Rakan SIMAAS anda!

PETIKAN HADIS

Posting Terbaru!

Posting Terbaru!

Thursday, December 29, 2016

Ibu Anak Kembar 3 Meninggal

(Al-Fatihah..)

TAMPIN - Ibu kepada kembar tiga yang terbabit kemalangan di Kilometer 3.8 Jalan Tampin-Gemas, berhampiran Desa Permai, meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban, kira-kira 1.40 tengah hari ini.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Ab Razak berkata Wan Suhana Wan Abdul Latif, 33, meninggal dunia selepas dua hari dirawat di hospital itu.

"Wan Suhana mengalami kecederaan parah pada bahagian dalaman dan kaki, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) HTJ. Kematian mangsa menjadikan lima maut dalam kemalangan yang berlaku pada 3 petang Sabtu lepas itu," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata seorang lagi mangsa iaitu adik ipar Wan Suhana, Nursyuhaidah Jusoh, 23, masih menerima rawatan di HTJ, manakala seorang daripada tiga anak kembar mangsa, Muhammad Fahimi berusia setahun, telah pun dibenarkan keluar wad.

Sabtu lepas, suami Wan Suhana iaitu Mohd Fadzil Jusoh, 37, dua anak kembar mereka iaitu Muhd Farhan dan Nur Farhana serta ibu Mohd Fadzil, Nazipah Chik, 60, meninggal dunia pada hari kejadian.

Kemalangan itu berlaku apabila Proton Saga dinaiki enam sekeluarga terbabit yang dalam perjalanan dari Kemaman, Terengganu ke Johor bertembung dengan Proton Persona yang datang dari arah bertentangan.

Di Kuala Terengganu, adik kepada Allahyarham Mohd Fadzil, Mohd Syukri Jusoh, 33, berkata beliau ada berkunjung ke HTJ pada Ahad lepas untuk melihat keadaan kakak iparnya selepas selesai pengebumian arwah ibu, abang serta dua anak saudaranya.

"Kami sangat sedih dengan kejadian yang menimpa abang sekeluarga dan sekali lagi bersedih dengan kematian kakak ipar petang ini...kini satu-satunya anak kembar daripada tiga beradik itu menjadi yatim piatu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Menurutnya apa yang lebih menyedihkan mereka ialah arwah abang dan isterinya dikurniakan pasangan kembar tiga itu setahun lalu setelah 10 tahun mendirikan rumah tangga.
"Selama 10 tahun mereka menunggu (untuk mendapatkan cahaya mata) namun apakan daya Tuhan lebih menyayangi mereka."

Katanya selama ini pasangan itu yang mengusahakan kedai makan di Kampung Batu 4, Kemaman akan meninggalkan kembar tersebut kepada ibunya untuk dijaga ketika mereka berniaga.
"Saya sekeluarga akan membesarkan Muhammad Fahimi memandangkan dia juga amat rapat dengan adik bongsu kami," katanya.

Jenazah Wan Suhana dijangka dikebumikan di Kampung Serating, Marang. - Bernama

No comments:

Related Posts with Thumbnails