Rakan SIMAAS anda!

PETIKAN HADIS

Posting Terbaru!

Posting Terbaru!

Sunday, May 15, 2011

Pakai Jubah Pulak!

Sungguh amat menghinakan!

GANAS...rakaman CCTV menunjukkan aksi ganas lelaki dan anaknya yang berkopiah serta bersenjatakan parang menyamun stesen minyak di Bandar Permas Jaya.


4 beranak perompak berjubah: Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki berjubah sambil diperhatikan anaknya mengacukan sebilah parang ke leher pemilik stesen minyak di Bandar Baru Permas Jaya, semalam. Gambar kecil menunjukkan tiga beranak menyamun empat bungkus rokok dan coklat dari kaunter.


BERITA

JOHOR BAHRU: Empat beranak yang berperwatakan alim dengan berjubah dan memakai kopiah serta bertakbir, tiba-tiba bertukar menjadi ‘syaitan’ apabila masing-masing bersenjatakan parang menyamun stesen minyak di Bandar Permas Jaya, kira-kira jam 1.30 tengah hari, kelmarin.

Dalam kejadian itu, empat beranak yang pernah menyamun di premis sama sebanyak dua kali Jumaat lalu, bertindak lebih ganas apabila cuba mengelar leher pengusaha stesen minyak berkenaan ketika menghalang perbuatan mereka.


Lebih pelik, bukan saja bapa berusia 49 tahun membawa parang, malah tiga anaknya berusia 15, 14 dan lapan tahun turut membawa senjata sama ketika kejadian, manakala isterinya berusia 37 tahun yang berada di dalam teksi bersama anak perempuan berusia 12 tahun dan bayi berusia lapan bulan dikatakan turut berparang.

Menceritakan detik mencemaskan itu, pemilik stesen minyak berkenaan, Sulaiman Che Kutty, 45, berkata, dia yang berada di masjid bergegas ke stesen minyak selepas isterinya yang berada di rumah, dihubungi seorang pekerja memaklumkan kejadian itu.

“Akibat bimbangkan keselamatan pekerja, saya ke stesen sebelum melihat tiga individu berparang menetak meja kaunter dan kotak gula-gula.

Sunday, May 8, 2011

Asal-usul "Hari Ibu"..



Sejarah hari ibu telah dikenalpasti sebagai perayaan musim bunga orang-orang Greece, sebagai penghormatan terhadap Rhea, ibu kepada tuhan mereka. Pada tahun 1600 orang-orang England merayakan hari yang mereka namakan sebagai "Mothering Sunday". Ia dirayakan pada hari Ahad keempat setiap Lent. Lent adalah tempoh masa selama 40 hari samada dalam bulan Februari atau Mac.

Dalam tempoh ini, sebahagian orang-orang Kristian akan berhenti melakukan atau memakan makanan tertentu atas alasan agama. Amalan tersebut adalah sebagai penghormatan mereka terhadap Mother Mary. Mother Mary adalah Maryam, ibu kepada Nabi Isa Alaihissalam atau Jesus yang mereka anggap sebagai tuhan.

Dalam tempoh tersebut juga, kebanyakan rakyat England yang faqir dan miskin, akan bekerja sebagai pembantu rumah. Mereka sanggup keluar jauh meninggalkan keluarga kerana percaya bahawa Jesus akan memberikan kekayaan dan kesenangan dalam tempoh tersebut. Menjelang hari Ahad keempat, mereka digalakkan untuk bercuti oleh majikan, dan pulang ke kampung untuk bertemu dengan ibu. Setiap ibu akan dihadiahkan dengan Mothering Cake atau kek hari ibu sempena perayaan tersebut.

Amalan dan tradisi ini menular ke seluruh dunia dan ia kini disambut sebagai penghormatan kepada Mother Church. Mother Church dianggap sebagai kuasa spiritual yang agung yang memberi manusia kehidupan dan memullihara mereka dari sebarang kecederaan. Sejak dari itu, perayaan Mothering Sunday telah diadun dengan upacara kegerejaan. Penghormatan mereka terhadap ibu sama taraf dengan penghormatan mereka terhadap gereja.

Di Amerika Syarikat, Hari Ibu disambut seawal 1872 hasil ilham Julia Ward Howe. Beliau adalah seorang aktivis sosial dan telah menulis puisi " The Battle Hymn of The Republic" (TBHoTR). TBHoTR telah dijadikan lagu patriotik yang popular di kalangan warga Amerika. Ungkapan "Hallelujah" dalam bait-bait lagu tersebut menyerlahkan lagi sentuhan Yahudi dan Zionis dalam mencaturkan politik dunia.

Pada tahun 1907 Anna Jarvis dari Philadelphia telah memulakan kempen untuk melancarkan Hari Ibu. Beliau telah berjaya mempengaruhi Mother's Church di Grafton, West Virginia agar meraya dan meraikan Hari Ibu pada hari ulang tahun kedua kematian ibunya, iaitu pada hari Ahad kedua dalam bulan Mei. Semenjak dari itu, Hari Ibu dirayakan saban tahun di Philadelphia.

Anna Jarvis, dan pendokong-pendokongnya telah menulis surat kepada menteri, golongan peniaga dan ahli-ahli politik agar Hari Ibu disambut secara meluas di seluruh wilayah. Matlamat mereka telah berjaya sepenuhnya pada tahun 1911 apabila hari tersebut disambut oleh hampir keseluruhan wilayah Amerika.

Pada tahun 1914, Presiden Woodrow Wilson, secara rasminya telah mengisytiharkan Hari Ibu sebagai Hari cuti umum dan mesti raikan pada setiap hari Ahad kedua dalam bulan Mei. Biarpun sebahagian besar negara-negara di dunia menyambutnya pada hari yang berlainan, tetapi negara seperti Denmark, Finland, Itali, Turki, Australia, dan Belgium masih merayakannya pada setiap hari Ahad kedua dalam bulan Mei.

Sumber : http://www.mothersdaycentral.com/about-mothersday/history/

-wallahu'alam-

Wednesday, May 4, 2011

Riwayat Osama bin Laden..



DENGAN langkah penuh yakin, Presiden Barack Obama menuju ke Bilik Timur di White House, Washington untuk membuat pengumuman yang bakal mengundang reaksi berbeza daripada penduduk di seluruh dunia.

Menerusi saluran televisyen negara itu, dengan raut wajah yang serius Obama mengumumkan: “Pada malam ini, saya boleh melaporkan kepada penduduk di Amerika Syarikat (AS) dan dunia bahawa AS dalam operasinya berjaya membunuh Osama bin Laden, seorang pengganas yang bertanggungjawab membunuh ribuan orang yang tidak berdosa.

“Kematian itu merupakan satu pencapaian yang paling signifikan dalam usaha AS menentang jaringan Al-Qaeda.

“Kita juga mahu tegaskan bahawa AS tidak akan berperang menentang Islam, namun bin Laden (Osama) bukanlah seorang pemimpin Muslim sejati. Dia telah membunuh ramai orang Islam.”

Setelah kenyataan itu tersebar, ribuan rakyat AS yang membanjiri pekarangan White House bersorak kegirangan bagaikan meraikan sebuah perayaan.

Malah, dalam respons segera mantan Presiden AS, George Bush kepada stesen televisyen Al Jazeera, Bush berkata, kematian musuh ketatnya itu merupakan satu prestasi terpenting AS. Osama terbunuh dalam satu pertempuran dengan askar-askar AS di sebuah rumah agam mewah bernilai RM2.96 juta yang menjadi tempat perlindungannya dekat bandar Abbotabad, 60 kilometer dari ibu negara Pakistan, Islamabad.

Abbotabad dikatakan lokasi yang menempatkan Akademi Tentera Pakistan. Ia juga disebut sebagai salah satu lokasi pelancongan dan pusat pendidikan di negara itu.

Osama ditembak di kepala dalam satu pertempuran senjata api semasa dia dan keluarganya cuba melarikan diri daripada ditangkap dalam satu operasi melibatkan Agensi Perisikan Pusat (CIA) AS dan pasukan keselamatan Pakistan.

Beberapa orang termasuk anak-anaknya dan seorang wanita turut ditahan semasa serbuan itu dilakukan.

Bagaimanapun, tiada rakyat AS yang cedera dalam serbuan itu. Ujian asid deosirikbonukleik (DNA) mengesahkan lelaki yang terkorban itu adalah Osama.

Jenazah pemimpin Al-Qaeda, Osama yang didakwa maut dalam satu pertempuran dengan tentera AS di Abbotabad, Pakistan kini dilapor berada dalam simpanan AS.

Untuk meyakinkan penduduk dunia bahawa berita kematian pemimpin Islam itu bukan sekadar khabar angin, sebuah stesen televisyen Express TV menyiarkan secara bertalu-talu wajah Osama yang berlumuran darah.

Tanggapan AS bahawa Osama atau nama sebenarnya Osama Mohamed Awad Laden, 54, mudah ditewaskan seperti yang pernah dilakukan ke atas bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein ternyata meleset.

Osama adalah manusia yang paling sukar diburu di dunia.

Dendam berbalas

Meskipun AS dikatakan perintis kepada kemajuan teknologi dunia, mereka gagal mengesan lokasi Osama yang dipercayai bersembunyi di kawasan permukaan bumi yang paling sukar di dunia dan dikelilingi penyokong yang setia.

Akibat terdesak, The Washington Post melaporkan, AS pernah menawarkan ganjaran sebanyak AS$50 juta (RM175 juta) kepada pemberi maklumat yang boleh membawa kepada penahanannya. Namun, hampir sedekad Osama berjaya mengelak diri daripada ditangkap.

Jika dicongak, AS sebenarnya mengambil masa hampir dua dekad sehingga bertukar tiga pemimpin iaitu dari era Bill Clinton, Bush hingga ke Obama untuk melenyapkan Osama.

Osama yang dilahirkan di Riyadh, Arab Saudi sebenarnya menjadi buruan AS sejak Disember 1992 selepas Al-Qaeda melancarkan serangan ke atas Hotel Gold Mihor di Aden, Yemen.

Sejak itu, operasi kumpulan tersebut berpindah-randah. Al-Qaeda dipercayai pernah menjadikan Albania, Algeria, Iran, Sudan, Pakistan, Afghanistan dan Bosnia Herzegovina sebagai kubu dan pusat persembunyiannya.

Menghukum AS

Kepada AS, Bosnia dianggap lokasi yang paling selamat untuk Al-Qaeda. Namun pada tahun 1999, perisik AS berjaya menghidu Osama dan pembantunya yang merupakan rakyat Tunisia yang memperoleh kerakyatan Bosnia pada tahun 1993. Namun, ia dinafikan oleh kerajaan Bosnia.

Kemuncak kepada kemarahan AS sebenarnya ialah peristiwa serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York yang mengakibatkan 2,973 orang maut dan 24 disahkan hilang. Laporan Pentagon menyebut, serangan pada pagi 11 September 2001 itu dilakukan oleh 19 orang anggota Al-Qaeda yang beragama Islam.

Pada petang 11 September yang hitam itu juga, di atas timbunan runtuhan WTC, Presiden Bush berikrar untuk memerangi teroris itu hingga ke akar umbi.

Mengapakah Osama bertindak sebegitu radikal? Menerusi video berdurasi 18 minit yang disiarkan oleh TV Al-Jazeera pada tahun 2004, Osama dengan nada bersahaja berkata:

“Setelah saya melihat kemusnahan menara-menara di Lebanon, saya tiba-tiba terfikir untuk menghukum AS dengan cara sama iaitu dengan menghancurkan menara di AS, saya mahu AS merasakan apa yang dirasakan oleh mangsa-mangsa di Lebanon.”

Sementara itu, pada 23 Mei 2006, menerusi saluran yang sama, pemimpin Islam itu berterus terang: “Saya seorang yang bertanggungjawab dalam serangan itu, bukan 19 orang seperti yang disebut-sebut.”

Bermula pada saat itu juga, sentimen Islamofobia dalam kalangan warga AS semakin menjadi-jadi. Pada masa yang sama, AS terus melaksanakan diskriminasi terhadap orang Islam. Bagi persepsi Barat, Islam disekutukan dengan terorisme.

Menyorot latar belakang Osama, dia berasal daripada sebuah keluarga hartawan. Bapanya, Mohamed bin Awad bin Laden adalah seorang ahli perniagaan bertaraf bilionair dan mempunyai hubungan rapat dengan keluarga diraja Arab Saudi. Mohamed berasal dari Hadramaut, selatan Yemen dan berkahwin dengan Hamida Al-Attas, seorang wanita warga negara Syria.



Osama dilahirkan di Jeddah, Arab Saudi pada 10 Mac 1957. Ibunya, Hamida merupakan isteri Mohamed yang ke-10. Bagaimanapun, Hamida kemudian bercerai dengan Mohamed. Mengikut perkiraan, Osama adalah anak yang ke-17 daripada 50 adik-beradik.

Sejak kecil, Osama berpegang kepada ajaran Wahhabi. Beliau digambarkan sebagai seorang kanak-kanak yang berpegang teguh kepada ajaran Islam. Malah, Osama sememangnya anti-Barat. Bagaimanapun, Osama menerima pendidikan awalnya di sebuah sekolah sekular yang mengkombinasikan pendidikan British dan Islam di Jeddah iaitu Al-Thager Model School dari tahun 1968 hingga tahun 1976.

Sekitar tahun 1970-an, Osama telah pun mempunyai empat orang isteri. Isteri pertama yang dikahwininya ketika berusia 17 tahun adalah sepupunya, Najwa Ghanem. CNN melaporkan, pemimpin itu adalah bapa kepada 26 cahaya mata.

Osama kemudian melanjutkan pengajian di Universiti King Abd. Al Aziz dengan mengambil jurusan ekonomi dan pentadbiran perniagaan. Sumber lain juga menyebut, beliau mempunyai Ijazah Sarjana Muda dalam Pentadbiran Awam pada tahun 1981.

Sisi sebagai pejuang keagamaan dikatakan mula ditonjolkan secara jelas oleh Osama sejak menuntut di kampus lantaran kecenderungannya yang gemar berdebat.

Daripada mengamalkan prinsip wasatiah dalam dakwahnya, Osama yang menginjak usia 22 tahun semakin berani.

Detik itu bermula ketika beliau menyertai Abdullah Azzam. Abdullah merupakan pensyarahnya dan pengasas kumpulan militan Hamas di Palestin yang menentang pencerobohan penjajahan Soviet di Afghanistan.

Pada tahun 1984, Abdullah dan Osama menubuhkan Maktab al-Khaddamat untuk menentang penindasan AS dan Israel terhadap negara-negara Arab.

Kemarahan Osama terhadap kuasa besar itu semakin membuak-buak. Justeru, pada 20 Ogos 1988, lahirlah Al-Qaeda yang dikatakan mempunyai jaringan negara, kumpulan militan dan ratusan ribu ahli daripada pelbagai negara.

Antara kumpulan yang dikatakan mempunyai kaitan secara langsung ialah Jemaah Islamiah (JI) yang pernah diketuai oleh rakyat Malaysia, Noordin Mohd. Top.

Namun, perjuangan Osama mahu membela nasib bangsa dan agama tidak direstui dan kerakyatannya digugurkan oleh pemerintah Arab Saudi.

Keluarganya juga diminta supaya menghentikan pemberian wang secara bulanan yang keseluruhannya bernilai hampir RM20 juta setahun.

