Rakan SIMAAS anda!

PETIKAN HADIS

Posting Terbaru!

Posting Terbaru!

Sunday, October 31, 2010

Benarkah Manusia Boleh Masuki Alam Jin?


Banyak perkara ganjil berlaku. Salah satu yang ganjil adalah cerita mengenai manusia yang dilarikan jin masuk ke alamnya dan hilang dari alam manusia. Beberapa ketika kemudian orang berkenaan muncul balik dan memberitahu dilarikan jin. Ada orang kampung saya yang hilang, selepas tujuh hari mencarinya, tiba-tiba dia ditemui di belakang rumahnya. Betulkah cerita-cerita sebegini. Harap Dato’ dapat jelaskan.

SUBHAN JAMAL, Kuala Langat



Jawapan

Saya pun banyak mendengar cerita seperti yang saudara sebutkan itu. Boleh dipercayai atau tidak, jawapan saya boleh.

Cerita sebegitu boleh dipercayai. Tetapi ingin saya berpesan, jangan sesekali kita mempercayainya bulat-bulat tanpa diselidiki sehalus-halusnya.

Dunia kita ini didiami oleh banyak makhluk. Manusia, jin, haiwan, unggas-unggas, ikan dan sebagainya. Apabila kita berkongsi tempat tinggal di dunia ini, maka dengan sendirinya kita akan berinteraksi dengan semua makhluk ini.
Kita akan berjumpa, berkawan, bersapa, bermusuh dan sebagainya.

Syaitan (makhluk halus) wujud. Mereka pada umumnya adalah musuh manusia. Makhluk halus boleh menyerupai manusia dengan pelbagai rupa.

Salah satunya mereka boleh menyerupai manusia seperti yang disabitkan dalam Firman Allah SWT dalam al-Quran (mafhumnya): “Dan (ingatlah) ketika syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka, serta menghasut mereka dengan berkata: “Pada hari ini tidak ada sesiapa pun dari umat manusia yang dapat mengalahkan kamu, dan sesungguhnya aku (syaitan) adalah pelindung dan penolong kamu……..(hingga akhir ayat).” (Surah al-Anfaal, ayat 48)

Kesimpulan daripada ayat ini menurut ahli tafsir, adalah peristiwa dalam Perang Badar, apabila syaitan yang zahir dalam bentuk manusia, dikenali menyerupai Suraqah bin Malik bin Jukshum.

Suraqah (syaitan tadi) bersama dengan bala tenteranya, kononnya mahu menolong kuffar Makkah ketika itu untuk mengalahlan umat Islam.

Akhirnya apabila bertemu kedua-dua pasukan, Suraqah bersama bala tenteranya, lintang pukang cabut lari dari medan peperangan. Rupa-rupanya Suraqah dan tenteranya, bukan Suraqah sebenar yang dikenali oleh puak Musyrikin, ia adalah jelmaan syaitan.

Jelas daripada ayat ini, menunjukkan syaitan (makhluk halus) boleh berubah menjadi makhluk kasar, dan atas perkara yang sama, makhluk kasar (seperti manusia) boleh berubah menjadi makhluk halus. Manusia boleh hilang pada pandangan mata kasar dan berada dalam alam makhluk halus.

Dalam Kitab Gharaib Wa’ajaaibul Jinn karangan Al-Muhadith al-Qadi Badruddin as-Syubli, di halaman 99 ditulis suatu tajuk ‘Hukum ke atas isteri yang suaminya dilarikan jin’.

Diceritakan di dalam bab tersebut, bahawa pada zaman Umar al-Khattab (r.a.) menjadi khalifah, seorang perempuan mengadu kepada Umar tentang kehilangan suaminya (dilarikan jin). Umar bertanyakan wanita tersebut dan membenarkan dakwaannya.

Umar memberi hukum, perempuan itu terpisah dengan suaminya dan hendaklah ber’idah selama 4 tahun. Sesudah genap ber’idah, dia mendatangi Umar sekali lagi untuk meminta kebenaran berkahwin.

Setelah berkahwin dengan suami yang kedua, suami pertama yang hilang dahulu muncul semula dan mereka bersengketa kerana perempuan itu ada dua orang suami.

Mereka mendatangi Umar semula kerana dialah yang membenarkan perempuan itu berkahwin.

Umar berkata kepada suami pertamanya mengapa kamu menghilang diri begitu lama. Lalu lelaki itu menjawab dengan mengatakan beliau mempunyai alasan yang kuat kerana, dia ditawan oleh jin sepanjang masa dia hilang tersebut. Dia akhirnya dibebaskan.

Umar memberikan pilihan kepada suami yang pertama itu iaitu, sama ada hendak bersama dengan isterinya, dia akan memfasahkan perkahwinan kedua, atau dia menceraikan isterinya kerana ada suami yang kedua dan dia berhak mendapat kembali mahar yang dibayarnya semasa berkahwin dahulu.

Kisah ini dengan sendirinya membenarkan cerita bahawa terdapat manusia yang hilang kerana disembunyikan makhluk halus dan boleh kembali semula.

Namun demikian tidak semua cerita seperti ini benar. Kadang-kadang ada orang yang mengambil kesempatan, dia menghilang diri, bukan disorok jin, tetiba muncul semula dengan dakwaan sedemikian.

Tidak mustahil, orang yang mempunyai masalah dirinya, menghilangkan diri daripada orang ramai dengan pergi ke tempat yang jauh, akhirnya pulang dengan masalah-masalah yang tertentu.

Hal sebegini, kes-kes manusia dihilangkan jin jarang berlaku. Ianya kes terpencil, kita patut berhati-hati.

Wallahua’lam.

(Petikan dari Ruangan bersama Ustaz Dr. Haron Din: Harakah Bil.1340)

Tuesday, October 26, 2010

Istimewa 'Tudung Labuh'..


Pengalaman menarik Fatimah Syarha menerusi kolum Remaja Majalah Solusi isu no 21. Semoga bacaan ini dapat "put things into perspective" buat kita dalam menilai dan memahami kewajipan menutup aurat sebagaimana yang dituntut agama, insyaAllah.

Kisah Tudung Labuh…

“Akak, kenapa akak pakai tudung labuh?” Soalan ini sudah banyak kali dilontarkan oleh remaja kepadaku. Adik bongsuku, Asiah Yusra yang sedang mekar meniti usia remaja, turut bertanya. Melihat wajahnya yang saling tidak tumpah dengan iras wajahku, aku terasa bagaikan sedang melihat diriku sendiri. Aku pernah remaja dan terpesona melihat kakak sulung bertudung labuh. Kufahami, remaja bertanya kerana mereka sedang tercari-cari identiti diri.

