Rakan SIMAAS anda!

PETIKAN HADIS

Posting Terbaru!

Posting Terbaru!

Sunday, October 3, 2010

Macam-macam: Keanehan budak dari Marikh?


(BORISCHA, kanak-kanak Rusia yang menggemparkan saintis dengan pengetahuannya yang terperinci tentang bumi dan Marikh)


LAPORAN akhbar minggu ini tentang pakar astrofizik Malaysia, Prof. Datuk Dr. Mazlan Othman dicadangkan sebagai individu pertama untuk berkomunikasi dengan makhluk asing sememangnya mencuri perhatian.

Bagaimanapun, Mazlan berkata, tugasan yang didakwa diberikan kepadanya itu sebenarnya tidak wujud.

"Memang menarik menjadi orang pertama berkomunikasi dengan entiti luar, namun saya perlu menafikan kesahihannya," katanya melalui e-mel kepada akhbar The Guardian di London.

Sebelum itu, laman web berita media Australia, www.news.com.au melaporkan Mazlan dilantik oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk berinteraksi dengan makhluk asing jika kewujudan entiti itu disahkan secara saintifik.

Walaupun berita itu turut disangkal oleh Pejabat Hal Ehwal Angkasa Lepas PBB (UNOOSA): hal ini sekilas menerbitkan kembali tanda soal di minda kita. Wujudkah makhluk asing? Hakikatnya saintis-saintis juga masih menyelongkar jawapannya.

Malapetaka

Apabila berbicara tentang makhluk asing atau hidupan di angkasa lepas, kisah seorang kanak-kanak lelaki Rusia, Boriska Kipriyanovich atau Borischa sangat menarik untuk dikongsi. Kanak-kanak itu mendakwa dirinya berasal dari Marikh, planet yang terletak sekurang-kurangnya 55 juta kilometer dari bumi.

Bukan setakat itu, Borischa juga bertegas masih ada hidupan di Marikh dan mereka terpaksa tinggal di bawah tanah serta bernafas dengan gas berasaskan karbon.

Dilahirkan pada 11 Januari 1996, Borischa membuat dakwaan itu ketika usianya tujuh tahun. Berita tentang Borischa mula berlegar di Rusia pada tahun 2004 apabila media Truth Report Russia melaporkannya.

Dunia semakin mengenali kanak-kanak aneh itu apabila sebuah badan mengkaji misteri, Camelot Project dari Amerika Syarikat menemu bualnya pada tahun 2007 dan videonya dimuat naik di laman Youtube pada awal tahun 2008.

Kini, jika dihitung, kanak-kanak itu sudah berusia 14 tahun.


(LENSA teropong NASA pernah merakam imej seperti manusia di planet Marikh. Mungkinkah makhluk itu berketinggian tujuh meter seperti yang digambarkan Borischa?)



Borischa bukan tiba-tiba muncul ke bumi dari Marikh sebaliknya dia dilahirkan seperti anak yang lain, daripada rahim ibunya, Nadezhda Kipriyanovich di Zhirinovsk, Volgograd, Rusia.

Borischa mendakwa dia merupakan seorang penduduk Marikh yang berketinggian tujuh meter dalam kehidupan masa lalu.

Bunyinya seperti lucu tetapi teruskan membaca.

Kanak-kanak berwajah menarik itu mula mendedahkan 'pengetahuannya' tentang Marikh ketika menyertai satu ekspedisi di zon anomali, Medvedetskaya Gryada dekat Volgograd.

Di hadapan para peserta ekspedisi yang rata-ratanya orang yang berpengetahuan tinggi dan berfikiran terbuka, dia yang ketika itu berusia tujuh tahun memukau dengan bicaranya tentang tamadun Marikh, bandar-bandar megalitik, kapal angkasa mereka, penerbangan ke planet-planet lain dan tamadun purba Lemuria di bumi seperti dia benar-benar menyaksikannya.

"Boleh anda bayangkan, apabila semua orang duduk mengelilingi kem api, tiba-tiba seorang budak berusia sekitar tujuh tahun meminta semua orang memberi perhatian kepadanya. Ramai orang terkejut tentang dua perkara.

"Pertama, kanak-kanak itu benar-benar berpengetahuan. Daya intelektualnya sangat jauh jika dibandingkan dengan kanak-kanak tipikal.

"Profesor di universiti pun belum tentu mampu bercerita tentang sejarah Lemuria dengan begitu terperinci. Anda takkan menemuinya dalam buku teks sekolah.

