Rakan SIMAAS anda!

PETIKAN HADIS

Thursday, May 30, 2013

Melawat Makam 'Dayang Isah Tandang Sari'

Baru-baru ini Editor SIMAAS telah berkesempatan melawat Makam 'Dayang Isah Tandang Sari' yang terletak di Daerah Pusa. Keinginan untuk mengetahui lebih lanjut lagenda ini semakin kuat apabila sering mendengar kisah dari orang-orang tua dan lebih-lebih lagi penduduk yang tinggal sekitar Batang Lupar dan Batang Saribas. 

Apa tidaknya? Kisah dan kemasyhuran puteri ini ibarat setanding dengan lagenda Mahsuri di Langkawi. Walaubagaimana pun, memandangkan tiada catatan sejarah yang boleh dirujuk secara tepat mengenai versi lagenda tersebut, Editor telah menilai maklumat dan catatan perjalanan yang dibuat oleh wartawan Utusan Sarawak adalah lebih tepat dan terkini seperti pengalaman editor sendiri sebelum ini.    

(Editor sedang memerhatikan sesuatu di Makam Dayang Isah)


Catatan Wartawan:

Sebut sahaja nama Dayang Isah Tandang Sari, mungkin ramai yang masih tidak pernah mendengarnya.

Tetapi bagi penduduk dari kawasan Batang Saribas terutamanya dari Pusa, nama itu bukan asing lagi.

Memandangkan Dayang Isah Tandang Sari merupakan salah satu lagenda dan cerita turun temurun bagi penduduk dari kawasan itu, maka tidak hairanlah sekiranya terdapat pelbagai versi kisah diceritakan mengenainya.

Bagi mengungkap dan mengetahui sendiri lagenda Dayang Isah Tandang Sari, wartawan Utusan Sarawak telah menjejaki kisahnya dengan datang sendiri ke makam tempat dia disemadikan.

(Keadaan makam yang beratap dan nampak usang)

Makam Dayang Isah Tandang Sari terletak di tanah perkuburan Kampung Kalok, Pusa kira-kira 150 kilometer dari Sibu dan 90 kilometer dari Betong.

Untuk sampai ke makam itu, kita perlu memasuki simpang di hadapan Agro Bank sekiranya dari pekan Pusa dan kita akan melalui perumahan teres yang terbiar.

Kawasan perumahan ini berhubung dengan Kampung Kalok Lot melalui lima hingga enam laluan kecil yang dikelilingi oleh lalang.

Kita perlu memasuki laluan terakhir yang menuju ke kampung tersebut dan sebelum keluar ke jalan utama kita akan dapat melihat sebuah papan tanda yang menunjukkan lokasi makam tersebut.

(Sebelah kiri: Makam Dato Godam, sebelah kanan: Makam Pengiran Temenggung)

Menurut papan tanda tersebut, terdapat tiga makam terdapat di situ iaitu Dato Godam Ibnu Bendahara Harun, Pengiran Temenggung Pengiran Abdul Kadir Ibnu Pengiran Sidewa Maharaja dan Dayang Isah Tandang Sari Pengiran Temenggung Pengiran Abdul Kadir.

Makam inilah yang menjadi bukti wujudnya lagenda di sini dan terdapat kisah yang sangat menarik disebaliknya.

Bagi penduduk Pusa, Dayang Isah Tandang Sari yang lahir di situ bagaikan puteri kepada mereka.

Seorang penduduk tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Udin, 78, bercerita, pada suatu ketika dahulu Temenggung Pengiran Abdul Kadir menjumpai buluh untuk dijadikan alas kepala ketika tidur.

"Apabila bangun, buluh itu telah bertukar menjadi sebiji telur dan dibawanya pulang ke rumahnya.
"Keajaiban berlaku apabila telur itu akhirnya menetaskan seorang bayi perempuan lalu Temenggung Pengiran Abdul Kadir mengambilnya sebagai anaknya dan diberi nama Dayang Isah Tandang Sari," ceritanya.
(Ada bangku kayu?)

Dijadikan cerita, apabila remaja, Dayang Isah Tandang Sari menjadi seorang yang sangat cantik dan hinggakan kerana kulitnya yang putih dikatakan menampakkan air sirih yang turun dari kerongkongnya.

