Rakan SIMAAS anda!

PETIKAN HADIS

Posting Terbaru!

Posting Terbaru!

Wednesday, February 23, 2011

Pelatih PLKN Meninggal Ketika Solat

Semalam saya menerima berita salah seorang anak saudara saya yang mengikuti program Latihan Khidmat Negara meninggal dunia ketika solat. Allah lebih mengetahui atas segala-galanya dan semoga rohnya dicucuri rahmat kpd Allahyarham dan keluarganya. AL-FATIHAH..

Berita:
Seorang pelatih lelaki Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Temasya Rimba Templer, Rawang, dekat Kuala Lumpur, rebah dan meninggal dunia ketika menunaikan solat Zohor berjemaah, semalam.

Syed Abdul Rahman Syed Ahmad, 17, dari Kota Samarahan, Sarawak, dikejarkan ke Hospital Selayang kira-kira pukul 1.50 petang sebelum disahkan meninggal dunia pada 50 minit kemudian.

"Semakan rekod perubatan mendapati Allahyarham tidak mempunyai apa-apa masalah kesihatan dan telah disahkan oleh pegawai perubatan. Semasa dalam kem dia sentiasa cergas dan mengikuti semua aktiviti latihan," kata Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu berkata rekod menunjukkan Allahyarham pernah menerima rawatan sekali sahaja akibat batuk.

Jenazah Syed Abdul Rahman telah selamat diterbangkan ke Kuching petang tadi, kata kenyataan itu.

Kejadian itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan JLKN meminta mana-mana pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara tersebut sehingga laporan lengkap mengenai kematian pelatih berkenaan diketahui.

- Bernama

Malaysiakini

Tuesday, February 22, 2011

Misteri Suara Tangisan Dari Dalam Kubur!




"..dia turut mendengar cerita bahawa Desi didapati masih hidup semasa solat jenazah.."


JAKARTA - Penduduk di Prumpung, Jatinegara, Jakarta Timur mengerumuni sebuah kubur yang dikatakan mengeluarkan suara seperti orang menangis, lapor akhbar dalam talian Tribunnews.com semalam.

Kubur itu yang menempatkan jenazah seorang remaja perempuan di Prumpung, Desi Tri yang berusia 15 tahun itu menjadi tumpuan orang ramai sejak pagi semalam.

Desi meninggal dunia pada 18 Februari lalu kerana sejenis penyakit.

Menurut seorang jirannya, Bony, 38, dia turut mendengar cerita bahawa Desi didapati masih hidup semasa solat jenazah.

Bagaimanapun, seorang wakil ketua kampung, Bambang berkata, dia tidak mendengar suara tangisan dari dalam kubur tersebut.

Dia menjelaskan, jika kubur itu mahu digali semula, ia perlu mendapatkan persetujuan daripada keluarganya.

Sumber: Kosmo

Thursday, February 17, 2011

Pengalaman Masuk Kaabah: Ust.Haron Din



Bahagian Pertama (Kuliah Subuh di Mekah pada 18 April 2005)

Saya pernah tawaf di Baitullah seorang diri. Pelik tetapi benar. Waktu itu iaitu empat tahun sudah (2001) saya datang ke Mekah, Allah taala lah yang mengaturkannya, saya dapat peluang untuk masuk ke dalam Kaabah. Sebab saya datang atas tetamu tokey yang membuat dan membersihkan Masjidil Haram.

Pagi itu saya datang awal. Pengawal keselamatan baru memagar keliling Kaabah dan saya dapat masuk ke dalam pagar itu sebab saya ada Pass VIP. Ketika itu tetamu-tetamu lain tak sampai lagi. Ketika itu lah saya tawaf seorang diri di hadapan Kaabah. Lepas saya habis tawaf baru tetamu-tetamu lain sampai. Ketika itulah saya nampak Hajarul Aswad seterang-seterangnya, ia tidak lagi hitam tetapi sudah kemerah-kemerahan.

Bila pintu Kaabah di buka saya orang yang ke tiga masuk ke dalam. Pertama pembuka pintu Kaabah iaitu daripada Bani Syaibah.

Pembuka pintu itu sudah tua, dia melatih anaknya yang berumur lebih kurang empat tahun untuk membuka pintu Kaabah itu.

