Rakan SIMAAS anda!

PETIKAN HADIS

Posting Terbaru!

Posting Terbaru!

Saturday, December 31, 2016

Hukum jenayah syariah

*Syariah: Antara perlaksanaan hukuman jenayah dan memperjuang kesejahteraan umat dan rakyat*

*Profesor Mohd Nazari bin Ismail, PhD.*

Sebagai seorang Islam kita semua mesti meyakini akan kemampuan Shariah Islam untuk menyelesaikan masalah manusia. Shariah adalah datangnya dari Allah SWT, pencipta alam semesta  yang Maha Mengetahui dan Maha Adil. Oleh itu adalah menjadi sebahagian dari aqeedah kita untuk mahukan Shariah dilaksanakan sepenuhnya di negara kita demi kesejahteraan kita di dunia dan di akhirat.


Namun kita juga jangan lupa bahawa Shariah mempunyai banyak cabang yang termasuk di dalamnya undang-undang jenayah seperti Hudud dan Ta’zir, Muamalat dan Siyasah. Di samping itu ulamak kontemporari juga menekankan hakikat bahwa Shariah juga mencakupi aspek pentadbiran seperti tatakelola yang baik, keadilan dan ketelusan.  Jika kita hanya menekankan sebahagian sahaja dari aspek Shariah seperti aspek kanun jenayahnya sahaja, dan meninggalkan aspek penting lain seperti aspek pentadbiran dan tatakelola yang baik, serta keadilan dalam melaksanakan ajarannya, maka Islam yang diamalkan tidak akan dapat menunjukkan potensi yang sebenar, bahkan akan juga nampak pincang dan tidak menarik.

Mungkin salah satu negara yang boleh menjadi contoh kepada kita tentang hakikat ini ialah Saudi Arabia. Di sana kanun jenayah Shariah berdasarkan hukum Hudud dilaksanakan sepenuhnya di mana pembunuh dipancung, pencuri dipotong tangan dan penzina disebat. Namun aspek ajaran Islam lain seperti cara pemimpin dilantik, tatakelola yang baik oleh pemimpin, ketelusan dan keadilan dan lain-lain diketepikan.

Akibatnya di Saudi Arabia, pemimpin bukan dilantik oleh rakyat tetapi adalah ditentukan oleh ahli keluarga Saud. Keluarga Saud juga tidak boleh dipersoalkan dari aspek bagaimana negara ditadbir termasuk bagaimana wang kerajaan dibelanjakan. Rakyat juga tidak boleh mempersoalkan sama ada perbelanjaan merupakan pembaziran atau tidak. Kemewahan kehidupan keluarga DiRaja Saud dengan menggunakan duit rakyat adalah masyhur. Hinggakan pernah Raja Salman berbelanja  USD30million atau lebih dari RM120 juta untuk menyewa resort lima bintang di kepulauan Maldives untuk keluarganya bercuti selama hampir sebulan dari 19 Februari 2014 sehingga 15 Mac 2014.   Satu laporan menyatakan kos menanggung keluarga di raja Saudi adalah USD2 billion (lebih dari RM8 billion ringgit setahun). Ini tidak termasuk pembaziran lain seperti tambang percuma untuk ahli keluarga di Raja apabila menaiki penerbangan Saudi Air. Terdapat juga kes ahli keluarga di raja merampas tanah awam dan tanah waqaf tanpa melalui cara yang sah. Projek mega di sekeliling masjidil Haram dilakukan oleh beberapa orang ahli keluarga yang paling berpengaruh sebagai taktik untuk memindahkan dana kerajaaan ke saku mereka sendiri.

Semua ini beliau boleh lakukan kerana rakyat tidak mempunyai hak untuk menyoal pemerintah negara tersebut.  Jikalau ada yang berani berdemonstrasi menentang pemerintah, mereka akan ditangkap dan dipenjarakan. Akhirnya rakyat menjadi lemah dan menerima suasana yang tidak adil ini. Ramai juga yang tertipu dan memikirkan asalkan Hudud dilaksanakan, maka itu sudah cukup syarat untuk rakyat menyokong pemimpin sedia ada.