Kali pertama aku memilihnya sebagai imej diri ketika usiaku remaja. Saat itu, aku bertudung labuh kerana keindahannya menghiasi wanita-wanita berakhlak mulia yang kukenali. Ibuku, kakakku, kakak-kakak naqibahku, ustazah-ustazahku semuanya bertudung labuh. Hingga aku mensinonimkan tudung labuh itu dengan keindahan, keperibadian dan kebaikan. Walaupun aku turut mengenali teman-teman bertudung labuh yang akhlaknya bermasalah namun aku masih menemui keindahan jiwanya, ingin menjadi lebih baik. Hari ini, aku memilih tudung labuh kerana aku yakin ia lebih istimewa pada pandangan-Nya.

Ketika remaja, aku hampir tidak sedar banyak pertanyaan yang terpendam. Mungkin saat itu aku tidak tahu apa yang aku perlu tahu. Hinggalah persoalanku terjawab satu demi satu. Hikmah bicara kakak-kakak naqibahku menerangkan pelbagai soalan yang kutagihkan pengertian. Yang paling kuingati, Kak Siti Aisyah Mohd Nor (kini merupakan bidadari kepada seorang tokoh agama terkenal). Jasa kalian selamanya harum dalam ingatan.

Yang Tertutup Itu Indah

Ketika kubertanya tentang tudung labuh, mudah jawapan yang pernah kuterima, “Yang tertutup itu indah!” Jawapan yang membawaku mengkaji surah al-Ahzab ayat 59, maksud dan tafsirannya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Wahai Nabi, katakan kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang mukmin, ‘hendaklah mereka melabuhkan jilbab ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali sebagai wanita baik agar mereka tidak diganggu.’”

Ya, sedangkan buku yang kita sayangi, kita sampulkan seindahnya. Inikan pula bentuk tubuh wanita, takkan tiada sampulnya? Kuperhatikan kulit bukuku yang bersampul lebih terjaga berbanding kulit bukuku yang tidak bersampul. Kuperhatikan langsir yang cantik menghias pintu dan tingkap. Kuperhatikan kain yang mengalas meja dan perabot. Benar, yang tertutup itu indah! Begitu juga cara Allah menghargai keindahan wanita dengan menggariskan perbatasan aurat. Agar keindahan itu hanya dinikmati oleh insan yang berhak. Bukannya diratah-ratah oleh pandangan yang sakit.

Istimewa Bertudung Labuh

Di sini, aku tidak mahu berbicara panjang tentang kewajipan menutup aurat. Apa yang ingin kukongsi di sini adalah tentang beberapa peristiwa dalam hidupku yang membuatkan aku berasa tudung labuh itu benar-benar istimewa. Allah banyak kali menyelamatkan dan memudahkan urusanku dengan asbab tudung labuh.

Dikejar Tebuan Tanah

Dalam satu program motivasi remaja, aku menyertainya sebagai salah seorang fasilitator. Antara aktiviti yang dilakukan ialah jungle trekking. Aku mengetuai barisan remaja puteri yang siap sedia memasuki hutan. Taklimat dan doa dimulakan.

Menderap ke tengah belantara, tiba-tiba peserta puteri paling depan terlanggar sarang tebuan tanah. Tebuan tanah berterbangan garang. Sedia menyerang. Peserta itu menjerit kesakitan kerana disengat. Peserta di belakangnya turut menjerit ketakutan. Aku yang turut berada di barisan depan ketika itu melaungkan takbir. Lantas mengarahkan peserta yang lain berundur. Mereka bertempiaran lari.

Sementara aku tetap bertahan di situ. Kututup sebahagian wajahku dengan tudung labuhku. Tangan turut kusembunyikan di bawah tudung labuh. Kulindungi beberapa peserta yang terkepung dengan tudung labuhku agar tidak disengat lagi. Segera kubawa mereka berundur. Ajaibnya, seekor tebuan pun tidak berjaya menyengatku. Subhanallah! Maha Suci Engkau yang menyelamatkan aku dengan secebis kain buruk ini.

Terlindung daripada Mata Mat Rempit

Suatu hari, aku ingin pulang ke kampusku di UIA setelah bercuti pertengahan semester di kampung halaman. Seperti biasa, aku membeli tiket bas dan berusaha mencari bas yang mempunyai tempat duduk seorang. Request. Ini penting bagi mengelakkan aku terpaksa bermalam di dalam bas dengan bertemankan seorang lelaki asing di sebelah.

Akhirnya kumembeli tiket dengan sebuah syarikat bas yang belum pernah kunaiki . Sebelum menaiki bas, aku berpesan kepada pemandu kedua agar menurunkan aku di Greenwood. Semua mata terlena melepaskan kelelahan hidup dengan mengembara ke alam mimpi yang seketika. Kedengaran sayup-sayup suara pemandu bas mengejutkan aku dari tidurku. Lantas aku terjaga separuh sedar. Ketika itu, aku duduk di kerusi seorang paling depan, tidak jauh dari pemandu.

Jam baru menunjukkan pukul 4.30 pagi. Badanku amat penat dan urat kepala terasa merenyuk. Aku bangkit dari kerusiku dalam keadaan mamai menuruni bas. Ketika berada di luar bas, aku masih sangat mengantuk. Terasa secepat kilat bas meninggalkanku.

Ya Allah! Aku terkejut kerana hanya aku seorang yang menuruni bas. Lagipun, tempat bas itu memberhentikan aku bukannya tempat perhentian bas di Greenwood seperti kebiasaan. Aku langsung tidak mengenali tempat itu. Tiada peluang untukku bertanya atau membatalkan saja tempat perhentian itu. Nyata aku sudah terlewat. Asap bas pun sudah tidak kelihatan.

Aku berada di sebuah perhentian bas. Jalan raya di hadapannya lurus. Lengang. Sunyi. Kawasan sekitarnya adalah kawasan perumahan yang sedang bergelap. Jalur-jalur cahaya hanya sedikit. Kupandang ke belakang dan mendapati tidak jauh dari situ terdapat sebuah masjid. Namun, ia kelihatan gelap. Sunyi. Kelihatan seekor anjing berwarna hitam, besar dan garang sedang berlegar-legar di luar pagar masjid. Ya Allah, pada-Mu aku bertawakal.

Aku segera menelefon kenalan rapatku, Puan Norliza Mohd Nordin untuk mengambilku. Pada masa yang sama, mataku melilau mencari kayu atau besi yang akan kugunakan sebagai senjata seandainya anjing itu mendekatiku.

“Di mana?” Tanya Puan Norliza. Susah-payah aku cuba menerangkan lokasi yang asing itu. Tambahan pula, aku tidak dapat melihat papan tanda yang menunjukkan nama masjid. Kehadiran anjing itu membuatkan aku tidak berani menghampiri masjid. Sukar Puan Norliza mentafsirkan lokasi aku berada.

