Rakan SIMAAS anda!

PETIKAN HADIS

Posting Terbaru!

Posting Terbaru!

Tuesday, October 15, 2013

“Saya diganggu oleh syaitan.”


“Saya diganggu oleh syaitan.” Itu antara kata-kata yang tercatat dalam nota ringkas yang ditemui di bilik seorang mekanik warga asing yang dijumpai mati dipercayai menggantung diri di bilik tidurnya di sebuah kuarters pekerja di Kuala Baram, malam kelmarin.

Ketika ditemui pada jam 7 malam, mangsa yang dikenali sebagai Utiya Handoko, 29, dan berasal dari Jawa Timur, Indonesia ditemui tergantung menggunakan sehelai baju pada sebatang besi pendek yang dipasak ke dinding untuk dijadikan tempat menggantung penyangkut pakaian.

Kejadian itu disedari oleh seorang rakan sekerja mangsa dikenali sebagai Sigit, 25, yang cuba mencari mangsa setelah disuruh oleh seorang penyelia berbuat demikian memandangkan mangsa tidak turun bekerja sejak Khamis minggu lepas.

Beliau yang turut hairan dengan ketidakhadiran rakan senegaranya itu ke tempat kerja terus pergi ke kuarters mangsa yang terletak berdekatan kuartersnya.

“Setiba di situ, saya telah memanggil nama mangsa berulang kali, namun tiada sahutan. Bimbang sesuatu yang buruk berlaku, saya terus menjenguk ke dalam melalui tingkap bilik tidur mangsa yang terbuka dan alangkah terkejutnya apabila ternampak mangsa tergantung di sebatang besi yang dipasak pada dinding,” katanya.

Serentak itu, kata Sigit, dia terus memaklumkan perkara itu kepada beberapa rakan sekerja yang lain sebelum datang semula ke rumah mangsa dan mereka terpaksa menendang pintu hadapan kuarters mangsa yang berkunci untuk memasukinya.

Ketika kejadian, hanya mangsa seorang diri berada di rumah, manakala tiga penghuni lain terdiri daripada sepasang suami isteri dan seorang lagi lelaki telah keluar bekerja.

Sementara itu, menurut Cahaya Wati, 40, yang tinggal di kuarters sama dengan mangsa, mangsa pernah menelan 12 biji pil Panadol pada malam Ahad lalu sambil mengadu banyak masalah.

“Tapi saya tak pasti apa masalahnya. Lagipun saya tidak suka ambil tahu hal peribadi orang lain,” katanya sambil menyifatkan mangsa seorang yang periang.

Sepasukan kakitangan perubatan dari Hospital Miri yang bergegas ke tempat kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintenden Stanley Jonathan Ringgit ketika ditemui di tempat kejadian memberitahu mangsa telah meninggal dunia dalam tempoh 24 jam.

Katanya, polis yang turut membuat pemeriksaan lanjut dalam bilik tidur mangsa menjumpai sekeping nota yang ditinggalkan di atas meja yang antara lain tercatit kata-kata: “Saya diganggu oleh syaitan.”

“Namun, kita tidak pasti sama ada nota itu ditulis mangsa atau sebaliknya. Polis juga tidak menemui sebarang unsur jenayah di tempat kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Mangsa yang masih bujang telah bekerja sebagai mekanik mesin papan di sebuah kilang di Kuala Baram di sini sejak lebih setahun lalu.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat.

Sumber : BorneoPost


Related Posts with Thumbnails