"Kedua, kami semua tertawan dengan ucapan budak itu. Bahasa yang digunakan tidak seperti kanak-kanak biasa.

"Pengetahuannya tentang terminologi yang spesifik serta terperinci berkenaan Marikh dan bumi mengagumkan semua orang," kata seorang profesor universiti, Gennady Belimov, antara saintis yang mula-mula melaporkan keluarbiasaan Borischa.

Tamadun Lemuria merujuk kepada tamadun purba yang dipercayai wujud di bumi 800,000 tahun yang lalu.

Kisah Borischa menarik perhatian para saintis Rusia tahun 2004.

Profesor Vladislav Lugovenko lantas menyifatkan kanak-kanak itu sebagai kanak-kanak indigo iaitu yang mempunyai keupayaan mental yang luar biasa.

"Borischa salah satu daripadanya. Kanak-kanak indigo juga seperti mempunyai misi khas untuk mengubah masyarakat bumi," katanya.

Ibu Borischa yang merupakan seorang dermatologis di klinik awam serta bapanya, seorang pegawai bersara juga berasa aneh tentang anak mereka itu.

Nadezhda atau Nadya berkata, dia tidak berasa sakit semasa melahirkan Borischa dan bayi itu merenungnya seperti pandangan seorang dewasa kala ditunjukkan kepadanya.Permainan Huruf

Pada usia satu tahun, Borischa memberinya permainan huruf-huruf dan pada usia setahun setengah dia sudah boleh membaca surat khabar bercetakan besar. Pada usia dua tahun pula dia boleh melukis dan mewarna.

Belum pun umurnya mencecah tiga tahun, Borischa sudah bercerita kepada ibu bapanya tentang alam semesta

"Dia boleh menamakan semua planet dalam sistem suria termasuk satelit-satelitnya. Dia menyimbah saya dengan nama-nama dan bilangan galaksi.

"Pada mulanya, saya berasa takut dan fikir anak saya mungkin hilang akal, tetapi apabila saya periksa apa yang dikatakannya memang benar wujud.

"Saya cari buku-buku berkenaan astronomi dan terkejut apabila mendapati anak saya tahu banyak mengenainya. Tidak ada sesiapa yang mengajarnya.

""Apabila saya bawa anak saya kepada banyak saintis termasuk ufologis, ahli astronomi dan sejarahwan, mereka setuju bahawa adalah mustahil untuk menyatukan semua ini menjadi satu cerita.

"Terma-terma asing dan saintifik yang digunakannya hanya diguna pakai oleh mereka yang pakar dalam bidang sains itu sahaja," tambahnya.

Kebijaksanaan Borischa turut menyulitkannya untuk belajar di sekolah. Selepas interbiu pertama, dia dipindahkan ke gred kedua, tetapi pihak sekolah seperti cuba untuk menyingkirkannya.

Dia dikatakan terus menerus mengganggu pengajaran cikgu dan sering menyatakan yang mereka salah. Kemudian, dia berguru dengan tutor persendirian.

Semasa ditemu bual pada Oktober 2007 oleh Camelot Project, Borischa berusia hampir 12 tahun. Dia ketika itu dikatakan sedang belajar di sebuah sekolah berdekatan Moscow yang dikhaskan untuk kanak-kanak genius.

Sebagai seorang yang meniti usia remaja, penemu bual daripada Camelot Project menyifatkannya sebagai seorang yang mempesona, ceria, malu-malu, peka dan sensitif.


(KAPAL angkasa manusia sering gagal mendarat di Marikh kerana, menurut Borischa, terdapat signal khas yang dikeluarkan oleh planet itu)


Jurnal cuba untuk menjejaki perkembangan terbaru Borischa di laman Internet, namun gagal mendapatkan sebarang maklumat.

Maklumat terakhir yang diperoleh adalah pada September 2008 apabila Kerry Cassidy daripada Camelot Project yang pernah menemu bualnya meninggalkan mesej di sebuah forum di Internet:

"Borischa berada dalam keadaan yang amat baik dan membesar dengan baik. Dia akan memulakan persekolahan di Moscow dalam masa terdekat dan akan menetap di tempat baru.

"Kami akan lihat sama ada dia mempunyai akses Internet di rumahnya.

"Amat sukar untuk mereka mempunyai Internet di dalam apartmen mereka tetapi ia boleh berubah jika mereka mendapat tempat tinggal yang lebih baik.

