Rakan SIMAAS anda!

PETIKAN HADIS

Posting Terbaru!

Posting Terbaru!

Thursday, September 29, 2011

Lalat Jadi Ubat Penawar



Dari Abi Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: "Apabila lalat jatuh ke dalam minuman salah seorang di antara kamu maka rendamkanlah lalat itu kemudian buanglah. Kerana pada salah satu sayapnya terdapat penyakit dan pada sayap yang lain terdapat ubat".

Hadis ini benar-benar pelik. Bolehkah lalat yang dikenali sebagai binatang pengotor mempunyai penawar kepada penyakit yang dibawanya?

Secara Logik
Lalat memang dikenali sebagai binatang pengotor dan pembawa penyakit. Hal ini sepertimana yang telah diterangkan dalam hadis di atas ‘sesungguhnya pada sebelah sayapnya terdapat penyakit’. Namun perlu difikirkan kenapakah kekotoran, iaitu merujuk kepada pelbagai jenis bakteria yang terdapat pada tubuh badan lalat ini tidak mengakibatkan penyakit kepada lalat itu sendiri?

Jawapannya adalah kerana lalat memiliki daya tahanan badan semulajadi yang menghasilkan sejenis toksin yang bertindak sebagai penawar (antidote) yang memelihara dirinya daripada bahaya bakteria-bakteria tersebut.


Secara Saintifik
Islam menghendaki kita supaya menjaga kebersihan bukan sahaja pada pakaian dan tempat tinggal malah pada makanan dan juga minuman. Rasulullah SAW amat menitikberatkan hal ini sehinggakan apabila seekor lalat pun yang memasuki makanan atau minuman, baginda menyuruh kita berwaspada terhadap penyakit yang bakal menimpa seperti keracunan makanan dan sebagainya.

Sitoplasma dapat membunuh kuman dari lalat
Apa yang disebutkan di dalam hadis di atas telah pun dibuat kajian oleh para saintis pada zaman kemudiannya. Contohnya pada tahun 1871, Prof. Brefild, Ilmuwan Jerman dari Universiti Hall menemui mikroorganisma jenis Fitriat yang diberi nama Ambaza Mouski dari golongan Antomofterali. Mikroorganisma ini hidup di bawah tingkat zat minyak di dalam perut lalat. Ambaza Mouski ini berkumpul di dalam sel-sel sehingga membentuk kekuatan yang besar.

Kemudian sel-sel itu akan pecah dan mengeluarkan sitoplasma yang dapat membunuh kuman-kuman penyakit. Sel-sel tersebut terdapat di sekitar bahagian ke tiga dari tubuh lalat, iaitu pada bahagian perut dan ke bawah.
Kemudian pada tahun 1947, Ernestein seorang Inggeris juga menyelidiki Fitriat pada lalat ini. Hasil penyelidikannya menyimpulkan bahawa fitriat tersebut dapat memusnahkan pelbagai bakteria.

Tahun 1950, Roleos dari Switzerland juga menemui mikroorganisma ini dan memberi nama Javasin. Para peneliti lain iaitu Prof. Kock, Famer (Inggeris), Rose, Etlengger (German) dan Blatner (Switzerland) melakukan penyelidikan dan membuat kesimpulan yang sama tentang mikroorganisma pada lalat sekali gus membuktikan bahawa pelbagai penyakit dan bakteria pada lalat hanya terdapat pada hujung kakinya saja dan bukan pada seluruh badannya.

Justeru mikroorganisma yang dapat membunuh kuman itu tidak dapat keluar dari tubuh lalat kecuali setelah disentuh oleh benda cair. Cairan ini dapat menambah tekanan pada sel-sel yang mengandungi mikroorganisma penolak kuman sehingga pecah dan memercikkan mikroorganisma istimewa ini.

Maka adalah ternyata bahawa apa yang dikatakan oleh Rasulullah adalah benar iaitu saranan baginda kepada kita agar menenggelamkan lalat terlebih dahulu ke dalam air bagi mengeluarkan mikroorganisma penolak kuman dari badan lalat tersebut, dalam erti kata bahawa badannya harus dibasahkan sebelum membuangnya dan air yang menjadi tempat pendaratan lalat tadi dapat diminum dengan selamat. Subhanallah betapa hebatnya junjungan kita, Nabi Muhammad SAW.

Sumber:myibrah.com

Monday, September 26, 2011

Perubatan Islam Kian Popular



















(BEBERAPA penduduk membeli ubat herba di Klinik Herbal Insani di pinggir Jakarta pada 20 Ogos lalu.)


JAKARTA- Semakin ramai orang Islam di rantau ini tidak lagi memilih perubatan moden, sebaliknya beralih kepada perubatan al-Tibb al-Nawabi atau perubatan cara Nabi.

Perubatan tersebut dikatakan menggunakan ayat-ayat al-Quran dan herba semula jadi tradisional.

"Saya dengar ramai yang telah sembuh. Jadi, saya berharap Allah akan membantu saya," kata seorang wanita yang mengalami masalah sista ovari dan gangguan makhluk halus, Suratmi.

Dia yang mendapatkan rawatan di sebuah klinik di Jakarta menyatakan sakit perutnya itu sudah semakin reda.

Di Indonesia, perubatan Islam sering dikaitkan dengan golongan fundamentalis yang mendakwa perubatan Barat sebagai racun kepada orang Islam dan ada ubat diperbuat daripada babi.

Justeru, terdapat ahli-ahli kumpulan pengganas yang terlibat dalam perubatan Islam dengan bertindak menjadi bomoh atau penjual.

Sementara itu, segelintir klinik digunakan sebagai tempat merekrut ahli baharu.

Namun, kebanyakan pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan terdiri daripada mereka yang berfahaman sederhana.

"Perubatan Islam membawa mesej bahawa dengan mengambilnya, anda memperkuatkan kepercayaan, manakala keuntungannya memanfaatkan orang Islam," kata Sidney Jones, daripada Kumpulan Krisis Antarabangsa yang pakar mengenai Islam di Asia Tenggara.

