Rakan SIMAAS anda!

PETIKAN HADIS

Posting Terbaru!

Posting Terbaru!

Sunday, January 8, 2017

Antara kerja tabligh dan khanqah

Pernah sekali ada orang tanya pada Shaikh Zakariyya rahimahullah,

"Antara kerja tabligh dan kerja Khanqah, yang mana lebih penting dan patut saya utamakan?"

Maulana Zakariyya rah. sangat terganggu dengan soalan berbentuk provokasi seperti ini kemudiannya menjawab lebih kurang:

"Antara makanan dengan air, mana yang lebih penting dan mana yang patut kamu utamakan?"

Lelaki tu terpinga-pinga tak tau nak jawab apa.

Dari jawapan Maulana Zakariyya yang tentunya adalah ilham kewalian daripada Allah ni dapat kita fahami agama dengan sempurna, bukan dengan nafsu kita. Kita yang jauh dari Allah ni akan mudah taksub dengan satu jalan dan anggap itu sahaja jalan agama dan yang lain-lain bukan agama. Lalu menganggap dirinya sudah pun faham agama dan orang lain tidak faham agama.

Sedangkan ini salah faham besar!

Orang yang kenal agama melalui ilmu, akan taksub dengan ilmu.

Yang kenal melalui dakwah, akan taksub pada dakwah.

Yang kenal melalui Tareqat, akan taksub pada Tareqat.

Sedangkan jalan suci para nabi ialah menjalani hidup dengan *agama yang sempurna* bukan hanya dengan *satu juzuk* dari agama sahaja.

Orang yang hanya berdakwah dan mujahadah tabligh, iman mereka akan tinggi melangit, tetapi hati mereka akan kekal kotor dan tak akan kecapi kerohanian istimewa yang dikecapi oleh ahli-nisbat (ahli Tareqat Muktabar). Mereka akan mengganggap diri mereka sebagai sohib-hidayat (pemilik Hidayat) dan menganggap sesiapa yang tidak mengikut jalannya sebagai golongan yang "belum dapat hidayah" walaupun orang itu seorang ulama besar atau wali Allah. Mereka akan merasa sangat berjasa pada ummah kerana kerja-kerja mereka yang akhirnya orang ramai memang akan mendapat manfaat daripada dakwah mereka, tetapi mereka sendiri gagal Islah diri dengan dakwah mereka sendiri.

Orang yang hanya sibuk dengan Tareqat, hatinya tentu akan bersih suci dari segala penyakit hati, mudah taubat dan insaf, rendah diri dan melihat diri hina dan lain-lain sifat kemuliaan akan zahir pada batinnya, tetapi dia tidak akan mendapat kekuatan iman sepertimana yang didapati oleh para da'i melalui mujahadah dan pengorbanan mereka, dia tidak akan dapat fikir dan risau para nabi dan tidak mendapat sifat peduli pada ummah dengan penuh kasih sayang dan hanya akan sibuk dengan diri sendiri. Yang lebih menakutkan ialah apabila ditipu syaitan dengan perkara kerohanian seperti kasyaf, karomah, sirr, Nur dan sebagainya hingga dia hanya sibuk mencari itu bukan mencari Allah . Ramai yang tersesat dalam diri sendiri dan memandang orang lain yang tidak alami apa yang dia alami sebagai batil dan sesat.

Orang yang hanya sibuk dengan ilmu tanpa peduli pada dakwah dan Tareqah, mereka akan alami masalah hati yang sangat dahsyat, mereka akan kejar dunia dengan ilmu, kejar mahsyur dengan ilmu, kejar nama dan pujian dengan mahsyur, beranggapan dirinya paling berjasa pada ummah dan mengganggap semua orang yang jahil sebagai hina termasuklah pekerja² agama, maka akan terzahirlah para ulama dunia yang sangat jelas dan terang mengaut untung dunia dengan ilmunya , tanpa dunia, ilmunya tidak akan diberi kepada sesiapa pun, takabur akan membesar, tamak akan subur dan lain-lain sifat yang semuanya dapat ditutup dengan pakaian ulama sehingga orang ramai menganggap dia adalah pewaris nabi yang sahih.

Semoga Allah lindungi kita semua daripada fitnah-fitnah agama.

Wallahu'alam.

---------------------------------

*FANATIK MELAMPAU (TA'ASUB) YANG MEMUSNAHKAN AKHLAQ PERJUANGAN*

Syeikh Dr. Yusuf alQaradhawi menyenaraikan *tiga tanda ta'asub* seseorang kepada sesuatu kumpulan (atau jemaahnya);

*Pertama:*
Seseorang itu hanya _menyebut kelebihan dan kebaikan kumpulannya sahaja_, sementara untuk kumpulan lain hanya disebut keburukan dan kecacatan.

*Kedua:*
Dalam masa yang sama, _mengagungkan tokoh-tokoh kumpulannya_, sekalipun terdapat kesilapan dan kesalahan pada tokoh tersebut yang cuba dinafikan, dan memandang rendah tokoh lain sekalipun terdapat ketinggian ilmu & amal.

*Ketiga:*
Gembira dan _menyebarkan kesilapan dan kesalahan pihak lain_. Dalam masa sama, membutakan mata pada kesalahan tokoh dari kumpulan sendiri, dan berusaha mencipta pelbagai alasan untuk mempertahankan kesalahan itu.

*Dari 3 sifat ta'sub di atas...*
Seseorang itu dilihat berlebih-lebihan (ghulluw, tasyaddud) mempertahankan organisasi kumpulan (atau jemaah) sendiri seolah-olah itu adalah perkara ta'abbudi. Sehingga dikorbankan maslahah dakwah Islam dan umatnya supaya organisasi kumpulannya lebih terjaga.

*Untuk itu;*
*Qaradhawi mengingatkan pada pendakwah dan pendokong gerakan Islam bahawa;*

(a) Kumpulan atau jemaah hanyalah _wasilah (atau alat)_ dan bukannya berhala yang perlu disembah dan diagungkan seolahnya tiada dosa.

(b) Kaedah menjauhkan sifat ta'asub (fanatik melampau) dalam hal perbezaan pendapat dan ijtihad, seseorang hendaklah;

(1) *Lihat pada kandungan* teguran/percakapan, bukan pada susuk yang berkata, sekalipun dari musuh.

(2) Pendakwah perlu *berani mengkritik* diri sendiri, mengakui kesilapan, mengalu kritikan orang lain, meminta nasihat dan penilaian serta mengambil faedah dari semua orang.

(3) Pendakwah sebenar *wajib mempertahankan sesuatu yang kebenaran*,  sama dari kawan atau lawan.

*وَذَكِّرْ فَإِنَّ الذِّكْرَىٰ تَنْفَعُ الْمُؤْمِنِينَ...*

_"Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman._

(Adz-Dzaariyaat 51:55)

📗 *Rujukan:*
Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam _as-Sahwah al-Islamiyyah Bayna al-Ikhtilaf al-Masyru' wa at-Tafarruq al-Mazmum

Cetakan: 1990.

1 comment:

Related Posts with Thumbnails