Rakan SIMAAS anda!

PETIKAN HADIS

Posting Terbaru!

Posting Terbaru!

Monday, October 31, 2011

Peminta Sedekah..apa reaksi anda?



APA perasaan anda, seandainya ketika sedang makan di kedai atau di warung tiba-tiba datang orang meminta sedekah menghampiri anda.

Dia meminta duit derma daripada anda tetapi badannya sihat sambil dipimpin seseorang sambil menadah tangan.

Anda sedekah atau tidak kepadanya? Kalau anda beri duit kepadanya sama ada ikhlas atau pun sebab malu pada orang di sekeliling yang melihat anda? Selepas anda menderma apakah perasaan anda? Seronok atau berasa rugi?

Kalau berasa menyesal itu memang kedekut jawabnya. Alhamdulillah orang kita suka menderma, suka membantu dan menolong, mungkin kerana roh iman dan Islam yang menyala di dalam hati dan sanubari.

Ia menjadi pendorong utama ditambah pula dengan sikap orang Melayu yang memang lembut hati. Hulurkan derma janganlah terlalu berkira sangat.

Tidak miskin pun jika kita beri sedikit pemberian itu dan tidak kaya mana pun mereka dengan yang dapat duit derma kita. Sebenarnya orang kaya ialah orang yang suka memberi.

Allah Maha Kaya dan Maha Pemberi. Rasulullah pernah berhutang kerana mahu memberi. Kali ini penulis ingin berkongsi sedikit ilmu berkenaan membantu dan menderma terutama kepada fakir miskin.

Siapa sebenarnya yang dikatakan fakir miskin itu supaya derma kita itu betul-betul disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Fakir dan miskin adalah orang yang tidak memiliki apa yang cukup untuk belanja seharian misalnya mereka tidak memiliki beras, lauk dan keperluan asas yang lain.

Mungkin mereka ada pekerjaan tetapi pendapatan mereka tidak mencukupi, kos sara hidupnya dan bebanan keluarga, sebagaimana firman Allah: “Adapun bahtera itu kepunyaan orang-orang miskin yang bekerja di laut, dan Aku bertujuan merosakkan bahtera itu, Kerana di hadapan mereka ada seorang raja yang merampas tiap-tiap bahtera.” (Surah Al-Kahfi ayat 76)

Pada ayat di atas mereka disifatkan dengan sifat miskin, padahal mereka memiliki perahu besar dan memperoleh pendapatan sebagaimana sabda Rasulullah ketika ditanya orang miskin, Baginda menjawab: “Orang miskin bukanlah orang yang berkeliling meminta-minta, lalu diberi sesuap atau dua suap, satu buah kurma atau dua buah, tapi orang miskin adalah orang yang tidak cukup apa yang dia dapat daripada pekerjaannya untuk menyara keluarga.”

Zaman sekarang ada satu nama lagi iaitu peminta sedekah atau pengemis.
Terkadang mereka masih ketagih untuk makan hasil dari meminta dan menadah tangan.

Kalau sudah cukup duit daripada meminta sepatutnya mereka berhenti meminta tetapi kerana sudah ketagih, mereka akan terus meminta, orang sebegini sudah termasuk dalam kategori mereka yang memiskinkan diri sendiri.

Sebahagian daripada peminta sedekah sebenarnya lebih memerlukan derma dalam bentuk nasihat dan pemulihan mental.

Mereka perlu dididik dan disedarkan bahawa tangan di atas, jauh lebih baik dari pada tangan di bawah.

Setengah kadang-kadang menjadi keliru kepada peminta sedekah sama ada hendak beri atau tidak.

Kalau kita terus memberi nanti mereka ketagih meminta sehingga langsung tak nak berusaha sebab lagi seronok meminta tanpa bekerja.

Kalau tidak beri kasihan juga kalau yang meminta itu memang sangat-sangat memerlukan.

Sebab itu kita perlu memilih kepada siapa kita perlu berinfaq dengan tujuan untuk membantu dan kepada siapa kita perlu berkata maaf dengan tidak memberi mereka wang bukan kerana membenci, tetapi itulah salah satu cara kita mendidik mereka dan agar mereka berfikir dengan bijak.

Bagaimanapun penderma tetap dalam perhatian Allah dengan ganjaran yang istimewa. Percayalah jangan sekali menyesal dengan derma anda sebab banyak sekali hikmah di sebalik pemberian itu.

Antaranya hikmah derma ialah melembutkan hati. Jika hati sudah lembut, mudah untuk seseorang memaafkan orang dan mudah memohon maghfirah selepas melakukan kesalahan, sama ada kecil atau besar.

Kedua, seseorang, apabila menderma dan orang yang menerima derma pula seseorang yang betul-betul memerlukan bantuan insya-Allah, penerima derma itu pasti berdoa supaya penderma dikurniakan rezeki dan keampunan Allah.

Kesan berganda itu disebutkan dalam al-Quran, seperti ayat 261 dan ayat 265 Surah Al-Baqarah: “Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji.”

Manakala dalam ayat 265 surah sama maksudnya: “Dan perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya untuk mencari reda Allah, dan untuk memperteguhkan jiwa mereka, seperti sebuah kebun yang terletak di dataran tinggi yang disiram oleh hujan lebat, maka kebun itu menghasilkan buah-buahan dua kali lipat (ganda). Jika hujan lebat tidak menyiraminya, maka embun (pun memadai). Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”

Harian Metro

Thursday, October 20, 2011

Bayi Dikelar Ibu Sendiri!




BETONG: Hanya kerana teman lelaki tidak mahu menerima anak luar nikah dalam kandungannya, seorang pelajar berusia 16 tahun mengelar bayi perempuan baru dilahirkannya sehingga mati dan perut terburai di bilik asrama sekolahnya di sini, semalam.

Kejadian menggemparkan itu berlaku kira-kira jam 7.40 pagi dan pelajar tingkatan empat terbabit dikatakan melahirkan bayi cukup sifat sebelum dia mengelar bayinya yang masih hidup itu dengan pisau pemotong sayur sepanjang 15 sentimeter.

Sumber berkata, sebelum kejadian, pelajar terbabit dikatakan gagal hadir ke kelas sehingga menimbulkan rasa curiga seorang guru lelaki berusia 41 tahun yang kemudian ke bilik asramanya.

Menurutnya, sebaik tiba di bilik pelajar berkenaan, guru itu terkejut apabila mendapati satu mayat bayi perempuan cukup sifat berlumuran darah di atas lantai berhampiran katil suspek - Ameno World

Wednesday, October 12, 2011

Dari rokok kepada Haji..



Kepada kaki perokok rasanya ini bukan kali pertama peringatan ataupun amaran berkenaan bahaya rokok..macam2 cara dan usaha telah dilakukan..tak mengapalah..kita doakan semoga mereka2 yg berkenaan akan lebih kuat dalam usaha mengelak daripada 'gangguan' ketagihan rokok..amin


Harga rokok ( purata ) : RM10 (sekotak) x sehari
Jumlah tahunan : RM 3650
Tempoh Merokok : RM 3650 x 5 tahun = RM 18250

Maka......

Orang-orang yang merokok WAJIB MENUNAIKAN HAJI kerana terdapat lebihan harta mereka yang selama ini disia-siakan dan dibakar...

Sumber:fb ustaz zamri

Wednesday, October 5, 2011

Mengaku "Kasyaf" ?

Kalau ada mendengar berita orang yang kasyaf atau mengaku dirinya kasyaf..boleh baca ini dulu untuk menilai kebenarannya..

Dalam tasauf, kasyaf adalah merupakan satu sumber dalil atau ilmu. Ilmu kasyaf merupakan satu anugerah yang bernilai daripada Allah untuk hambanya yang terpilih. Guru-guru tarikat seringkali dikaitkan dengan ilmu kasyaf.