Perubatan Islam, produk penjagaan diri dan kecantikan telah menjadi perniagaan besar memandangkan pelanggan di Asia Tenggara sahaja mencecah 250 juta orang.

Misalnya, Siwak-F yang turut dieksport ke Asia Barat dikatakan sebagai ubat gigi yang seperti pernah digunakan oleh Nabi suatu ketika dahulu.

"Kami menggunakan ubat-ubatan yang terbukti keberkesanannya, ditambah dengan keimanan kepada Allah," kata Pengarah Hospital Al-Islam di Kuala Lumpur, Dr. Ishak Mas'ud.

Kos di hospital itu adalah 20 hingga 30 peratus lebih rendah daripada hospital biasa. - AP

Sumber:Kosmo

Friday, September 23, 2011

Hikmah Ujian Allah!


(Antara Ujian Allah ialah gambar yang menunjukkan seorang lelaki Palestin ini meraung ketika mengecam mayat tiga anaknya yang terkorban akibat bedilan kereta kebal Yahudi di Hospital Shifa, Gaza.)

HIDUP kita memang penuh dengan dugaan dan ujian. Tanpa ujian dan dugaan, sudah tentu hidup kita yang cuma sementara ini akan menjadi hambar. Sesungguhnya apa saja yang ditakdirkan menimpa diri kita, mempunyai tujuan atau hikmahnya yang tertentu.

Hikmah itu pula kadangkala kita sedari setelah sesuatu ujian yang menimpa kita itu berlalu atau juga langsung tidak kita ketahui sehingga akhir hayat kita.

Allah berfirman, maksudnya: "Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun…." (Surah al-Mulk, ayat 2)

Dalam mendepani ujian atau musibah yang melanda diri, kita sentiasa diingatkan supaya sentiasa bersabar dan menerimanya dengan hati terbuka serta penuh reda.

Inilah panduan yang cukup berharga untuk diri kita agar kita dapat mengatasi setiap dugaan dengan penuh ketakwaan dan kebijaksanaan. Dalam kitab Jami' al-Tirmizi disebutkan bahawa Rasulullah bersabda: "Apabila Allah mencintai sesuatu kaum, maka Dia menguji mereka. Sesiapa yang reda, ia akan mendapat keredaan Allah dan sesiapa yang marah, ia akan mendapat kemurkaan Allah".

Kesimpulan yang dapat dibuat daripada hadis ini ialah keredaan Allah bergantung kepada sikap kita dalam menerima segala ujian-Nya. Sekiranya kita reda, maka sudah pasti Allah akan meredai kita dan menunjukkan laluan yang mudah untuk kita.

Akhirnya, kita akan dibimbing untuk menyelesaikan segala kesulitan dengan penuh ketenangan dan kebijaksanaan.

Sekiranya pula kita berasa marah, kecewa dan tidak reda dengan apa yang ditimpa Allah ke atas kita, kita sesungguhnya menyebabkan Dia memurkai kita. Tanpa kita sedari, kita sebenarnya sudah mencampakkan diri kita ke dalam kebinasaan.

Tanpa keredaan Allah, bagaimanakah mungkin kita dapat melayari hidup ini dengan sebaik-baiknya, apatah lagi untuk menghadapi segala musibah dan dugaan yang juga datang daripada-Nya. Sudah pastilah jiwa kita tidak akan tenteram, langkah kita akan pincang dan hidup kita secara keseluruhannya, hilang arah.

Khalifah Umar ibn Abdul Aziz, pernah berkata "Keredaan terhadap sesuatu musibah adalah kedudukan yang tinggi. Namun, Allah menjadikan kesabaran sebagai jalan pilihan yang baik."

Muhammad ibn Idris al-Syafi'e, pula berkata Zubair ibn Ubad bercerita kepada kami daripada Sari ibn Hayyan, beliau berkata bahawa Abdul Wahid ibn Zaid berkata, "Keredaan ialah pintu Allah yang Maha Agung, syurga dunia dan lampu bagi ahli-ahli ibadah."

Kata-kata Abdul Wahid ini menjelaskan kepada kita bahawa keredaan kita terhadap setiap kurniaan Allah, suka dan duka, nikmat dan musibah, akan lebih mendekatkan kita kepada-Nya dan memberikan kita kehidupan yang penuh kebahagiaan di dunia ini.

Sekiranya kita menilai kedudukan diri kita ini yang begitu daif dan kerdil selain berharap hanya kepada Allah, kita akan menginsafi bahawa kita perlu menerima segala yang diberikan oleh-Nya. Siapakah kita untuk menolaknya dan siapakah kita untuk mencari-cari kekurangan pemberian berkenaan.

Rasulullah bersabda: "Demi Zat yang diriku ada di tangan-Nya, tiadalah Allah menentukan sesuatu keputusan kepada hamba-Nya yang mukmin melainkan akan membawa kebaikan kepadanya. Hal ini tidak berlaku kepada yang lain.

Apabila Dia menimpakan kebaikan kepadanya, ia mensyukuri-Nya, maka hal itu membawa kebaikan kepadanya. Dan apabila Dia menimpakan penderitaan ke atasnya, ia lalu bersabar terhadapnya dan ini pun adalah baik baginya" (hadis riwayat Muslim).


Setiap perkara yang diturunkan oleh Allah sememangnya berkaitan apa yang kita lakukan. Ini termasuk musibah, iaitu sekiranya kita melakukan atau terbabit dalam perkara-perkara bertentangan dengan perintah-Nya.

Ini sesuai dengan firman Allah bermaksud: "Apa saja nikmat yang kamu peroleh ialah daripada Allah dan apa saja bencana yang menimpa kamu, maka daripada (kesalahan) diri kamu sendiri." (Surah al-Nisa', ayat 79)

Dalam satu ayat yang lain, Allah berfirman bermaksud: "Dan Kami uji mereka dengan (nikmat) yang baik-baik dan (bencana) yang buruk-buruk agar mereka kembali (kepada kebenaran)" (Surah al-A'raf, ayat 168).

Di samping itu, musibah yang diturunkan oleh Allah juga untuk menguji tahap kesabaran, tingkat kesyukuran selain mengukuhkan keimanan seseorang, khususnya bagi hamba-Nya yang beriman.