Tiba-tiba, sekumpulan samseng jalanan dengan pelbagai aksi motosikal yang berbahaya berhenti beramai-ramai di seberang jalan tempatku berada. Bagaikan ada mesyuarat penting di situ. Aku tiada tempat bersembunyi. Apa yang mampu kulakukan adalah tetap berdiri di tempatku dan membaca segala ayat al-Quran yang pernah kuhafal. Tawakalku memanjat langit dunia. Kebetulan, aku berjubah hitam dan bertudung labuh warna hitam. Aku menggunakan kesempatan itu untuk menyembunyikan diriku di balik warna malam. Cebisan kain turut kututup pada wajahku yang berkulit cerah.

Saat yang amat mendebarkan dalam hidupku, kelihatan anjing yang garang sedang berlari ke arahku. Kupujuk hati, anjing itu akan baik padaku kerana ia tidak menyalak. Samseng jalanan pula seakan sedang memandang-mandang ke arah lokasiku. Ketika itu, aku mengucapkan dua kalimah syahadah berkali-kali. Aku siapkan emosi untuk berjihad mempertahankan diri. Biar nyawa jadi taruhan, menyerah tidak sekali!

Allah menjadi saksi. Aku bagaikan tidak percaya apabila melihat anjing itu sekadar melintasiku seolah-olah langsung tidak melihatku di balik kegelapan. Walau bagaimanapun, aku masih resah melihat samseng jalanan asyik memandang ke arahku. Aku bertambah risau membayangkan Puan Norliza mungkin tidak dapat mengagak lokasiku itu kerana dia asyik menelefonku. Tiba-tiba samseng jalanan itu beredar. Bunyi ekzos mengaum pergi, pelbagai aksi. Mereka seakan-akan memandang dengan pandangan yang kosong sahaja ke arahku sebentar tadi. Puan Norliza pula sampai, menambahkan syukurku. Hatiku yakin, Allah telah menyelamatkanku di balik tudung labuh berwarna gelap itu. Alhamdulillah!

Menyelamatkan Beg Tanganku daripada Ragut

Seorang temanku dari Brunei sudah beberapa hari tidak datang ke kelas sarjana. Aku risaukan keadaannya. Apabila dia datang kembali, aku segera bertanya. Dia menunjukkan pipinya yang calar sambil bercerita dengan juraian air mata.

Dua orang pemuda yang menunggang laju meragut beg tangannya. Dia ikut terseret. Ketika itu pula dia sedang mengandung dua bulan. Hampir-hampir keguguran. Kedua-dua lututnya terluka. Pipi dan tangannya tercalar. Berdarah.

Aku sedih mendengar ceritanya. Dia memegang hujung tudungku sambil menyimpulkan, “Jika akak pakai tudung labuh macam ni, tentu diorang tak nampak beg tangan akak.” Kata-kata itu membuatkanku benar-benar berfikir jauh. Aku bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana tidak pernah menjadi mangsa ragut. Baru aku sedar, rupa-rupanya antara faktor yang menyelamatkanku adalah kerana beg tanganku sentiasa tersembunyi di bawah tudung labuh. Cuba anda bertanya kawan-kawan anda yang menggalas beg tangan di bawah tudung labuh, pernahkah mereka menjadi mangsa ragut?

Mendekatkan Jodoh dengan Lelaki Soleh

Aku hairan melihat beberapa orang temanku yang mulanya bertudung labuh tapi akhirnya menukar penampilan kerana takut tidak dipinang. Aku hormati penampilannya selagi masih menutup aurat namun jika itu alasannya, dia mungkin tersilap. Aku yang tetap bertudung labuh ini juga akhirnya yang agak cepat menerima pinangan.

Suamiku mengakui antara faktor yang meyakinkannya pada agamaku saat memilih bunga untuk disunting adalah kerana nilai tudung labuhku. Wanita bertudung labuh lumrahnya hanya berani dirisik oleh lelaki yang mempunyai persiapan agama. Jika malas hidup beragama, mereka akan berfikir beribu kali untuk memiliki seorang suri yang bertudung labuh. Rasa tidak layak. Rasa perlu membaiki diri terlebih dahulu.

Pernah juga aku dan suami cuba memadankan beberapa orang temanku dengan lelaki-lelaki soleh yang kami kenali. Apabila biodata bertukar tangan, gadis bertudung labuh rupa-rupanya menjadi kriteria penting seorang lelaki soleh. Malang bagi temanku yang sebenarnya baik dan berbudi bahasa, namun kerana penampilannya itu melambatkan jodohnya.

Benar, kita tidak boleh menilai seseorang hanya melihat luarannya. Namun, realitinya, kadang kala masa terlalu singkat dan peluang tidak ada untuk kita mengkaji dalaman seseorang sehingga terpaksa menilainya hanya melalui luarannya. Contoh realiti, jika kita ingin membeli nasi lemak di gerai. Kelihatan penjual di gerai yang pertama ialah seorang makcik bertudung labuh. Penjual di gerai kedua pula seorang wanita tidak bertudung dan rambutnya menggerbang lepas. Mana yang kita pilih? Kenapa cepat membuat pilihan sebelum mengkaji dalaman kedua-duanya dahulu? Apa nilaian kita ketika itu? Fikir-fikirkan.

Hormatilah Selagi Masih Menutup Aurat

Ya! Ya! Ya! Kudengari suara-suara hatimu yang sedang berbisik, “Ramai saja yang bertudung labuh tapi tak baik.” “Tudung tak labuh pun masih tutup aurat.” “Don’t judge people by its cover.” Kuhormati semua kata-kata ini sepertimana kuhormati dirimu yang masih bertudung. Alhamdulillah. Aku cuma berkongsi secebis pengalaman dalam hidupku yang menyebabkan kurasakan tudung labuh terlalu istimewa. Buat adik-adik remaja yang pernah bertanya, akak harap adik menemui jawapannya.


*Sumber: Facebook Ustaz Zahazan - Tudung Labuh

Wednesday, October 13, 2010

Persoalan pengunaan kayu koka..



Apakah dia kayu koka? Betulkah kayu koka ini sejenis kayu yang diperintahkan Allah untuk digunakan Nabi Nuh a.s. membuat kapal dan menyuruh Nabi Musa a.s. mengambil tongkat yang juga diperbuat daripada kayu koka?

Banyak orang sanggup membeli kayu koka dengan harga yang terlalu mahal. Ada yang berbentuk tongkat, tasbih dan batu cincin. Kononnya ia boleh menjadi penghadang daripada jin dan syaitan, menyembuhkan penyakit serta memurahkan rezeki. Apakah ini ada isyarahnya dalam al-Quran atau as-Sunnah?