"Kami ada menghubunginya beberapa bulan lalu. Dia dan ibunya ketika itu sedang kembali ke kampung halaman mereka untuk mengemas barang bagi perpindahan ke Moscow."

Kanak-kanak ini juga nampaknya bukan seorang yang pandai bercakap tentang sains astronomi tapi juga mempunyai perspektif yang murni tentang kehidupan.

"Anda perlu menjadi seorang yang berbelas kasihan kepada orang lain. Kalau seseorang menyakiti anda, peluklah dia, minta maaf kepadanya dan berlutut kepadanya.

"Jika seseorang itu membenci kamu, sayangi dia dengan sepenuh hatimu dan minta keampunan," ujar Borischa.

sumber:Harian Kosmo

Thursday, September 30, 2010

Jenis Air & Petua Penyediaan Ubat



JENIS-JENIS AIR UNTUK RAWATAN

Bahan asas utama untuk semua jenis rawatan ialah air. Berikut ialah senarai jenis air mengikut turutan yang paling baik;

1. Air Zam-zam (yang paling baik)
2. Air jernih biasa yang telah dibacakan Surah Yaasin oleh 40 orang atau lebih.
3. Air dari kolah di Masjid yang digunakan untuk wuduk
4. Air hujan malam Jumaat yang ditadah terus dari langit
5. Air Mineral semulajadi
6. Lain-lain air mutlak yang jernih serta suci


PETUA PENTING DALAM PENYEDIAAN BAHAN UBAT

1. Memberi salam kepada nabi Ilyas sebelum mengambil sesuatu tanaman (pokok, daun, bunga dan sebagainya) untuk buat ubat, caranya; " Assalammu'alaikum wahai nabi Ilyas, saya hendak mengambil pokok ini untuk merawat penyakit …….(sebut nama penyakit) yang di hidapi oleh …..(sebut nama pesakit)"
2. Baca Surah Al-Fatihah sebelum memetik atau memotong pokok tersebut
3. Jangan tindih bayang. Pastikan pokok tersebut tidak terlindung bayang badan kita ketika mengambilnya. (Samaada bayang cahaya matahari di waktu siang atau bayang bulan dan lampu suluh di waktu malam).
4. Ambil tumbuhan yang segar – tidak dimakan ulat, tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda.
5. Gunakan Periuk yang dibuat daripada tanah untuk merebus bahan ubat.
6. Bila mengacau bahan ubat, pergerakan pusingan hendaklah mengikut pusingan tawaf ka'abah (anti clock wise).

sumber:darussyifasarawak.blogspot.com

Monday, September 27, 2010

Rahsia Simbol "PEACE"










Simbol ini berasal dari simbol syaitan yang diamalkan semasa upacara keagamaan Yahudi. Simbol ini telah digunakan oleh Yasser Arafat (Bekas Presiden Palestin), Richard Nixon (Bekas Presiden amerika) dan Winston Churchil (Bekas Presiden Amerika).



Lambang kedamaian pada tangan sebenarnya simbol gerakan Illuminati.Tanda “v” mempunyai pelbagai sejarah. V (tanda tangan) adalah tanda huruf Roman yang bermaksud nombor 5 dan Adam Weishaupt menggunakan simbol ini dalam gerakan rahsianya iaitu Illuminati (pertubuhan Yahudi). Ahli-ahli Illuminati akan menggunakan simbol ini sebagai tanda “Law of Fives” (Hukum Lima).

Di dalam tulisan Yahudi, huruf V (Van) bermaksud ‘Nail’ (Kuku). The Nail adalah salah satu tanda rahsia Syaitan yang digunakan dalam upacara penyembahan berhala. Syaitan ingin membiarkan kita tahu bahawa itu adalah tanda kegemarannya.

Anton Lavey, pengasas Church of Satan (Gereja Syaitan), menggunakan simbol PEACE sebagai latar belakang mimbar upacara penyembahannya.Salah seorang penyelidik menegaskan, simbol PEACE adalah dari simbol kumpulan Yahudi yang anti Kristian (antiChrist). Mereka mengambil salib kristian dan mematahkannnya ke atas dan menerbalikkannya ke bawah. Tanda 3 palang yang menghala ke bawah membawa maksud ; Past (Palang kanan), Present (Palang tengah) dan Future (Palang kiri)



Gambar sebelah kiri adalah simbol yang telah diubahsuai dan digunakan sekarang, gambar tengah adalah cabang asal 3 rukun gerakan syaitan atau kedamaian oleh syaitan dan gambar sebelah kanan adalah logo asal kumpulan Gereja Syaitan. Lihat gambar kecil berbentuk bunga di atas palang, ia adalah logo nazi.

sumber:ibnuyaacob.com

Friday, September 24, 2010

Iklan Kekosongan Jodoh!