Sejarah pintu Kaabah itu, kalau orang yang lain tidak boleh buka. Dia hanya boleh di buka oleh pemegang kunci itu sahaja dari keturunan Bani Syaibah. Bila Nabi meninggalkan Mekah kerana berhijrah ke Madinah, Mekah di kuasai oleh Bani Syaibah. Bani Syaibah ini adalah keturunan yang di amanahkan untuk memegang kunci kaabah sejak turun temurun.

Bila nabi balik semula ke Mekah dalam tahun 7 hijiriah, berlaku peperangan pembukaan Mekah, nabi menang dan orang Islam berkuasa ke atas Mekah. Nabi menghantar Sayidina Ali untuk mengambil kunci pintu Kaabah daripada Bani Syaibah. Sayidina Ali pergi ke Bani Syaibah dan rampas kunci tersebut. Bani Syaibah serahkan kunci kepada Sayidina Ali tetapi bila pintu Kaabah nak di buka tak boleh. Sekejap sahaja datang Jibrail kepada Nabi membawa wahyu dari Allah. Al-Quran (An-Nisaa’:58)

Mahfumnya “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya”

Nabi bagi balik kunci itu kepada Bani Syaibah, walaupun ketika itu Bani Syaibah belum Islam lagi. Rupa-rupanya bila bagi balik, Bani Syaibah kata mesti dia seorang nabi. Kalau dia bukan seorang nabi pasti dia gila kuasa kerana memegang kunci ini adalah satu penghormatan turun temurun. Bila kunci ini dipulangkan balik, ketua Bani Syaibah terbuka hatinya memeluk Islam kemudian semua pengikutnya memeluk Islam sehingga hari ini.

Budak kecil tadi dibawa tangannya untuk pegang kunci oleh bapanya kemudian di buka dan di tolak pintu itu. Saya lihat di depan saya. Berapa besar pintu itu? Berapa tebalnya? Pintu itu dibuat dari Solid Gold beratnya 8 tan. Dia tolak senang sahaja, kemudian kami masuk.

Mula-mula sekali saya pergi sembahyang di satu ruang belakang pintu Kaabah yang menghadap ke arah Hajaral Aswad (dari dalam) iaitu di bahagian Multazam. Selama sejam saya berada di dalam Kaabah itu.

Di dalam Kaabah itu masih ada lampu yang digunakan pada zaman nabi dahulu. Zaman Kerajaan Umaiyyah ditukar lampu lain seterusnya zaman Kerajaan Abasiyah juga tukar lampu. Apabila lampu di tukar, lampu yang lama di simpan di dalam Kaabah. Berpuluh-puluh atau mungkin beratus-ratus lampu lama ada disimpan di dalam itu.





Bahagian Kedua (Kuliah Pengubatan pada 12-Feb-2007)

Saya membantu salah seorang yang terkaya di Saudi Arabia, multi-billionaire, semua projek di Saudi dia yang buat. Dia ada masalah keluarga mintak tolong saya ikhtiarkan. Allah nak tunjukkan bahawa masalah yang dihadapi itu telah terlalu lama, ada duit yang banyak pun tak boleh selesai.

Dia tunggu saya di airport Jeddah dengan jet peribadi. Saya tak pergi imigresen dia terus ambil saya dari tangga kapal terbang terus masuk ke jet dia. Sungguh kuat pengaruh dia, saya tanya passport saya bagaimana, tak ada masalah dia dah uruskan. Naik jet dia pergi ke Madinah. Saya selesaikan masalah dia dengan izin Allah SWT. Lepas itu biasalah adat orang Arab nak bagi itu nak bagi ini sebagai balasan.

Saya kata kepada dia, “Kalau kamu nak masalah itu selesai selama-lamanya dan tak berulang semula, jangan bagi pada aku apa-apa, kalau kamu bagi, aku boleh terima tetapi masalah itu akan berulang balik.”

Dia mintak maaf tetapi dia kata “Aku nak buat sesuatu untuk kamu apa yang kamu nak?”. Saya kata “Ok kalau begitu apa yang aku nak tolong bawak aku masuk ke dalam Kaabah.” Dia kata “Itu mudah sangat, esok pun aku boleh arah buka”. Saya kata “Tak apalah kamu arahlah”. Dia kata “Tak apa itu perkara kecil, mintak yang lain.” Saya kata “Tidak, itu paling besar pada saya. Kalau kamu boleh bawa masuk aku ke dalam Kaabah, itu sudah lebih daripada cukup.”