Abu Bakar Zakaria,
Damansara, Selangor


Jawapan

Saya pernah melihat kayu koka dalam semua bentuk. Pernah dihadiahkan kayu tersebut oleh beberapa orang kepada saya. Malah saya pernah membaca ada sebuah buku yang diterbitkan di Malaysia, disebutkan tentang penggunaan dan kebaikan kayu koka seperti yang saudara sebutkan.

Sepanjang hidup saya, tidak pernah mendengar tentang kayu koka ini, melainkan sejak dua tiga tahun kebelakangan ini.

Ada pelajar yang pulang dari Jordan, bertemu saya dan memperkenalkan kayu koka. Beliau berhasrat menjualnya kepada saya kerana dia mengatakan sayalah orang yang paling layak memakai atau menggunakan kayu koka.

Saya berbincang panjang dengan beliau, malah saya menasihatkan beliau mencari profesyen lain daripada menjual kayu koka.

Persoalan ini lama kelamaan semakin timbul. Saya melihat orang memakai cincin yang batunya diperbuat daripada kayu koka. Kebetulan saya dapati bukan kayu sebenarnya, tetapi ia buah yang terlalu keras.

Oleh kerana tampung buah itu terlalu keras, maka daripadanya diperbuat pelbagai bentuk atas nama kayu koka. Ada juga yang saya jumpa ia diperbuat daripada kayu betul.

Pada saya, semua yang dikaitkan dengan kuasa makhluk-makhluk ‘madi’ seperti kayu, batu dan sebagainya yang dikaitkan dengan memberi bekas, kecelakaan atau kemanfaatan, inilah yang dilarang oleh Islam.

Ini termasuk dalam larangan Rasulullah s.a.w. dalam Sabdanya (mafhumnya); “Sesungguhnya jampi mentara yang mengandungi kesyirikan kepada Allah SWT dan semua jenis tangkal, ilmu pengasih yang menggunakan sihir, semuanya adalah syirik terhadap Allah SWT.” (Hadis sahih)

Kalau sekadar perhiasan, yang semata-mata perhiasan, seperti membuat batu cincin atau gelang, yang tidak dikaitkan dengan sebarang kemudaratan atau kebaikan daripadanya, boleh digunakan.

Seperti kita menggunakan batu permata, emas dan perak, semata-mata untuk perhiasan, adalah diharuskan.

Oleh kerana penggunaan kayu koka ini sudah menjadi suatu profesyen kepada penjual atau penggunanya terpukau dengan penjelasan yang menarik, maka banyak orang yang tertipu dengan penerangan, lalu membelinya.

Jika berlaku kebetulan, seorang yang sempit rezekinya, memakai kayu ini, murah rezekinya. Jika dikaitkan rezeki yang murah berpunca dari kayu tersebut, jelas berlaku syirik terhadap Allah.

Tidak boleh ada kuasa lain yang memberi rezeki kepada makhluk melainkan Allah sahaja.

Banyak ayat al-Quran yang menyebut bahawa Allahlah pemberi rezeki yang sebenarnya.

Kayu koka mungkin ada khasiat khusus dalam perubatan termasuk dalam jenis herba. Jika ia merupakan herba, dilarutkan atau dimasukkan dalam apa-apa adunan, yang mungkin sesuai mengubati penyakit tertentu, itu termasuk dalam salah satu bentuk rawatan penyakit.

Itu pun salah satu yang diharuskan kerana ada dalam hadis-hadis Nabi s.a.w. yang merujuk rawatan penyakit secara memakan ubat.

Nabi s.a.w. pernah menyebut tentang madu lebah, bijirin hitam (Habbatus Saudak), jintan hitam, jenis tanaman seperti ‘assina’ dan ‘assinut’. Dalam al-Quran disebut ‘at-tiin’, ‘az-zaytun’, ‘ar-rummaan’, ‘an-nahiil’ dan sebagainya yang merujuk kepada buah-buahan.

Ini termasuk dalam kajian-kajian untuk dijadikan ubat bagi menyembuhkan penyakit tertentu.

Persoalan saya tentang pengguna kayu kota atau apa sahaja kayu, mengapa orang yang memiliki kayu itu tidak menggunakan untuk faedah dirinya dan menjualkannya kepada orang lain.

Barangkali orang tersebut tidak begitu yakin dengan apa yang didakwanya manfaat kepada pengguna kayu koka, sehingga menjualnya dengan harga yang tinggi untuk mendapat faedah kewangan.

Saya amat meragui perkara menggunakan kayu ini, terutama untuk menjadi penghadang kepada jin, syaitan dan sebagainya.

Apa yang saya tahu, jin dan syaitan akan takut dan lari lintang pukang jika dibacakan ayat-ayat al-Quran ataupun zikir kepada Allah SWT.

Dalam suatu hadis disebut, Rasulullah s.a.w. pernah melintasi rumah-rumah sahabat di waktu dinihari. Baginda mendapati Umar al-Khattab r.a. membaca al-Quran dan berzikir kepada Allah dengan suara yang amat lantang.

Keesokan harinya Nabi s.a.w. bertemu Umar dan berkata kepadanya, “Aku melintasi rumahmu dan aku mendengar kamu membaca al-Quran dan berzikir dengan suara yang amat nyaring, mengapa kamu buat demikian.”

Umar menjawab; “Saya berbuat demikian untuk menghalau segala syaitan yang menganggu saya.” Lalu Nabi berkata kepadanya, “Perlahankan sedikit.”

Wallahua’lam.

Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

(Petikan dari Harakah Bil.1337)

Tuesday, October 12, 2010

Pelik: Kisah Balkis yang Ghaib..

INFO:HARIAN METRO
BESUT,Kejadiannya memang aneh dan mungkin ada menganggapnya tidak logik, namun hakikatnya ia benar-benar berlaku sehingga menggemparkan penduduk setempat dan turut menarik perhatian pemimpin masyarakat.

TAK SEDAR...Siti Balqis ditemani ibunya menceritakan kejadian pelik dialaminya.



Sejak kira-kira dua bulan lalu, seorang gadis berusia 22 tahun, Siti Balqis Mohd Nor dari Kampung Gong Nangka, Apal di sini, ghaib secara misteri hampir setiap kali tiba waktu senja atau pada tengah malam sebelum dia ditemui semula di lokasi yang sukar dijelaskan kehadirannya.

Antara lokasi itu di tanah perkuburan, di atas pokok, di atas siling dalam rumahnya dan dalam kejadian terbaru kelmarin, Siti Balqis ditemui dalam mesin pembancuh simen berhampiran rumahnya.

Biarpun dikawal rapi keluarganya, gadis itu tetap ghaib apabila individu yang mengawalnya leka atau terlepas pandang beberapa detik saja.