Macam-macam..takkan sampai begini sekali nak cari jodoh?
Rasa geli hati tengok iklan nie!!...

Thursday, September 23, 2010

Saintis Buktikan Nabi Musa Belah Laut!


(LAKARAN artis menunjukkan angin kuat dari timur telah menyebabkan air lagun (kiri) dan sungai (kanan) 'berpusing' dan membentuk dinding air dekat Laut Merah)


BOULDER, Amerika Syarikat (AS) - Saintis-saintis di AS membuktikan kebenaran kisah Nabi Musa membelah laut seperti yang diceritakan dalam kitab suci al-Quran dan Injil, lapor sebuah akhbar semalam.

Satu kajian oleh sepasukan penyelidik yang diketuai saintis Carl Drews dari Pusat Penyelidikan Atmosfera Nasional di sini, mendapati fenomena itu tidak bercanggah dengan hukum fizik.

Kitab al-Quran menceritakan bahawa Nabi Musa membelah laut dengan menghentakkan tongkatnya ke tanah semasa baginda dan kaum Bani Israel terperangkap di antara pasukan tentera Firaun yang sedang mara dan laut di hadapan mereka.

Kumpulan saintis itu yang mengkaji beberapa peta kuno Delta Sungai Nil mendapati laut terbelah itu merujuk kepada sebuah lagun yang kini dikenali sebagai Tasik Tanis di selatan Laut Mediterranean dekat Laut Merah dan satu cawangan Sungai Nil.

Kini, dengan menggunakan simulasi komputer, saintis-saintis itu menunjukkan bahawa laut berkenaan terbelah dua melalui proses tiupan angin kencang yang dikenali sebagai angin timur bertiup selaju 100.8 kilometer sejam (km/j) selama 12 jam menyebabkan aliran air sungai dan lagun itu berpusing balik lalu membentuk seperti dinding air.

Satu model lautan komputer kemudian digunakan sebagai simulasi bagi melihat kesan angin yang bertiup semalamam ke atas air sedalam beberapa meter itu.

Selama empat jam, tiupan angin tersebut menghasilkan jambatan darat sepanjang 3.2 kilometer (km) dan selebar 4.8km.

Sejurus selepas angin timur reda, air lagun dan sungai itu kembali mengalir ke tempat asal seperti ombak tsunami.

Hasil kajian saintis berkenaan disiarkan di Internet oleh Jurnal Public Library of Science ONE. - Agensi

sumber:akhbar Kosmo

Friday, September 3, 2010

4 Sebab Sembunyi Lailatul Qadar..


Kedatangan Ramadhan dengan kelebihannya terutama dianugerahkan satu malam daripada malam-malamnya yang dipanggil lailatul qadar hendaklah direbuti oleh kita semua sebagai umat yang cintakan Allah dan hari akhirat. Peluang yang datang jangan dilepaskan begitu sahaja kerana kelak kita kerugian yang tidak mampu dibayar dengan tangisan dan penyesalan. Melalui beberapa hadis Rasulullah s.a.w, baginda menerangkan bagaimana pada kebiasaannya malam lailatul qadar akan datang pada sepuluh akhir Ramadhan.

MAKSUD SURAH AL-QADAR

Firman Allah dalam surah al-Qadar 1-5 yang bermaksud : "Sesungguhnya Kami telah menurunkan ( al-Quran ) pada malam al-Qadar (kemuliaan). Dan tahukah kamu apakah itu malam Lailatul qadar?. Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Di malam itu turun para malaikat dan Jibril dengan Izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Pada malam itu (penuh ucapan) kesejahteraan sehingga terbit fajar".

SEBAB DISEMBUNYIKAN MALAM AL-QADAR

Menurut Imam al-Razi seorang penafsir terkenal telah menulis mengenai sebab Allah menyembunyikan malam al-qadar daripada pengetahuan kita iaitu sebagaimana berikut :

Pertama :
Allah menyembunyikan malam al-qadar sebagaimana Dia menyembunyikan seluruh rahsia sesuatu yang lain seperti Dia menyembunyikan keredhaanNya dalam ketaatan seseorang hamba sehingga menimbulkan kegemaran dalam melakukan semua ketaatan kepada Allah. Allah juga menyembunyikan saat-saat diperkenankan doa agar setiap pemohon bersungguh-sungguh setiap kali berdoa. Begitulah juga Dia menyembunyikan malam al-qadar agar umat Islam dapat membesarkan kesemua malam bulan Ramadhan tanpa memilih malam tertentu sahaja.