Daripada satu aspek, musibah yang ditimpakan Allah juga adalah rahmat yang besar bagi hamba-Nya yang mukmin ini, iaitu untuk membersihkan diri, bertaubat kepada Allah dan menyesali segala kesilapan yang telah dilakukan.

Hamba yang bertaubat samalah seperti orang yang dikatakan oleh Sa'id ibn Jubair: "Sesungguhnya seseorang hamba itu akan melakukan kebaikan, namun ia dimasukkan ke dalam neraka dan ada pula yang melakukan kejahatan lalu ia di masukkan ke dalam syurga. Ini disebabkan orang yang melakukan kebaikan itu berasa 'ujub dengan kebaikannya.

Sedangkan yang melakukan kejahatan pula menginsafi dirinya dan memohon ampun kepada Allah serta bertaubat kepada-Nya." Reda, adalah amalan hati, namun adalah lebih baik lagi jika kita dapat menterjemahkannya dalam kata-kata, iaitu pujian terhadap Allah.

Tindakan memuji Allah ini adalah sangat utama sehingga ada yang menyatakan bahawa pujian itulah yang disebutkan reda.
Dalam sebuah hadis dijelaskan, "Orang pertama yang dipanggil untuk masuk ke syurga ialah orang yang selalu memuji Allah, sama ada dalam kesenangan mahupun dalam penderitaan."

Dalam perkara ini, Rasulullah memberikan kita panduan yang benar-benar berharga. Sebagai contoh ialah hadis yang menyebut bahawa sekiranya Baginda menerima berita yang menyenangkan, Baginda akan segera mengucapkan: "Segala puji bagi Allah dengan kenikmatan-Nya. Sempurnalah segala kebaikan."

Sesungguhnya Baginda orang yang paling banyak memuji Allah dan demikianlah Baginda amat menggalakkan umatnya melakukan perkara yang sama dengan penuh kerelaan, sama ada dalam kesenangan mahupun penderitaan.


Tindakan memuji Allah dengan rela disebabkan dua perkara :-

1.Kesedaran hamba bahawa Allahlah yang menentukan sesuatu musibah yang ditimpa ke atas dirinya. Ia juga meyakini bahawa Allahlah sebaik-baik Pencipta dan Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

2.Hamba berkenaan juga hendaklah yakin bahawa pilihan Allah untuk hamba-Nya itu adalah lebih baik daripada pilihannya atas diri sendiri.

Sekiranya kita ditimpa musibah, kita hendaklah menyedari bahawa yang memberikan musibah itu ialah Allah Yang Maha Bijaksana dan Maha Pengasih.

Sesungguhnya Allah tidak menimpakan musibah itu untuk memusnahkan diri kita dan bukan untuk menyeksa kita.

Sebaliknya, ia semata-mata bertujuan menguji kesabaran dan keredaan, menguji kadar keimanan, mendengar permohonan ampun dan taubat selain melihat bagaimanakah caranya kita mengetuk pintu rahmat-Nya dengan hati yang khusyuk serta tangan menadah, memohon dipermudahkan laluan seterusnya.

Renungilah kata-kata Abdul Kadir al-Jailani kepada anaknya:
"Wahai anakku, sesungguhnya musibah itu datang bukan untuk merosakkan dirimu tetapi untuk menguji kesabaran dan keimananmu. Wahai anakku, takdir ialah seperti binatang buas dan binatang buas tidaklah memakan bangkai".

Sunday, September 18, 2011

Tiada Doa Bagi Bukan Islam..



Soalan:

SEBELUM ini saya ada seorang kekasih bukan Islam. Dia beragama Kristian dan pada 4 Jun lalu, dia meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Saya terlalu terkejut dan pergi ke rumah keluarganya. Saya hanya berdiri di luar rumah sampai upacara ‘prayer’ tamat. Saya pergi ke sana kerana perasaan saya tidak tenang sebab tidak dapat tunaikan permintaannya untuk jumpa saya buat kali terakhir.

Saya bercadang untuk pergi ke kuburnya. Adakah itu menjadi satu kesalahan bagi umat Islam dan salahkah jika saya juga hadir bersama ketika upacara ‘prayer’ tetapi hanya melihat dari luar rumah?

Adakah salah jika saya berdoa untuknya kerana saya terlalu sayangkan dia? Saya sering berdoa supaya dia aman di sana dan berharap dapat berjumpa dia di syurga walaupun ia tidak berlaku kerana bukan Islam.

FAHMI,
Selangor



Jawapan:

ISLAM mengajar supaya menghormati sesama? manusia termasuk dengan bukan Islam. Mengucapkan takziah dan menya?takan simpati atas kematian bukan Islam dibenarkan.

Bagaimanapun, Islam tidak membenarkan penganutnya menyertai upacara keagamaan agama lain termasuk ritus, doa dan sebagainya. Dengan kata lain, menziarahi jenazah dibenarkan atas dasar hubungan sesama manusia.

Begitu juga dengan berdoa kepada bukan Islam, ada bentuk dan kandungan doa yang dibenarkan serta ada yang haram. Doa kepada bukan Islam supaya mendapat hidayah dan kebaikan duniawi termasuk kesihatan dan kaya masih dibenarkan.

Perkara yang diharamkan adalah berdoa supaya bukan Islam beroleh ganjaran syurga, keampunan Allah dan kejayaan di akhirat. Ini kerana sudah pasti bukan Islam menerima azab Allah kerana gagal mengenal, mengakui dan menyembah Allah, Tuhan yang Esa dan Tuhan seluruh alam.

Justeru, saya menasihatkan saudara supaya tidak berdoa kepada orang bukan Islam yang sudah meninggal dunia seperti anda nyatakan itu.

Saudara hendaklah tabah menghadapi ketentuan dan dugaan Allah. Terdapat ayat al-Quran yang melarang Nabi dan orang mukmin berdoa kepada bukan Islam.