Kejadian misteri itu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, Ramlan Ali yang meminta penduduk mengawal sekitar rumah keluarga Siti Balqis setiap malam, namun usaha itu tetap gagal.

Ramlan berkata, dia simpati dengan keluarga terbabit kerana sudah banyak mengeluarkan wang untuk khidmat bomoh.

“Saya sendiri sudah membantu mencari bomoh, tapi keadaannya tetap serupa apabila gadis terbabit tiba-tiba ghaib terutama pada waktu senja dan tengah malam,” katanya.

Ibu Siti Balqis, Norizan Said, 47, berkata, pelbagai usaha dilakukan keluarganya dan jiran untuk menghalang anak sulung daripada empat beradik itu ghaib, tetapi apabila tiba waktunya dia tetap hilang.

“Kejadian menimpa anak saya memang aneh. Sejak dua bulan lalu hampir setiap malam dia ghaib dari rumah menyebabkan kami sekeluarga terpaksa berjaga malam,” katanya.

Norizan berkata, apabila ditemui semula, Siti Balqis kebiasaannya berada di lokasi tidak jauh dari rumahnya seperti di atas siling rumah, atas pokok manggis dan terbaru dalam mesin pembancuh simen.

“Pernah sekali dia temui semula di tanah perkuburan Islam kira-kira 10 kilometer dari rumah kami,” katanya sambil memaklumkan keluarganya sudah mendapatkan khidmat bomoh dari Kelantan, Terengganu dan Pahang untuk mengatasi masalah itu, tetapi masih gagal.

Siti Balqis ketika ditanya mengenai kejadian aneh dialaminya berkata, dia sendiri sukar memberi penjelasan dan tidak tahu apa sebenarnya berlaku ke atasnya.

“Setiap kali kejadian berlaku saya tidak sedarkan diri. Apabila sedar, saya dapati diri saya berada di tempat lain, sama ada di atas pokok atau kawasan perkuburan.

“Saya dapat melihat orang mencari saya, tapi saya tak berupaya memanggil mereka. Ketika saya berada di kubur dalam kejadian Ramadan lalu, saya mendengar pelbagai bunyi termasuk suara orang mengaji al-Quran dan menangis,” katanya


INFO: BERITA HARIAN
Siti Balqis ghaib 30 minit sebelum pasukan perubatan Islam YIT tiba di rumah

JERTIH (Berita Harian): Usaha tiga pengamal perubatan Islam daripada Yayasan Islam Terengganu (YIT) merawat gadis ghaib, Siti Balqis Mohd Nor, 22, malam kelmarin, dikatakan berjaya menangkap 12 lagi jin yang mengganggu gadis berkenaan, selepas dua bomoh yang enggan dikenali sebelum ini mendakwa berjaya menangkap sembilan jin.

Pada awalnya, usaha pasukan perubatan berkenaan dianggotai Pengelola Khidmat Masyarakat YIT, Hassan Yusof; penolongnya, Fauzi Malik dan Pengurus Khidmat Masyarakat, Wan Adi Rahman Wan Abd Rahman untuk merawat Siti Balqis seperti tidak kesampaian berikutan gadis itu didapati ghaib kira-kira setengah jam sebelum ketibaan pasukan perubatan itu ke rumah keluarganya di Kampung Gong Nangka, di sini, kira-kira jam 8 malam.

Ibu gadis berkenaan, Norizan Said, 47, berkata Siti Balqis tiba-tiba ghaib kira-kira jam 7.30 malam ketika mereka berkumpul menunggu ketibaan pasukan perubatan itu di rumah dan usaha mencarinya dilakukan di atas bumbung, dalam siling rumah, almari, rumah kosong, di bawah rumah dan di pokok manggis, tetapi gagal.

Berikutan itu, katanya, orang ramai termasuk pasukan perubatan berkenaan membaca surah Yasin beramai-ramai, sebelum Norizan menerima SMS daripada Siti Balqis jam 11.30 malam berbunyi ‘tolong dah jauh ni’ dan SMS kedua pada jam 12 tengah malam menyatakan ‘Umi cepat datang, kita dok (duduk) Bukit Keluang,’.

Selesai membaca surah Yasin, pasukan perubatan diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Ramlan Ali bergegas ke Bukit Keluang, kira-kira 15 kilometer dari rumah mangsa, tetapi gagal menemuinya di kawasan pelancongan terkenal itu.

Sebaliknya, Ramlan berkata, mereka terserempak dengan sembilan orang termasuk dua wanita yang kelihatan seperti sedang bertapa dalam gua berkenaan.

Katanya, ketika gerakan mencari Siti Balqis dijalankan, beliau dimaklumkan gadis itu ada di atas pokok rambutan di belakang rumah keluarganya kira-kira jam 1.30 pagi dan pasukan perubatan yang dihantar khas oleh kerajaan negeri itu kembali semula ke rumah untuk menjalankan proses rawatan mengikut kaedah Islam.

Pasukan perubatan itu memulakan usaha rawatan dan mendakwa berjaya mengeluarkan 12 jin yang kemudian dimasukkan ke dalam botol. Siti Balqis hanya sedarkan diri kira-kira jam 5 pagi tadi selepas menerima rawatan berkenaan.

Monday, October 11, 2010

"Isteri pun manusia jugak..!"



Berhikmahlah dengan isteri..

1. Selalu menghargai usaha dan penat-lelah isteri, terutama isteri yang bekerja dan sama-sama terpaksa menanggung hutang suami.

2. Bila isteri bercakap, pandanglah mukanya dan buka telinga luas-luas. Biar apa yang dikatakannya masuk telinga kanan dan tersumbat di telinga kiri. Sambil tu otak suami kenalah memproses informasi yang diterima daripada isteri dengan bijak serta prihatin.

3. Jangan sekali-kali membandingkan masakan isteri atau cara isteri menghias rumah dengan mak anda kecuali masakan/cara menghias isteri anda lebih baik dan canggih dari emak anda..

4. Jangan demand sex sekiranya isteri tak ada mood atau letih. Agama suruh kahwin bukan semata-mata untuk penuhi nafsu syahwat saja.

5. Kalau pasangan dah ada anak, sama-samalah menjaga anak. Benih dari awak juga.. Ada suami, isteri sedang makan disuruh cebok kencing n berak anak sedangkan suami duduk tersandar kekenyangan macam maharaja.

6. Jangan sekali-kali duduk tersandar depan TV atau relax-relax sedangkan isteri bila balik dari kerja, buka saja kasut terus masuk dapur, memasak, mengemas, membasuh, kejar anak dsbnya. Berbulu mata dan sayu hati isteri bila kami tak cukup tangan nak menguruskan rumahtangga sedangkan suami lepas tangan.

7. Sekiranya suami makan dahulu, tinggalkan sedikit lauk utk isteri. Jangan bedal semua sampai turn isteri yang tinggal cuma ekor ikan sekerat, janggut sotong dan ekor taugeh.

