Rakan SIMAAS anda!

PETIKAN HADIS

Posting Terbaru!

Posting Terbaru!

Tuesday, January 17, 2017

Dr. Zulkifli di ijtimak Tabligh

SEHARI DI IJTIMAK UMMAH SEDUNIA: SATU MUHASABAH

Alhamdulillah, kami rafa'kan setinggi kesyukuran kepada-Nya atas segala limpahan rahmat-Nya yang tidak terhitung. Pada hari ini, kami lancarkan satu ruangan baru penulisan yang akan merakamkan detik-detik manis sepanjang permusafiran kami ke mana-mana tempat, untuk dikutip ibrah dan faedahnya bagi manfaat bersama. Kami namakan ruangan ini sebagai "#TravelogMuftiWP"

1. Pada 14 Januari 2017, kami berkesempatan untuk bersama-sama menghadiri Ijtimak Tabligh Sedunia di Tongi, Dhaka, Bangladesh. Dengan izin-Nya, kami mendarat di Hazrat Shahjalal International Airport dengan selamat pada jam 11.30 malam. Waktu di sana 2 jam lebih lewat daripada Malaysia.

2. Kami disambut dengan penuh kehangatan mahabbah dan ukhuwwah Islamiyyah. Mereka adalah golongan yang amat memuliakan tetamu (ikram al-dhuyuf). Mereka berkhidmat dengan sepenuh hati, jiwa dan tenaga. Itulah mereka, jemaah Tabligh.

3. Kami solat Jamak Maghrib dan Isyak secara ta'khir di khemah. Kemudian, kami makan dan terus tidur dek kepenatan. Subuh kami keesokannya diimamkan oleh Maulana Sa'ad hafizahullah. Beliau membaca Surah al-Haqqah dan Surah al-Fatihah. Bacaan yang cukup meruntun hati di pagi yang hening. Alhamdulillah, kami berkesempatan bertemu dengannya. Bayan yang cukup indah dan sempat kami catat noktah-noktah pentingnya:

- Jemaah Tabligh tidak memandang rendah usaha jemaah-jemaah lain dan sentiasa meraikan usaha dakwah yang dilakukan.
- Ulama' adalah pewaris Nabi dan hendaklah sentiasa mengambil warisan Nabi SAW dan menyampaikannya kepada ummah.
- Tamsilan berkenaan air dalam ayat-ayat al-Qur'an sebagai keberkatan, kesucian, dan kerahmatan. Ambillah faedah air hujan yang sifatnya yang memberi berbanding air telaga yang sifatnya menerima.
- Para ulama' perlu melaksanakan usaha dakwah, mengajar, mendidik masyarakat selain bekerja untuk menyara hidup dan keluarga. Mereka perlu menjadi petunjuk dalam mengaplikasikan tatacara hidup yang cemerlang dalam kehidupan seharian.

4. Kami sempat menziarahi dapur masakan dan khemah-khemah Arab dan Malaysia. Selepas itu, kami sama-sama bersarapan dan bertemu dengan ramai ikhwah daripada Malaysia termasuk SS Mufti Pahang, Dato' Sri Dr. Haji Abdul Rahman Bin Haji Osman.

5. Menginsafi hakikat ini, kami dapati mereka:

- Ikhlas dan jujur dalam perjuangan dakwah.
- Amat sabar dengan kerenah mad'u dalam menyampaikan dakwah.
- Begitu prihatin dan cakna dalam ibadah terutamanya solat, zikir dan membaca al-Qur'an.
- Membudayakan khidmat pada tahap yang tertinggi kepada tetamu dan cuba untuk merealisasikan sabdaan Nabi فليكرم ضيفه (maka muliakanlah tetamu).

6. Budaya seperti ini jika dapat diterapkan kepada hati-hati kita, nescaya jadilah kita golongan yang benar-benar memburu pahala dan syurga Allah SWT. Akhirnya, kami katakan kepada saudara-saudara kami daripada Jemaah Tabligh, جزاكم الله خير الجزاء. Semoga Allah masukkannya dalam mizan hasanat.

7. Sebelum berangkat pulang, sempat kami berbual dengan pimpinan jemaah Tabligh di Malaysia antaranya Maulana Abdul Hamid Chin. Beliau berkongsi dengan kami pelbagai kisah-kisah menarik untuk dijadikan pedoman.

Antara para ulama' yang sempat kami temui adalah:
- Maulana Sa'ad (Amir Tabligh)
- Maulana Ihsan al-Haq (Khalifah Maulana Zakaria al-Kandahlawi)
- Maulana Khurshid (Ahli Syura Ulama' Pakistan)
- Maulana Delawar
- Maulana Shameem (Markaz Nizamuddin)
- Maulana Shaukat (Markaz Nizamuddin)
- Maulana Wasif al-Islam (Amir Bangladesh)

Akhukum fillah,
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

----------------------------------------------------------
Ikuti perkembangan setiap hari Mufti Wilayah Persekutuan di laman sosial!
Instagram | https://www.instagram.com/drzulkifli.albakri
Twitter | https://twitter.com/drzul_albakri
Telegram | https://telegram.me/drzulalbakri
FB Page | https://www.facebook.com/drzulmuftiwp ; https://www.facebook.com/drzulkiflialbakri
Dapatkan jadual harian Mufti Wilayah Persekutuan di http://raudhah.co/drzulkiflialbakri

No comments:

Related Posts with Thumbnails