Akhirnya saya dapat masuk. Saya masuk dengan dia ke dalam Kaabah, itulah kenangan yang tak boleh saya lupa sampai hari ini.

Sumber:darussyifasetiu.blogspot

Tuesday, February 15, 2011

Makhluk Ular Dipercayai Naga?

(SEORANG penumpang bot sempat merakamkan gambar naga raksasa sepanjang 40 meter di Sungai Mahakam, Kutai Barat, Indonesia pada 29 Januari lalu)


KUTAI BARAT - Penduduk di Kutai Barat, wilayah Kalimantan Timur digemparkan dengan kemunculan sepasang naga raksasa sebesar sepanjang 40 meter.

Haiwan itu dilihat menyusur di permukaan air di Sungai Mahakam yang menghubungkan Riam Haloq, Kampung Long Tuyoq, Kecamatan Long Pahangai di sini.

Naga raksasa seperti ular itu didapati melintas di sungai ini diyakini masyarakat suku Dayak sebagai naga.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh akhbar Tribun, peristiwa kemunculan naga tersebut berlaku pada 29 Januari lepas.

Pada hari kejadian, sejumlah penumpang dan pemandu sebuah bot panjang yang dalam perjalanan ke sini melihat sepasang naga mirip ular raksasa itu melintas di permukaan Sungai Mahakam dari arah berlawanan.

Bimbang mereka akan menjadi korban haiwan raksaksa itu, pemandu bot berkenaan mengemudi botnya ke tepi sungai untuk memberi laluan.

"Kedua-dua ekor naga itu bergerak terus dan tidak merasa terganggu dengan kehadiran bot itu," kata seorang penduduk tempatan, Dodik, yang mendengar tentang peristiwa itu daripada keluarganya di Mahakam Ulu.

Pemandu dan beberapa penumpang bot itu kemudian merakamkan gambar raksaksa tersebut dengan menggunakan telefon bimbit berkamera.

Gambar-gambar naga raksasa itu kemudian tersebar dan menggemparkan masyarakat tempatan.

Menurut seorang penduduk di sini, terdapat dua naga yang dilihat. Salah satu haiwan itu dipercayai jantan kerana terdapat dua tanduk di kepala manakala naga betina pula tidak bertanduk.

Kedua-dua haiwan itu memiliki empat kaki, kulit berwarna hitam dengan panjang sekitar 40 meter.

sumber: Kosmo Online

Sunday, February 13, 2011

Rawatan Mengundang Bencana!




Kementerian Kesihatan UAE memberi amaran bahawa rawatan kaki/kulit alternatif/kosmetik yang menggunakan ikan seperti yang dipaparkan pada gambar di atas boleh menyebarkan penyakit bahaya.

Akhbar Al Khaleej yang memetik kata-kata Dr Amin Al Amiri, “Penggunaan ikan-ikan sebagai rawatan boleh mendatangkan mudarat kepada orang ramai kerana rawatan ini boleh menyebarkan penyakit termasuk hepatitis dan AIDS/HIV.”

Tambah Dr Amin, “Sesetengah orang mungkin mengalami penyakit berbahaya dan virus pada luka mereka akan mudah dipindahkan kepada orang lain melalui ikan dan air.”

Prosedur rawatan yang dibangunkan di Turki ini digunakan untuk merawat kulit termasuklah penyakit psoriasis.

Pesakit/orang ramai dikehendaki meletakkan kaki di dalam sebuah kolam kecil yang berisi ikan kecil (ikan garra rufa atau ikan chin chin). Ikan-ikan ini akan “memakan” sel-sel kulit yang telah mati pada kulit pesakit.

Untuk makluman, rawatan kaki menggunakan teknik ini diharamkan di 14 buah negeri di Amerika Syarikat.

- duniacacamarba

Wednesday, February 9, 2011

Lembaga Berkuda Sertai Protes di Mesir?




Stesen televisyen MSNBC merakamkan imej lembaga dipercayai seorang lelaki yang menunggang kuda dalam rusuhan bagi menuntut Presiden Mesir, Hosni Mubarak meletakkan jawatan di Kaherah pada Khamis lalu.

Imej misteri itu disiarkan dalam lintasan berita mengenai situasi yang berlaku dekat Dataran Tahrir pada awal pagi.

Dalam imej tersebut, bayang penunggang kuda yang berwarna hijau dan bercahaya itu seolah-olah melihat gelagat para penunjuk perasaan membaling batu dan kebakaran kereta di tepi sebatang jalan raya dalam rusuhan itu.