8. Kalau nak ajak member bertandang ke rumah, beritau isteri dulu, kalau boleh sehari-dua in advance. Jadi bolehlah dia memasak yang best-best dan mengemas rumah cantik-cantik. Bayangkan perasaan isteri kalau tetamu datang terpacak sedangkan kain-baju masih berlonggok belum sempat dilipat, permainan anak masih berselerak dan isteri cuma masak mi maggi saja.

9. Jangan sekali-kali menyakat isteri tentang saiz badannya yang semakin sihat atau semakin melidi. Tengok body sendiri dalam cermin dulu.

10. Jangan kentut depan isteri. Masa bercinta dulu kenapa boleh control kentut?

11. Hormatilah ibu-bapa dan kaum keluarga isteri walaupun anda cuma main wayang, bodek mereka masa nak mengurat isteri anda dulu. Jangan sekali mencaci mereka walaupun secara bergurau.

12. Jangan kedekut dengan isteri serta keperluan rumahtangga.

13. Jagalah maruah anda sebagai suami dan lelaki. Selagi boleh, jangan bebankan isteri dengan masaalah kewangan anda. Selalunya perempuan ni, semakin suami “degil” tak nak minta pertolongan, selagi itulah dia rela nak tolong.

14. Jangan bersepah dan bersikap pengotor. Dah buka baju, letakkan dalam bakul baju kotor, dah guna cungkil gigi, buanglah dalam bakul sampah, bila dah guna ubat gigi bubuh balik penutupnya, dah ambil sesuatu barang simpan balik ditempat asal, dah berak flush. Susah sangat ke nak buat macam tu? Semua nak kena ajar ke?

15. Rajin-rajinlah bertanya isteri kalau dia perlukan bantuan anda dengan kerja rumah/menjaga anak. Tapi jangan tanya dua tahun sekali. Jangan tunjuk rajin bila ada tetamu di rumah saja.

16. Hormatilah isteri anda sebagaimana anda mahu dihormati. Isteri pun manusia. Allah berikan banyak keistimewaan kepada para isteri tapi diputar-belitkan tafsirannya oleh orang lelaki untuk kepentingan diri sendiri.

17.. Jangan main kayu tiga dengan perempuan lain. Main lain lagi tak boleh. Kalau isteri awak yang buat, tentu awak tak boleh tolerate, jadi mengapa isteri awak kena tolerate kalau awak buat?

18. Kalau tak menyukai sikap atau perbuatan isteri, tegurlah secara baik, jangan asyik nak menengking aja. Kalau awak sakit nak mati nanti, siapa yang kena jaga awak? Bai jual roti? Apek jual sayur? Jiran sebelah rumah awak?

19. Kalau isteri nampak tak sihat, cepat-cepatlah bawa jumpa doktor. Tunjuklah anda mengambil berat tentang dirinya.

20. Berbincanglah dengan isteri sebelum sesuatu keputusan dibuat. Walaupun suami megah ada kuasa veto, tak jadi bapok kalau pendapat isteri diambil kira. Pokok pangkalnya ialah timbangrasa dan saling menghargai. Cubalah ketepikan ego yang keterlaluan. Bukannya laku bila dah mati nanti.

21. Dalami agama dan bimbinglah anak isteri dengan ikhlas seperti yang dituntut agama. Ingat, kalau seorang suami masuk syurga, besar kemungkinan isteri pun masuk syurga. Kalau suami masuk neraka belum tentu isteri juga masuk neraka. Kalau isteri masuk neraka, besar kemungkinan suami juga masuk NERAKA tapi kalau isteri masuk syurga belum tentu suami pun masuk syurga.Ini bukan rekaan saya tapi saya dengar dari seorang ustaz.

22. Berusahalah dengan ikhlas untuk mempertahankan keharmonian rumahtangga. Jangan buat apa yang isteri tak suka. Percayalah, kalau suami buat baik sekali dengan isteri, isteri balas sepuluh kali

23. Jangan buat donno kalau isteri merajuk atau berkecil hati. Kalau perlu minta maaf, minta maaf, kalau perlu dipujuk, pujuk. Hati orang pompuan ni sensitif. Kalau kami rasa suami tak ambil kisah, perasaan bagai dihiris-hiris. Perkara yang dipandang remeh oleh suami boleh menjadi kanser kepada isteri. Kepada para suami khususnya dan kaum lelaki amnya, janganlah dianggap masalah hati dan perasaan orang perempuan ni enteng sahaja.

Allah s.w.t. berfirman:

“Dan ketahuilah bahawasanya Allah mengetahui apa yang didalam hatimu, sebab itu berhati-hatilah dengan Tuhan”

Oleh: Dato' Dr Mohd Fadillah Kamsah

Sunday, October 10, 2010

"Suami Tak Adil..!??"

Seorang lelaki bernama Mazlan (bukan nama sebenar), mempunyai dua orang isteri. Isteri pertama bernama Husnul dan isteri kedua bernama Hasanah. Pasangan bermadu ini tidak tinggal di sebuah rumah; sebaliknya mereka tinggal di rumah yang berasingan. Mazlan boleh dikatakan sebagai seorang lelaki yang baik. Cukup dari segi ekonomi, fizikal dan intelektual untuk hidup bermadu.

Sejak awal perkenalan dengan Mazlan, Hasanah mengetahui status Mazlan sebagai seorang suami. Sejak awal lagi Hasanah sedia dan rela hidup berpoligami. Berbeza pula dengan Husnul. Dia sangat terkejut semasa Mazlan memperkenalkan Hasanah kepadanya. Dia juga hampir-hampir menuntut cerai. Mujurlah Mazlan itu sudah mantap ilmu di dada. Dapatlah dipujuknya Husnul.

Mazlan dan Hasanah selalu memikirkan cara untuk merapatkan hubungan kedua orang isteri Mazlan itu. Pada awal perkahwinan mereka, Mazlan bercadang agar dia dan kedua-dua orang isterinya solat bersama, sekali dalam seminggu. Dengan cara bergilir-gilir tempat. Seminggu di rumah Husnul, seminggu di rumah Hasanah.

Pada suatu malam minggu yang indah. Itu adalah sesi pertama program 'solat bersama' antara Mazlan dengan kedua-dua orang isterinya. Sesi pertama dimulakan di rumah Husnul. Mereka akan bersolat berjemaah Maghrib dan Isyak. Sementara menunggu waktu isyak, Mazlan ingin menyampaikan kuliah agama kepada kedua-dua orang isteri tercinta.

