda agar Lailatul Qadar dicari pada malam-malam tertentu. Antaranya sabda Nabi SAW maksudnya: Carilah Lailatul Qadar pada 10 malam yang akhir. (riwayat al-Bukhari).

Maka hadis ini merupakan satu galakan agar ibadah dipertingkatkan pada 10 malam yang akhir. Dan berdasarkan hadis ini, nampaknya kebanyakan pandangan ulama berpendapat bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam tersebut antara 21, 22, 23, 24, 25, 26, 27, 28 dan 29 Ramadan.

Melalui hadis ini, kita dapat menyaksikan sikap masyarakat yang mula liat ke masjid dan surau pada 10 malam yang terakhir. Bagi kaum lelaki, mereka sudah penat barangkali beribadat sepanjang 20 malam.

Bagi kaum wanita, barangkali mereka pula sibuk dengan perhiasan rumah dan kuih-muih. Ketika ini, kemeriahan dan kemanisan ibadat qiam Ramadan tenggelam dengan kemeriahan persediaan menyambut satu Syawal.

Oleh itu, satu kerugian jika kita terlepas peluang mencari Lailatul Qadar. Kita mungkin sibuk memecut larian dalam pusingan awal namun kepenatan dalam pusingan yang akhir.

Pelari sebegini akan kalah. Maka jika kita bersungguh beribadat dalam malam-malam awal Ramadan, dikhuatiri kita akan keletihan pada 10 akhir Ramadan.

Oleh itu, buatlah ibadah secara sederhana dan dalam kemampuan. Biarlah amalan sedikit tetapi istiqamah. Istiqamah dan konsisten sepanjang bulan Ramadan. Insya-Allah dengan nilai istiqamah disulami dengan keikhlasan, anugerah Lailatul Qadar akan menjadi milik kita.

Oleh:MOHAMMAD NIDZAM ABDUL KADIR

Sumber:bishrul-hafi.blogspot.com

No comments:

Related Posts with Thumbnails