Rakan SIMAAS anda!

PETIKAN HADIS

Posting Terbaru!

Posting Terbaru!

Sunday, July 31, 2011

‘Bekas gigitan syaitan’ masih melekat..




MASUK awal puasa, syaitan dirantai tetapi anehnya masih ada yang tidak ke masjid berjemaah menunaikan Tarawih dan ada yang ditangkap kerana melakukan maksiat pada Ramadan yang mulia.

Penceramah bebas, Mohd Rani Awang Besar, berkata itu tandanya bekas gigitan syaitan yang melekat pada manusia masih ada menyebabkan mereka terus dikuasai nafsu khususnya ketika berdepan ujian sepanjang Ramadan. Namun, bekas Imam Masjid Saidina Abu Bakar, Bangsar, Kuala Lumpur itu berkata, manusia tidak boleh menyalahkan sesiapa kerana perbuatan mungkar yang dilakukan berpunca daripada kegagalan mengawal nafsu sendiri. “Apabila terlalu mengikut nafsu, itulah yang terjadi. Kadangkala tiba masa berbuka puasa, hendak baca doa pun tidak sempat,” katanya pada Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat sempena menyambut Ramadan Al-Mubarak anjuran The New Straits Times Press (NSTP) yang diadakan di surau NSTP, baru-baru ini.

Katanya, Ramadan yang menjanjikan pelbagai kelebihan serta ganjaran untuk direbut turut menjadi medan ujian bagi menilai sejauh mana kekuatan manusia berdepan dugaan menahan diri daripada lapar, dahaga serta keseronokan dunia yang lain.

Mohd Rani berkata, kelebihan Ramadan ialah meluas rahmat dan kasih sayang Allah, maka sewajarnya umat Islam mengambil kesempatan menunaikan segala yang diperintah serta meninggalkan larangan yang merosakkan puasa.

Beliau berkata, syaitan yang tidak diberi kesempatan menggoda serta menghasut mereka yang berpuasa sepatutnya memudahkan lagi umat Islam menunaikan ibadat diwajibkan kepada mereka dengan lebih berkesan.
Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila masuk Ramadan terbuka pintu syurga dan terkunci segala pintu neraka, manakala sekalian syaitan dirantai dan dibuka segala pintu rahmat.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

“Ini kesempatan tidak sepatutnya kita persiakan. Malangnya, kita yang mengaku tidak mahu masuk neraka tetapi kita yang menempah tiket ke neraka. Oleh itu, marilah kita bersama menempah tiket ke syurga dengan melawan hawa nafsu bukan saja sepanjang Ramadan tetapi setiap masa,” katanya.

Menjawab persoalan bagaimana untuk mengekalkan momentum supaya semangat meningkatkan ibadat pada awal puasa berterusan hingga akhirnya dan selepas Ramadan, Mohd Rani berkata, ia terpulang kepada empunya diri.

Katanya, bagi mereka yang benar-benar inginkan syurga pasti melakukan apa yang diperlukan untuk mendapatkannya walaupun terpaksa berdepan dugaan hebat.

“Sebab itu jawapannya ada pada kita. Hendak ke tidak? Tepuk dada tanya iman.
Ibarat kita hendak memikat orang yang kita minat, macam-macam sanggup kita lakukan. Begitu juga hendak memikat Allah, lakukan apa yang disukai-Nya.

“Oleh itu, kita tidak boleh gagal melawan nafsu diri. Jangan akhir Ramadan sibuk ingat hendak raya. Sepatutnya itulah masa kita tumpukan untuk memastikan diri bebas daripada azab api neraka. Tambahan, ketika itu syaitan yang dibelenggu hampir bebas,” katanya.

Beliau turut menyarankan masjid dan surau supaya sentiasa memberi peringatan kepada jemaah mengenai kelebihan Ramadan serta usaha yang perlu dilakukan bagi mencapai kecemerlangan beribadah sehingga kedatangan Ramadan akan datang.

Antaranya, menghidupkan kelas pengajian sebelum atau selepas solat kerana sifat manusia yang mudah lupa menyebabkan mereka perlu sentiasa diingat berulang kali terutama perkara membabitkan amalan harian dalam kehidupan.

“Ada yang mencegah kononnya takut dipolitikkan tetapi saya rasa jika niatnya jelas dan hasrat adalah untuk memberi peringatan kepada jemaah berkaitan Ramadan serta kelebihannya, kenapa tidak kita adakan sesi tazkirah,” katanya.

Sumber:BH

No comments:

Related Posts with Thumbnails