Soalan:
Apakah hukumnya sembahyang Tarawih dengan cepat?
Jawapan: Dari Fatwa Muasyirah Dr Yusuf Qardhawi
Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa yang mendirikan bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan cukup syarat-syaratnya, nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang lalu." (Bukhari dan Muslim)
Mengikut hadis Rasulullah saw, Allah mensyariatkan Nya supaya berpuasa pada siang hari dan bersembahyang pada malam hari. Sembahyang ini adalah untuk membersihkan dosa dan kesalahan, tetapi yang dimaksudkan dengan sembahyang itu ialah yang cukup syarat-syaratnya, rukun-rukun, adab-adab dan batasan-batasannya.
Kita telah mengetahui bahawa tamakninah itu adalah satu daripada rukun-rukun sah sembahyang sebagaimana membaca Al-Fatihah, rukuk dan sujud. Rasulullah pernah berkata kepada mereka yang tidak sempurna sembahyangnya kerana tiada tamakninah, maksudnya:
"Ulangi sembahyangmu kerana engkau masih lagi belum sembahyang..."
Kemudian Nabi menerangkan kepadanya sembahyang yang diterima Allah:
"Rukuklah dengan tamakninah, iktidal dengan tamakninah, sujud dengan tamakninah, sujud di antara dua sujud dengan tamakninah dan seterusnya."
Tamakninah dalam semua rukun wajib dilakukan. Bagaimana pun ulamak tidak bersependapat dalam masaalah lama mana had untuk tamakninah.
Sebahagiannya mengatakan hadnya sama dengan sekali tasbih seperti katanya: Subhana Rabbiayal A'la dan seumpamanya. Sebahagiannya pula, seperti Syeikhul Islam Ibnu Taimiah, mengatakan kadar masa tamakninah itu ialah sekadar tiga tasbih pada rukuk dan sujud.
Ada hadis yang mengatakan kadarnya tiga kali tasbih atau yang hampir dengannya. Oleh itu tamakninah itu mestilah sekadar tiga kali tasbih. Allah berfirman:
"Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (iaitu) orang-orang yang khusyuk di dalam sembahyangnya.” (Al-Mukminun: l-2)
Khusyuk itu terbahagi kepada dua jenis:
1. Khusyuk badan
2. Khusyuk hati
Khusyuk badan ialah tenang tubuh badan, tidak bermain-main dan tidak berpaling-paling. Juga tidak sujud dan rukuk seperti ayam mematuk makanan. Menunaikannya hendaklah dengan cukup syarat dan rukunnya sebagaimana yang disyariatkan Allah. Khusyuk badan ini hendaklah disertai dengan khusyuk hati.
Khusyuk hati ialah merasai kebesaran Allah, menghayati makna bacaan dalam sembahyang, mengingati akhirat dan menyedari bahawa dia bersembahyang di hadapan Allah.
Di dalam sebuah hadis qudsi, Allah berfirman:
"Aku bahagikan sembahyang di antara Aku dan hamba Ku kepada dua:
Apabila hamba Ku berkata: Alhamdulillah Hi Rabbil ‘aalamiiin
Aku akan menjawab: Hamba Ku memuji Ku.
Hamba itu berkata lagi: Ar Rahma Nir Rahiiim
Aku menjawab: Hamba Ku Memuji Ku.
Dia berkata lagi: Maliki Yau Mid deeeen.
Aku menjawab: Hamba Ku meninggikan Ku
Apabila dia berkata: Iyya kana’ budu wa iyya kanas ta’ieen
Aku menjawab: Inilah dia antara Ku dan hamba Ku
Hamba itu berkata lagi: Eh dinass siratal mustakim.
Aku menjawab: Jalan ini untuk hamba Ku. Baginyalah apa yang dipohonnya."
Seseorang itu hendaklah menyahut seruan Allah di dalam sembahyangnya dengan menghadirkan hati pada tiap-tiap rakaat dan pergerakan sembahyangnya.
Jika mereka yang bersembahyang berniat hendak menyudahkan sembahyangnya dengan segera dan merasainya sebagai satu bebanan, itu bukanlah sembahyang yang dituntut.
Kebanyakan manusia melakukan sembahyang Tarawih sebanyak 20 dan 23 rakaat dalam masa beberapa minit sahaja. Mereka bersembahyang seperti menyambar sesuatu dan mahu menyudahkannya secepat mungkin, sehingga tidak sempurna rukuk, sujud dan khusyuknya...
Amalan inilah yang telah dinyatakan di dalam hadis sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud:
"Sembahyang itu akan naik ke langit dalam keadaan hitam pekat. Sembahyang itu berkata kepada tuannya: Allah telah menghilangkan engkau (pahala sembahyang) sebagaimana engkau menghilangkanku (kerana sembahyang tidak cukup syarat dan rukunnya)."
Sembahyang yang khusyuk dan tenang akan naik ke langit dengan wajah yang putih bersih. Sembahyang itu akan berkata kepada tuannya: Allah telah menjaga engkau sebagaimana engkau menjagaku.
Saya nasihatkan, kepada imam-imam dan orang yang mengerjakan sembahyang yang panjang bilangan rakaatnya dengan tidak teratur, tidak khusyuk, tidak hadir hatinya dan tidak tenang badannya, eloklah mereka mengerjakan lapan rakaat sahaja dengan tenang, khusyuk serta rapi.
Sembahyang yang sebegini lebih baik daripada sembahyang 20 rakaat yang tidak sempurna tadi. Sembahyang dikira berdasarkan kepada jenisnya dan bagaimana kita menunaikannya, berapa banyak rakaat yang dikerjakan, dan dikira juga adakah sembahyangnya khusyuk atau tidak.
Kita bermohon kepada Allah semoga Dia menggolongkan kita ke dalam kumpulan orang-orang yang mukmin dan khusyuk dalam sembahyang.
Rakan SIMAAS anda!
PETIKAN HADIS
Posting Terbaru!
Sunday, August 22, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment