Rakan SIMAAS anda!

PETIKAN HADIS

Posting Terbaru!

Posting Terbaru!

Wednesday, December 28, 2016

Sejarah Keturunan "Abang & Dayang" di Sarawak


SEJARAH ASAL-USUL KETURUNAN MELAYU “ABANG & DAYANG” DAN “AWANG & DAYANG” DALAM MASYARAKAT MELAYU SARAWAK

Di Sarawak khususnya di dalam masyarakat Melayu Sarawak mempunyai sejarah nama keluarga (surname) yang diwarisi daripada sebelah ayah kebiasaannya dengan permulaan nama “Abang” bagi anak Lelaki dan “Dayang” bagi anak perempuan. Begitu juga sebaliknya untuk permulaan nama “Awang” bagi anak lelaki dan “Dayang” bagi anak perempuan. Imbuhan nama keluarga Awang dan Dayang sememangnya berkait langsung dengan salasilah keluarga Negara Brunei Darussalam yang kebanyakan namanya bermula daripada Awang dan Dayang. Namun sesuatu yang sering menjadi persoalan dimanakah asal-usul imbuhan nama “Abang dan Dayang” kerana ianya hanya terdapat di dalam masyarakat Melayu Sarawak. Inilah sesuatu yang wajar untuk rakyat Sarawak selidiki dan perhalusi.

Dato Godam atau Raja Umar merupakan keturunan Bendahara Tanjung Sungayang, orang besar Istana Pagaruyung, Ayahanda Dato Godam adalah Bendahara Harun yang mewarisi gelaran pembesar daripada ayahandanya iaitu gelaran pembesar yang diwarisi turun temurun berdasarkan salasilah keluarga mengikut adat-istiadat Minangkabau. Dato Godam merupakan putera sulung hasil perkahwinan Bendahara Harun dengan seorang wanita berketurunan Belanda yang merupakan anak perempuan kepada Residen Belanda di Padang (pada tahun 1662) iaitu Jan Van Groenewegen.

Sejak dari kecil, Dato Godam telah diajar tentang selok-belok pentadbiran bagi mewarisi gelaran pembesar ayahandanya Bendahara Harun namun dek kerana Dato Godam adalah hasil perkahwinan campur iaitu antara kaum Minang dengan Belanda, maka Dato Godam telah disisih daripada dilantik menjadi majlis adat-istiadat “Basa Ampek Balai”. “Basa Ampek Balai” adalah satu majlis tertinggi yang menguruskan segala pentadbiran minangkabau mengikut adat dan hukum-hukum islam. Masyarakat Minang yang sememangnya terkenal dengan adat tidak dapat menerima Dato Godam sebagai pembesar di Basa Ampek Balai kerana dikatakan bukan seorang anak Minangkabau asli. Kerana kecewa dan menanggung malu di negara sendiri, Dato Godam telah mengambil keputusan untuk mengembara sambil berniaga ke negara asing dan belayarlah dia dengan anak kapalnya menjadi saudagar menjual kain.

Di dalam perjalanan mengembara ini, Dato Godam dengan anak kapalnya telah berlabuh di muara Sungai Saribas dan sudah menjadi lumrah saudagar semestinya berlabuh dan mengadap pembesar tempatan di sesuatu daerah. Maka mengadaplah Dato Godam dengan Pangeran Temenggung Abdul Kadir iaitu pembesar Kerajaan Kesultanan Brunei yang telah diberikan Saribas sebagai tanah jajahannya. Saribas semasa itu sememangnya gah sebagai sebuah Bandar pelabuhan untuk saundagar-saudagar berniaga kerana kedudukannya yang strategik serta aman damai. Ini ditambah lagi dengan penguasa Kerajaan Saribas iaitu Pengiran Temenggung Abdul Kadir adalah seorang pemimpin yang bertanggungjawab dan sentiasa menjaga kebajikan rakyat Saribas. 