Akibat dari keadaan tersebut, pembaziran yang telah berlaku di negara tersebut mungkin sudah berjumlah bertrillion Riyal. Tabung simpanan yang besar hasil jualan minyak seperti yang dilaksanakan oleh kerajaan Norway untuk menjamin masa depan rakyat jangka panjang juga tidak wujud. Di Saudi Arabia sekarang, masalah ekonomi semakin meruncing kerana harga minyak sudah jatuh dan pendapatan kerajaan tidak mampu menampung perbelanjaan. Duit yang banyak hasil dari penjualan minyak selama ini nampak gaya sudah habis kerana pada tahun 2015 defisit belanjawan nya adalah USD98 billion (lebih dari RM400 billion) atau 15 peratus dari KDNK nya. Akibatnya pada bulan Oktober 2016 kerajaan Saudi terpaksa berhutang dari pasaran kewangan antarabangsa sebanyak USD17.5 billion untuk membiayai perbelanjaannya. Yang paling anih ialah negara yang beramal dengan undang-undang Hudud ini tidak berasa bersalah untuk meminjam dengan cara Riba dari institusi kewangan barat.

Kini kerajaan Saudi terpaksa melaksanakan langkah jimat cermat. Subsidi makanan ditarik balik dan oleh itu kos makanan untuk rakyat telah meningkat. Elaun kakitangan kerajaan dipotong untuk mengurangkan perbelanjaan. Hanya gaji pokok sahaja yang dibayar.  Bayaran visa untuk haji dan umrah juga dinaikkan untuk menambahkan sumber kewangannya. Akibatnya bukan sahaja rakyat Saudi yang tertekan bahkan juga rakyat dari negara lain yang ingin menunaikan haji dan umrah.

Sebagai rumusan, ada beberapa pengajaran penting dari kes yang sedang berlaku di Saudi Arabia. Antara lain, dalam kita berusaha untuk melaksanakan undang-undang Shariah di negara tercinta kita ini, kita jangan lupa untuk pastikan aspek lain Islam dilaksanakan juga pada masa yang sama. Sebagai contoh kita mesti pastikan pemimpin kita tidak menyalahgunakan wang rakyat atau membazirkannya dengan senang. Untuk itu kita perlu wujudkan suasana yang lebih telus dimana maklumat tentang kewangan syarikat milik kerajaan mesti boleh diperiksa oleh rakyat dan bukan dijadikan bahan rahsia kerajaan. Kita tidak mahu keadaan di mana dana berbillion hilang dan rakyat tidak tahu menahu bahawa perkara itu telah berlaku. Yang lebih malang ialah jika orang yang berusaha untuk memaklumkan rakyat tentang perkara itu dipenjarakan.

Pemimpin yang kita lantik juga hendaklah bukan dari kalangan yang tamak kuasa dan suka menyekat suara rakyat atau menakut-nakutkan mereka dengan ancaman akan dibuang kerja atau dipenjarakan jika berani mengkritik kerajaan. Jika perkara-perkara ini berlaku, jelaslah bahawa Shariah yang ingin dilaksanakan adalah berbentuk kosmetik dan bukan untuk memastikan kesejahteraan masa depan rakyat. Jika rakyat rela juga ini berlaku, ia mencerminkan tahap kefahaman Islam yang sempit dan tidak seimbang di kalangan masyarakat.  Di samping itu, besar kemungkinan isu undang-undang Shariah ini sedang diperalatkan untuk tujuan politik semata-mata untuk menipu rakyat dan membuat mereka lupa berkenaan isu penting lain dalam masyarakat seperti penyalahgunaan kuasa dan pembaziran, demi mengekalkan kuasa politk pihak yang sedang berkuasa. Yang lagi menyedihkan ialah jika penipuan berjaya dilakukan dengan hanya menyebut tentang niat untuk melaksanakan beberapa aspek hukum Shariah tanpa semestinya melaksanakannya. Hanya rakyat yang betul-betul dangkal dan cetek pemikirannya saja yang akan senang tertipu.

No comments:

Related Posts with Thumbnails