Mengikut Imam Al-Kusyairi “Kasyaf dari segi bahasa ialah terangkatnya hijab”. Mengikut istilah pula ialah “Dapat mengetahui apa yang berlaku disebalik hijab daripada perkara yang ghaib dan tidak diketahui oleh orang lain hakikat sebenar perkara tersebut”. Keujudan kasya ini adalah berbentuk ma’nawi dan tidak dapat dikesan oleh panca indera. Kasyaf berlku dengan cara musyahadah. Seperti dapat melihat roh atau perkara ghaib yang lain. Kasyaf juga boleh berlaku melalui pendengaran seperti Rasulullah s.a.w. mendengar wahyu yang diturunkan oleh Allah yang berbebntuk suara atau bunyi loceng …. Musyahadah atau kasyaf adalah tajalli daripada Allah s.w.t.

Dalam suasana masyarakat yang sering memperkatakan tentang kasyaf terdapat golongan menggunakan kasyaf sebagai sumber untuk mendapatkan pengaruh dan kepentingan tertentu. Ajaran sesat yang terdapat di Malaysia pada keseluruhannya menggunakan kasyaf sebagai salah satu perkara untuk mengekang pengikut mereka supaya taat dan patuh kepada pemimpin ajaran tersebut.

Dalam hal ini Profesor Abdul Hayyi Abdul Syukur dari Universiti Malaya cuba mengulas “Kasyaf dari perspektif Islam”.

Suatu perkara asas yang wajib kita ketahui ialah sumber hukum dalam Islam. Sumber hukum yang utama ialah Al-Quran dan Sunnah Rasulullah. Firman Allah yang bermaksud:
“Sekiranya kamu bercanggah dalam sesuatu perkara maka hendaklah kamu kembali kepada Allah dan RasulNya (AL-Quran dan Sunnah)”
Annisa’:59

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya: iaitu Kitab Allah dan sunnah Rasulullah s.a.w.”
(Al-Imam Malik)

Umat Islam tidak akan terpengaruh dengan ajaran-ajaran yang bertentangan dengan Islam kalau mereka meneliti ayat dan hadis tersebut, kerana ayat dan hadis tersebut merupakan asas utama untuk menjadi rujukan umat Islam. Sumber hukum dan akidah umat Islam tidak boleh lari dari dua sumber hukum tersebut. Setiap keputusan tidak boleh diambil daripada khurafat, mimpi, kasyaf, musyahadah, yaqzah, ilmu bathin dan sebagainya.

Kasyaf merupakan suatu perkara yang tidak boleh dinafikan didalam Islam, ini berdasarkan dalil daripada apa yang berlaku kepada Rasulullah s.a.w., para sahabat, salafussalih dan sebagainya. Ulama’ Ahlussunnah Wal Jamaah sepakat bahawa kasyaf memang ujud dan ia merupakan anugerah daripada Allah Taala kepada hambanya yang terpilih. Mengikut setengah pendapat bahaw kasyaf juga berlaku kepada orang kair. Kasyaf berlaku samada semasa jaga ataupun tidur. Semasa tidur dinamakan ru’yah assadiqah dan semasa jaga dianamakan ilham.

Kita perlu tahu setakat mana kebenaran kasyaf itu, apakah setiap perkara yang dianggap kasyaf itu boleh diterima atau sebaliknya?

Suatu garis panduan telah dinyatakan oleh para dinyatakan oleh ulama’ sejarah sejauh mana kebenaran kasyaf. Sesuatu perkara yang dianggap kasyaf perlu dilihat melalui Al-Quran dan Al-Sunnah. Kalau ianya bertentangan dengan Al-Quran atau Al-Sunnah maka kita wajib menolaknya dan kalau ia tidak bertentangan dengan kedua-dua sumber tersebut kita boleh menerimanya.