Salam perkenalan disambut daripada Pengeran Temenggung Abdul Kadir daripada Dato Godam dan dek kerana tutur bahasa dan perlakuan Dato Godam yang menarik dan sentiasa merendah diri maka beliau dan Pangeran Temenggung Abdul Kadir menjadi sahabat yang akrab. Dari sinilah Dato Godam mengetahui cerita Pangeran Temenggung Abdul Kadir yang sebenarnya kecewa dengan tindakan Sultan Brunei iaitu Sultan Nasruddin yang meminang puteri kesayangannya Tandang Sari untuk dijadikan sebagai isteri ketiga baginda. Kerana Pangeran Temenggung Abdul Kadir adalah rakyat Sultan Brunei tidak dapat tidak beliau terpaksa menerima pinangan tersebut atau akan dilabel sebagai penderhaka kepada sultan. Dato Godam begitu memahami keadaan Pangeran Temenggung Abdul Kadir kerana beliau merasakan mereka berdua adalah senasib. Pelawaan Pangeran Temenggung Abdul Kadir untuk pergi berniaga di Negara Brunei telah disambutnya dengan hati yang gembira kerana jauh perjalanan luas pandangan bagi Dato Godam.

Maka tibalah Dato Godam bersama dengan Pangeran Temenggung Abdul Kadir di Negara Brunei dan oleh kerana Pangeran Temenggung Abdul Kadir adalah bangsawan kesultanan Brunei maka dia secara peribadi telah diperkenalkan dengan Sultan Nasruddin, Sultan ke-15 Kerajaan Brunei dari tahun 1690 hingga 1710. Setelah seketika maka Pangeran Temenggung Abdul Kadir pulang ke Saribas dan meninggalkan Dato Godam di Brunei. Sekali lagi Dato Godam pandai membawa diri di negara orang. Sultan Nasruddin kagum dengan kebijaksanaannya serta memilikik pengetahuan yang tinggi di dalam selok-belok pentadbiran. Tentu tidak menjadi masalah kepada Dato Godam kerana sejak dari kecil ayahandanya Bendahara Harun telah mempersiapkan Dato Godam untuk menjadi pembesar cuma nasib dan adat yang menidakkan perlantikannya.

Kehadiran Dato Godam di Brunei telah menerima reaksi positif daripada Sultan Nashruddin sendiri sehingga baginda menawarkan Dato Godam untuk menetap di Brunei dan diperintahkan untuk mengahwini sesiapa sahaja pilihannya dan Sultan Nashruddin sendiri akan menguruskannya. Dato Godam yang masih merasakan bahawa dia terhutang budi dengan Pangeran Temenggung Abdul Kadir telah mengutarakan keinginannya untuk mengahwini isteri ketiga Sultan Nashruddin iaitu Tandang Sari. Tanpa berlengah Sultan Nashruddin mengabulkan permintaannya maka berkahwinlah Dato Godam dengan Tandang Sari, puteri kesayangan Pangeran Temenggung Abdul Kadir. Sesuatu yang amat menggembirakan Pangeran Temenggung Abdul Kadir sendiri pada waktu itu termasuk rakyat Kerajaan Saribas. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan dengan 2 orang anak iaitu Manteri Uban dan Manteri Puteh.

