Rakan SIMAAS anda!

PETIKAN HADIS

Posting Terbaru!

Posting Terbaru!

Friday, September 3, 2010

4 Sebab Sembunyi Lailatul Qadar..


Kedatangan Ramadhan dengan kelebihannya terutama dianugerahkan satu malam daripada malam-malamnya yang dipanggil lailatul qadar hendaklah direbuti oleh kita semua sebagai umat yang cintakan Allah dan hari akhirat. Peluang yang datang jangan dilepaskan begitu sahaja kerana kelak kita kerugian yang tidak mampu dibayar dengan tangisan dan penyesalan. Melalui beberapa hadis Rasulullah s.a.w, baginda menerangkan bagaimana pada kebiasaannya malam lailatul qadar akan datang pada sepuluh akhir Ramadhan.

MAKSUD SURAH AL-QADAR

Firman Allah dalam surah al-Qadar 1-5 yang bermaksud : "Sesungguhnya Kami telah menurunkan ( al-Quran ) pada malam al-Qadar (kemuliaan). Dan tahukah kamu apakah itu malam Lailatul qadar?. Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Di malam itu turun para malaikat dan Jibril dengan Izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Pada malam itu (penuh ucapan) kesejahteraan sehingga terbit fajar".

SEBAB DISEMBUNYIKAN MALAM AL-QADAR

Menurut Imam al-Razi seorang penafsir terkenal telah menulis mengenai sebab Allah menyembunyikan malam al-qadar daripada pengetahuan kita iaitu sebagaimana berikut :

Pertama :
Allah menyembunyikan malam al-qadar sebagaimana Dia menyembunyikan seluruh rahsia sesuatu yang lain seperti Dia menyembunyikan keredhaanNya dalam ketaatan seseorang hamba sehingga menimbulkan kegemaran dalam melakukan semua ketaatan kepada Allah. Allah juga menyembunyikan saat-saat diperkenankan doa agar setiap pemohon bersungguh-sungguh setiap kali berdoa. Begitulah juga Dia menyembunyikan malam al-qadar agar umat Islam dapat membesarkan kesemua malam bulan Ramadhan tanpa memilih malam tertentu sahaja.

Kedua :
Jika diberitahu secara jelas tentang malam al-Qadar maka ditakuti manusia yang tahu tentang kedatangan malam tersebut tetapi dia tidak berusaha untuk merebutnya dengan amal ibadat atau pun dia melakukan maksiat. Ini akan menyebabkan dia terjerumus ke lembah kecelakaan dalam keadaan dia tahu dan ingatlah bahawa berbuat maksiat atau tidak bersungguh dalam melakukan ibadat dalam keadaan kita tahu ia merupakan malam yang mempunyai kelebihan yang besar adalah lebih berat dosanya daripada kita tidak mengetahuinya. Oleh itu dirahsiakan malam al-qadar.

Ketiga :
Supaya seseorang mukallaf itu bersungguh-sungguh berusaha mencari malam al-qadar sehingga dia mampu memperbanyakkan ibadat lalu dia memperolehi pahala daripada kesungguhannya itu.

Keempat :
Seseorang yang meyakini akan datangnya malam al-qadar maka dia akan bersungguh-sungguh mencarinya pada keseluruhan malam Ramadhan dengan harapan akan berkebetulan dengan malam al-qadar. Allah akan bermegah dengan usahanya ini dengan menyatakan kepada para malaikat bahawa inilah manusia yang pernah kamu katakan bahawa mereka akan melakukan kerosakan dan pertumpahan darah di bumi sedangkan apa yang kamu lihat ialah mereka merupakan makhluk yang kuat beribadat.

SEBAB PENURUNAN SURAH AL-QADAR

Di sini ada beberapa riwayat yang menceritakan mengenai sebab diturun dan diberi kelebihan malam al-Qadar yang dianugerahkan kepada umat nabi Muhammad s.a.w dan tidak diberi kepada umat sebelumnya.

1. Ibu Jarir mengeluarkan daripada Mujahid dengan katanya : Adalah pada umat bani Israel ada seorang pemuda mendirikan malam sehingga Subuh. Kemudian dia berjihad melawan musuh pada siang hari sehingga petang. Dia melakukan amalan ini selama seribu tahun lalu Allah menurunkan ayat ini yang memberi galakan dan kelebihan kepada umat nabi Muhammad s.a.w yang mendirikan malam al-Qadar di mana mereka akan memperolehi ganjaran yang lebih baik daripada pemuda bani Israel tadi.

2. Ibnu Munzir, Ibnu Abi Hatim dan Baihaki dalam sunannya daripada Mujahid memberitahu bagaimana nabi telah menceritakan tentang seorang pemuda bani Israel telah membawa senjata berjihad di jalan Allah selama seribu tahun maka seluruh umat Islam yang mendengar perkara ini merasa begitu kagum lalu Allah menurunkan ayat ini yang menyatakan bagaimana umat ini akan dapat menandingi ganjaran yang diperolehi oleh pemuda tadi dengan mendirikan malam lailatul qadar.

3. Ibnu Abi Hatim daripada Ali bin Urwah telah memberitahu bahawa pada suatu hari nabi telah menyebut tentang 4 orang daripada bani Israel di mana mereka telah menyembah Allah selama 80 tahun tanpa membuat maksiat walau pun sekelip mata. Semua muslimin yang mendengar cerita ini merasa kagum lalu datanglah Jibril membawa datang ayat ini bagi memberi semangat kepada umat nabi Muhammad s.a.w agar menghidupkan malam al-Qadar supaya mereka akan memperolehi kelebihan melebihi amalan pemuda bani Israel tadi.

4. Malik bin Anas memberitahu bahawa Rasulullah s.a.w apabila melihat kepada umur manusia zaman sebelum ini, maka baginda umur umatnya terlalu singkat di mana baginda merasa bimbang kepada amalan-amalan umat ini yang pasti tidak akan dapat menyamai amalan umat terdahulu. Maka Allah mengurniakan kepada baginda dan umat akhir zaman dengan suatu malam yang lebih baik daripada seribu blan bagi umat lain.

Oleh itu gunakanlah masa ini sebaiknya untuk beribadat janganlah terlalu sibuk dengan persiapan hari raya sahaja. Islam tidak melarang umatnya bersiap untuk berhari raya tetapi kita juga mesti mengutamakan bekalan akhirat yang lebih utama. Betapa ramai yang menghabiskan sepuluh terakhir Ramadhan di kedai-kedai, supermarket, pasaraya dan sebagainya kerana mahu menyambut hari raya sedangkan pada masa yang sama tawaran yang lebih hebat apabila kita beramai-ramai menghidupkan sepuluh malam terakhir itu di surau atau masjid. Janganlah kerana mahu mengejar sementara kita terlupa kepada bekalan apabila bertemu dengan Allah di akhirat sana.

sumber:bloggers

No comments:

Related Posts with Thumbnails