Sesuai sebagai anugerah yang begitu bernilai dan berharga, lailatul qadar tidaklah sampai begitu mudah diperolehi oleh sesiapa sahaja tanpa perlu berusaha.
Walaupun kita mewarisi pelbagai panduan dan petua daripada Rasulullah SAW sendiri dan para ulama pewaris Baginda SAW tentang mengenalpasti malam lailatul qadar, masih tidak ada satu kesepakatan tentang bilakah sebenarnya jatuhnya malam itu.
Akhirnya, bolehlah disimpulkan bahawa peluang untuk mendapatkannya adalah lebih cerah bagi mereka yang menghidupkan malam-malam yang ganjil dari 10 malam yang terakhir, sangat cerah bagi mereka yang menghidupkan kesemua malam terakhir dan paling terjamin bagi mereka yang menghidupkan kesemua malam-malam Ramadan. Juga harus diingat, para ulama turut berpandangan bahawa siangnya lailatul qadar juga perlu diisi dengan amal ibadah sama seperti malamnya. Sesuai sebagai tanda rahmat dan pemberian Tuhan, lailatul qadar tidaklah pula terlalu sukar dan terlalu jauh dari capaian kita. Ia ditentukan jatuh di dalam bulan Ramadan. Bulan Ramadan adalah bulan ibadah umat ini yang mana rata-ratanya malam-malam Ramadan adalah malam-malam yang lebih baik pengisian ibadahnya bagi kita semua.
Walaupun sebahagian ulama berpandangan bahawa kelebihan lailatul qadar dicapai dengan menghidupkan sebahagian besar malam itu, sebahagian ulama meriwayatkan bahawa untuk syarat minimum untuk mendapatkan sebahagian laba malam ini bukannya terlalu sukar.
Imam Malik dalam kitabnya al-Muwatto' misalnya, meriwayatkan pandangan Ibnul Musayyib bahawa, "Sesiapa yang mengerjakan solat Isyak pada malam lailatul qadar secara berjemaah, maka sesungguhnya dia telah mendapat laba / bahagian daripadanya (lailatul qadar)".
Imam Malik dalam kitabnya al-Muwatto' misalnya, meriwayatkan pandangan Ibnul Musayyib bahawa, "Sesiapa yang mengerjakan solat Isyak pada malam lailatul qadar secara berjemaah, maka sesungguhnya dia telah mendapat laba / bahagian daripadanya (lailatul qadar)".
Pandangan-pandangan yang lebih ringan ini meletakkan syarat mendapatkan lailatul qadar pada menjaga solat-solat fardu pada malam tersebut. Jika pandangan ini yang kita ambil nescaya mendapatkan lailatul qadar bukannya terlalu sukar dan boleh diusahakan oleh semua orang. Tetapi Tuhan itu Maha Adil, hakikatnya, mereka yang biasa lalai tetap akan lalai dan gagal hatta untuk menjaga solat-solat fardu ini walaupun di malam-malam akhir Ramadan.
Semoga Allah menjauhkan diri kita dan mereka yang bersama kita daripada tergolong dalam golongan yang lalai. Zikir dan doa yang diajarkan oleh nabi SAW untuk lailatul qadar juga cukup pendek mampu diamalkan oleh semua orang. Maka marilah kita memperbanyakkan doa ini di hari-hari ini,
Allahumma innaka 'Afuwwun tuhibbul 'afwa fa'fu 'nniy yang maksudnya,
"Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun , sukakan keampunan maka ampunilah aku".
Walaupun pintu untuk kita menghayati lailatul qadar melalui ibadah khusus lebih terbuka di bulan Ramadan dengan budaya dan suasananya yang tersendiri, ini tidak menafikan hakikat luasnya makna dan bentuk ibadah dalam Islam.
Mereka yang terpaksa menyelesaikan tugasan dan kerja mereka yang tidak bercanggah dengan agama dan dalam kadar yang sesuai dengan bulan Ramadan ini, tetap boleh meniatkan kerja-kerja mereka sebagai sebahagian daripada usaha mereka untuk mendapatkan dan menghayati lailatul qadar.
No comments:
Post a Comment