Rakan SIMAAS anda!

PETIKAN HADIS

Posting Terbaru!

Posting Terbaru!

Thursday, February 9, 2017

Mangsa serangan buaya di Santubong hilang dari paras pinggang ke atas



KUCHING: Misteri kehilangan seorang kakitangan sekolah SMK Bandar Baru Semariang terjawab apabila sebahagian daripada anggota badannya ditemui di kawasan belukar Sungai Lawai, Santubong sekitar jam 10.29 pagi tadi.

Mangsa, Selamat Draup, 54 tahun ditemui dalam keadaan mengerikan, dengan paras pinggang hingga kepalanya hilang.

“Cebisan perut mangsa juga bertaburan di sekitar pokok,” kata salah seorang saksi yang terlibat dalam penemuan tersebut, sekali gus memperkukuh dakwaan bahawa dia menjadi mangsa serangan buaya.

Ia merupakan kejadian ketiga serangan buaya dalam tempoh dua tahun di sekitar kawasan tersebut, dengan mangsa terakhir juga ditemui dalam keadaan yang sama.

Kehilangan mangsa sebelum itu dilaporkan oleh isterinya, Salmah Mahdi, 55 tahun sekitar jam 8.15 pagi.

Ia berikutan kegagalan mangsa untuk berada di rumahnya pada jam 5 pagi di Bandar Baru Samariang seperti rutinnya, selepas menjala udang di pantai Kampung Santubong.

“Saya dan anak kemudian pergi ke tempat suami saya bekerja di SMK Bandar Samariang tetapi dia tiada di situ.

“Kemudian saya dan anak saya pergi ke tepi pantai Kampung Santubong dan menjumpai barang-barang dan peralatan untuk menjala, selain kunci kereta, telefon bimbit yang ditinggalkan di tepi pantai, bersama-sama sebuah kereta jenis Iswara warna merah.

Lanjutan laporan polis tersebut operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian diaktifkan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat, Polis, Rela dan pelbagai agensi lain serta penduduk kampung.

Menurut salah seorang penduduk, Faizul Ismail, mereka nekad menuju ke kawasan yang dikenal pasti sebagai “lubuk buaya”, untuk mengesan mangsa.

“Intuisi saya mengatakan mangsa diserang oleh reptilia tersebut, dan ia berlaku tidak berapa lama setelah seorang remaja dari kampung ini diserangnya.

“Setibanya di kawasan yang agak ‘selut’, kira-kira 500 meter dari laut, menuju ke arah kawasan hutan berhampiran tebing sungai, kami menemui mangsa.

Kata Faizul, pihaknya kemudian memaklumkan penemuan tersebut kepada pihak polis dan bomba, yang seterusnya membantu mengeluarkan mangsa dari lokasi.

“Kedudukan mangsa dijumpai sekitar 3 kilometer dari lokasi kali terakhir dia dilihat,” kata Mirza Dzalmira Miraj, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya yang mengetuai operasi SAR.

Katanya, susulan kejayaan tersebut, operasi SAR dihentikan untuk sementara waktu dan disambung semula dengan bantuan pasukan khas hidupan liar daripada Sarawak Forestry Corporation.

“Saya telah pun berbincang dengan agensi lain dan kemungkinan kita akan membuat satu lagi operasi untuk mencari bahagian tersebut dan kita juga telah menghubungi pihak SFC untuk memaklumkan penglibatan haiwan buaya di tempat kejadian,” katanya lagi.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak untuk tujuan bedah siasat dan mengenal pasti identiti. – Sarawakvoice

No comments:

Related Posts with Thumbnails