Allah berfirman yang bermaksud: “Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah? nyata bagi mereka bahawasanya orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.” (Surah al-Taubah (9): 113)

Ini kerana terdapat riwayat bahawa Nabi Muhammad s.a.w cuba untuk memohon keampunan Allah kepada bapa saudara baginda, Abu Talib kerana jasanya kepada Islam walaupun dia mening?gal dunia tanpa memeluk Islam.

Ia tidak dibenarkan Allah dengan turunnya ayat di atas (Ibn Kathir, II: 393).

Tuesday, September 13, 2011

Doa Elak Kena Pukau

Sihir pukau keatas mangsa selalunya terjadi dalam masa yang singkat dimana habis semua wang atau barang kemas yang dipakai diberikan atau diserahkan tanpa sedar kepada si pemukau tanpa paksaan.

Mangsa hanya akan sedar selepas si pemukau menghilangkan diri bersama wang dan barang kemas. Cara pukau melalui mata ke mata atau ditepuk dibelakang bahu mangsa.

Kepada wanita yang terkena sihir pukau, walaupun habis semua wang dan barang kemas diserahkan kepada sipemukau tetapi masih lagi bernasib baik kerana tidak kehilangan barang yang berharga iaitu maruah anda. Amalkan sebelum terlambat.

Untuk menghindarkan diri dari sihir atau ilmu pukau, lakukan amalan berikut setiap hari:

1.Baca doa berikut:




“Dengan nama Allah, tidak akan berlaku kemudaratan di samping nama-Nya itu, sesuatu yang turun dari langit atau dari bumi, dan Dialah Allah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”


2. Ayatul Kursi


3. Al-Muawwizat (Surah al-Ikhlas, al-Falaq & an-Naas)


4. Berniat lakukan amalan di atas agar Allah SWT hindarkan dari apa jua bahaya.


Inilah amalan yang diterima oleh syarak.

Amalan menggunakan pandangan mata sehingga berlaku suatu proses pukau, jika dilihat pada pandangan syarak, kita dapati bahawa ada isyarahnya dalam as-Sunnah.

Antara lain Rasulullah s.a.w. ada menyebut tentang pandangan mata seperti dalam hadis (mafhumnya):

Ibnu Abbas r.a berkata, “Rasulullah s.a.w. bersabda,
‘Bahawa pandangan mata yang mengakibatkan sesuatu keburukan adalah benar (boleh berlaku). Andainya ada sesuatu yang seolah-olah mendahului al- Qadar, maka didahului oleh pandangan mata.”



Dalam hadis lain Abu Hurairah berkata (mafhumnya):

“Nabi pernah menyebut al-‘ain (pandangan mata) adalah benar (boleh berlaku).” (Sahih Bukhari Muslim)

Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam ulasannya tentang hadis-hadis ini menyebut bahawa pandangan mata seseorang itu ke atas sesuatu, boleh mendatangkan hasad dengki kepadanya, lalu ditemukan objek itu di samping tabiat buruknya muncul, boleh mendapat kemudaratan kepada yang dilihat.

Ash-Syanthiti pernah menyebut bahawa, jiwa-jiwa yang kotor mempunyai kesan yang kotor juga kepada yang dilihat.

Semuanya ini selari dengan apa yang disebut oleh Allah SWT yang mafhumnya:
“Dan sesungguhnya orang-orang kafir itu benar-benar hampir menggelincirkan kamu dengan pandangan mereka tatkala mereka mendengar al-Quran dan mereka berkata: “Sesungguhnya (Muhammad) itu benar-benar gila.” (Surah al-Qalam, ayat 51)

Ayat ini menjadi rujukan kepada hal-hal penyakit yang berpunca daripada pandangan atau renungan mata. Malah dalam beberapa hadis lain menga takan ‘unta boleh masuk ke dalam periuk kerana pandangan mata’. Maksudnya unta boleh mati, tapi disembelih dan dijadikan hidangan makanan.

Demikian peranan mata. Oleh itu hal-hal pukau memukau ini, termasuk dalam amalan yang tidak diharuskan oleh syarak. Lagipun digunakan ilmu pukau untuk tujuan keburukan seperti merompak, mencuri dan sebagainya.

Walahu a’lam.


Berita: Peniaga dipukau lelaki berkopiah


(RAKAMAN CCTV menunjukkan seorang lelaki yang memakai kopiah putih menuju ke belakang mangsa sebelum disyaki melarikan RM2,100 di sebuah bank di Shah Alam, Khamis lalu)

SHAH ALAM - Seorang pemilik kedai runcit kehilangan wang tunai RM2,100 selepas bahunya ditepuk oleh seorang lelaki yang memakai kopiah putih ketika mangsa memasukkan duit di dalam mesin deposit sebuah bank di Seksyen 14 di sini Khamis lalu.

Ketika kejadian pada pukul 1.21 tengah hari itu, mangsa yang berusia dalam lingkungan 50-an pergi ke bank terbabit seorang diri untuk mendepositkan wang sebanyak RM5,000.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin berkata, semasa berada di dalam bank, bahu mangsa tiba-tiba ditepuk oleh seorang lelaki juga berusia dalam sekitar 50-an yang berada di belakangnya.

Lelaki itu kemudian menegur mangsa kononnya cara dia memasukkan wang ke dalam mesin deposit salah dan ingin membantu.

“Mangsa selepas itu seakan-akan terpukau dengan menyerahkan kesemua wang kepada lelaki yang memakai kopiah itu. Selepas melakukan transaksi dia menyerahkan slip bank kepada mangsa lalu meninggalkan premis tersebut.

“Beberapa minit kemudian, mangsa yang melihat slip bank itu terkejut apabila mendapati hanya RM2,900 yang dimasukkan manakala baki dipercayai dilarikan oleh suspek,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Sumber kosmo.

Monday, September 12, 2011

Kisah Haron Din vs Mubaligh India..

Dato' Dr.Haron Din

Lelaki India berbadan tegap itu menghempaskan dirinya ke atas sofa di ruang tamu rumahnya di Petaling Jaya. Hari ini, dia rasa terlalu letih. Pelanggan yang datang ke bank tempatnya bekerja hari ini, luar biasa ramainya. Dia cuma sempat berhenti rehat sewaktu makan tengah hari sahaja. Selepas itu, dia kembali sibuk melayan pelanggan sehinggalah habis waktu pejabat.