Kuda yang dinaiki lelaki itu kemudian bergerak perlahan-lahan sebelum ia berlari ke langit dan lenyap ditelan kegelapan.

Imej tersebut kini menjadi perdebatan hangat dalam beberapa laman web di Internet mengenai kejadian misteri itu.

Beberapa pengguna Internet yang menyaksikan rakaman video itu menyatakan ia disebabkan oleh cahaya kilat kamera atau pantulan cahaya.

Sumber:Kosmo

Monday, February 7, 2011

Samakah Antara Saka Dengan Qareen?


Soalan:

Saya banyak mendengar perkataan saka yang dirujuk kepada gangguan makhluk halus atas seseorang yang berpunca daripada keturunan seseorang yang mendampinginya sentiasa meminta berbagai permintaan atau mengenakan berbagai keburukan. Adakah ini sama dengan istilah qareen yang pernah Dato’ sentuh dalam jawapan terdahulu. Samakah antara saka dengan qareen? Bagaimana hendak mengatasi hal ini apabila ianya berlaku?

SAMIHAH MANSOR
Batu Gajah



Jawapan dari Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din


Saka adalah suatu istilah yang biasanya digunakan oleh tukang ubat atau bomoh tradisional yang merujuk kepada suatu fenomena gangguan spiritual yang berlaku ke atas manusia kebanyakannya kaum wanita dan ada juga lelaki, yang mengaitkannnya dengan makhluk yang kononnya diamanahkan menjaga seseorang. Bagi tujuan menjaga tersebut maka berbagai-bagai gangguan spiritual berlaku. Gangguan seperti ini dikenali sebagai gangguan makhluk halus.

Saka dikaitkan dengan kononnya ada makhluk yang berdampingan dengan keturunan bapa, ibu, datuk atau nenek seseorang yang menjaga atau bersahabat dengan makhluk ini dan dipesan kepada makhluk tersebut selepas kematiannya untuk menjaga dan mengawal anak cucu mereka.

Hasil daripada itu maka berlaku kawalan, sebenarnya gangguan ke atas orang berkenaan sehingga menimbulkan masalah yang diistilahkan sebagai saka.

Saya tidak dapat menentukan apa sebenarnya saka. Betul atau tidak ia makhluk yang mendampingi manusia dan keturunan mereka diganggu sehingga mendatangkan kemudaratan kepada mereka. Jika benar ianya (makhluk halus) sebagai sahabat, kawan atau dampingan orang-orang terdahulu, maka sepatutnya ia tidak berubah sekadar hanya menjaga dan melindungi anak cucu seseorang, tiba-tiba berlaku sebaliknya sehingga menyakiti dan menganggu sampai menjadi separuh gila atau separuh sedar.

Saya tidak nampak hal ini sebagai saka yang digunakan untuk menjaga dan mengawal seseorang untuk kebaikan. Jika berlaku begini, maka tidaklah menimbulkan masalah walaupun hukum asalnya bersahabat, berbuat baik, berdampingan dengan makhluk halus dilarang oleh syariat Islam.

Banyak ayat-ayat al-Quran yang menggesa manusia menjauhi dan berlindung diri daripada syaitan. Malah manusia wajib menjadikan syaitan sebagai musuh dan sebagainya.

Berbalik kepada seseorang yang diganggu oleh makhluk halus, maka jelas ia adalah musuh kerana ia menyakiti manusia, menganggu manusia dan melakukan perkara yang tidak dingini oleh manusia, ianya memberikan kesan negatif.

Kita mesti menjauhi mereka, benda yang dinamakan saka ini tidak menjadi sesuatu yang baik kepada manusia. Dirawatlah dengan cara-cara yang diharuskan oleh syarak bagi mengelakkan saka ini terus menerus menganggu manusia.

Adapun Qareen adalah istilah al-Quranul karim yang jelas Allah S.W.T menyebut dalam beberapa ayat seperti dalam Surah Qaf (ayat 23), Surah al-Fussilat (ayat 25) dan lain-lain.

Di antara makna-maknanya, Allah menyebut (mafhumnya), “Dan kami tetapkan bagi mereka, teman-teman yang menjadikan mereka memandang bagus apa yang ada di hadapan dan di belakang mereka. Dan tetaplah atas mereka keputusan azab pada umat yang terdahulu dari jin dan manusia. Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang meragui.”

Istilah teman-teman dalam al-Quran adalah pada asal perkataan Qurana atau kawan-kawan setia. Maksudnya adalah dari suku sakat syaitan atau iblis ini menjadikan manusia sebagai teman mereka.

Firman Allah (mafhumnya), “Dan berkatalah Qareennya, inilah catatan amalan yang tersedia pada sisiku.” (Surah Qaf, ayat 23).
Dan Surah Qaf, ayat 27 bermaksud, “Yang menyertai dia, Qarennya berkata pula,”Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya, tapi dialah yang berada dalam kesesatan yang jauh.”

Ini merujuk kepada perkataan Qareen. Allah S.W.T menyifatkannya sebagai kawan rapat bukan kerana manusia hendak sangat berkawan dengan mereka, tetapi pada pandangan sesetengah ulama, sejak manusia dilahirkan ada makhluk halus yang mendampinginya, mengajak, memandu serta mempengaruhinya melakukan kejahatan. Itulah yang dimaksudkan sebagai Qareen.

Dalam hadis daripada Ibnu Mas’ud r.a, bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w bersabda (maksudnya), “Setiap orang daripada kamu, ada bersama dengannya qareen (syaitan) daripada jin. Sahabat bertanya, apakah Rasulullah juga mempunyai qareen, baginda menjawab, ya, saya pun ada qareen itu, cuma Allah S.W.T membantu saya, dapat mempengaruhi qareen itu sehingga dia telahpun Islam dan dia berdamping dengan saya, dia tidak mendorong saya membuat sesuatu melainkan semuanya untuk kebaikan.” (Riwayat Muslim).

Hadis daripada Ai’shah r.ha berkata,”Suatu ketika Rasulullah s.a.w berada bersama dengan saya, lalu keluar meninggalkan saya kerana ada suatu urusan pada malam hari, tiba-tiba timbul cemburu dalam diri saya, apabila Rasulullah s.a.w kembali menemui saya, baginda mengetahui perasaan saya itu, maka baginda bertanya, apakah gerangan mu wahai Ai’shah? apakah kamu cemburu? Maka saya menjawab, manalah orang seperti saya ini tidak cemburu ke atas mu wahai Rasulullah s.a.w. Maka Nabi menyebut kepada saya, apakah kamu telah dikuasai oleh syaitanmu wahai Ai’shah. Maka saya menjawab, ya Rasulullah, apakah bersama saya ada syaitan? Rasulullah menjawab, ya, malah pada tiap-tiap insan ada syaitannya. Saya bertanya kepada Rasulullah, apakah kamu juga ada syaitan? Jawab baginda, ya, tetapi Allah S.W.T telah membantuku, aku Islamkan dia dan tidak menyuruhku melainkan untuk kebaikan.”

Hadis-hadis sebegini adalah hadis sahih, ia menunjukkan memang berlaku bahawa qareen, ia adalah syaitan, mendampingi semua manusia. Kalau Rasulullah s.a.w pun didampingi oleh qareen ini, inikan pula insan biasa.

Oleh yang demikian, jelas bahawa qareen ini ada pada setiap orang dan bergantung kepada seseorang insan itu, jika ia belum boleh menguasai dirinya dengan kerja-kerja ketaatan sehingga tidak ada ruang untuk melakukan kemaksiatan maka qareen ini seolah-olahnya putus asa untuk mengajaknya melakukan kejahatan, melainkan sekali sekala sahaja.

Adapun orang-orang yang mudah mendedahkan dirinya kepada melakukan perkara yang tidak baik, khasnya melakukan kemaksiatan, maka qareen inilah yang menjadi pendorong utama. Pada pandangan saya qareen adalah makhluk halus yang jahat.

Jika hendak dikatakan saka, hanya sekadar mengatakan ianya wujud ada, maka tidak salah mengatakan kita semuanya ada saka, tetapi saka yang saya maksudkan adalah saya yang sedia ada, bukan kerana dipelihara oleh keturunan, bukan disuruh oleh seseorang melakukannya tetapi kerana tabiat makhluk ini memang sentiasa berusaha menjerumuskan manusia kepada kejahatan.

Wallahua’lam.

Tuesday, February 1, 2011

'Pengkid' Guna Sihir??



..“Saya tersedar sepenuhnya Julai tahun lalu selepas berubat dengan beberapa ustaz"..


KUALA LUMPUR: “Hubungan intim dengan pasangan sejenis menyebabkan saya sanggup mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kepada anak-anak kami,” luah pengarah sebuah syarikat berusia 30-an yang hanya mahu dikenali sebagai Julia.

Selain melakukan hubungan terlarang, Julia menghabiskan wang ringgit dan harta benda lebih RM500,000 kepada seorang ‘pengkid’ sedangkan dia masih isteri orang dan mempunyai tiga anak kecil.

Julia mendakwa layanan pengkid dikenali sebagai Az, 40-an, berasal dari utara tanah air itu membuatkan dia leka dan merasa disayangi lebih daripada kasih sayang dicurahkan suaminya.

“Hubungan kami ibarat suami isteri apabila menghabiskan masa setiap hari sejak lima tahun lalu hingga saya mengabaikan tanggungjawab kepada keluarga.

“Disebabkan kealpaan menjalani kehidupan bersama Az yang bekerja sendiri, rumah tangga saya yang dibina bersama suami atas dasar cinta selama tujuh tahun lalu musnah,” katanya ketika di temui di Bangsar, semalam.

Menurutnya, hatinya terpaut dengan pengkid terbabit kerana memahami jiwanya dan pandai mengambil hati selain belaian romantik yang tidak diberi bekas suami.

“Sejak mengenali pengkid terbabit, hidup saya berubah 100 peratus dan sanggup memberinya sebuah rumah bernilai lebih RM300,000 serta pelbagai barangan mewah lain sedangkan saya tidak pernah berbuat demikian pada anak-anak.

“Kami mendiami kondominium di kawasan elit dan sentiasa bersama termasuk bertemu pelanggan, makan dan tidur sekatil. Bagi saya, saat bersamanya ketika itu detik yang paling bahagia dan bermakna menyebabkan saya tidak mahu berpisah dengannya walaupun sedetik.

“Saya juga tidak berpeluang menjenguk suami dan anak-anak kerana akan berasa ‘panas’ apabila berada di rumah sendiri dan mengikut segala kehendaknya,” katanya yang terpaksa menyerahkan hak jagaan tiga anak kepada ibunya.

Katanya, semua perkara yang mahu dilakukan perlu mendapat kelulusan Az termasuk bertemu pelanggan lelaki dan jika ‘kekasihnya’ itu nampak dia bersama lelaki lain, dia akan diugut menyebabkan perniagaan dibinanya ada kalanya berdepan masalah.

“Semua benda yang dilakukan perlu dirujuk kepada pengkid itu terlebih dahulu. Jika saya ingkar, dia akan memukul dan menendang saya sedangkan bekas suami tidak pernah melakukan perbuatan itu.

“Saya juga wajib memberi wang saku kepadanya RM10,000 setiap bulan selain menaja kos pelancongan luar negara dan membeli barangan berjenama lain. Pendek kata, pengkid itu hanya memesan dan saya akan membayarnya,” katanya.

Katanya, sejak menjalin hubungan, semua wangnya dipegang pengkid terbabit termasuk kad kredit dan kad bank.

“Az juga marah jika saya mahu memberi wang kepada ibu di kampung kerana beranggapan hanya dia layak menerima wang saraan setiap bulan.

“Sebelum ini saya pernah terfikir untuk menjauhkan diri daripadanya, tapi tak berjaya kerana berasa kasihan kepadanya dan kembali semula selepas sehari berpisah.

“Saya tersedar sepenuhnya Julai tahun lalu selepas berubat dengan beberapa ustaz dan cuba menjauhkan diri daripadanya hingga menyebabkan dia tidak puas hati dan membuat pelbagai ugutan termasuk cubaan menjatuhkan perniagaan serta maruah saya,” katanya.

Sejak meninggalkan pengkid itu, Julia berkata Az berusaha memusnahkan hidupnya hingga menimbulkan ketakutan menyebabkan dia membuat laporan polis tiga kali di ibu kota.

“Saya harap dia tidak akan mengganggu hidup saya lagi kerana saya mahu kembali hidup normal. Cukup saya menghambakan diri kepadanya sehingga tersasar daripada landasan agama.

“Apa yang saya tahu, Az kini sudah menemui cinta baru dengan seorang wanita kaya untuk dijadikan mangsa. Dia dan rakan-rakannya sanggup mengikis harta wanita kaya untuk kepentingan diri,” katanya.

Sumber: Harian Metro
Related Posts with Thumbnails