Perkhabaran Dato Godam menjadi orang penting di negara Brunei telah sampai ke pengetahuan ayahanda Dato Godam di Pagaruyung iaitu Bendahara Harun. Ayahandanya bertindak menghantar perutusan kepada Dato Godam untuk kembali ke Pagaruyung bersama-sama dengan keluarganya. Maka Dato Godam memohon keizinan daripada Sultan Nashruddin untuk pulang ke Pagaruyung dan dengan berat hati Sultan Nashruddin memberi keizinan dengan bersyarat iaitu agar Dato Godam meninggalkan anak keduanya Manteri Puteh untuk tinggal bersama baginda di Brunei. Sultan Nashruddin juga berjanji akan menganugerahkan keistimewaan kepada kesemua keturunan Dato Godam sebagai golongan bangsawan sepertimana keturunan Dato Godam di Pagaruyung, Keturunan Dato Godam melalui Manteri Puteh telah diangkat sebagai keturunan “Awang-awang Damit”. Gelaran bangsawan yang menjadi pembesar Kesultanan Brunei turun-temurun. Disinilah bermulanya asal usul keturunan “Awang” dan “Dayang” di dalam masyarakat Melayu Brunei dan seterusnya mereka berhijrah ke Sarawak dengan membawa gelaran nama mereka yang digunapakai sehingga ke hari ini.

Maka berangkatlah Dato Godam sekeluarga menuju ke Pagaruyung tetapi mereka sekeluarga singgah di Saribas bagi melawati Pangeran Temenggung Abdul Kadir, ayahanda Tandang Sari pemerintah Kerajaan Saribas. Tidak lama selepas pertemuan Pangeran Temenggung Abdul Kadir dengan anakanda kesayangannya, maka geringlah beliau dan tidak lama kemudian Pangeran Temenggung Abdul Kadir menghembuskan nafasnya yang terakhir di Tandang Sari, pusat pemerintahan Kerajaan Saribas. Sekarang dikenali sebagai Pusa. Kerana kemangkatan Pangeran Temenggung Abdul Kadir, Dato Godam memutuskan untuk tidak pulang ke Pagaruyung sebaliknya terus menetap di Tandang Sari. Dato Godam juga menghembuskan nafasnya yang terakhir di Tandang Sari dan disemadikan tidak jauh daripada makam ayahanda mentuanya Pengeran Temenggung Abdul Kadir di Sungai Telit, Pusa. 

Selang seketika Tandang Sari pula menyahut seruan Illahi dan disemadikan juga tidak jauh daripada makam suaminya yang tercinta Dato Godam dan ayahandanya Pangeran Temenggung Abdul Kadir. Putera sulung mereka iaitu Manteri Uban atau nama sebenarnya Abdul Rahman telah menggunakan imbuhan nama “Abang dan Dayang” untuk generasinya memandangkan penganugerahan bangsawan Brunei masih lagi berkuatkuasa keatas semua keturunannya. Dan kerana itulah hanya ada keturunan “Abang dan Dayang” di Sarawak sehingga ke hari ini. Ianya daripada keturunan yang sama iaitu keturunan Dato Godam cuma satu dibesarkan dikalangan bangsawan Brunei dan satu lagi dibesarkan dikalangan bangsawan Kerajaan Saribas.

Inilah pencerakahan yang telah dibuat oleh Borneo Oracle untuk menyelidiki sejarah asal-usul keturunan Perabangan dan Pengawangan di dalam masyarakat Melayu Sarawak. Untuk itu, Borneo Oracle ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pembaca setia Borneo Oracle dari Negara Brunei, Kalimantan dan Sumatera yang telah meluangkan masa menghantar salinan teks-teks dari negara masing-masing bagi menjadikan pencerakahan ini lebih bijaksana dan logik. Hubungan ukhuwah dunia Melayu tidak akan terlerai kerana kita sentiasa mengenggam semangat Nusantara biar terpisah beribu batu jauhnya.

Borneo Oracle ♥ Sarawak’s History

Sources:
“Origin of the Saribas Malays” by Benedict Sandin of Sarawak Museum Journal (reprinted version), VOL. XVII, 1969
http://www.pusat-sejarah.gov.bn/b-datogodam-sinopsis.htm
http://baikoeni.multiply.com/journal/item/6

 
p/s- Artikle di atas adalah sekadar perkongsian. Namun sekiranya jika ada tambahan atau pembetulan mengenai fakta di atas mohon kongsi di sini.

No comments:

Related Posts with Thumbnails