Dalam sebuah Negara Islam, apakah hukuman ke atas mereka yang mengamalkan ilmu sihir? Apakah pendirian Negara Islam ke atas mereka yang menggunakan ilmu sihirnya dengan tujuan membunuh dan merosakkan mana-mana bahagian tubuh seseorang dengan ilmu sihirnya?
Sebenarnya kedudukan ilmu sihir ini bukan sahaja buruk di sisi umat Islam dan Negara Islam, malah dalam suatu kelompok masyarakat Barat Kristian pada suatu masa dahulu, ilmu sihir dan para pengamalnya telah dihukum bunuh.
Mereka akan menangkap ahli sihir, mengikatnya di sebatang tiang, meletakkan kayu api di sekeliling ahli sihir itu dan akhirnya mereka membakarnya hidup-hidup sehingga ahli sihir itu mati bersama ilmu-ilmunya yang merosakkan itu.
Hal-hal begini boleh kita tonton lewat filem-filem seram yang dicetak oleh 'madrasah' Hollywood ke serata dunia suatu ketika dahulu. Daripada suatu segi, kita berkongsi pandangan yang sama dengan Kristian terhadap isu ilmu sihir ini.
Hanya akhir-akhir ini saja, Hollywood menjulang ahli sihir dan pengamalnya ke taraf yang tinggi melalui Harry Porter. Tetapi, dalam pada itu pun, masih kita terdengar beberapa laungan dan kritikan gereja terhadap filem berkenaan.
Demikian kedudukan ilmu sihir dalam kacamata pandangan Islam. Satu-satunya agama samawi yang mungkin masih terlibat di dalam amalan ilmu sihir itu ialah agama Yahudi.
Kabbalah, salah satu pegangan dan amalan dalam agama purba Yahudi itu, dianggap oleh sesetengah pengkaji sebagai ilmu yang berasal daripada Mesir Purba; amalan ahli-ahli sihir Firaun yang pernah bertempur dengan mukjizat Nabi Musa suatu ketika dahulu.
Agama Islam telah memutuskan bahawa ilmu sihir ini adalah ilmu yang haram diamalkan. Bagaimanapun terdapat juga khilaf yang menyatakan bahawa ilmu ini harus diajar. Manakala sesetengah ulama lain menganggap, ilmu ini haram diajar.
Namun, kedua-dua aliran ini sepakat menyatakan bahawa ilmu sihir ini haram diamalkan. Itu jelas. Tapi, kita berdepan dengan suatu masalah baru ketika membincangkan hal ini. Iaitu jika agama telah merumuskan bahawa ilmu sihir ini haram diamal maka kenapakah negara, pihak pemerintah, penguasa, khasnya parti politik tidak mengharamkannya di dalam negara itu?
Mungkin, jawapannya ada pada kenyataan lewat pidato penyandang presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono baru-baru ini ketika Tanah Jawa sedang menyaksikan pertarungan merebut jawatan Presiden Indonesia.
"Ini ialah musim pilihan raya. Ramai yang mengamalkan ilmu hitam. Malahan keluarga saya dapat merasai kesannya," kata calon presiden tersebut dalam sebuah majlis doa selamat di Cikeas, Bogor.
"Saya membuat kesimpulan bahawa hanya melalui doa dan bacaan ayat suci boleh menghalang serangan ilmu hitam. Misalnya, malam Jumaat lepas, saya sentiasa membaca ayat suci al-Quran sepanjang jalan ke venue debat (pusingan ketiga dan akhir debat presiden) bersama-sama isteri saya, pembantu dan pemandu.
Katanya beliau sentiasa membaca ayat suci al-Quran sebagai cara untuk melindungi dirinya daripada serangan ilmu hitam daripada pencabarnya. Demikianlah serba ringkas petikan laporan tersebut.
Ilmu sihir dalam pemerintahan
"Dan mereka mengikuti apa yang dibaca oleh syaitan-syaitan pada masa kerajaan Sulaiman (dan mereka menyatakan bahawa Sulaiman itu mengerjakan sihir), padahal Sulaiman tidak kafir (tidak mengerjakan sihir), hanya syaitan-syaitanlah yang kafir (mengerjakan sihir).
"Mereka mengajar sihir kepada manusia dan apa yang diturunkan kepada dua orang malaikat di negeri Babil; Harut dan Marut, sedang keduanya tidak mengajarkan (sesuatu) kepada seorang pun sebelum menyatakan: "Sesungguhnya kami hanya ujian (kepadamu), sebab itu janganlah kamu kafir".
"Maka mereka mempelajari daripada kedua-dua malaikat itu melalui sihir itu untuk menceraikan antara seorang (suami) dengan isterinya. Dan mereka itu (ahli sihir) tidak memberi mudarat dengan sihirnya kepada seorang pun, kecuali dengan izin Allah. Dan, mereka mempelajari sesuatu yang tidak memberi mudarat kepadanya dan tidak memberi manfaat.
"Demi, sesungguhnya mereka telah meyakini bahawa barangsiapa yang menukarnya (kitab Allah) dengan sihir itu, tiadalah baginya keuntungan di akhirat, dan amat jahatlah perbuatan mereka menjual dirinya dengan sihir, jika mereka mengetahui." (Al-Baqarah: 102)
Daripada nas di atas, dapatlah kita fahami bahawa, ilmu sihir telah masuk merebak dalam pemerintahan negara. Sulaiman a.s bukanlah pengamal sihir sebenarnya walaupun baginda dapat menundukkan jin.
Ilmu sihir ini diajar oleh dua malaikat; Harut dan Marut. Apabila lafaz ini diMelayukan maka lahir istilah karut-marut yang sering digunapakai dalam bualan kita ketika merujuk hal-hal yang melibatkan ilmu sihir ini.
Sihir yang mengakibatkan cerai-berai paling utama!
Daripada nas itu juga, dapatlah kita rumuskan bahawa antara banyak ilmu sihir seperti santau, pukau, minyak pengasih, minyak dagu, dan minyak senyonyong, maka ilmu sihir yang melibatkan kes cerai-berai antara suami isteri itulah yang paling utama dan dahsyat sekali.
Kita tak tahu kenapakah ilmu sihir yang melibatkan cerai-berai antara suami isteri ini amat dahsyat. Tapi, kalau tidak hebat penangannya, maka Allah s.w.t tidak merakamkan kegunaan ilmu sihir guna merosakkan pernikahan itu dalam al-Quran sebagai yang disebutkan dalam nas di atas.
Tuhan tidaklah menerangkan ilmu-ilmu pengasih yang membuat seseorang dara jatuh cinta kepada seseorang jejaka, ilmu pukau sehingga menyebabkan seseorang itu terkhayal tidak sedarkan diri sebagai sihir yang utama, sebaliknya ilmu sihir untuk pecahbelahkan keluarga itulah yang telah dibangkitkan secara jelasnya di dalam kitab suci pegangan umat Islam itu.
Hukum bunuh kepada pengamal ilmu sihir?
Sepotong hadis menyebutkan: "Jauhilah tujuh perkara yang akan membinasakan." Para sahabat bertanya: "Apa itu?" Baginda bersabda: "Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa tanpa alasan yang hak, makan riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan perang, dan menuduh orang-orang yang beriman yang menjaga diri dari lalai." (Al-Bukhari dan Muslim)
Dalam riwayat at-Tarmizi, Jundub bin Ka'ab As-Sa'di, meriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w, bahawa dalam hukum Islam hukuman dari pengamal sihir adalah dipenggal dengan pedang.
Telah ada riwayat daripada kaum ulamak salaf yang menfatwakan supaya pengamal sihir itu dibunuh. Diriwayatkan Imam Al-Bukhari dalam sahihnya, daripada Bajalah bin 'Abdah, berkata 'Umar bin Al-Khattab: "...agar membunuh para tukang sihir." Maka, kami membunuh tiga tukang sihir.
As-Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab di dalam Kitab At-Tauhidnya berkata: "Telah sahih daripada Hafshah bahawa beliau memerintahkan agar membunuh budak yang menyihirnya." Dan telah sahih pula daripada Jundub r.a.
As-Syeikh Abdul Rahman bin Hasan dalam Fathul Majid berkata: "Diriwayatkan pula yang menyatakan (tukang sihir harus dibunuh) daripada Umar, Usman, Ibnu Umar, Hafshah, Jundub bin Abdullah, Jundub bin Kaab, Qais bin Sa'd, dan Umar bin Abdul Aziz.
Cukuplah kita melihat betapa bahayanya ilmu sihir ini dengan melihat nas ini - Sesiapa yang mendatangi 'arraaf (tukang ramal) dan bertanyakan sesuatu kepadanya, maka tidak akan diterima solatnya 40 hari. (Muslim)
Cuma dengan mengunjungi tukang tenung, tukang ramal dan tukang tilik, lalu mempercayai kata-katanya, maka solat tidak diterima oleh Allah s.w.t.
"Mereka yang bertemu tukang ramal atau dukun lalu dia membenarkan apa-apa yang tukang ramal itu katakan, sesungguhnya dia telah kafir ke atas apa yang telah diturunkan kepada Muhammad." (Riwayat 4 Ahlu Sunan, disahihkan oleh Hakim).
Oleh Ibrahim Batturah al-Haddad
2 comments:
Salams
Sebenarnya amalan menggunakan khidmat ilmu sihir ini telah berlangsung sekian lama secara turun temurun..walaupun Islam berkembang dengan pesatnya ...
Ia seolah-olah bersaing sengit dengan pembangunan Islam...
manusia dah lama sedar betapa besarnya dosa mempercayai sihir itu,namun tetap mengamalkannya demi untuk kepuashatian diri sendiri..(SELFISH)kononnya ingin menandingi lawannya tanpa menyedari yang kuasa ALLAH mengatasi semua..Mungkin manusia mudah lupa...ibarat dah diberi betis hendakkan paha..
kekerapan kes yang berlaku kini,kaum wanita(para isteri)yang kurang cerdik ilmu agama sanggup MENGENAKAN pasangan masing-masing demi keahagiaan dzahir=+bathin masing-masing...dan para lelaki pun tidak ketinggalan..
Oleh itu PENGHIGHLITan keburukan SIHIR serta DOSA-DOSA dan balasan perbuatan mempercayai sihir perlulah dilaksanakan segera agar ia tidak berleluasa seperti cendawan tumbuh selepas hujan
Ya, saya setuju pendapat tice...sekarang banyak manusia terutama masyarakat kita org islam sanggup melakukan kerja-kerja khurafat...
Post a Comment