Rakan SIMAAS anda!

PETIKAN HADIS

Posting Terbaru!

Posting Terbaru!

Wednesday, July 14, 2010

'Pandangan Muzakarah Dahulu Baru Fatwa Negeri'



PUTRAJAYA, 14 Julai — Keputusan muzakarah khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan berkenaan dengan status program motivasi ESQ tidak mempunyai kuat kuasa dari segi undang-undang dan hanya bersifat pandangan hukum.

Oleh itu menurut Pengerusi Fatwa Majlis Kebangsaan Prof Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin, terpulanglah kepada pihak pentadbiran negeri untuk menerima pakai ataupun sebaliknya.

“Walau bagaimanapun seperti mana yang diperuntukkan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-negeri, sekiranya isu yang berlaku menyentuh kepentingan nasional, maka pandangan muzakarah perlu dirujuk terlebih dahulu sebelum sebarang fatwa dikeluarkan oleh negeri.

“Matlamatnya ialah bagi mewujudkan penyelarasan dalam hukum-hakam yang dikeluarkan di Malaysia,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Muzakarah khas telah memutuskan bahawa ESQ boleh meneruskan program motivasi mereka dengan syarat adanya pengawasan penuh oleh panel syariah yang dilantik oleh ESQ.

Keputusan muzakarah ini yang dibuat pada 16 Jun mendapati kebanyakan unsur-unsur keraguan yang terkandung dalam kursus ESQ boleh diperbetul dan diperjelaskan.

Kursus itu diharamkan daripada dianjurkan di Wilayah Persekutuan ekoran fatwa muftinya pada 10 Jun lalu.

Kesemua mufti merupakan anggota muzakarah itu.

“Sepertimana yang termaktub dalam undang-undang, kuasa untuk mengeluarkan fatwa adalah terletak di bawah bidang kuasa negeri.

“Muzakarah menghormati fatwa yang dikeluarkan oleh negeri-negeri termasuklah fatwa mengenai ESQ yang dikeluarkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan,” katanya.

Abdul Shukor mengakui, walaupun Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah mengadakan tujuh pertemuaan tetapi kira-kira tiga mesyuarat tidak dihadiri oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh.

“Ketidakhadiran ada sebab dan beliau diwakili orang lain,” katanya.

Keputusan Mufti Wilayah menyebabkan program motivasi ESQ yang berasal dari Indonesia tidak boleh diadakan di Wilayah Persekutuan.

Kewibawaan kursus motivasi ESQ menjadi kontroversi ekoran keputusan Wan Zahidi yang mengeluarkan fatwa mengharamkan program motivasi ESQ berkata, kandungan modul syarikat yang berpusat di Indonesia itu sarat dengan metode dan fikiran liberal, yang bertentangan dengan Islam.

“Lebih bahaya lagi apabila fikiran tersebut diserap melalui platform latihan kepimpinan yang terlepas daripada pengawasan pihak berkuasa agama.

“Oleh itu, ia perlu disekat sebelum merebak menjadi ‘barah’, yang bakal merosakkan akidah dan syariah dan sukar dikawal lagi,” kata beliau dalam kertas kerja kajiannya bertajuk “Gerakan Islam Liberal Indonesia dan Kaitannya dengan ESQ”.

Program ESQ, yang wujud sejak satu dekad lalu, diharamkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan bulan lalu kerana dikatakan mendukung fahaman liberalisme dan ajarannya didapati menyeleweng daripada akidah dan syariat Islam.

Bagaimanapun dua mufti - Tan Sri Harussani Zakaria dan Datuk Hassan Ahmad, masing-masing dari Perak dan Pulau Pinang, yang pernah menyertai program motivasi anjuran ESQ Leadership Center memberitahu bahawa modul syarikat itu tidak bertentangan dengan hukum syarak dan akidah, malah memberi kesan positif kepada peserta-peserta.

Pengurusan ESQ juga menafikan rumusan Mufti Wilayah Persekutuan sambil menyifatkannya sebagai tuduhan “yang amat berat.”

Ketika ditanya sama ada Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan akan memanggil Mufti Wilayah Persekutuan untuk memberi penjelasan, Abdul Shukor berkata:

“Saya rasa tak perlu dipanggil, memang dia datang (ke muzakarah sebelum ini).”

“Sebahagian daripada masa dia datang. Saya tidak pasti penjelasan banyak daripada beliau, cuma beliau mengatakan bahawa Wilayah Persekutuan sudah membuat keputusan iaitu untuk mengharamkan ... itu yang dimaklumkan kepada kita,” katanya.

Abdul Shukor berkata pihaknya juga tidak berhasrat untuk mengadakan perbincangan lagi mengenai isu berkenaan kerana tiga kajian telah dibuat sebelum ini.

“Kita sudah selesai buat kajian, jadi sehingga kita tidak berniat lagi buat kajian sebab kami sudah membuat tiga kajian setakat ini.

“Panel kajian kita, panel pemantau kita, dan juga ahli-ahli muzakarah sendiri di mana lapan mufti telah mengikuti program itu... bukan sahaja buat kajian tetapi dia mengikuti, ada yang sampai ke Indonesia.

“Kita di Malaysia melihat secara lebih sederhana, terbuka dan berbincang, dan mendidik tetapi kalau perkara itu nyata salah, maka kita tidak ada tolak ansur,” katanya.

Beliau juga menambah, sepatutnya semua anggota muzakarah mengadakan perbincangan dan menyelaraskan keputusan yang dibuat.

“Sepatutnya kita dah ada bincang, kita selaraskan semua, sebarang fatwa melibatkan negeri. Matlamanya ialah bagi mewujudkan penyelarasan sebagaimana dikatakan tadi,” kata beliau.

Ditanya sama ada program ini boleh disertai oleh warga Wilayah Persekutuan, Abdul Shukor berkata masalah semasa ialah sama ada boleh atau tidak melakukan aktiviti itu.

“Kalau ikut keadaan sekarang, di Wilayah Persekutuan belum boleh diadakan kerana mereka telah wartakan, tetapi kita melihat dosa tak dosa itu, pertamanya niat kita untuk mengikuti itu, yang keduanya mungkin apa juga mendapat daripada program itu, dan ketiganya dosa atau tidak terpulang kepada Allah.

“Tetapi kalau niat kita baik, bertujuan untuk membina diri kita, untuk meningkatkan kefahaman kita, meningkatkan peribadi kita maka ia akan mendapat pahala yang baik tak kira sama ada ia dari Wilayah, ia dari Indonesia, dari Jakarta, dari Singapura atau dari Brunei,” katanya.

Abdul Shukor berkata, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan tidak mempertikaikan keputusan yang diambil oleh Mufti Wilayah Persekutuan.

“Kita tidak mempertikai... sebab itu saya kata tadi, kita menghormati, pandangan tadi... kita menghormati fatwa yang telah dikeluarkan,” katanya.

“Kesemua 13 mufti akur dan akan ikut keputusan muzakarah, patuh kepada muzakarah, patuh keputusan muzakarah,” katanya.

Berhubung soalan sama ada fatwa itu boleh ditarik, beliau menjelaskan:

“Saya tidak boleh menjawab, itu hak Wilayah.”

Info tambahan..http://esqlc165.blogspot.com/

1 comment:

Anonymous said...

salam, teringat pula fatwa mantan mufti perlis mengharamkan selawat syifaa. Mufti brunei bukan setakat haruskan malah amalkan entah berapa ribu kali untuk tolak bala hini, jakim kata tak salah, takde muzakarah dulu ke?

Related Posts with Thumbnails