Lelaki itu menghidupkan TV dan kebetulan ketika itu, rancangan Forum Perdana Ehwal Islamsedang berlangsung. Salah seorang ahli panelnya ialah ulama terkenal, Dato' Dr. Haron Din.

Biarpun dia bukan seorang Muslim, rancangan Forum Perdana Ehwal Islam bukanlah asing baginya. Selalu juga dia menonton rancangan tersebut. Malah, dia juga tahu sedikit sebanyak tentang ajaran Islam melalui rancangan tersebut. Lagipun, dia suka melihat kepetahan ahli panel itu memberi ceramah dalam bahasa Melayu, secara tidak langsung, dia boleh belajar bertutur dalam bahasa Melayu dengan lebih baik.

Sedang asyik mengikuti perbincang-an itu, tiba-tiba, lelaki tersebut tersentak apabila mendengar Haron Din mengatakan: "Bandingan segala kebaikan amal dan usaha orang-orang yang kufur ingkar terhadap Tuhannya ialah seperti abu yang diterbangkan angin pada hari ribut yang kencang, mereka tidak memperoleh sesuatu faedah pun daripada apa yang mereka telah usahakan itu. Amalan itu menjadi sia-sia akibat mereka sebenarnya berada dalam kesesatan yang jauh daripada kebenaran."

Mendengar kata-kata Haron Din, darah lelaki India itu menyirap. Perasaan marah menyelinap masuk ke dalam hatinya. Mana boleh! Itu tidak adil! Takkan Tuhan hanya menerima kebaikan orang Islam sahaja? Bagaimana dengan kebaikan yang dilakukan oleh orang bukan Islam?

Bahkan, sepanjang hidupnya, dia melihat banyak kebaikan yang dilakukan oleh orang bukan Islam, dan ada kalanya, melebihi daripada Kebaikan yang pernah dilakukan oleh orang Islam itu sendiri. Apakah segala kebaikan itu tidak diterima? Dia mula menganggap, ajaran Islam mengamalkan sikap kasta. Jika begitu ajaran Islam, bermakna ia double standard.

Rasa tidak puas hati terus menyelubungi fikiran lelaki tersebut. Lelaki India itu tekad untuk berjumpa dengan Haron Din. Dia ingin berdebat dengan ulama tersebut. Pada fikirannya, mana boleh seorang ulama mengeluarkan kenyataan yang tidak adil seperti itu, dan boleh menyentuh perasaan orang bukan Islam di negara ini seperti dirinya. Apatah lagi ia dilakukan secara terbuka di kaca TV.

Lelaki itu tahu, Haron Din bukanlah calang-calang orang, tetapi dia tidak peduli. Dia tetap mahu berjumpa dengan ulama tersebut dan mesti mencari jalan bagaimana untuk bertemu dengannya. Setelah beberapa bulan memendam niat untuk bertemu Haron Din akhirnya hasrat itu tercapai. Melalui seorang pelanggan yang dikenali ketika berurusan di bank tempatnya bekerja, lelaki itu dibawa bertemu dengan Haron Din di sebuah rumah seorang ahli perniagaan di Petaling Jaya. Haron Din mengadakan usrah di rumah ahli perniagaan tersebut pada hari Khamis malam Jumaat, seminggu sekali.

Ketika sampai di rumah ahli perniagaan tersebut, kuliah baru saja bermula. Di hadapan lebih 20 orang jemaah, kelihatan Haron Din duduk bersila sambil memegang sebuah kitab. Kebetulan pada malam itu, Haron Din mengajar tentang bab syirik. Bila ternampak muka Haron Din, hatinya menjadi panas.

Lelaki itu membulatkan tekad, selepas tamat kuliah, dia mahu berjumpa dengan Haron Din. Dia mahu mengajak Haron Din berdebat. Lelaki itu memang betul-betul tidak berpuas hati dengan kenyataan Haron Din di dalam Forum Perdana. Ia masih terngiang-ngiang di telinganya biarpun sudah beberapa bulan berlalu.

Namun, tidak disangka-sangka, segala yang dirancangnya tidak menjadi. Perasaan marah dan bengang yang bersarang dalam dirinya selama beberapa bulan itu mula surut apabila dia duduk mendengar kuliah yang disampaikan oleh ulama tersebut.

Setelah tamat kuliah yang diberikan Haron Din, lebih kurang dua jam selepas itu, semangatnya yang tadi berkobar-kobar mahu berdebat dengan ulama tersebut, kian kendur. Rupa-rupanya, dalam diam, dia mengakui, cara penyampaian, serta kupasan Haron Din yang begitu terperinci dalam bab-bab syirik, membuatkan dia rasa amat terpegun.

Sebelum ini, lelaki India itu tidak pernah mendengar penjelasan mengenai Islam dan ketuhanan seperti yang didengarnya pada malam itu. Biarpun hati lelaki berkenaan sudah mula mahu akur pada kebenaran Islam, namun egonya masih menebal. Lelaki ini memperingatkan dirinya, kedatangannya pada malam itu bukan untuk terpengaruh dengan kata-kata Haron Din, tetapi untuk mengajak ulama itu berdebat dengannya.

Akhirnya dia memutuskan untuk menangguhkan hasrat berdebat dengan Haron Din. Bukan tidak berani, tetapi sebenarnya pada malam itu segala persepsi buruknya terhadap Haron Din dan Islam telah mula berubah.

Pun demikian, lelaki itu tidak mahu mengalah dengan perasaannya. Ego yang ada dalam dirinya mengaburi kewarasan akalnya. Misinya berjumpa dengan Haron Din ialah untuk menyatakan apa yang dikatakan oleh ulama tersebut dalam Forum Perdana adalah tidak adil. Tidak lebih daripada itu.

Dan yang paling penting, tujuan dia bertemu ulama tersebut bukanlah untuk mengakui kebenaran Islam. Lelaki itu membuat perancangan sendiri. Dia akan terus mengikuti kuliah Haron Din di situ, agar dia lebih faham tentang Islam dan senang nanti untuk dia berhujah dengan ulama tersebut kelak.

