Rakan SIMAAS anda!

PETIKAN HADIS

Posting Terbaru!

Posting Terbaru!

Saturday, December 31, 2016

Isu mencuci dengan mesin basuh

Perkongsian Tuan Ahmad Affzan Abdullah #handmadekhat di dalam FBnya berkaitan isu viral mencuci pakaian di tempat mencuci automatic public. bila kita pernah duduk oversea baru kita rasa. syukurlah kita tinggal di Msia.. 😊😊

=======

Waktu lepas SPM dulu, saya pernah terkena penyakit was-was, atau secara saintifiknya boleh dikategorikan di bawah OCD.

Takut terkena najis, was-was wuduk tak sah, air tak rata, pegang itu kotor, ini kotor. Sampaikan salam dengan non Muslim pun bimbang macam sudah terpegang khinzir.

Waktu saya menetap di UK kali pertama pada tahun 1997, saya bergaul dengan ramai non Muslim.

Hari-hari berdepan dengan makanan yang tidak halal di kantin sekolah. Bila berjalan kaki ke mana-mana, selalu terserempak dengan najis anjing. Warden pula bela anjing dua ekor yang besar kambing.

Kalau saya cerita satu-satu insiden penyakit was-was ini, mungkin boleh siap satu buku.

Alhamdulillah, derita saya tidak berlanjutan.

Bila belajar dengan ustaz di sana, mula tahu kaedah fiqh yang berbunyi:

"Keyakinan itu tidak boleh dihilangkan dengan keraguan"

Contohnya kita was-was adakah kasut kita terkena najis anjing. Di sini, keraguannya ialah terkena najis anjing. Yang yakinnya, keluar rumah tadi kasut kita memang tak ada najis. Maka was-was kena najis anjing itu kira terbatal atau tak 'valid', jadi jalan terus sajalah. Tak perlu pening.

Saya juga belajar kaedah 'Menghukum pada yang zahir'.

Maksudnya kalau kita tengok tangan mat saleh itu tak ada babi, tak perlulah kita selidik adakah tadi dia pegang babi hingga kita tak nak salam dia. Tak perlu juga kita ambil sampel DNA pada tapak tangan dia untuk tengok ada DNA babi atau tidak.

Rupanya hadith Nabi Sallallahu alaihi wasallam dan athar sahabat sudah banyak sebut tentang perkara ini.

Contohnya dalam sebuah hadis riwayat Imam Bukhari :

“Seorang lelaki mengadu kepada Nabi Sallallahu alaihi wasallam bahawa dia merasa sesuatu semasa dalam solatnya, apakah dia patut berhenti?. Jawab Nabi s.a.w: “Jangan sehinggalah mendengar bunyi (kentut) atau mendapati bau (kentut)”.

Begitu jelas Nabi mengajar kita supaya membuang was-was. Hanya bila ada bukti yang nyata, barulah kita terima.

Dalam sebuah hadis lagi :

“Bahawa Nabi s.a.w kencing, kemudian berwuduk dan merenjiskan air pada kemaluan baginda” (Riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani). Tujuan renjisan pada pakaian di kawasan kemaluan itu ialah untuk membuang was-was. Jadi bila kawasan itu basah, kita yakin itu sebab air renjisan tadi, bukan sebab terkencing.

Suatu ketika, titisan air dari bumbung sebuah rumah terkena saidina Umar. Lalu seorang sahabat beliau menyeru tuan rumah tersebut, adakah air ini suci atau ada najis? Umar kemudian menyahut, "Wahai pemilik bumbung, tak perlu jawab pertanyaan tadi." Beliau abaikan dan terus berlalu. Tidak perlu selidik dengan mendalam.

Dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, ada suatu kaum yang berkata, “Wahai Rasulullah, ada suatu kaum membawa daging kepada kami dan kami tidak tahu apakah daging tersebut disembelih dengan dibacakan bismillah atau tidak.” Rasulullah kemudian menjawab, “Ucapkanlah Bismillah lalu makanlah.”

Ini semua kaedah Nabi dan sahabat ajar kita supaya tidak menyusahkan diri melampau-lampau. Islam itu mudah.

Sedikit demi sedikit saya belajar untuk tidak melayan 'suara-suara' yang menimbulkan was-was dalam kepala. Buat bodoh saja dan jalan terus.

Kadang-kadang was-was ini berpunca dari kurangnya pengetahuan tentang kategori najis, taharah, kaedah fiqh, halal haram dan lain-lain berkaitan agama Islam. Ini yang berlaku pada saya dulu. Lalu kita pun takut lebih dari yang sepatutnya.

Ada juga yang memang mengalami gangguan mental. Yang itu saya kurang pasti bagaimana mengubatnya.

Untuk kategori kurang ilmu, saya sarankan agar kita dalami ilmu agama dengan guru yang mursyid atau yang berkelayakan dan pakar. Insya-Allah itu akan mengurangkan fobia dan perasaan paranoia yang wujud

Buku berkenaan fiqh luar negara dan seminar yang berkaitan pun sudah banyak sekarang ini. Waktu saya dulu tak ada. Terkena pula penyakit was-was, memang mimpi ngeri sementara nak dapat ilmu yang betul.

Belajar, dapatkan bantuan pakar, dan teruskan berdoa. Was-was dan OCD ini nampak remeh. Sekali terkena baru tahu betapa celarunya hidup

No comments:

Related Posts with Thumbnails