Dalam sejarah Islam banyak terdapat kisah yang menunjukan kasyaf ini benar-benar berlaku. Kalau kita perhatikan dalam kitab Hayatus Sahabah oleh Muhammad Yusuf Al-Kandahlawi, banyak kisah para sahabat yang mendapat kasyaf. Begitu juga dalam kitab Jami’ Karamatul Aulia’ oleh Al-Nabhani. “Kasyaf merupakan anugerah Allah kepada hambaNya dan ia tidak boleh dilakukan melalui usaha tertentu atau ilmu kasab (secara usaha)”.

Kasyaf terbahagi kepada beberapa jenis, tidak semua kasyaf datangnya daripada Allah. Kasyaf juga datang dari syaitan dan jin. Syaitan yang menjadi musuh manusia sentiasa mencari jalan untuk menyesatkan manusia. Dan antara jalannya ialah perkara ghaib yang dianggap kasyaf.

Oleh itu ulama’ telah menetapkan syarat, untuk menerima kasyaf sebagai sumber ilmu dan hujjah. Antara syarat utamanya ialah: ianya tidak bertentangan dengan Al-Quran dan Sunnah, ijma’ dan qias dan kasyaf juga tidak boleh diterima sebagai sumber hukum atau hujah. Sekiranya kasyaf berhubung dengan waktu sembahyang, tarikh puasa Ramadhan, tarikh hari raya dan sebagainya, kita wajib menolaknya kerana kasyaf seperti ini boleh menyesatkan manusia.

Dinegara kita ilmu kasyaf amat terkenal dikalangan pengamal tarikat tasauf, dan ajaran sesat. Ada setengah ajaran sesat menggunakan kasayaf sebagai batu loncatan untuk mengikat pengikut-pengikutnya supaya patuh dan taat kepada pemimpin. Sebagai contohnya jika derhaka kepada guru, mengikut kasyafnya ia akan ditimpa bala’ atau tidak dijamin masuk syurga.

Dalam hal ini, kita jangan mudah terpengaruh dengan ilmu kasyaf kerana perkara yang berkaitan dengan musibah bala’ yang menimpa seseorang. Dosa atau pahala, syurga atau neraka seseorang itu adalah ketetapan daripada Allah. Penggunaan ilmu kasyaf seperti ini banyak digunakan oleh pengikut Syiah, Bahai, ajaran sesat dan sebagainya dengan tujuan untuk mendapatkan pengaruh dan kedudukan.

Secara umunya kasyaf adalh suatu perkara diluar usaha manusia dan ia merupakan anugerah daripada Allah kepada hambanya yang terpilih.

Walaubaaimanapun kasyaf yang diperolehi perlu ditimbang dengan neraca Al-Quran dan Sunnah, Ijma’ ulama’ dan hukum alam yang lain. Kasyaf juga tidak boleh menjadi sumber hukum atau hujah untuk menentukan kesahihan sesuatu. Kita juga jangan mudah terpengaruh dengan orang yang mendakwa ia mendapat kasyaf. Kerana kasyaf juga datang dari syaitan untuk menyesatkan seseorang dari jalan yang sebenar.

Sumber: Tulisan ahakim@islam.gov.my

Monday, October 3, 2011

Jin Internet!



KUALA LUMPUR: Hanya bermodalkan RM100 hingga RM300, sebuah laman web kini dikesan cuba mempromosi ajaran khurafat kepada sesiapa saja yang berkeinginan untuk memiliki ilmu kebatinan seperti ilmu tujuh silat ghaib, kebal, berjalan atas air, ilmu khadam dan beberapa ilmu lain tanpa perlu melalui proses pertapaan dan latihan selama bertahun-tahun.

Setiap ilmu yang ingin dipelajari mempunyai harga yang sudah ditetapkan, asalkan pelanggan sanggup membayarnya dan segala ilmu yang dihajati akan diperturunkan, tetapi peliknya hanya melalui panggilan telefon pada waktu tertentu di samping menyediakan bahan termasuk kemenyan, limau nipis dan air telaga.