Selepas itu, pada setiap malam Jumaat, lelaki berkenaan menghadiri kuliah Haron Din. Kali ini dia pergi seorang diri. Tetapi 'masalahnya' semakin lama mengikuti usrah Haron Din, semakin jelas dilihatnya kebenaran Islam. Lama-kelamaan, tujuan asal lelaki ini untuk berdebat dengan Haron Din dan mengatakan bahawa Islam agama yang double standard, bertukar menjadi sebaliknya. Setiap kali dia mengikuti usrah Haron Din, semakin hampir hatinya pada Islam. Islam itu dilihatnya tulus, lurus tanpa simpang-siur.

Niat asalnya untuk berdebat dengan Haron Din akhirnya terpadam begitu sahaja. Sebaliknya, hatinya menjadi semakin lembut dan lelaki India itu bertambah berminat untuk mengetahui tentang ajaran Islam dengan lebih mendalam.

Suatu hari ketika mengikuti usrah Haron Din di rumah ahli perniagaan tersebut, lelaki India itu mengambil peluang bertanyakan bermacam-macam soalan tentang Islam. Dia bertanya, mengapa perlu meninggalkan agamanya dan memeluk Islam? Bukankah semua agama itu sama. Bukankah Islam itu juga sama seperti agama lain, menyuruh membuat kebalkan dan meninggalkan kejahatan?

Dan yang paling penting, dia mahu tahu, kenapa Haron Din mengatakan hanya amalan orang Islam sahaja yang diterima Allah, dan amalan orang bukan Islam tidak diterima-Nya seperti yang disebut di dalam Forum Perdana Ehwal Islam tidak berapa lama dulu.

Haron Din tersenyum dan secara berkias beliau menjawab; " Untuk memudahkan saudara memahaminya, biar saya berikan contoh begini: kita adalah seorang hamba dan tuan kita memberikan kita sebidang tanah, cangkul, benih, baja dan segala kelengkapan yang lain untuk kita mengusahakan tanah tersebut.

"Tuan kita suruh kita usahakan tanah itu tetapi kita tidak berbuat seperti mana yang disuruh, sebaliknya kita mengusahakan tanah orang lain. Kemudian bila tiba di hujung bulan, kita datang kepada tuan kita untuk meminta upah. Saudara rasa, adakah tuan kita akan bagi upah sedangkan kita tidak lakukan apa yang disuruh, sebaliknya kita melakukan kerja untuk orang lain?

"Begitu jugalah simboliknya di dalam Islam. Jika kita melakukan kebajikan dan kebaikan, bukan kerana Allah, tetapi kerana sesuatu yang lain, contohnya kerana manusia, pangkat atau harta, apakah di akhirat nanti, Allah akan memberi balasan di atas amal perbuatan kita sedangkan semua amalan yang kita lakukan bukan untuk Dia?"

Ternyata segala jawapan dan hujah yang diberikan oleh Haron Din atas pertanyaannya itu, membuatkan dia mati akal. Begitu juga dengan setiap hujah dan persoalan yang cuba ditimbulkan lelaki itu dengan mudah dipatahkan oleh Haron Din dengan cara yang lembut dan bijaksana, tanpa sedikit pun menyinggung perasaannya sebagai orang bukan Islam.

Setelah empat minggu berturut-turut mengikuti kuliah yang diberikan oleh Haron Din, ego yang ada di dalam dirinya hancur dengan kebenaran Islam. Akhirnya hati lelaki itu terbuka untuk memeluk Islam. Enam bulan selepas itu, secara rasmi lelaki India tersebut memeluk Islam.

Dalam satu pertemuan empat mata dengan Haron Din setelah lelaki itu memeluk Islam, dia sempat bertanya mengapakah ulama tersebut mengeluarkan kenyataan seperti itu di kaca TV, sedangkan kenyataan itu boleh mengundang rasa tidak puas hati di kalangan bukan Islam, seperti apa yang dirasakannya.

Haron Din menjelaskan kepada lelaki India tersebut: "Memang kenyataan itu saya tujukan khusus untuk orang bukan Islam. Saya mahu orang bukan Islam berfikir tentang kehidupan, asal usul manusia dan kebenaran agama. Saya mendapat maklum balas, ramai di kalangan bukan Islam yang menonton rancangan itu. Jadi, sengaja saya bacakan ayat al-Quran itu agar mereka berfikir."


Mohammad Fitri Abdullah
"Dan saya adalah di antara mereka yang terkena provokasi Haron Din itu. Biarpun pada peringkat awalnya saya bertemu beliau atas sebab tidak puas hati dengan kenyataannya, namun akhirnya, saya bersyukur, kerana ia menjadi penyebab yang membuatkan saya akhirnya menerima cahaya kebenaran Islam," jelas Mohammad Fitri Abdullah, 43, lelaki India yang dimaksudkan dalam cerita di atas.

Ketika Mastika menemuinya di pejabat Perkim bahagian Shah Alam di Masjid Negeri Shah Alam, Fitri berulang kali menyatakan betapa syukurnya dia mendapat hidayah biarpun pada mulanya dia langsung tidak terfikir untuk memeluk Islam.

"Seperti yang saya katakan, pada awalnya niat saya adalah untuk berdebat dengan Haron Din akibat rasa tidak puas hati terhadap kenyataannya itu. Tetapi, apabila saya mendengar penjelasan beliau, ego saya jatuh dan dalam diam-diam saya mengakui, saya bukanlah orang yang layak untuk berdebat dengan beliau," jelasnya.

Sebenarnya sebelum memeluk Islam, Fitri memang seorang yang taat terhadap agamanya. Dia bukan sekadar seorang pengikut yang taat, tetapi juga bergerak aktif dalam beberapa persatuan yang berteraskan agama yang dianutinya. Selain itu, dia turut mengajar di beberapa rumah ibadat di sekitar ibu kota. Biarpun kuat terhadap agamanya, namun jauh disudut hati, lelaki itu sering merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan agama yang dianutinya.