Sebaik-baik masuk waktu Maghrib petang itu, Mazlan melaungkan azan dengan suara yang merdu dan baik sekali. Selesai azan, Mazlan terus melaungkan iqamah. Selepas itu dia pun mengimami kedua-dua orang isterinya bersolat Maghrib. Mereka bertiga pun bersolat Maghrib bersama-sama secara berjemaah sehingga selesai.

Seperti kebiasaan, selepas solat Mazlan berdoa. Dalam doanya, sampailah kepada doa memohon kebaikan di dunia dan akhirat. Lelaki itupun mengucapkan doanya yang berbunyi;

"Allahummakhtim alaina bi husnul khatimah wa la tahtim alaina bi su'ul khatimah.
Rabbana atina fid-dunya hasanah, wa fil akhirat ti hasanah.."

Belum habis doa itu dibaca, belakang Mazlan dipukul oleh isteri pertamanya dengan beg.

"Abang memang tak adil!" Kata isteri pertama yang bernama Husnul, selepas memukul belakang suaminya.

Si isteri kedua hanya melihat.
"Astaghfirullah, kenapa dengan kamu ni Husnul. Kita sedang berdoa ni.."
"Abang memang selalu melebihkan bini muda abang ni," Kata Husnul sambil tangannya hampir memukul pula isteri kedua suaminya. Nasib baik sempat ditahan oleh si suami. Hampir-hampir kedua madu itu berperang.

"Abang doa untuk saya sekali. Abang doa untuk dia dua kali!"

"Eh macam mana pula tu?" Si suami belum faham.

"Ala buat-buat tak faham saja abang tu! Baru tadi abang doa, husnul khatimah abang baca sekali. Hasanah abang baca dua kali!"

Meloponglah Mazlan dan isteri mudanya, bingung seketika. Hendak marah atau hendak ketawa ni?

Thursday, October 7, 2010

Sayur 'Tauge'..

Wallahu a'lam dengan kesahihan catatan ini, namun begitu sebarang respon daripada anda sangatlah dialukan bagi mengelak sebarang keraguan..semoga Allah sentiasa melindungi kita daripada perkara yang syubhat



Catatan:

Mesti ramai suka makan taugeh. nak pulak campur dlm char kuey teow. hmmm rangup... tapi nak beli taug...eh tu kene buat eksperimen dulu la.

beli sket, jgn makan dulu sebaliknya simpan dulu utk 3 hari. pastu cuba bau taugeh tu lepas 3 hari camane. dan kalau boleh jgn beli taugeh yg kaler putih berseri tu.

keputusan yg mungkin boleh didapati... lepas 3 hari bau taugeh tu hanching semacam. bermakna taugeh tu disiram dgn urine aka air kencing. dan air urine tu la jugak menyebabkan kaler putih berseri. kalau nak tau taugeh keluaran bumiputera senang aje. kaler dia mcm kekuningan sket dan cepat layu serta kurang rangup, sebabnya langsung tak guna urine sebagai baja.

ni info dari pegawai opis aku yg pernah buat lawatan ke pusat2 penanaman taugeh dibeberapa negeri tertentu yg diusahakan oleh cha ya nun alip. siap terjumpa satu bilik khas simpan air kencing utk disiram pada pokok2 taugeh tu.

dan kenapa taugeh jodik mangsa? sebabnya taugeh ni jenis pokok menyimpan air siraman bulat2 terus dlm batangnya. tak spt sayuran lain iaitu sayuran2 berdaun hijau yg mengalami fotosintesis semasa proses penyerapan baja atau dgn erti kata lainnya air siraman masuk ke tanah dulu barulah akar menyerap dan proses fotosintesis berjalan utk penyerapan zat2 dari baja.

tak mcm taugeh dia serap terus ape yg kita siram sebab pertumbuhan tumbesaran bukan secara fotosintesis. tu sbbnya kalau simpan dlm masa 3 hari bau dia wangiiiiiii semacham.. so bagitau la kat sedara mara, kengkawan pasal nak mengenal taugeh2 hanching dgn taugeh2 bumiputera.Wahai, sahabat-sahabatku & saudara-saudaraku... baca dan hayatilah.. kongsi dan sebarkanlah... semoga kita mendapat keberkatan dariNYA bersama2.. insyallah..

Sunday, October 3, 2010

Macam-macam: Keanehan budak dari Marikh?


(BORISCHA, kanak-kanak Rusia yang menggemparkan saintis dengan pengetahuannya yang terperinci tentang bumi dan Marikh)


LAPORAN akhbar minggu ini tentang pakar astrofizik Malaysia, Prof. Datuk Dr. Mazlan Othman dicadangkan sebagai individu pertama untuk berkomunikasi dengan makhluk asing sememangnya mencuri perhatian.

Bagaimanapun, Mazlan berkata, tugasan yang didakwa diberikan kepadanya itu sebenarnya tidak wujud.

"Memang menarik menjadi orang pertama berkomunikasi dengan entiti luar, namun saya perlu menafikan kesahihannya," katanya melalui e-mel kepada akhbar The Guardian di London.

Sebelum itu, laman web berita media Australia, www.news.com.au melaporkan Mazlan dilantik oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk berinteraksi dengan makhluk asing jika kewujudan entiti itu disahkan secara saintifik.

Walaupun berita itu turut disangkal oleh Pejabat Hal Ehwal Angkasa Lepas PBB (UNOOSA): hal ini sekilas menerbitkan kembali tanda soal di minda kita. Wujudkah makhluk asing? Hakikatnya saintis-saintis juga masih menyelongkar jawapannya.

Malapetaka

Apabila berbicara tentang makhluk asing atau hidupan di angkasa lepas, kisah seorang kanak-kanak lelaki Rusia, Boriska Kipriyanovich atau Borischa sangat menarik untuk dikongsi. Kanak-kanak itu mendakwa dirinya berasal dari Marikh, planet yang terletak sekurang-kurangnya 55 juta kilometer dari bumi.

Bukan setakat itu, Borischa juga bertegas masih ada hidupan di Marikh dan mereka terpaksa tinggal di bawah tanah serta bernafas dengan gas berasaskan karbon.

Dilahirkan pada 11 Januari 1996, Borischa membuat dakwaan itu ketika usianya tujuh tahun. Berita tentang Borischa mula berlegar di Rusia pada tahun 2004 apabila media Truth Report Russia melaporkannya.

Dunia semakin mengenali kanak-kanak aneh itu apabila sebuah badan mengkaji misteri, Camelot Project dari Amerika Syarikat menemu bualnya pada tahun 2007 dan videonya dimuat naik di laman Youtube pada awal tahun 2008.

Kini, jika dihitung, kanak-kanak itu sudah berusia 14 tahun.


(LENSA teropong NASA pernah merakam imej seperti manusia di planet Marikh. Mungkinkah makhluk itu berketinggian tujuh meter seperti yang digambarkan Borischa?)