Fiksyen kematian Obama

Sementara itu, selepas kematian Osama stesen TV Pakistan mendakwa bahawa imej gambar yang memaparkan wajah Osama yang berlumuran darah adalah palsu.

“Ia adalah gambar palsu, gambar itu pernah dipaparkan di Internet pada tahun 2009,” kata Ketua Biro Islamabad TV Geo, Rana Jawad kepada AFP.

Jamaah Ansharut Tauhid (JAT) pimpinan Abu Bakar Baasyir yang membuat kenyataan di akhbar Koran Baru di Jakarta semalam menegaskan, berita kematian Osama bukan pertama kali dilaporkan.

Abu Bakar melalui jurucakapnya, Sonhadi berkata: “Kami masih menunggu pengesahan daripada Al-Qaeda sama ada benar atau tidak berita kematian tersebut.

“Kalau benar sekalipun, itu tidak akan membuat Al-Qaeda mati.”

Sememangnya itu yang menjadi tanda tanya penduduk dunia. Bahkan ramai berpendapat laporan itu cuma sandiwara yang dipentaskan oleh AS ke mata dunia.

Menyingkap semula khabar angin kematian Obama, ejen-ejen perisik Perancis melaporkan Osama telah mati pada 23 Ogos 2006.

Yang lucunya, punca kematian dipercayai akibat demam kepialu dan kegagalan buah pinggang. Berita itu diulang semula pada 4 September 2006. Menafikan laporan itu, Osama kemudian muncul di kaca TV menyatakan beliau masih hidup lagi.

Apa pun juga tanggapan, persoalannya adakah dengan kematian Osama akan menyebabkan kegiatan pengganas tidak akan wujud lagi? Apa pula yang akan dilakukan oleh proksi-proksinya?

Seperti kata Abu Bakar Baasyir dan Perdana Menteri Australia, Julia Gillard, kematian Osama tidak akan mematikan Al-Qaeda.

Monday, May 2, 2011

Pembunuhan Osama bin Laden..

MAKSUD FIRMAN ALLAH:

"dan jangan sekali-kali Engkau menyangka orang-orang Yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (Mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki;(dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) Yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam Yang sedang berjuang), Yang masih tinggal di belakang, Yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (Iaitu) Bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian Yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.Mereka bergembira Dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurniaNya; dan (ingatlah), Bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang Yang beriman". AALI IMRAN:169-171

"dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa Yang terbunuh Dalam perjuangan membela ugama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang Yang hidup (dengan keadaan hidup Yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya". AL-BAQARAH:154




BERITA TERKINI


(GAMBAR disiarkan televisyen Pakistan menunjukkan wajah Osama Bin Laden yang didakwa Amerika Syarikat berjaya dibunuh (kiri) berbanding gambar fail pemimpin Al-Qaeda itu. Bagaimanapun kesahihan gambar berkenaan masih dipertikaikan agensi berita antarabangsa berikutan gambar berkenaan berkedudukan sama. - Foto AFP)

WASHINGTON: Osama bin Laden, pemimpin Al-Qaeda yang dikaitkan dengan serangan 11 September 2001 di Amerika Syarikat (AS), terbunuh dalam satu pertempuran dengan tentera AS di sebuah rumah di Abbottabad, kira-kira 45 kilometer di timur laut Islamabad, Pakistan, tengah malam kelmarin.

Turut terbunuh dalam serangan kira-kira 40 minit oleh pasukan gerak khas tentera laut AS itu ialah anak lelaki Osama, seorang wanita yang tidak dikenali dan dua lelaki lain. Osama yang ditembak di kepala dikatakan memberi tentangan sebelum terbunuh dalam pertempuran yang turut membabitkan penggunaan dua helikopter.

Salah sebuah helikopter AS yang menyertai operasi itu dikatakan terhempas akibat kegagalan mekanikal. Pekarangan rumah yang diserbu dalam operasi itu adalah lapan kali ganda lebih besar daripada rumah berhampiran dan dikelilingi tembok setinggi empat hingga enam meter dengan dawai berduri, tetapi tidak mempunyai kemudahan telefon, mahupun internet.