Bukan itu sahaja, dia turut memiliki rambut ikal mayang dan mempunyai suara yang merdu menjadikan dia sangat digilai ramai pemuda kampung pada waktu itu.

"Namun, Dayang Isah Tandang Sari mempunyai seorang kekasih bernama Bunut. Menurut Temenggung Pengiran Abdul Kadir, sesiapa yang ingin mengahwini anaknya perlu memberi satu kati emas sebagai mas kahwinnya.

"Oleh kerana Bunut tidak mampu maka hasratnya untuk memperisterikan Dayang Isah Tandang Sari tidak kesampaian," ujarnya.
(Pemandangan Makam Dato Godam & Pengiran Temenggung dari jauh)


Ceritanya lagi, kecantikan Dayang Isah Tandang Sari akhirnya telah sampai ke pengetahuan seorang saudagar Brunei yang bernama Nakhoda Kar.

"Kerana kekayaannya, Nakhoda Kar berjaya mengahwini Dayang Isah Tandang Sari walaupun hakikatnya dia masih mencintai Bunut," jelasnya.

Tambahnya, pada suatu ketika, Nakhoda Kar telah pergi belayar namun dia berasa tidak tenteram dan mencurigai isterinya menyebabkan dia pulang semula.

"Betapa marahnya Nakhoda Kar apabila benar-benar melihat isterinya bersama Bunut dan kerana tidak dapat menahan kemarahannya dia kemudiannya menetak Bunut sehingga mati.

"Setelah membunuh Bunut, Nakhoda Kar juga cuba untuk membunuh Dayang Isah Tandang Sari namun isterinya itu bukanlah orang sembarangan. Dia tidak dapat dibunuh dengan apa-apa jenis senjata sekalipun," jelas Udin.

Sambungnya lagi, disebabkan terlalu sedih dengan kematian Bunut, Dayang Isah Tandang Sari mendedahkan rahsia bahawa dia hanya dapat dibunuh dengan menjerut lehernya dengan tujuh utas tali.

"Selepas kejadian itu, Nakhoda Kar telah melarikan diri namun Temenggung Pengiran Abdul Kadir telah berjaya mengejar lalu membunuhnya. Hanya beberapa orang sahaja yang dilepaskan supaya dapat menceritakan kejadian itu kepada orang lain," katanya.

Begitulah kisah lagenda Dayang Isah Tandang Sari yang sudah sebati dengan penduduk di sini, malah menjadi kisah untuk diceritakan oleh ibu bapa kepada anak-anak dan cucu mereka.

Bercerita mengenai makam tersebut, untuk sampai ke situ sememangnya mencabar seolah-olah tidak mahu kehadiran orang luar.

Hakikatnya, kawasan itu sememangnya menunjukkan tiada sebarang tanda telah dikunjungi oleh orang untuk jangka masa yang lama.

(Pandangan dari hadapan Makam Dato Godam. Dibelakang adalah Makam Pengiran Temenggung)

Sebelum menemui makam Dayang Isah Tandang Sari, terlebih dahulu kita akan menemui makam Dato Godam Ibnu Bendahara Harun dan Pengiran Temenggung Pengiran Abdul Kadir Ibnu Pengiran Sidewa Maharaja.

(Kelihatan jauh dihujung jalan ialah Makam Dayang Isah kira-kira 100 meter)

Kemudian, setelah berjalan kira-kira 100 meter dari kedua-dua makam tersebut barulah kita menjumpai makam Dayang Isah Tandang Sari.

Walaupun kelihatan tidak dijaga dan terbiar, jika dilihat pada makam Dayang Isah Tandang Sari ini ianya kelihatan seperti telah dijaga dengan sempurna dan sekitarnya juga bersih.

(Batu nisan Dayang Isah diikat dengan kain kuning)

Dalam perkembangan lain, penulis berharap ada pihak bertanggungjawab menguruskan kawasan makam ini dengan lebih baik memandangkan ia merupakan salah satu sumber tarikan yang ada di sini.

No comments:

Related Posts with Thumbnails