MACHANG: Seorang wanita nekad terjun ke dalam perigi rumah jirannya, selepas mendakwa terdengar suara ghaib menyuruhnya berbuat demikian dalam kejadian dekat Pulai Chondong di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian yang menggemparkan penduduk Kampung Laha, Pulai Chondong kira-kira jam 10 pagi itu, Siti Ramlah Wok, 52, bernasib baik apabila tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun terjun dari ketinggian kira-kira tujuh meter.
Akibat tindakan itu, mangsa terperangkap dalam perigi terbabit selama kira-kira dua jam ketika kedalaman air mencapai paras pinggangnya, sebelum dikeluarkan sepasukan lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat Machang diketuai Ketua Operasi, Mohamad Sulaiman, dengan mengguna tali, kira-kira jam 12 tengah hari.
Sejurus diselamatkan dari perigi yang terletak kira-kira 150 meter dari rumahnya, ibu kepada 11 anak itu mendakwa, tindakannya terjun ke dalam perigi terbabit adalah sesuatu yang tidak pernah terlintas dalam fikirannya selama ini.
"Ketika itu, makcik mahu pergi melihat suami yang sedang bertukang tidak jauh daripada rumah kami. Bagaimanapun ketika lalu dekat rumah jiran, saya dengar ada suara menyuruh terjun ke dalam perigi berdekatan."Entah macam mana, saya hanya mengikut arahan suara itu dan terus terjun ke dalam perigi.
Selama ini, saya pernah juga melalui kawasan sama tetapi tidak pernah pula ada suara menyuruh berbuat demikian. "Sejurus terjun, saya sedar sudah berada dalam perigi, nasib baik airnya cuma paras pinggang. Dalam takut itu, saya hanya mampu membaca surah Al-Fatihah dan mendoakan keselamatan diri," katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Siti Ramlah bernasib baik kerana seorang penoreh getah yang secara kebetulan lalu di situ terdengar suaranya sebelum bergegas meninjau dan memaklumkan penduduk sejurus mendapati mangsa terperangkap dalam perigi terbabit.Suami Siti Ramlah, Hussin Mat Ali, 63, yang mengambil upah bertukang, berkata sebelum kejadian isterinya berada di rumah bersama anak mereka, Siti Zalia, 19.
"Saya bergegas balik sejurus dimaklumkan penduduk kampung mengenai kejadian menimpanya dan bergegas menuju perigi tempat dia terjun itu. Mulanya saya bersama penduduk kampung berusaha mengeluarkan sendiri isteri daripada dalam perigi itu, tetapi tidak berjaya sehingga bantuan bomba tiba.
"Saya bersyukur kerana air dalam perigi itu sekitar separas pinggang berikutan kemarau, jika tidak, tak tahulah apa yang akan berlaku kepadanya," katanya.
Oleh Norliza Wasilan dan Nik Masilawati Ahmad
bhkb@bharian.com.my
1 comment:
salams
Makhluk halus/jin dsbnya memang wujud dan kita haruslah menerima kenyataan ini....
Dari cerita di atas,kita seharusnya mengamalkan ayat-ayat al-Quran serta doa-doa yang boleh menjauhi kita dari gangguan makhluk halus,jin dan syaitan. Jika amalan ini telah sebati dengan kita,dengan izin Allah,kita akan dijuahi dari segala-galanya.
Post a Comment