Rakan SIMAAS anda!

PETIKAN HADIS

Posting Terbaru!

Posting Terbaru!

Sunday, January 15, 2017

Kemenangan selepas bergantung kepada Allah

*KEMENANGAN SETELAH BERGANTUNG HANYA KEPADA ALLAH*

Tuan Guru Haji Hashim Jasin, Mursyidul Am PAS

PERJUANGAN menegakkan Islam adalah satu kewajipan yang melibatkan perjalanan yang sangat jauh lagi menyusahkan. Namun begitu perjuangan suci ini telah mencapai kejayaan demi kejayaan sehingga Islam dapat menguasai dunia ini. Lihatlah bagaimana Islam telah menjadi kuasa besar dunia dalam tempoh tidak sampai 100 tahun selepas Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah pada tahun 622 Masehi. Islam menguasai dunia ini selama 1,342 tahun sebelum jatuhnya Khilafah Othmaniyah pada tahun 1924 Masehi.

Apakah kekuatan utama yang dimiliki oleh pejuangan Islam ketika itu? Bukankah Nabi kita seorang yang miskin, yatim dan buta huruf? Bukankah orang-orang Mekah membenci dan menentangnya? Bukankah Islam pada awalnya hanya disokong oleh orang miskin dan hamba 'abdi sahaja? Bukankah jumlah orang Islam sangat sedikit sebelum Nabi berhijrah? Lalu bagaimana Baginda boleh mencapai kemenangan dalam keadaan serba lemah itu? Kalau kita masih ingat, sebelum berlakunya hijrah ke Madinah, Allah SWT telah mematikan Abu Talib dan Khadijah sehingga tahun itu dikenali sebagai 'tahun kesedihan.' Sebelum ini Abu Talib diketahui telah memberikan perlindungan kepada dakwah Nabi dengan pengaruh politik nya, sedangkan Khadijah membiayai gerakan dakwah Islam itu. Bukankah dengan kematian mereka telah menyebabkan perjuangan Islam 'kepatahan' tongkat?

Tidak! Dengan kematian mereka berdua dan hilangnya 'sokongan' politik dan ekonomi dari manusia ini telah menyebabkan Nabi SAW menyerahkan sepenuhnya pergantungannya kepada Allah SWT. Ketika Nabi SAW tidak lagi mengharapkan kepada manusia, sebaliknya menyerahkan pengharapan secara mutlak kepada Allah, ketika itulah Allah mendatangkan kemenangan kepada Islam. Hakikat bahawa perjuangan menegakkan agama Allah pasti akan ditolong oleh Allah tidak dapat dinafikan. Demikian firman Allah dalam surah al-Hajj ayat 40 yang bermaksud "Dan pasti Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Tidak Tandingan." Menurut Imam at-Thobari, Allah SWT pasti akan menolong orang-orang yang berjihad untuk meninggikan agama Allah ke atas musuh-musuh Allah.

Perjuangan Nabi SAW untuk menegakkan Islam dengan segala ikhtiar akhirnya mendapat pertolongan Allah setelah Nabi SAW tidak lagi mengharapkan sebarang pertolongan kepada makhluk. Inilah sebahagian daripada makna husnu thiqah billah - mempunyai sangkaan baik terhadap segala janji Allah termasuk janji untuk memberikan kemenangan kepada Islam, sehingga manusia menyerahkan seluruh usahanya untuk diberikan kejayaan oleh Allah SWT.

Dalam perjuangan kita hari ini, cabaran yang sengit semakin dirasakan. Kita melihat ada orang kehilangan punca kerana merasakan bagaimanakah Islam boleh mencapai kemenangan tanpa pertolongan parti-parti Pakatan Rakyat atau pengundi bukan Islam. Atau kita merasakan mustahil parti Islam boleh mencapai kemenangan dalam sebuah masyarakat politik yang majmuk tanpa sebarang pakatan politik dengan pihak lain. Ada ahli-ahli PAS lari meninggalkan perjuangan kerana mengikuti orang-orang yang tidak meyakini janji Allah, tetapi mahukan kemenangan yang dekat lagi segera. Mereka menghitung data-data tanpa memandang faktor pertolongan Allah SWT. Seumpama orang menghitung perbelanjaan berdasarkan gajinya, tetapi tidak menilai faktor keberkatan dalam hartanya.

Nah! Di sinilah perbezaan keyakinan di antara pejuangan Islam yang beriman terhadap Allah dan pertolongan-Nya dengan golongan yang meyakini sebaliknya. Perjuangan Islam dibangunkan dengan segala usaha dan ikhtiar, disulami dengan doa dan pengharapan kepada Allah. Tawakkal atau berserah diri kepada Allah dan menggantungkan seluruh pengharapan hanya kepada Allah adalah asas yang sangat penting untuk Allah memberikan pertolongan terhadap perjuangan Islam. Sememangnya kita tidak mempunyai sebarang kekuatan, apatah lagi untuk menghadapi musuh-musuh yang mempunyai senjata yang canggih, timbunan harta dan juga bala tentera yang ramai. Jika kita mengharapkan selain daripada Allah, siapakah yang sanggup untuk membantu perjuangan Islam?

Kerja-kerja menegakkan agama Allah adalah sangat rumit, mencabar dan banyak rintangan. Kita hanya berupaya untuk berusaha dengan pelbagai gerak kerja, tetapi kemenangan adalah milik Allah dan menjadi hak Allah untuk menyerahkan kemenangan kepada sesiapa yang dikehendaki. Seperti kita bercucuk tanam, menjadi tanggungjawab kita untuk menebang dan menebas, membajak dan membaja, menyemai dan menyiram. Tetapi bukan tanggungjawab kita, apatah lagi kuasa kita untuk mengeluarkan buah! Di sinilah pentingnya setiap dari kita meletakkan pergantungan perjuangannya semata-mata kepada Allah.

Orang-orang yang hanya mengharapkan selain dari Allah untuk membantu mereka dalam perjuangannya, bukan sahaja tersasar hala tuju hidupnya, tetapi pasti dia tidak akan mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat. Kemenangan yang diberikan oleh Allah kepada perjuangan Islam tidak boleh diukur dengan akal manusia yang sangat dangkal ini, tetapi mesti diukur dengan wahyu Allah. Sama ada kita mendapat kemenangan dengan berjaya mentaati Allah dan rasul-Nya atau kita diberikan kemenangan lalu membolehkan kita melaksanakan segala perintah Allah dan rasul-Nya. Yang penting bagi kita, dalam mencapai kemenangan ini, mesti kita meletakkan pergantungan hanya kepada Allah.

No comments:

Related Posts with Thumbnails