Borischa bukan tiba-tiba muncul ke bumi dari Marikh sebaliknya dia dilahirkan seperti anak yang lain, daripada rahim ibunya, Nadezhda Kipriyanovich di Zhirinovsk, Volgograd, Rusia.

Borischa mendakwa dia merupakan seorang penduduk Marikh yang berketinggian tujuh meter dalam kehidupan masa lalu.

Bunyinya seperti lucu tetapi teruskan membaca.

Kanak-kanak berwajah menarik itu mula mendedahkan 'pengetahuannya' tentang Marikh ketika menyertai satu ekspedisi di zon anomali, Medvedetskaya Gryada dekat Volgograd.

Di hadapan para peserta ekspedisi yang rata-ratanya orang yang berpengetahuan tinggi dan berfikiran terbuka, dia yang ketika itu berusia tujuh tahun memukau dengan bicaranya tentang tamadun Marikh, bandar-bandar megalitik, kapal angkasa mereka, penerbangan ke planet-planet lain dan tamadun purba Lemuria di bumi seperti dia benar-benar menyaksikannya.

"Boleh anda bayangkan, apabila semua orang duduk mengelilingi kem api, tiba-tiba seorang budak berusia sekitar tujuh tahun meminta semua orang memberi perhatian kepadanya. Ramai orang terkejut tentang dua perkara.

"Pertama, kanak-kanak itu benar-benar berpengetahuan. Daya intelektualnya sangat jauh jika dibandingkan dengan kanak-kanak tipikal.

"Profesor di universiti pun belum tentu mampu bercerita tentang sejarah Lemuria dengan begitu terperinci. Anda takkan menemuinya dalam buku teks sekolah.

"Kedua, kami semua tertawan dengan ucapan budak itu. Bahasa yang digunakan tidak seperti kanak-kanak biasa.

"Pengetahuannya tentang terminologi yang spesifik serta terperinci berkenaan Marikh dan bumi mengagumkan semua orang," kata seorang profesor universiti, Gennady Belimov, antara saintis yang mula-mula melaporkan keluarbiasaan Borischa.

Tamadun Lemuria merujuk kepada tamadun purba yang dipercayai wujud di bumi 800,000 tahun yang lalu.

Kisah Borischa menarik perhatian para saintis Rusia tahun 2004.

Profesor Vladislav Lugovenko lantas menyifatkan kanak-kanak itu sebagai kanak-kanak indigo iaitu yang mempunyai keupayaan mental yang luar biasa.

"Borischa salah satu daripadanya. Kanak-kanak indigo juga seperti mempunyai misi khas untuk mengubah masyarakat bumi," katanya.

Ibu Borischa yang merupakan seorang dermatologis di klinik awam serta bapanya, seorang pegawai bersara juga berasa aneh tentang anak mereka itu.

Nadezhda atau Nadya berkata, dia tidak berasa sakit semasa melahirkan Borischa dan bayi itu merenungnya seperti pandangan seorang dewasa kala ditunjukkan kepadanya.Permainan Huruf

Pada usia satu tahun, Borischa memberinya permainan huruf-huruf dan pada usia setahun setengah dia sudah boleh membaca surat khabar bercetakan besar. Pada usia dua tahun pula dia boleh melukis dan mewarna.

Belum pun umurnya mencecah tiga tahun, Borischa sudah bercerita kepada ibu bapanya tentang alam semesta

"Dia boleh menamakan semua planet dalam sistem suria termasuk satelit-satelitnya. Dia menyimbah saya dengan nama-nama dan bilangan galaksi.

"Pada mulanya, saya berasa takut dan fikir anak saya mungkin hilang akal, tetapi apabila saya periksa apa yang dikatakannya memang benar wujud.

"Saya cari buku-buku berkenaan astronomi dan terkejut apabila mendapati anak saya tahu banyak mengenainya. Tidak ada sesiapa yang mengajarnya.

""Apabila saya bawa anak saya kepada banyak saintis termasuk ufologis, ahli astronomi dan sejarahwan, mereka setuju bahawa adalah mustahil untuk menyatukan semua ini menjadi satu cerita.

"Terma-terma asing dan saintifik yang digunakannya hanya diguna pakai oleh mereka yang pakar dalam bidang sains itu sahaja," tambahnya.

Kebijaksanaan Borischa turut menyulitkannya untuk belajar di sekolah. Selepas interbiu pertama, dia dipindahkan ke gred kedua, tetapi pihak sekolah seperti cuba untuk menyingkirkannya.

Dia dikatakan terus menerus mengganggu pengajaran cikgu dan sering menyatakan yang mereka salah. Kemudian, dia berguru dengan tutor persendirian.

Semasa ditemu bual pada Oktober 2007 oleh Camelot Project, Borischa berusia hampir 12 tahun. Dia ketika itu dikatakan sedang belajar di sebuah sekolah berdekatan Moscow yang dikhaskan untuk kanak-kanak genius.

Sebagai seorang yang meniti usia remaja, penemu bual daripada Camelot Project menyifatkannya sebagai seorang yang mempesona, ceria, malu-malu, peka dan sensitif.


(KAPAL angkasa manusia sering gagal mendarat di Marikh kerana, menurut Borischa, terdapat signal khas yang dikeluarkan oleh planet itu)


Jurnal cuba untuk menjejaki perkembangan terbaru Borischa di laman Internet, namun gagal mendapatkan sebarang maklumat.

Maklumat terakhir yang diperoleh adalah pada September 2008 apabila Kerry Cassidy daripada Camelot Project yang pernah menemu bualnya meninggalkan mesej di sebuah forum di Internet:

"Borischa berada dalam keadaan yang amat baik dan membesar dengan baik. Dia akan memulakan persekolahan di Moscow dalam masa terdekat dan akan menetap di tempat baru.

"Kami akan lihat sama ada dia mempunyai akses Internet di rumahnya.

"Amat sukar untuk mereka mempunyai Internet di dalam apartmen mereka tetapi ia boleh berubah jika mereka mendapat tempat tinggal yang lebih baik.

"Kami ada menghubunginya beberapa bulan lalu. Dia dan ibunya ketika itu sedang kembali ke kampung halaman mereka untuk mengemas barang bagi perpindahan ke Moscow."

Kanak-kanak ini juga nampaknya bukan seorang yang pandai bercakap tentang sains astronomi tapi juga mempunyai perspektif yang murni tentang kehidupan.

"Anda perlu menjadi seorang yang berbelas kasihan kepada orang lain. Kalau seseorang menyakiti anda, peluklah dia, minta maaf kepadanya dan berlutut kepadanya.

"Jika seseorang itu membenci kamu, sayangi dia dengan sepenuh hatimu dan minta keampunan," ujar Borischa.

sumber:Harian Kosmo
Related Posts with Thumbnails