"Sebenarnya, agama tersebut juga mengajar pengikutnya untuk menyembah Tuhan yang satu. Di dalam kitab-kitab lama, itulah ajarannya. Tapi masalahnya, apa yang dilakukan oleh penganut agama tersebut berlainan daripada apa yang diajar di dalam kitab.

"Mereka tidak menyembah Tuhan yang satu, sebaliknya menyembah bermacam-macam Tuhan, selain dari Tuhan yang satu," tegas lelaki yang berasal dan Banting, Selangor ini. Lantaran itulah kata Fitri, hatinya sering berasa ragu dengan agama sendiri. Perasaan ini bukannya baru, malah timbul sejak dia berusia belasan tahun lagi. Dia melihat apa yang diajar di dalam kitab, dengan apa yang dipraktikkan oleh penganut agama lamanya, termasuk dirinya sendiri, ternyata bercanggah sama sekali.

"Tetapi apabila saya mendengar kuliah Haron Din, diam-diam saya mula sedar, saya memang berada dalam kesesatan yang nyata. Pertama kali mendengar ceramah beliau, sudah cukup untuk memberi kesedaran pada diri saya sekali gus berjaya mengubah pandangan saya terhadap Islam selama ini. Mungkin itulah kelebihan yang Allah berikan pada Haron Din," kata Fitri lagi.

Kejadian itu sebenarnya telah pun berlalu hampir 15 tahun, namun cahaya iman yang menyerap ke dalam hatinya masih lagi sesegar dulu. Malah, dari hari ke hari semakin kukuh bertapak di dalam dirinya.

Jika dahulu Fitri seorang mubaligh yang aktif menyebarkan agama lamanya, kini Fitri masih tetap begitu. "Cuma bezanya, hari ini saya bergerak di atas landasan agama yang benar iaitu Islam. Saya cukup sedih bila mendengar ada saudara seagama saya, terutamanya di kalangan orang Melayu yang sanggup keluar dari Islam. Murtad.

"Hari ini, menjadi tanggungjawab saya untuk membantu mereka, memulihkan iman mereka, dengan pelbagai usaha dan cara, termasuk berkongsi pengalaman yang saya lalui sebelum ini.

"Ini adalah tuntutan wajib buat diri saya. Dengan kelebihan yang Allah anugerahkan kepada saya, saya perlu laksanakan amanah ini biarpun berat, sebagai usaha saya membantu menyemarakkan agama Allah di muka bumi yang bertuah ini," ujarnya bersungguh-sungguh mengakhiri pertemuan kami pada petang itu.

Ustaz Haron Din adalah ulama yang amat disegani dan saya sungguh sedih melihat ulama seperti beliau seolah-olah tiada tempat dalam masyarakat kita. Sungguh sukar untuk kita lihat wajah beliau di kaca televisyen sedangkan ilmu yang beliau miliki amat penting untuk kita sama-sama kongsi, pelajari dan amalkan. Rancangan Forum Perdana kini gagal menarik minat penonton Islam termasuk bukan Islam kerana kita kehilanagan ulama-ulama seperti Ishak Baharom, Badrul Amin, Haron Din, dan ramai lagi. Kenapa mereka ini di gam? Disekat terus menerus? Mengapa?

Sunday, September 11, 2011

Disihir Melalui Gambar Facebook!


IRA (tengah) ditemu bual oleh wartawan Kosmo!, Suhana Md. Yusop sambil diperhatikan oleh Shamsuri Shafie di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan kelmarin.

NILAI - Disihir menggunakan gambar yang terdapat dalam laman sosial Facebook (FB).

Itu yang didakwa berlaku kepada seorang pelajar institusi pengajian tinggi, dikenali sebagai Ira apabila gambar dari laman sosialnya dijadikan sebagai senjata pemujaan sihir.

Ira, 22, mendakwa, dia telah disihir oleh seorang wanita yang dikenali sebagai Maria kerana cemburu akan hubungan bersama teman lelakinya serta mahu memutuskan hubungan mereka.

"Maria adalah bekas teman wanita kekasih saya tetapi hubungan mereka telah lama putus. Sebab itu dia menyihir saya kerana ingin melihat hubungan kami hancur.

"Kami tidak mengenali antara satu sama lain.

"Dia hadir menghulurkan tangan sebagai rakan dan saya sambut kerana ingat dia jujur namun sebaliknya," dakwanya ketika ditemui baru-baru ini.

Jelas Ira lagi, dia mengetahui disihir oleh Maria melalui sekeping gambar setelah menerima rawatan daripada penaung Pusat Rawatan Islam At Tobibi di Bandar Baru Nilai, Shamsuri Safie pada Jun lalu.

Menurutnya, semasa rawatan, dia mendapati gambar mata Maria seolah-olah bersinar setiap kali dia merenungnya.

Ketika itu, dia merasakan Maria terlalu baik dan dia menurut segala kemahuannya termasuk berhenti kerja.

"Bagaimanapun setelah berubat, baru saya tahu bahawa saya bukan sahaja terkena sihir tetapi disantau oleh Maria,'' ceritanya.

Menurutnya, Shamsuri memberitahunya bahawa Maria telah meletakkan abu mayat di dalam makanannya.


Sumber: Kosmo

Wednesday, September 7, 2011

Renungan Syawal:Jangan Sakiti Hati Rasulullah!


(Berhati-hatilah wahai Penceramah!)

SESIAPA saja akan sedih dan terguris hati jika keburukan kedua ibu bapa disebut-sebut di hadapannya kalaupun ia suatu yang benar dan bukan sekadar tuduhan. Inilah fitrah hubungan kasih dan sayang yang ada antara seseorang itu dengan ibu bapa kandungnya.

Keburukan apakah yang lebih besar dan jelas selain daripada kekufuran Abu Lahab sehingga celaan Allah SWT dalam al-Quran.

Namun, apabila sampai ke telinga Nabi bahawa ada sahabat yang mengungkit tentang kekufuran dan penentangan Abu Lahab di hadapan anak perempuannya yang Muslim, baginda melarang dan menegur perbuatan itu.