Kedua :
Jika diberitahu secara jelas tentang malam al-Qadar maka ditakuti manusia yang tahu tentang kedatangan malam tersebut tetapi dia tidak berusaha untuk merebutnya dengan amal ibadat atau pun dia melakukan maksiat. Ini akan menyebabkan dia terjerumus ke lembah kecelakaan dalam keadaan dia tahu dan ingatlah bahawa berbuat maksiat atau tidak bersungguh dalam melakukan ibadat dalam keadaan kita tahu ia merupakan malam yang mempunyai kelebihan yang besar adalah lebih berat dosanya daripada kita tidak mengetahuinya. Oleh itu dirahsiakan malam al-qadar.

Ketiga :
Supaya seseorang mukallaf itu bersungguh-sungguh berusaha mencari malam al-qadar sehingga dia mampu memperbanyakkan ibadat lalu dia memperolehi pahala daripada kesungguhannya itu.

Keempat :
Seseorang yang meyakini akan datangnya malam al-qadar maka dia akan bersungguh-sungguh mencarinya pada keseluruhan malam Ramadhan dengan harapan akan berkebetulan dengan malam al-qadar. Allah akan bermegah dengan usahanya ini dengan menyatakan kepada para malaikat bahawa inilah manusia yang pernah kamu katakan bahawa mereka akan melakukan kerosakan dan pertumpahan darah di bumi sedangkan apa yang kamu lihat ialah mereka merupakan makhluk yang kuat beribadat.

SEBAB PENURUNAN SURAH AL-QADAR

Di sini ada beberapa riwayat yang menceritakan mengenai sebab diturun dan diberi kelebihan malam al-Qadar yang dianugerahkan kepada umat nabi Muhammad s.a.w dan tidak diberi kepada umat sebelumnya.

1. Ibu Jarir mengeluarkan daripada Mujahid dengan katanya : Adalah pada umat bani Israel ada seorang pemuda mendirikan malam sehingga Subuh. Kemudian dia berjihad melawan musuh pada siang hari sehingga petang. Dia melakukan amalan ini selama seribu tahun lalu Allah menurunkan ayat ini yang memberi galakan dan kelebihan kepada umat nabi Muhammad s.a.w yang mendirikan malam al-Qadar di mana mereka akan memperolehi ganjaran yang lebih baik daripada pemuda bani Israel tadi.

2. Ibnu Munzir, Ibnu Abi Hatim dan Baihaki dalam sunannya daripada Mujahid memberitahu bagaimana nabi telah menceritakan tentang seorang pemuda bani Israel telah membawa senjata berjihad di jalan Allah selama seribu tahun maka seluruh umat Islam yang mendengar perkara ini merasa begitu kagum lalu Allah menurunkan ayat ini yang menyatakan bagaimana umat ini akan dapat menandingi ganjaran yang diperolehi oleh pemuda tadi dengan mendirikan malam lailatul qadar.

3. Ibnu Abi Hatim daripada Ali bin Urwah telah memberitahu bahawa pada suatu hari nabi telah menyebut tentang 4 orang daripada bani Israel di mana mereka telah menyembah Allah selama 80 tahun tanpa membuat maksiat walau pun sekelip mata. Semua muslimin yang mendengar cerita ini merasa kagum lalu datanglah Jibril membawa datang ayat ini bagi memberi semangat kepada umat nabi Muhammad s.a.w agar menghidupkan malam al-Qadar supaya mereka akan memperolehi kelebihan melebihi amalan pemuda bani Israel tadi.

4. Malik bin Anas memberitahu bahawa Rasulullah s.a.w apabila melihat kepada umur manusia zaman sebelum ini, maka baginda umur umatnya terlalu singkat di mana baginda merasa bimbang kepada amalan-amalan umat ini yang pasti tidak akan dapat menyamai amalan umat terdahulu. Maka Allah mengurniakan kepada baginda dan umat akhir zaman dengan suatu malam yang lebih baik daripada seribu blan bagi umat lain.

Oleh itu gunakanlah masa ini sebaiknya untuk beribadat janganlah terlalu sibuk dengan persiapan hari raya sahaja. Islam tidak melarang umatnya bersiap untuk berhari raya tetapi kita juga mesti mengutamakan bekalan akhirat yang lebih utama. Betapa ramai yang menghabiskan sepuluh terakhir Ramadhan di kedai-kedai, supermarket, pasaraya dan sebagainya kerana mahu menyambut hari raya sedangkan pada masa yang sama tawaran yang lebih hebat apabila kita beramai-ramai menghidupkan sepuluh malam terakhir itu di surau atau masjid. Janganlah kerana mahu mengejar sementara kita terlupa kepada bekalan apabila bertemu dengan Allah di akhirat sana.

sumber:bloggers

Wednesday, September 1, 2010

Taubat Sepenuh Hati di Akhir Ramadan..


Ambillah Kesempatan Memandang Ramadan Sudah Berada di Penghujung..

SUDAH namanya manusia, sering melakukan kesilapan. Ada yang disengaja, ada pula tidak disedari tetapi akhirnya membuatkan seseorang berasa disakiti. Tidak terkecuali, ada yang suka mempersenda hukum Ilahi, terlupa bahawa hidup tidak kekal abadi. Kehidupan di dunia yang penuh cabaran memungkinkan kita berbuat apa saja untuk memuaskan nafsu tidak baik.

Dunia ini penuh permainan yang melalaikan, walau cuba mengawal diri daripada tipu daya, ada kalanya kita tertewas juga, apatah lagi jika balasannya lambat tiba, tidak terasa janji Allah itu akan sampai akhirnya.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan tidak dinamakan kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan dan demi sesungguhnya negeri Akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Oleh itu tidakkah kamu mahu berfikir?” (Surah Al-An’am, ayat 32)

Benar manusia boleh dibohongi tetapi bukan Dia Yang Maha Kuasa. Negeri akhirat itu pasti, kepada yang tidak mensia-siakan kehidupan di dunia dengan kezaliman terhadap diri sendiri, kegembiraan yang ditunggu bagai tidak sabar dirasai.

Jika sebaliknya, tentulah balasannya tidak tertanggung. Akal dikurniakan Allah SWT adalah untuk berfikir, supaya tidak mengulangi kesalahan yang serupa sehingga menggagalkan misi dan visi sebagai hamba di dunia ini.

Meskipun cuba menjadi hamba yang baik dan taat, ada kala kita lalai dan terlupa. Kata hati rupanya tidak semuanya memihak kepada kebenaran, bahkan membuka pekung di dada. Justeru, segala keterlanjuran terhadap Yang Esa jangan sampai kita tidak bertaubat.

Menyesali dosa dilakukan dan berazam bersungguh-sungguh untuk tidak mengulanginya adalah usaha yang perlu dilakukan jika benar-benar ingin bertaubat. Usah dikenang masa lalu sebaliknya kenanglah pengajaran yang tidak mungkin akan berulang.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Wahai orang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan ‘taubat nasuha’, mudah-mudahan Allah akan menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai,” (Surah At-Tahriim, ayat 8)

Jangan pula taubat dipermainkan dengan mengulangi kemungkaran. Sesiapa yang ingin bertaubat mestilah menyesali dosa yang dilakukan dan bertekad untuk tidak mengulanginya. Inilah dikatakan menyucikan diri mudah-mudahan kebaikan ini mendorong kepada pembersihan jiwa sebenar.

Seboleh-bolehnya hidup hendaklah dipandu dengan garis panduan yang dimuktamadkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya yang sememangnya membantu kita menggapai kebahagiaan hakiki.

Segala bentuk maksiat terhadap perintah Allah SWT hendaklah dipohon keampunan dengan taubat dan sebarang bentuk penganiayaan terhadap orang lain, perlu disertai kemaafan serta mengembalikan hak yang diambil.

Jika ia fitnah, bayarlah dengan membersihkan nama baiknya dan jika harta yang diambil, lunaskan dengan mengembalikan miliknya atau minta dihalalkan.Penangguhan akan memungkinkan seribu tragedi yang boleh menggagalkan hasrat pengampunan daripada Yang Esa.

Usahlah kita menangguhkan peluang kerana ajal akan datang pada bila-bila masa dan syukurlah jika kita sempat menyedari dosa serta kejahilan yang pernah dilakukan.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang yang selalu melakukan kejahatan hingga apabila salah seorang daripada mereka hampir mati, berkatalah ia: Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini, sedang taubatnya itu sudah terlambat. Dan demikian juga halnya orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang yang demikian Kami telah sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah An-Nisaa’, ayat 18).

Oleh:Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia
Related Posts with Thumbnails