KUALA LUMPUR, 2 Feb 2017— Kit merawat histeria yang dihasilkan universiti tempatan tidak mampu menghentikan gangguan makhluk halus, kata seorang pengamal perubatan Islam.
Tuan Asmawi Tuan Umar, yang berpejabat di Bangi, berkata manusia hanya mampu berusaha tetapi segalanya bergantung kepada kekuatan rohani.
“Jin tidak hairan semua itu. Lada hitam juga makhluk. Kekuatan mesti datang dari dalam [diri], bukan daripada barang-barang.
“Benda itu hanya menakutkan sahaja,” katanya, yang pernah bertugas di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), dalam satu wawancara bersama ProjekMMO.
Universiti Malaysia Pahang (UMP) melancarkan kit merawat histeria pada 2015 bagi membantu mengubati pelajar yang kerap mengalami histeria atau gangguan makhluk halus.
Pengarah pusat Islam dan pembangunan insan universiti itu berkata kit tersebut dihasilkan selepas melakukan kajian terhadap gejala itu selama lima tahun.
“Kit ini dibuat mengikut kaedah Pusat Rawatan Al-Manarah, Rawang merawat pesakit histeria dan rasukan.
“Kaedah ini sudah digunakan pusat berkenaan lebih 20 tahun,” kata Dr Mahyuddin Ismail seperti dilaporkan Sinar Harian.
Mengulas histeria yang sering berlaku di sekolah-sekolah, Tuan Asmawi berkata gejala itu bukanlah berpunca daripada tekanan pelajar.
Pelajar yang terlibat mungkin banyak berhibur dan lalai dalam mengamalkan tuntutan agama, tambahnya.
“Ada benda yang mereka lakukan bertentangan dengan kemahuan mereka. Mungkin terlalu banyak berhibur dan lalai dalam diri.
“Sekolah memang riuh-rendah. Orang lain belajar PhD (doktor falsafah) tidak ada apa pun [histeria]. Mereka ini [belajar peringkat] sijil dan diploma pun belum. Apa yang tertekan?
“Benda ini berlaku kerana kita lupakan Allah. Bila kita ingat Allah, benda ini tidak terjadi. Kalau baca Yaasin, tidak payah panggil bomoh pun,” katanya, yang pernah terlibat di peringkat awal dengan idea program realiti TV Imam Muda.
Histeria tidak asing dalam masyarakat Melayu, termasuk yang dialami di beberapa buah sekolah tahun lalu. Ia juga disebut gejala rasukan akibat gangguan jin atau makhluk ghaib.
Mengulas gejala yang sering mengganggu pembelajaran di sekolah, menteri pendidikan pada Mei berkata histeria berpunca ketegangan emosi dan gejala kemurungan yang kronik.
“Ujian yang dijalankan pakar perubatan menunjukkan pelajar itu terkena histeria akibat ketegangan (emosi), kerisauan dan kemurungan yang kronik, selain berada dalam tekanan,” kata Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam jawapannya di Parlimen.
Puluhan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa 2 dekat Kota Baru dilaporkan diserang histeria beberapa kali dalam sebulan sejak April lalu walau pelbagai langkah diambil.
Gejala itu dilaporkan bermula apabila lebih 50 pelajar dan guru meracau dan meraung-raung selepas mendakwa melihat kelibat “pocong” dan “pontianak”.
Selepas pelajar sekolah berkenaan terkena histeria, pelajar di tiga sekolah berhampiran di sekitar Pengkalan Chepa turut mengalami nasib sama bulan lalu.
Masalah itu melibatkan lima pelajar perempuan SMK Pengkalan Chepa 1, 20 pelajar SMK Kemumin, dan lapan termasuk seorang guru di SMK Kubang Kerian 3.
No comments:
Post a Comment