"Jangan sakiti yang Islam dengan menyebut-nyebut yang kafir," sabda baginda.

Jika itulah sikap Nabi dalam kes Abu Lahab, bagaimanakah pula jika ibu dan bapa baginda sendiri yang disebut dan diungkit sebagai kufur dan berada dalam neraka?

Adakah Nabi tidak terguris hati atau merasa disakiti, tanpa mengira apa pun niat si penyebut? Lebih buruk lagi jika pandangan bahawa ibu dan bapa nabi itu kufur adalah tidak benar dan bercanggah dengan pandangan jumhur ulama.

Maka kenyataan tersebut merupakan suatu pendustaan terhadap kekasih Allah SWT dan makhluk-Nya yang paling mulia.

Malangnya, akhir-akhir ini, ada dakwaan bahawa ibu dan bapa Nabi itu kufur dan berada dalam neraka. Ia diketengahkan dalam masyarakat kita secara terbuka dalam media perdana oleh segelintir pendakwah.

Dalam keadaan begitu tidak mustahil ramai ahli masyarakat yang tidak berilmu akan mudah terpengaruh, lantas sama-sama mengulangi kalimah yang pastinya menyakiti Nabi itu.

Mahukah kita jika Allah SWT memandang umat Islam di Malaysia sebagai tidak peka dengan apa yang menyakiti kekasih-Nya? Bukankah ini boleh mengundang kemurkaan Allah dan rasul-Nya?

Sebenarnya tidak ada satu sebab munasabah untuk mengungkit isu status ibu dan bapa Nabi.

Jika isu ini tidak ditimbulkan, masyarakat kita amnya mempunyai tanggapan yang sangat mulia terhadap ibu dan bapa Nabi. Itu sikap yang lebih berasas dan tepat seperti yang akan dihuraikan.

Kalau pun ada yang bertanggapan bahawa ini bercanggah dengan hadis, tetapi apakah ia menepati keutamaan yang begitu tinggi dan mendesak sehingga perlu ditimbulkan.

Adakah selama ini dengan memuliakan ibu dan bapa Nabi merugikan dan memundurkan Islam dan umatnya di Malaysia?

Selain tiada keperluan jelas, isu ini juga tidak patut ditimbulkan secara terbuka. Untuk memastikan ia benar-benar dihuraikan secara adil ia menuntut kajian dan penelitian ilmiah khusus.

Sebenarnya, isu ini ada persamaan dengan beberapa isu agama yang sifatnya kompleks dan boleh mengelirukan yang suka ditimbulkan oleh segelintir penceramah akhir-akhir ini. Apabila ada yang menimbulkannya secara terbuka maka wajib penjelasan dibuat agar masyarakat tidak keliru dan tersalah faham. Pendek kata ia sudah menjadi suatu kemungkaran dan kezaliman ilmiah yang wajib dicegah dan diperbetulkan.

Pandangan yang mendakwa ibu dan bapa Nabi adalah kufur dan berada dalam neraka sebenarnya berpuncakan dua hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim.

Dalam salah satunya, Nabi bersabda bahawa baginda tidak diizinkan oleh Allah memohon keampunan bagi ibu baginda tetapi diizinkan menziarahi kuburnya.

Dalam hadis kedua, Nabi diriwayatkan menjawab pertanyaan seorang lelaki tentang nasib bapanya dengan menjawab bahawa ayah lelaki tersebut dan ayah baginda sendiri berada dalam neraka.

Walaupun sahih daripada segi sanadnya tetapi jumhur ulama berpendapat bahawa matan atau teks hadis-hadis ini tidak boleh difahami secara zahir semata-mata. Ini suatu yang biasa berlaku dalam berinteraksi dengan hadis.

Bukan hanya kesahihan sanad menjadi penentuan hukum daripada sesuatu hadis. Terdapat juga kaedah-kaedah tertentu dalam memahami teks hadis itu sendiri yang perlu dipatuhi.

Berdasarkan kaedah-kaedah dalam memahami teks hadis, hadis-hadis di atas tidak mendokong kesimpulan bahawa ibu dan bapa Nabi kufur dan diazab.

Pertamanya, makna zahir hadis-hadis ini tidak boleh dipegang kerana ia bertentangan dengan nas-nas al-Quran dan hadis-hadis yang lain. Antaranya, ayat-ayat dan hadis yang mensabitkan bahawa Nabi adalah berasal daripada keturunan yang mulia dan terpelihara seperti ayat 219 surah al-Syuara' yang bermaksud: dan (Allah melihat) pergerakanmu di antara orang-orang yang sujud.

Ibnu Abbas seperti yang diriwayatkan oleh al-Bazzar, al-Tabrani dan Abu Nuaim serta dalam tafsir-tafsir al-Tabari dan al-Qurtubi berpendapat bahawa ayat ini bermaksud bahawa Nabi telah berpindah dari satu sulbi ke satu sulbi di kalangan nenek moyang yang sujud dan beriman.

Hal ini disokong oleh hadis-hadis yang merakamkan bahawa Nabi pernah memuji atau berbangga dengan ibu bapa dan keturunannya sedangkan adalah tidak wajar Nabi melakukan demikian jika mereka itu syirik atau kufur.

Maksud zahir hadis-hadis itu juga bertentangan nas-nas al-Quran berkenaan kaedah bahawa Allah SWT tidak akan mengazab sesuatu kaum sebelum dikirimkan rasul-rasul-Nya untuk menyampaikan agama yang benar (al-Israk: 15, al-Anaam: 131, al-Nisaa': 165)

Terdapat pula ayat-ayat yang menafikan bahawa terdapat rasul yang dikirim kepada kaum Nabi Muhammad sebelum kebangkitan baginda (Saba': 44, al-Qasas: 46).

Maka kesimpulan yang lebih tepat adalah ibu dan bapa Nabi sama ada beriman dengan peninggalan risalah rasul-rasul yang terdahulu ataupun tergolong dalam kalangan Ahlul Fatrah, iaitu mereka yang berada di zaman yang tiada rasul yang menyebabkan mereka secara prinsipnya tidak akan diazab.
Related Posts with Thumbnails