Tazkirah Harian
*BAHAYA JIKA ORANG BERILMU BERBANGGA DIRI*
IMAM Al-Ghazali pernah berkata, mereka yang bersifat ego tidak segan silu menghina orang lain sama ada di depan khalayak atau belakang serta menolak kebenaran dan nasihat baik yang diajukan kepadanya.
Ibnu Mas'ud juga pernah berkata yang maksudnya: "Cukuplah seseorang itu dianggap telah berdosa apabila dikatakan kepadanya: bertakwalah kamu kepada Allah, lalu ia menjawab, ‘jagalah dirimu sendiri (jangan jaga tepi kain orang)’. Sikap demikian melambangkan sikap ego."
Antara punca seseorang itu bersikap ego dan bongkak ialah ilmu pengetahuan yang banyak dimiliki seseorang. Kalau tidak dikawal hatinya dengan sifat rendah diri (tawadu’), dia boleh bersikap sombong dengan ilmunya.
Inilah antara bahaya yang amat besar dan ditakuti oleh Rasulullah SAW iaitu bertambah ilmu, bertambah pula egonya. Punca lain yang boleh membawa kepada sifat ego ialah kelebihan daripada segi amal ibadah.
Seseorang yang sedar ia mempunyai kelebihan di dalam bidang ilmu dan amalannya tidak mudah untuk mengawal hatinya daripada dihinggapi perasaan ego.
Jika tidak dikawal, seseorang itu akan merasa dirinya sempurna daripada orang lain dan sentiasa merasa senang hati apabila ia disebut sebagai seorang yang banyak beramal dan banyak beribadah.
Di mana sahaja dia pergi, sentiasa diberi perhatian dan keutamaan dan hal ini menyebabkan lama-kelamaan akan bertambah egonya kerana berasa diri mempunyai kelebihan.
Berasa diri cantik dan mempunyai kelebihan dari segi keturunan serta harta juga boleh membangkitkan ego seseorang.
Sifat ego adalah sifat yang membinasakan dan tiada seorang makhluk pun akan terlepas daripada sifat berkenaan kecuali dia mendekatkan diri dengan Allah.
Manusia harus sedar bahawa kita dijadikan Allah daripada air yang hina dan Allah yang kemudiannya menentukan bentuk yang sepadan dengannya.
Ini jelas dinyatakan dalam surah ad-Dhar ayat kedua dan ketiga yang bermaksud: "Dari setitis mani yang bercampur (kami jadikannya), lalu kami mengujinya, Maka kami jadikannya orang yang dapat mendengar dan dapat melihat. Sesungguhnya kami juga menunjukkan jalan kepadanya. Adakalanya manusia itu menjadi orang yang tahu berterima kasih dan ada kalanya ia menjadi orang yang tidak tahu berterima kasih."
Kita harus sedar bahawa tiada manusia yang lebih mulia di sisi Allah kecuali orang yang bertaqwa tanpa mengira kaya, miskin, berpangkat atau sebagainya.
Sebenarnya, Islam memandang sikap ego, sombong, bongkak dan besar kepala sebagai sifat mazmumah dan menjadi batu penghalang untuk ke pintu syurga.
Penyakit ego adalah punca timbulnya penyakit jiwa lain yang bukan sahaja boleh mengganggu keseimbangan jiwa dan fikiran seseorang, malah boleh membawa bencana kepada masyarakat jika tidak dikawal dan diubati.
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Tidak akan masuk syurga sesiapa yang di dalam hatinya terdapat sifat ego walaupun sebesar zarah."
Allah juga mencela sifat ego seperti dalam firmannya dalam Surah An-Nahl ayat 23 yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah benci kepada orang yang bersifat ego."
Allah berfirman lagi dalam Surah al-Mukmin ayat 60 yang maksudnya: "Sesungguhnya orang-orang yang bersifat ego (menyombong diri) daripada menyembah Aku, mereka akan masuk ke dalam neraka jahanam dan menderita kehinaan di dalamnya."
Maka, perlulah kita sedar apabila terasa ego dan beristighfar dan menjauhinya sejauh-jauhnya. Bukankah iblis dijanjikan neraka kerana ego?
Rakan SIMAAS anda!
PETIKAN HADIS
Posting Terbaru!
Saturday, December 31, 2016
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment