Rakan SIMAAS anda!

PETIKAN HADIS

Posting Terbaru!

Posting Terbaru!

Sunday, May 2, 2010

Berkongsi Pengalaman dan Kenangan..

Perkongsian Pengalaman

Bukan maksud saya ingin memuji, merasa fanatik atau mempromosi program tersebut cuma ia adalah sekadar perkongsian pemerhatian dan pengalaman peribadi yang mana telah memberi suatu impak yang amat ketara dan berlainan jika dibandingkan program-program modal insan dan sumber manusia yang pernah diikuti sebelum ini.



Dengan kesempatan yang ada ini saya rasa bertanggungjawab untuk menulis dan berkongsi bersama di blog ini dan sekiranya anda ‘berkelapangan’ saya mengesyorkan bolehlah menyertai program tersebut kerana apa yang didapati selepas itu nanti dengan izin Allah, adalah sesuatu yang amat bernilai untuk kehidupan dunia dan akhirat.

Sudah menjadi prinsip saya dalam menuntut ilmu kerana Allah, selagi ia masih berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah selagi itulah saya akan menerimanya. Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang telah memperkenalkan dan memberi sokongan kepada saya untuk menyertai program ini

Memang menjadi tujuan blog ini diterbitkan adalah antara lain untuk berkongsi dengan anda kepada segala yang berkaitan dengan informasi, perubatan Islam, tips, pengalaman, berita, catatan, fakta, perubatan moden dan sebagainya yang akan cuba disampaikan sebaik mungkin agar pembaca dapat mengambil manfaat daripadanya.

Namun pada kali ini saya cuba memberi sedikit catatan pengalaman hasil cerapan peribadi semasa menghadiri program ESQ berkenaan tempohari insyaAllah.



Secara asasnya kita memang sudah mengetahui banyak perkara tentang agama Islam bahkan apa itu Ehsan, berapa banyak bilangan Rukun Iman dan Rukan Islam serta tidak cukup dengan itu kita juga dapat hafal setiap satunya lengkap dengan definisinya sekali.

Mana tidaknya dalam sukatan PMR dan SPM semua pelajar Islam diwajibkan mengambil ujian PAFA untuk syarat lulus. Boleh dikatakan itu adalah pengetahuan dan pemahaman pada tahap akal sahaja.Tetapi sejauh manakah pelajar atau sesiapapun dari kita dapat menghayati dan merasainya dalam hati cuma Allah dan orang empunya hati itu sendiri sahaja yang tahu.

Bagi diri saya yang punya banyak kelemahan ini, dengan apa cara sekalipun hati perlu di’rawat’ dan di’bersih’kan setiap masa agar firasatnya sentiasa tepat kepada kehendak Allah. Tetapi tidak semudah itu untuk melakukannya kerana ia perlu dibantu dengan suatu cara khas yang dapat diterima oleh naluri dan fitrah semulajadi manusia termasuklah kaedah psikologi dan sesuai dengan amalan-amalan yang dibawa oleh ajaran Islam. Itulah pendekatan dan usaha yang dibawa oleh program ESQ iaitu membantu melahirkan sifat-sifat mulia serta mampu merasai kewujudan Allah.


Bagi diri saya sendiri dimana sepanjang mengikuti perjalanan modulnya hati saya rasa seperti di’rawat’ dan terpancar rasa keyakinan dan kebahagiaan bila hati masih mampu menerima pelbagai cara untuk mengenal Allah dan termasuklah kali ini cara yang dibawa oleh penganjur untuk membesarkan Allah sekaligus dapat mempertingkatkan cara untuk sentiasa mengingati Allah serta banyak lagi perasaan yang sukar nak digambarkan dan dituliskan disini.

Cuma kebanyakkan dari hati kita yang sukar memahami setiap hikmah kejadian yang diciptakan oleh Allah yang memiliki keistimewaan dan kaitan peranannya kepada semua makhluk. Itu semua adalah “Karya Tuhan” yang perlu kita imani dan yakini.

Yakin pada Allah itu sesuatu perkara teras yang harus ditanam dengan teguh dan terus subur pada diri seseorang muslim termasuk juga para mualij supaya semua pergantungan hanya diletakkan pada Allah semata-mata. Sesungguhnya hanya Allah sahaja yang Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu serta dengan izinNya.


Sukar hendak diluahkan kesemuanya dan biarlah ia menjadi rahsia dalam diri saya sendiri dan menyimpan rasa dan pengalaman tersebut kerana itu semua adalah rahmat dan kebaikan yang diberikan Allah kerana setiap mereka yang telah mengikutinya sudah tentunya masing-masing mempunyai pemahaman dan penghayatannya sendiri dan akan diingati sampai bila-bila.

Sungguh rasa bertuah bila terasa pancaran keyakinan dihati dan sudah tentu ia menjadi kenangan saat yang paling bahagia dan sentiasa diingati. Percayalah ia akan menjadi kenangan perjalanan kehidupan yang sukar untuk dilupakan.



Ia adalah satu program yang menekankan perjalanan spiritual diri kita. Mungkin pembaca sukar untuk memahami apa yang cuba saya maksudkan disini sehinggalah anda sendiri yang akan mengalami dan melalui program itu kelak jika diberikan kesempatan dan sama-sama kita doakan, insyaAllah.

Itu tadi adalah antara pengalaman yang dapat dikongsikan untuk kesempatan kali ini. Mungkin ada yang tertanya-tanya bagaimana rupa 'trade mark'nya?

Untuk tulisan yang seterusnya saya akan cuba untuk berkongsi pula sesuatu yang dapat memberi kenangan dan juga simbolik dari program ESQ tersebut sebagai pengenalan kepada anda diluar sana sekaligus dapat menyebarluas program yang dapat memberi kebaikan pada diri kita dunia dan akhirat, insyaAllah.

Bersambung…

No comments:

Related Posts with Thumbnails