Rakan SIMAAS anda!

PETIKAN HADIS

Posting Terbaru!

Posting Terbaru!

Wednesday, January 18, 2017

Dia mungkin lebih mulia

Dr MAZA News:
Dia Mungkin Lebih Mulia

Hari ini berita mengejutkan pengawal keselamatan Masjid Alwi meninggal dunia dalam usia yang masih muda. Hanya Allah yang  Maha Mengetahui hakikat setiap insan.

Adapun saya secara peribadi amat menyanjungi beliau. Walaupun tugasan hakiki beliau hanya mengawal masjid, namun beliau sering melakukan kebaikan lain seperti azan pertama subuh, mencuci masjid dan lain-lain. Zahir padanya kesungguhan dan keikhlasan amalan. Hakikatnya di sisi Allah. Jika kita datang awal ke masjid, kita dapati sebelum subuh menjelang beliau membaca al-Quran sambil memerhatikan kawalan beliau. Malam dan siang mencuci masjid walaupun itu bukan tugasan beliau.

Saya pandang tinggi kepadanya. Kadang-kala saya fikir alangkah indah hidup yang dilalui beliau dalam melakukan amalan soleh. Beliau tidak perlu bergelut dengan riyak, sum'ah dan banyak penyakit jantung hati yang lain. Beliau hidup dalam dunianya yang barangkali tidak dipandang oleh kebanyakan orang. Beliau tidak perlu sibuk bertarung dengan 'persepsi manusia', sebaliknya hanya menumpukan apa yang Allah mahu dari dirinya sebagai hamba Allah dengan kadar kemampuannya.

Dunia ini hanya perhiasan yang menipu. Kitalah menabalkan orang itu dan ini dengan segala kedudukan, pangkat dan gelaran. Namun, kesemua kedudukan, gelaran dan pangkat itu belum tentu mulia di sisi Allah. Entah betapa ramai yang telah men'syirik'kan Allah dalam amalannya disebabkan menjaga kedudukannya di sisi manusia melebihi keikhlasannya kepada Allah.
Entah betapa ramai pula yang kita lihat tiada kedudukan dan pangkat, namun lebih Allah kasihi dibandingkan kita. Mereka mungkin wali-wali Allah yang ikhlas, sedangkan kita mungkin sekadar munafik yang bersandiwara.

Saya sering berfikir untuk menemui orang seperti itu dan memohon mereka mendoakan untuk diri saya yang penuh dosa dan kelemahan ini. Pangkat yang ada hanya perhiasan dunia yang menipu. Entah siapa kita ini sebenarnya di sisi Allah.

Hakikatnya, hidup ini tidak memerlukan jawatan besar dan harta yang banyak untuk mendampingi Allah. Siapa pun insan itu,  dia hanya perlukan jiwa yang luhur dan ikhlas untuk menjadi hamba Tuhan yang baik. Dukacitanya, keikhlasan itu tidak mudah untuk dicapai oleh manusia yang berkedudukan. Kita terpaksa bermujahadah sepanjang masa menentang diri kita sendiri. Setiap pagi kita wajar berdoa 'Ya Allah berikan kepadaku keikhlasan sehingga aku tidak beramal soleh melainkan hanya untukMU'.

Saudara pengawal keselamatan itu meninggal dalam usia yang muda. Allah kasih kepadanya. Dia sering sendirian beramal dengan kadar dirinya. Dalam kesunyian pagi dia melaungkan azan tanpa gaji. Dia membersihkan masjid tanpa minta dipuji. Dia mengaji al-Quran tanpa mengharapkan suaranya didengari. Alangkah indahnya hidup menjadi kekasih Ilahi. Mudah-mudahan demikian. Hakikatnya tersimpan di sisi Tuhan.

No comments:

Related Posts with Thumbnails