Pegawai AS memberitahu Agensi Perisikan Pusa (CIA) menjejaki Osama di tempat persembunyiannya, sebelum pasukan elit keenam tentera laut AS diterbangkan ke lokasi itu.

Katanya, Osama ditembak di kepala dalam pertempuran itu dan pegawai AS mengesahkan identiti pemimpin Al-Qaeda itu berdasarkan rupanya. Pegawai itu bagaimanapun enggan mengulas sama ada DNA sudah dilakukan.

Presiden AS, Barack Obama ketika membuat pengumuman kejayaan operasi itu yang disiarkan secara langsung di seluruh dunia menyifatkan kematian Osama sebagai ‘keadilan akhirnya ditegakkan’.
Obama berkata tentera AS sudah mengambil mayat Osama dari tempat kejadian dan berjanji pengendalian mayat itu akan menghormati amalan Islam.

Rangkaian televisyen, Al-Jazeera melaporkan mayat Osama disemadikan di laut dan disahkan media AS yang memetik pegawai di Washington, untuk mengelak kuburnya dijadikan tempat pemujaan oleh golongan ekstrim.

Obama mengesahkan beliau mengarahkan operasi tengah malam itu, selepas AS kali pertama mendapat maklumat risikan mengenai tempat persembunyian Osama, Ogos tahun lalu.

“Satu kumpulan kecil anggota kita telah menjayakan operasi itu dengan keberanian dan keupayaan yang luar biasa. Selepas mendapat sedikit tentangan, pasukan itu membunuh Osama dan mengambil mayatnya,” kata Presiden AS itu.

Beliau berkata, tiada seorang pun tentera AS atau orang awam terbunuh dalam operasi itu.

Obama turut memuji Pakistan di atas kerjasama yang diberi negara itu. Bagaimanapun seorang pegawai berkata hanya AS mengetahui mengenai operasi itu sebelum ia dilancarkan.

Pengumuman Obama itu mencetuskan perhimpunan spontan di hadapan Rumah Putih dan di Ground Zero, tapak menara World Trade Center (WTC) yang runtuh dalam serangan 11 September 2001, selepas dirempuh dua pesawat penumpang dirampas pengganas didakwa anggota kumpulan Al-Qaeda.

Berita dramatik kematian Osama itu menutup pergolakan dunia yang dicetuskan serangan 9/11 ke atas pengganas yang mengorbankan lebih 3,000 orang.

Serangan didakwa dilakukan Al-Qaeda itu mencetuskan perang di Afghanistan, dan turut digunakan sebagai alasan oleh Amerika Syarikat dan sekutunya untuk menceroboh Iraq.

Seorang diplomat Barat di Afghanistan berkata, kematian Osama juga dijangka membawa perubahan besar kepada dasar luar AS.

“Perkembangan ini akan mengubah senario, tetapi masih kabur apakah perubahan ini,” katanya.

Kejayaan membunuh Osama dijangka mencerahkan peluang Obama dalam pemilihan presiden tahun depan, selepas Presiden George W Bush yang memulakan peperangan terhadap keganasan kira-kira 10 tahun lalu, gagal menawan atau membunuh pemimpin Al-Qaeda itu.

Ketika mengumumkan kejayaan itu, Obama mengelak nada yang mendabik dada. "Malam ini saya boleh melaporkan kepada warga Amerika dan kepada dunia bahawa Amerika Syarikat sudah melancar operasi yang membunuh pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden, pengganas yang bertanggungjawab terhadap kematian beribu-ribu mangsa lelaki, wanita dan kanak-kanak yang tidak bersalah.”

Beliau berkata kematian Osama tidak bermakna keganasan akan berakhir dan menjangka Al-Qaeda akan meneruskan perjuangannya. - Agensi

Sumber:Berita Harian
Related Posts with Thumbnails