Lokasi: Bandar Baru Samariang
KUCHING: Sepasukan anggota bomba mengambil masa lebih 20 minit bagi memujuk seorang lelaki membatalkan hasratnya untuk terjun membunuh diri dari sebuah rumah di Bandar Baru Semariang, semalam.
Dalam kejadian jam 12.33 tengah hari itu, lelaki berusia 23 tahun itu dikesan penduduk berdiri di atas bumbung sebuah rumah di Lorong Cahaya Damai 6C, di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya Muhammed Mirza Dzalmira Miraj berkata lelaki itu mendakwa kecewa dengan hidupnya yang mempunyai masalah besar. Tambahnya, kelibat lelaki itu turut disedari penduduk lain yang melalui jalan raya di hadapan lorong tersebut.
“Lelaki itu dilihat dalam keadaan mencurigakan di bumbung rumah berkenaan yang nekad mahu membunuh diri dengan terjun dari bumbung. “Bagaimanapun sepasukan anggota yang diketuai PBK II Nooruddin Ismail Talab yang berada di lokasi kejadian berusaha memujuk lelaki itu,” katanya.
Selepas lebih 20 minit dipujuk, lelaki itu akhirnya membatalkan niatnya sebelum diserahkan kepada polis. Menurutnya, siasatan mendapati lelaki terbabit bukan penghuni di rumah berkenaan malah tindakannya memanjat bumbung rumah tersebut turut menjadi persoalan.
“Penghuni rumah tersebut tidak mengetahui bilakah lelaki itu memanjat bumbung kediamannya sebelum menggemparkan penduduk setempat,” jelasnya.
Mirza berkata operasi tersebut melibatkan seramai enam anggota daripada BBP Petra Jaya yang bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 12.30 tengah hari.
Sumber: Utusan Borneo
No comments:
Post a Comment