Rakan SIMAAS anda!

PETIKAN HADIS

Posting Terbaru!

Posting Terbaru!

Wednesday, May 19, 2010

Setiap Kematian..Mestikah Buat Tahlil Arwah?

Tulisan ini adalah dari seorang hamba Allah. Oleh itu marilah kita sama2 lapangkan dada dan buka minda untuk merenung perbincangan ini, semoga kita tergolong diantara orang2 yang sentiasa diberi rahmat dan petunjuk!


Setiap kali ada kematian. Pada malam hari selalunya akan diadakan majlis kenduri tahlil arwah di rumah si mati. Jadi semasa penulis di sekolah rendah lagi tidak akan “miss” kenduri tahlil arwah kerana makan dah confirm “best” punya jika yang si arwah itu orangnya berada, ramai pulak yang datang.

Kalau yang arwah semasa hidupnya jarang ke masjid berjemaah atau sibuk dengan urusan sendiri, kuranglah jemaah masjid yang datang ke tahlil arwahnya. Mungkin kena sabotaj kot sampai berlebihan lauk terpaksa dibagi kepada jiran-jiran yang berdekatan. Selalunya tahlil arwah dibuat 3 malam berturut-turut. Dan selepas itu pada hari yang ke 100. Tolong betulkan kalau salah. Dan selepas itu terpulanglah pada anak-anak membuat tahlil untuk arwah bapa atau saudara mereka mengikut kemampuan masing-masing.

Sekarang penulis pun selalu ke majlis tahlil arwah kerana selepas solat Isya’. Imam akan mengumumkan kenduri sipolan itu dan sipolan ini. Kadang-kadang jarang makan di rumah kerana kerap ada kenduri tahlil arwah. Jadi timbul persoalan di fikiran. Adakah wajarnya tahlil arwah ini dibuat atau sebaliknya dibaca sendiri ayat-ayat suci oleh anak-anak kepada si arwah. Kerana doa dan bacaan anak-anak terus dapat pada arwah bapanya. Begitu jugak bacaan anak murid terus dapat kepada aruah gurunya. Tidak kira guru agama atau guru akademik yang mengajarnya.

Bertahlil merupakan satu perbuatan bacaan ayat-ayat suci Allah SWT yang dilakukan untuk dikirimkan pahala bacaan kepada seseorang yang meninggal dunia atau roh mayat. Ia merupakan satu tradisi tetap yang diamalkan di kalangan masyarakat kita pada hari ini.

Persoalan disini adakah bacaan tahlil itu sampai pada si aruah yang meninggal atau tidak. Timbul percanggahan dalam perkara ini samada wajib dibuat atau pun harus. Kali ini biarlah dihuraikan satu persatu. Tengok dahulu apa kah pendapat Imam Syafie rahimahullah & Ulamak-Ulamak Imam Syafie.

Imam Nawawi menyebutkan di dalam kitabnya, Syarah Muslim iaitu bacaan Al-Quran (yang pahalanya dikirimkan kepada mayat), maka pendapat yang masyhur dalam mazhab Syafie ialah amalan tersebut tidak akan sampai kepada mayat. Sebagai dalilnya, imam Syafie dan para pengikutnya mengambil daripada firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan seseorang itu tidak akan memperoleh melainkan pahala daripada daya usahanya sendiri".

Serta dalam sebuah sabda Nabi SAW yang bermaksud:

"Apabila manusia telah meninggal dunia, maka terputuslah segala amal usahanya kecuali tiga daripada amalnya, sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak (lelaki atau perempuan) soleh yang berdoa untuk simati". (an-Nawawi, Syarah Muslim : juz 1 hal; 9)


Lagi daripada imam Nawawi di dalam kitab Taklimatul Majmu, Syarah Mazhab ada mengatakan:

"Adalah, membaca al-Quran dan mengirimkannya sebagai pahala untuk seseorang yang mati dan menggantikan sembahyang untuk seseorang yang mati atau sebagainya adalah tidak sampai kepada mayat yang dikirimkan menurut Jumhur Ulama dan imam Syafie. Keterangan ini telah diulang beberapa kali oleh imam Nawawi di dalam kitabnya, Syarah Muslim (as-Subuki, Taklimatul Majmu, Syarah Muhazab: juz 10,hal; 426)


Selepas mengkaji sedalam-dalam ayat-ayat diatas dan penulis bertanya pulak kepada ustaz yang mengajar kami. Kata ustaz boleh dibuat tahlil arwah dan tak bercanggah dengan syariat Islam. Tahlil arwah adalah tanggungjawab orang yang masih hidup kepada simati.

Pertama: Amalan tahlil merupakan amalan yang baik dan berpahala kerana ia dipenuhi dengan zikir dan bacaan ayat-ayat Al-Quran. Setiap huruf dan ayat Al-Quran yang dibaca akan diberikan pahala oleh Allah SWT sebagaimana sabda Baginda bermaksud:

“Barang siapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka dia akan mendapat satu kebaikan dan satu kebaikan digandakan sepuluh, aku tidak katakan bahawa ‘alif lam mim’ satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.” (Riwayat Tirmizi).

Selain itu, Rasulullah SAW bersabda bermaksud:

Barang siapa yang mendengar satu ayat daripada Kitab Allah maka dituliskan baginya satu kebajikan yang berlipat ganda, dan barang siapa yang membacanya adalah baginya cahaya pada hari kiamat. (Riwayat Ahmad).

Mengenai hadis 'terputus' amalan si-mati kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan' adalah benar. Bagaimanapun, ia tidak menafikan doa orang lain yang mendoakan kepada kesejahteraan roh si-mati, lebih-lebih apabila ia datang atas usaha anak atau keluarga si-mati.

Jadi disini kita tengok apa kebaikan tahlil arwah. Anak-anak arwah mungkin tidak dapat membaca ayat-ayat suci dengan baik. Jadi anak-anak arwah menjemput orang lain untuk membaca bagi pihaknya. Selalu sebelum memulakan. Wakil keluarga arwah akan meminta pada ustaz untuk membaca bagi arwah yang telah meninggal dunia. Jadi adakah dosa meminta pihak lain mendoakan untuk arwah.

Kedua: Selepas tahlil, ada juga ahli keluarga yang memberi hadiah berbentuk kain pelikat, kopiah dan surat yassin kepada hadirin. Selagi orang yang menggunakan untuk solat selama itu juga pahala berterusan diterima oleh arwah dan anak-anak yang memberi hadiah. Mungkin arwah ada meninggal banyak harta dan semasa hidupnya tidak sempat membuat amal jariah. Jadi anak-anak yang hidup mesti melaksanakan amalan tersebut bagi pihaknya.

Ketiga: Memberi makan kepada tetamu jugak adalah satu kebaikan. Selagi tidak membeban keluarga arwah atau mengambil harta simati tanpa hak. Jiran-jiran boleh menolong meringan beban kerja dan juga jika ada yang sanggup mengeluarkan wang membantu majlis bagi keluarga yang susah adalah amalan yang baik. Keluarga si mati pulak tidak dibebankan dengan bayaran yang tinggi.

Keempat: Menetapkan hari-hari tertentu untuk mengadakan tahlil seperti hari ketiga, ketujuh dan 100 adalah perbuatan bidaah yang tiada nas dalam al-Quran atau sunah, lebih-lebih lagi apabila ia diyakini mendapat ganjaran tertentu apabila dilakukan pada hari-hari tertentu.

Jadi pahala daripada amalan dan doa dalam kenduri tahlil arwah akan sampai kepada si mati dan dapat memberi manfaat kepadanya. Dalam kitab Fatawa Syar'iyah karangan As-Syeikh Hasanain Makhluf, bekas Mufti Mesir, dinukilkan kata-kata Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah:

“Bahawasanya mayat itu mendapat manfaat daripada seluruh ibadat badan seperti solat, puasa dan bacaan sebagaimana dapat manfaat daripada ibadat harta seperti sedekah dan seumpamanya.”

Oleh itu kita boleh menghadiri majlis kenduri tahlil tahlil dan ia tidak dikatakan sebagai bidaah. Dalam Al-Quran sendiri Allah SWT menyarankan agar kita berdoa kepada orang yang sudah kembali lebih awal daripada kita seperti firman-Nya:

“Dan orang-orang Islam yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa-dosa saudara-saudara kami yang telah mendahului kami dalam iman dan jangan Engkau jadikan kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas Kasihan dan Rahmat-Mu.” (al-Hasyr:10).


Tajuk ini pernah diminta oleh Saudara Adrydaud suatu ketika dahulu. Kali ini bacalah wahai saudara ku. Jika timbul keraguan bertanyalah kepada ustaz yang berdekatan untuk membetulkan bagi kebaikan kita bersama. Jika diikut banyak lagi nas-nas yang menolak tahlil arwah dan ada jugak nas-nas yang menyokong pulak tahlil arwah. Sekian

Wallahu alam.

No comments:

Related Posts with Thumbnails