Berikutan itu, orang ramai dinasihatkan tidak terpengaruh untuk mendapatkan ilmu yang ditawarkan laman web itu. Pengasas Pusat Rawatan Terapi al-Quran Darul Hikmah, Abdul Malek Abdul Ladzim Al Azhari, berkata orang ramai usah terpedaya dengan ilmu ditawarkan laman web terbabit kerana ia boleh memesongkan akidah.

Katanya, meminta pertolongan atau berdamping dengan khadam hukumnya haram di sisi syarak dan bertentangan ajaran Islam.

“Tindakan seseorang itu kononnya jika ilmu itu ingin berjaya perlu mendirikan solat dan berzikir satu tindakan untuk mengaburi mata orang ramai termasuk menghalalkan helah mereka sedangkan itu bertentangan dengan Islam.

“Solat dan zikir ialah cara untuk kita mendekatkan diri dengan Allah, bukan satu cara untuk berdampingan dengan khadam sedangkan manusia tidak layak memohon pertolongan daripada jin kerana itu akan menambahkan kesombongan mereka,” katanya mengulas mengenai ilmu ditawarkan laman web terbabit.

Selain pelbagai ilmu kebatinan, laman web itu turut menawarkan pelbagai barangan yang dikatakan mempunyai khasiat tersendiri seperti geliga lipan yang ditawarkan dengan harga RM10 juta, keris berdiri (RM80,000), minyak pengasih (RM450), minyak pengasih lidah jin yang dikatakan hanya ada sembilan botol di dunia ini yang dihantar melalui alam bunian oleh jin (RM300), minyak air mata bunian untuk penunduk dan pengasih (RM300), minyak harimau putih yang dikatakan mampu menggerunkan musuh pemakainya (RM250) dan beberapa koleksi barangan tembaga dan koleksi senjata lama pada harga yang tertera pada laman web itu.

Penganjur laman web itu ketika dihubungi Harian Metro berkata, bukan semua individu yang ingin ilmu yang dihajati akan berjaya kerana ia bergantung kepada keazaman seseorang.

“Seseorang yang mahu memiliki ilmu kebatinan ini perlu menghadapi beberapa peringkat ujian yang akan diuji khadam digelar Penghulu Lengkia selama tujuh hari. Hanya mereka yang berjaya melepasi ujian selama seminggu itu akan dikurniakan ilmu yang diinginkan.

“Lebih penting, individu itu perlu menjaga solat dan mengamalkan zikir Asma’ Husna sepanjang proses pembelajaran itu bagi memastikan ia berjaya,” katanya.

Mengulas kenyataan itu, Abdul Malek berkata, manusia sebaik-baik ciptaan dan lebih sempurna daripada jin. Justeru manusia hendaklah memohon bantuan dan pertolongan hanya daripada Allah dan tidak ada pihak lain yang layak.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Silat Gayong Malaysia, Datuk Adiwijaya Abdullah ketika dihubungi berkata, tiada istilah belajar silat secara ghaib kerana ilmu itu perlu dipelajari secara fizikal untuk satu tempoh tertentu sebelum individu berkenaan mahir dalam sesuatu disiplin ilmu itu.

“Saya berpendapat ilmu kebatinan atau pengisian silat secara ghaib ini mustahil dan tidak mungkin akan berlaku tanpa pembabitan pihak ketiga atau menggunakan khidmat jin bagi tujuan tertentu,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Silat Lincah Malaysia, Tan Sri Omardin Mauju, berkata mereka yang menggunakan laman web itu untuk mendapatkan sebarang ilmu bertentangan dengan etika persilatan dan bimbang jika orang ramai berpendapat ia berkaitan dengan dunia persilatan.

“Sedangkan Nabi Muhammad yang bersifat maksum cedera ketika Perang Badar, apatah lagi kita manusia biasa yang sering melakukan dosa dan maksiat boleh memiliki ilmu seperti itu,” katanya.

Sumber:Harian Metro
Related Posts with Thumbnails